BAB 07

Drama Series 18121

Gara-gara memikirkan perihal si adik, Mukhreez tertidur di ruang tamu. Sedar-sedar azan subuh berkumandang dari jam azan digital di ruang solat.
Terus dia bangkit lalu melangkah naik ke atas. Sewaktu melintasi bilik adiknya kedengaran suara deejay radio berceloteh Hatinya dipagut soalan. Apakah adiknya itu tidak tidur? Mahu mengetuk pintu tetapi tidak mahu melengahkan kewajipan. Pantas dibiarkan lalu dia masuk ke kamarnya dan membersihkan diri. Tunaikan perintah Tuhan kemudian bersiap untuk ke tempat kerja.

Keluar dari bilik dan tangannya sempat menghantar pesanan kepada Zuhdi. Menyuruh lelaki itu singgah ke sini. Mengajak ke tempat kerja dengan keretanya kerana ada perkara yang hendak dibincangkan.

Dia singgah di depan bilik Aiza. Tangan diangkat hendak mengetuk pintu tetapi suara emaknya berbunyi mematikan tindakan.

“Biar adik rehat dulu Reez. Agaknya tak cukup lagi kut,” pinta Datin Seri Raihanah dan Mukhreez memandang pelik. Suara dari dalam radio yang masih kuat itu membuat hatinya risau. Betul ke rehat?

"Mummy tak risau?" soal Mukhreez tak percaya. Wajah Datin Seri Raihanah berubah. Nampak hiba dan Mukhreez mula faham. Terus genggam tangan tua itu.

"Mummy masak apa gi ni. Reez lapar. Dari petang kelmarin tak makan apa pun." Mukhreez bermanja. Tidak mahu air mata wanita itu jatuh menitik pipi yang cantik disapu bedak asas.

Terus saja bibir Datin Seri Raihanah terukir senyum indah. Mukhreez memang pandai mengambil hati. Lalu mereka beriringan ke meja makan. Dato' Seri Zainul Arif pula berpagi-pagi lagi sudah di meja. Sekejap lagi orang tua itu akan bergerak ke tapak projek di pantai timur dengan Pak Aziz.

Baru saja duduk, Zuhdi tiba dengan muka risau.

"Kita breakfast dulu. Dalam kereta nanti aku cerita," pelawa Mukhreez sebaik saja Zuhdi menyentuh bahunya.

Zuhdi tidak duduk sebaliknya beri isyarat nak ke dapur. Mahu berjumpa dengan emak dan ayahnya. Ketika itulah Aiza keluar dari bilik. Siap dengan memakai baju sekolah dan tergesa-gesa melangkah ke pintu. Pantas Mukhreez mengejar. Tarik tangan adiknya.

"Hari ni rest dulu. Tak payah pergi sekolah lagi." Mukhreez tak membenarkan.

Aiza terus me rentap kasar.
"Tak payah nak sibuklah." Muka itu langsung tak mahu memandang Mukhreez.

"Dengar cakap abang." Mukhreez memujuk namun Aiza tetap dengan keras hatinya. Tarik kasut di dalam almari.
"Kalau adik pergi jugak abang long ikut sampai sekolah," UGUT Mukhreez dan... dada Aiza Munirah berdebar takut. Dia tak mahu warga sekolah tahu siapa dia yang sebenarnya. Lalu, dengan sakit hati pusingkan badan dan berlari naik ke atas semula. Mukhreez mengejar dari belakang. Semalam lagi dia mahu menyelesaikan masalah antar mereka tetapi Aiza yang banyak mengelak. Dia meluru masuk ke dalam sebelum sempat Aiza menutup pintu sepenuhnya.

"Keluarlah!" jerit Aiza kuat namun Mukhreez patungkan diri.

"Abang tak akan keluar kalau adik tak cakap apa masalah adik sebenarnya. Apa yang buat adik jadi macam ni. Sampai boleh pengsan. Buat semua orang risau," soal Mukhreez dalam nada memaksa.

Pantas Aiza mendekat lalu menolak tubuh Mukhreez. "Keluar! Keluar!" paksa Aiza lagi seraya menolak. Namun tenaga yang ada tak mampu menggerakkan abangnya.

"Adik... Janganlah macam ni. Kami sayang adik. Kami nak tolong adik." Entah bila Datin Seri Raihanah muncul.

“Tak payah nak sibuk. Tak payah nak ambil berat. Tak payah!" jerit Aiza kuat dan tangannya naik memekup telinga. Menjerit bagaikan histeria. Mukhreez cuba nak memeluk. Namun Aiza mengundur lalu jatuh terduduk di atas katil. Terus menangis seraya menekup muka.

Datin Seri Raihanah tak mampu mengawal diri. Terus berpaling lalu hamburkan air mata tuanya.

Mukhreez tak mahu berhenti. Dia akan terus mengorek rahsia adiknya lalu mendekati.
"Share dengan abang. Apa masalah adik. Abang akan tolong."

Terus Aiza jatuhkan tangan. Mata membuntang tajam..

“Bukan abang long memang nak tinggalkan adik ke. Kan abang hanya kisah dengan sakit abang je." Sinis kata-kata yang keluar dari mulut Aiza dan Mukhreez terpukul. Tak sangka adik sendiri cuba merobek hatinya. Tetapi dia tak boleh ambil hati.

“Please, adik. Kita buang yang keruh. Ambil yang jernih. Abang tak akan tinggalkan adik lagi.”

“Tipuuu!” Suara nyaring itu bergema sehinggakan Datin seri Raihanah terkejut. Dato' Seri Zainul arif yang baru sampai di muka pintu pun terkejut sama. Terus diurut dadanya. Sejak akhir-akhir ini orang tua itu pantang terkejut. Zuhdi yang berada di belakang pantas menarik Dato' Zainul. Menyuruh orang tua itu berehat saja. Sementara di dalam Mukhreez terus mencuba.

"Abang tak tipu, dik." Mukhreez bersumpah.

“Tak. Abang long tipu," lirih Aiza dalam tangisan yang cukup lebat sehingga terdengar esakan yang bertali arus. "Abang lupa kan. Abang long tipu adik. Abang long cakap abang long pergi sekejap saja. Tapi lima tahun adik tunggu abang long macam orang gila. Tahun lepas abang balik tapi abang tak tahu apa-apa kan? Abang muncul kat rumah ni macam tak ada apa yang berlaku. Adik? Perasaan adik? Abang langsung tak ambil tahu.” Dalam sedu-sedan Aiza meluahkan apa yang terbuku.

Mata Mukhreez berkaca-kaca. Dia sedar kesalahannya tetapi dia tak sangka sama sekali Aiza begitu menjauh hati. Dan sekarang, dia sedang berusaha. Tetapi adiknya pula yang buat perangai.

“Abang long minta maaf.” Hanya itu sajalah yang mampu dia luahkan. Apa lagi yang boleh dijelaskan. Kalau diterangkan sehingga sebulan lamanya pun, dia tak yakin adik bongsunya akan faham. Gadis itu tak akan faham kenapa dia menjauhkan diri daripada semua orang dengan begitu lama.

“Sekali lagi abang minta maaf," ucap Mukhreez sehingga Aiza naik muak mendengarnya.

“Itu sajalah yang abang long boleh cakap," tukas Aiza lantas sapu air mata yang berduyun-duyun gugur dari kolam mata.

Mukhreez terpempan. Telan liurnya keras. Serasa menelan kerikil di jalanan.

“Ya. Abang long hanya boleh minta maaf. Kesalahan abang long yang dulu sampailah hal semalam abang long hanya boleh meminta maaf.”

“Cukup!” jerit Aiza.
“Abang long minta maaf sampai seribu tahun pun adik tak akan ambil kisah pasal abang long lagi,”  ujar Aiza lantas bangkit hendak keluar namun lengannya  sempat ditarik Mukhreez.

“Lepaslah! ” tengking Aiza namun Mukhreez sabarkan diri. Pandang ke anak mata adiknya yang masih bergenang dengan air mata.

“Abang long tahu abang long dah buat salah. Abang long tak memaksa adik untuk maafkan abang. Tapi… abang long nak adik berjanji jangan lukakan hati mummy dengan daddy macam yang abang long dah buat. Cukuplah abang seorang sahaja yang dah bagi kesengsaraan pada hati mummy dengan daddy. Adik tolong jangan tambah kesengsaraan semua.”

Terus mata Aiza terarah pada susuk wanita yang sedang menahan air mata. Dia mencari wajah ayahnya namun tiada.

"Jangan buat daddy tertekan. Daddy ada lemah jantung."

Aiza tersentak. Mendengar sakit orang tua itu barulah dia sedar dalam amarah yang terkumpul semenjak bertahun-tahun lamanya dia telah menyebabkan orang tuanya terluka. Bahkan mendapat sakit pula. Hati pun menjerit kesal. Tetapi dia benci dengan apa yang abangnya telah buat.

"Kalau adik tak nak maafkan abang long, abang long terima. Tapi tunaikan janji?"

Aiza terus diam. Hanya rajin meneka air mata yang asyik keluar. Mukhreez pula sudah nekad.

“Bila adik dah senyap begini abang sudah faham."
Aiza Munirah tersentak. "Abang akan balik ke Sydney kalau itu yang adik nak."

Pantas Mukhreez leraikan tangan dan bergerak hendak keluar namun Aiza menjerit lantang. Mendengar suara itu hati Mukhreez bagaikan ditikam berkali-kali. Pedihnya hanya Tuhan saja yang tahu.

“Ini je ke yang abang boleh buat, hah. Ini je ke? Abang balik sini semata-mata nak cakap benda ni je ke," jerkah Aiza. “Kalau macam tu pergilah. Jangan balik sampai bila-bila.” Makin kuat suara Aiza terlontar keluar sehingga membuat Mukhreez sedar. Amarah Aiza bukan sedikit.

“Ya. Itu saja yang abang long boleh cakap. Lagipun adik dah mengaku sendiri yang abang long dah tak ada dalam hati adik. Jadi untuk apa lagi abang long nak merayu adik. Cukuplah adik jaga diri dan keluarga. Abang long akan pergi. Pergi jauh."

Sungguh Aiza kesal dengan keceluparan mulutnya. Tetapi dia tidak akan biarkan semua yang telah berlaku tamat di sini saja. Dia perlu luahkan segalanya agar hatinya tenang. Lalu tanpa diduga oleh semua orang dia mendekati abangnya dan cengkam bahagian depan baju lelaki itu.

“Sebaik saja abang long balik ke sini hati adik makin sengsara. Adik benci abang long tapi dalam masa yang sama perasaan sayang ini tak pernah nak hilang. Abang long tahu tak. Makin adik tengok abang makin adik benci dengan diri adik sendiri.” 

Mukhreez tersentak. Dia longgarkan cengkaman tangan adiknya lalu bawa jemari itu turun ke bawah. Aiza pantas berpaling membelakangi abangnya. 

“Adik benci dengan abang long. Adik benci.”

Dan Mukhreez tarik nafas panjang lalu dihembusnya berat.

“Apa yang perlu abang long buat supaya adik tak benci abang long lagi?” soalnya pedih. 

Aiza yang membelakanginya tak habis-habis menangis. Keadaan menjadi begitu pilu. Dia berpaling semula apabila semua orang senyap. Ketika itulah mata itu melihat kelibat lelaki yang telah dipinggirkan. Terus dia malu dan nampaknya Zuhdi menyorok di balik dinding. Hatinya tersentuh. Lelaki itu pandai menjaga air mukanya. Terus dia teringat akan janjinya pada lelaki itu. Janji untuk berubah andainya abang long kembali semula ke sisi. Tetapi sayang dia yang lupa janji. Dia yang terlalu mengikut kata hati.

Mukhreez pula dengan sebak di dada masih menunggu kata-kata adiknya. Namun gadis itu tetap senyap sahaja. Kerana kesenyapan itu dia membuat andaian sendiri yang adiknya sudah tidak mahukan dia lagi.

“Abang tahu. Satu saja cara untuk menghalau kebencian adik. Abang long akan kembali semula ke Sydney. Mungkin dengan cara itu adik akan berubah. Malah adik akan jadi anak yang baik, pelajar yang patuh dan adik tak akan lukakan hati orang lain lagi.”

Mukhreez tak buang masa. Mula angkat kaki hendak turun ke bawah. Melihat wajah mummy yang merah menangis hatinya pula hiba.

Aiza genggam jemari kiat-kuat. Yakinkah dia untuk hidup tanpa lelaki itu. Mukhreez adalah abangnya sampai ke mati dan tegakah dia menjauhkan abangnya dari semua orang?

“Setapak kaki abang long melangkah keluar dari rumah ini adik tak akan maafkan abang long sampai bila-bila.” Suara Aiza yang bergema kuat mematikan langkah Mukhreez tiba-tiba. Dia berpaling.

Aiza genggam kedua-dua jemarinya sambil menangis teresak-esak. 

Tidak!

Dia tidak sanggup kehilangan abangnya. Lalu dengan pantas sekali mendekat dan memeluknya abangnya kejap. Mukhreez terkedu.

“Adik sayang abang long sampai mati tapi abang long yang sanggup lukakan hati adik. Siang malam adik tunggu abang long balik ke sini. Tapi abang long keraskan hati kerana perempuan tu. Setiap hari adik tunggu abang long call adik tapi abang long hanya bercakap dengan mummy dan daddy. Abang long tahu tak sikap abang long tu membuatkan adik fikir abang long pun bencikan adik. Sama macam abang long benci perempuan tu”

Jatuh bergelimpangan hati Mukhreez. Kesalnya tak sudah apabila penjelasan adiknya sudah tersebar luas. Dia kejapkan pelukan. Air mata jantannya sama menitik walau ditegah berkali-kali. Rupanya itulah kenyataan sebenar. Baru terluah dari mulut si adik.

“Maafkan abang long!” ucapnya dengan satu janji tidak akan mengabaikan adiknya lagi. 

Aiza pula menangis terhinjut-hinjut di dada darah dagingnya. Dia sudah puas kerana berterus terang. Malah dia juga sudah tunaikan janjinya pada Zuhdi. 

“Abang long janji dengan adik.  Abang long tak akan tinggalkan adik lagi," pesan Aiza dalam esakan yang tak berkesudahan. 

Mukhreez mengangguk dalam pelukan erat adiknya.

Mereka saling meluahkan rasa dalam tangisan dan keadaan itu membuatkan Datin Seri Raihanah menadah tangan memanjatkan kesyukuran atas masalah yang sudah terlerai.

dan… Zuhdi yang menyorok tersenyum gembira. Ikatan saudara yang renggang sudah kembali terikat kemas. Dia lega.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience