BAB 21

Drama Series 18121

Mukhreez mengambil angin di beranda bilik hotel. Dari tempat dia berdiri dia boleh melihat kereta yang bergerak cukup perlahan kerana jalan yang sesak. Musim cuti sekolah ini begitu ramai orang mengambil peluang berjalan di sini. Walaupun sesak keadaan di sini tetap tenang. Tiada hon yang berbunyi bagaikan semua orang sudah reda dengan apa yang di hadap.

Hati tiba-tiba dijentik rasa kesal. Dia pula? Redakah dengan apa yang telah terjadi. Lantas dia menggeleng tak yakin. Sepatutnya dia terus kuat. Hanya kerana tidak ada berjodoh dengan gadis tadi dia terus menggembur kembali ingatan lalu.

Hanya kerana perempuan dia jadi bodoh. Kerana seorang Aziana Juwieta dia hilang kawalan. Berdendam dengan gadis itu sehingga ke saat ini. Walaupun tidak nampak di mata kasar orang lain tetapi perasaan itu tetap wujud dalam hati. Sehingga ke saat ini dia masih mengharapkan kepulangan gadis itu. Dia masih menuntut penjelasan. Tetapi sayang gadis itu tak muncul-muncul untuk menenangkan tentang segala kepahitan.

Ke mana gadis itu menghilang. Puas dia mencari namun Tuhan belum membuka jalannya menemui gadis itu. Sebetulnya dia tidak lagi mengharapkan cinta daripada gadis itu. Apa yang ada dalam hatinya hanyalah dendam yang diharapkan akan terlunas.

Sungguh Aziana Juwieta mengelar hatinya tanpa alasan. Meninggalkan dia pergi tanpa sempat dia bertanya. Keadaan itu telah menyebabkan dia jadi kurang siuman. Mencari Aziana Juwieta siang dan malam. Apatah lagi kematian pak usu benar-benar menghancurkan seluruh hidupnya. Lelaki itu yang selama ini merestui hubungan mereka pergi dalam keadaan cukup zalim.

Hidupnya jadi kosong. Semua orang yang dia sayang hilang sekelip mata. Seorang yang dia kagum selamat bersemadi di alam barzakh dan seorang lagi yang amat dia cintai hilang tanpa jejak.
Tanpa disangka setitik dua air mata jantannya meluruh. Disapunya kasar dengan harapan beban yang ditanggung akan turut sama menghilang.

Bunyi gelak tawa Aiza dan Zuhdi yang baru masuk ke dalam bilik hotel menyedarkan Mukhreez dari lamunan yang panjang. Pantas dia melangkah ke pintu gelangsar. Aiza di muka pintu bilik pula berikan muka masam apabila susuk abangnya muncul dengan wajah selamba.

“Apasal tak jadi pula. Tadi bukan main berjanji.” Marah Aiza apabila mengingati pesanan yang dihantar abangnya sebaik dia keluar dari pasaraya. Lelaki itu memberitahu rancangan petang ini dibatalkan. Terus hati muda Aiza merajuk. Letak plastik di tangan lantas tarik tuala dan masuk ke dalam bilik air.

“Apahal dengan kau. Tadi okay je. Tapi sekarang aku tengok muka kau macam mati bini. Kau kena buli ke apa?” soal Zuhdi dengan lawak kampungnya lalu bergerak ke sofa. Hempas punggung di situ dan hembus nafas lega.

“Tak ada apalah,” jawab Mukhreez bersahaja lalu mengarahkan kaki ke meja lampu tidur. Dia tarik telefon yang diam di situ lalu hempas punggung ke atas katil.

“Aku penat. Pagi esok nak balik dah.”
Zuhdi memandang tak percaya. Mukhreez mana reti penat. Malam pun boleh tidur pukul tiga empat pagi. Subuh pula tak pernah terlepas. Macam mana boleh penat.

“Malam nantilah kita keluar. Jalan-jalan dekat Wakaf Che Yeh. Pantai tu bila-bila masa je boleh pergi. Kat tempat lain pun banyak lagi.”
Apabila Mukhreez menyambung kata Zuhdi mengesan kelainan pada nada suara lelaki itu. Rasa ada perkara yang sudah membuat lelaki itu jadi begitu. Terus tilik muka Muhkreez. Lain benar. Tak ceria macam tadi.

“Thanks Di sebab dah tolong jagakan Aiza. Kau baliklah berehat. Aku tau kau penat nak kena layan perangai adik yang banyak songeh,” ujar Mukhreez mendatar namun dibalas tawa kuat Zuhdi.

“Songeh tu taklah banyak sangat. Malang sekali dia selalu bawa sepit ketam. Silap haribulan tangan aku yang kena potong. Lebam sebab asyik kena cubit,” cerita Zuhdi. Sengaja mahu melihat reaksi Aiza yang baru keluar dari bilik air. Gadis itu menjeling tajam. Mukhreez pantas ketawa besar.

“Macamlah kau tak kenal adik aku,” balas Mukhreez lalu kerling adiknya yang sudah siap menyalin pakaian dan sedang mengerikan rambut. Sempat juga gadis itu menjulingkan mata ke atas.

“Jangan nak mengata sangat, eh. Kalau bukan sebab sepit ketam ni tentu Abang Di dah ikut cikgu tu kan. Entah-entah tinggalkan adik macam tu je. Dasar buaya tembaga.” Marah Aiza lantas tarik telefon dan mengasingkan diri di luar. Berdiri di tepi beranda sambil menatal layar skrin. Entah apa yang dibuat gadis itu kedua-duanya tidak tahu.

Sementara di dalam, Mukhreez pantas menghampiri Zuhdi lalu labuhkan punggung di sebelah lelaki itu.

“Cikgu?” sebut Mukhreez tidak faham. “Kau jumpa siapa sebenarnya.”

Zuhdi menggeleng geram. Tadi buka main lagi Aiza pesan suruh dia diam. Alih-alih, gadis itu sendiri yang menyebut fasal cikgu tadi. Lalu Zuhdi hembus nafas. Tak faham betul dengan perangai Aiza.

Melihat Mukhreez yang masih tertunggu-tunggu jawapannya pantas saja dia keluarkan kertas berlipat dari poket seluar.

“Nah. Sempatlah cikgu tu jemput singgah rumah dia,” ujar Zuhdi seraya hembus nafas geram.

Mukhreez menerima huluran Zuhdi lalu membaca alamat yang tertera. Melihat saja nama Cikgu Syifaa di hujung kertas terus dia lipat semula kertas tersebut.

“Cikgu adik orang Kelantan ke?” Mukhreez bertanya lembut namun Aiza balas dengan jeritan juga. Menyuruh Mukhreez jangan menyebut tentang cikgu tersebut.

Zuhdi terkejut dengan jeritan Aiza. Pantas memandang muka Mukhreez yang tunjuk riak kesal.

“Kau tengoklah. Pantang aku sebut pasal cikgu dia terus dia naikkan suara. Aku tak faham betul. Apa masalahnya sampai dia benci sangat.

Zuhdi mengjongketkan bahu seraya menjuihkan bibir.
“Biarlah adik tu. Tapi kan, rugilah kau kalau tak kenal cikgu adik.” bisik Zuhdi. Mata kerling ke luar. Tak mahu Aiza mendengar. Mukhreez pula pantas tunjuk muka terkejut. Nampak pertanyaan pada wajah itu.

“Cantik gila weh. Ayu nak mati,” puji Zuhdi namun tak membekas di hati Mukhreez.

“Nampak macam kau dah berkenan,” tukas Mukhreez. “Tackle lah,” suruh Mukhreez tanpa perasaan. Zuhdi tersentak.

“Betul?” soal Zuhdi sengaja.

“Tak nak lah aku. Entah-entah tuannya macam makcik jual kerepek kat bawah tu. Suara je sedap tapi muka belum tentu kan.”
Zuhdi terpempan.
Lain benar ayat Mukhreez kali ini.
“Kau kan tahu taste aku? Kalau tak cantik macam Wieta aku tak akan terpikat.”

Dan barulah Zuhdi sedar. Rupa-rupanya Mukhreez masih mengharapkan kepulangan Aziana Juwieta. Nampaknya hati lelaki itu masih mencintai Juwieta. Ah, Mukhreez! Nampak sahaja kuat dan tabah tetapi rupa-rupanya lembik macam agar-agar. Lemah.

“Tak apalah kalau kau tak nak kenal. Tapi itulah… silap aku jugak. Tak tangkap gambar cikgu tu tadi. Kalau tidak aku dah boleh buat ulik tidur.” Sengaja Zuhdi menjerat agar kenangan pahit Mukhreez hilang dibawa angin pendingin hawa. Namun begitulah Mukhreez. Tidak memberi reaksi.

“Dahlah. Aku nak mandi. Kau pun pergilah balik bilik kau. Jangan nak berdua-duaan dengan adik aku,” arah Mukhreez lantas menoleh ke arah Aiza yang masih ralit menatal layar skrin. Entah apa yang dibuat gadis itu. Setelah itu Mukhreez pantas masuk ke bilik air. Manakala Zuhdi pula melangkah ke pintu.
“Adik, Abang Di balik bilik dulu,” jerit Zuhdi dengan harapan Aiza akan menyahut. Tetapi gadis itu buat tidak tahu.
Apabila kedua-dua lelaki itu hilang dari mata, Aiza masuk semula ke dalam dan menuju ke pintu. Tanpa pengetahuan kedua-duanya gadis itu melangkah turun ke bawah mendapatkan grab yang siap menunggu untuk membawanya ke destinasi yang ingin dituju.

Dia mahukan ketenangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience