***
Parkir Restoran Nasi Ayam
“Betul ke ni abang Aiza nak datang semula ni?” soal Syifa ragu-ragu. Mata pandang ke arah parkir kereta kiri dan belakang. Hairan sungguh. Tadi kenapa lelaki itu tidak terus menunggu si adik. Pelik pula Syifaa rasa.
“Abang saya tadi kena setelkan kerja dekat pejabat dulu. Kejap lagi dia sampai. Cikgu baliklah. Saya okay je duduk sorang-sorang kat sini.”
Beria-ria Aiza mereka cerita. Malah pandai pula mengganggu fikiran cikgunya itu. Tentu sekali Syifaa tak senang duduk. Hendak tinggalkan adik orang seorang diri? Memang cari nahas namanya.
“Kalau macam tu cikgu tunggu sampai abang Aiza datang dulu. Baru cikgu akan gerak balik.” Lantas Syifaa hidupkan enjin kereta dan menyuruh Aiza berehat di dalam dahulu. Lagi selamat. Tambah pula di dalam kereta ada pendingin hawa. Dapatlah sejukkan tubuh sementara menunggu.
Sedang menunggu mata sesekali memandang Aiza. wajah itu nampak teduh. Pelik melihat keadaan gadis itu. Tadi, rasanya manis saja roman wajah itu. Tetapi sekarang seperti sedang memikirkan sesuatu yang berat. Pantas Syifaa buka mulut. Mahu mengembalikan keceriaan wajah itu.
“Aiza, maaf. Cikgu nak tanya. Boleh?”
Terus mata Aiza beralih memandang Cikgu Syifaa. Lantas kepala angguk mengeyakan.
“Betul ke abang Aiza tu driver bus? Kenapa cikgu tengok tak macam driver bas pun,” soal Syifaa mahu tahu.
Alamak!
Terus Aiza ukirkan senyum sumbing. Tak tahu nak jawab apa. Salah jawab nanti lain pula yang jadi. Tanpa suara terus ambil buku dari dalam plastik lalu buat-buat baca.
Melihat cara Aiza hati Syifaa pantas mengutuk diri sendiri. Geram dengan mulutnya. Tiba-tiba saja rajin pula bertanya. Sah-sah dalam hati, Aiza akan cakap dia gatal. Gatal nak tahu fasal orang lelaki.
Eeeiii, malunya!
Tetapi tidak sebenarnya. Hati Aiza gelak sakan. Lantas kerling Cikgu Syifaa yang memandang ke arah luar. Dia tilik wajah itu. Cukup mendamaikan dan ketika itulah pajero abangnya sampai.
“Eh, abang saya dah sampai tu,” beritahu Aiza gembira apabila sebuah pajero berhenti selang sebuah daripada kereta Syifaa. Pantas Aiza keluar dan Syifaa terkejut. Pandang barang gadis itu yang ditinggal begitu saja. Pantas mata memandang ke arah pajero. Teragak-agak hendak bawa keluar barang tersebut dan hantar ke kereta. Tetapi dia bimbang Aiza betul-betul lupa lalu dia pun turut keluar.
Sementara Aiza pula sudah meletakkan beg sandang di sebelah abangnya.
“Nah, bagi dekat my sweetheart.” Mukhreez pantas menghulurkan plastik berisi asam dengan muka bangga. Bangga kerana berjaya meneka kesukaan orang yang diangaukan. Tetapi Aiza terkejut melihat isi di dalam.
“Apasal sikit sangat?” soal Aiza tak faham.
Mukhreez jongket kening. Tak lama herotkan senyum gatal.
“Sebab abang long nak dia terus tanya kat mana abang long beli asam tu.”
Pantas Aiza julingkan mata ke atas. Kemudian ketap bibirnya geram. Ada-ada saja idea lelaki itu. Buang tabiat betul. Lalu dengan muka geram Aiza tarik plastik hendak kembali ke kereta Cikgu Syifaa tetap dia tak menyangka cikgu tersebut sudah hampir dengannya. Pantas pintu kereta ditolak. Tidak membenarkan wajah abangnya dilihat gadis itu.
“Aiza tertinggal barang Aiza.” Syifaa hulurkan plastik di tangan dan setelah disambut gadis itu dia juga menerima plastik kecil.
“Ini untuk cikgu.” Aiza hulurkan plastik dengan ria.
Terbeliak mata Syifaa tidak percaya.
“Erk, asam. Cikgu tak suruh beli pun. Cikgu cuma nak tahu kedai tu kat mana. Itu saja,” ujar Syifaa segan.
“Tak apa. Abang cakap biar dia beli. Dia banyak duit.”
Terkebil-kebil Syifaa tidak percaya. Banyak duit. Bawa bas dapat banyak duit ke? Hati Syifaa tertanya-tanya. Namun, Aiza hanya beri senyum panjang.
“Saya pergi dulu cikgu.” Tangan Syifaa ditarik Azia lantas dikucup mesra. Kemudian gadis itu masuk ke dalam kereta sambil menyanyi.
Syifaa pula menanti sehingga kereta itu bergerak. Dia cuba melihat abang gadis itu namun cermin yang gelap mengehadkan penglihatan. Hati tertanya-tanya kenapa lelaki itu tidak keluar. Bukankah tadi mereka sudah berjumpa dan sepatutnya lelaki itu turunkan cermin kereta untuk menyapa. Tetapi semua itu tidak berlaku. Pelik sungguh dengan apa yang dia rasa.
Sikap Aiza juga nampak berubah. Jika tadi nampak seperti terkejut dan tak senang duduk. Namun lain pula dengan sekarang. Bagaikan sudah diberi ubat ceria yang mengujakan.
Hati tak faham tetapi akhirnya dia menggeleng juga.
Ah, apa-apalah. Janji kepalanya tak pusing lagi.
Share this novel