Perkarangan Sekolah
Sejak semuanya terluah Syifaa rasa tenang, kepala pun ringan dan bibirnya sentiasa senyuman. Hingga pelajar-pelajarnya turut rasa gembira.
Sedari berada di dala kelas, anak didiknya pun tak banyak karenah. Tekun menyiapkan latihan di papan putih.
Dengan senang hati Syifaa menyemak borang maklumat Aiza yang telah dihantar oleh Pak Aziz. Sempat dia berbual seketika. Dari situ dia mendapat tahu lelaki itu ayah angkat Aiza. Tetapi hati tetap curiga. Nampak mata orang tua itu terkedip-kedip ketika bercakap. Seolah-olah sedang merahsiakan sesuatu. Lalu dia membuat keputusan. Tak perlu masuk campur dalam urusan keluarga orang. Siapa pun Aiza dia tidak berhak tahu. Tugasnya hanya satu. Mengajar, mendidik dan membentuk gadis itu menjadi pelajar cemerlang dunia dan akhirat.
Dia menyemak satu demi satu borang gadis itu. Apabila telah dihantar lengkap hati pun ria. Cuma satu sahaja yang membuat benaknya tidak dapat menerima kebenaran yang terpampang di atas kertas.
Alamat gadis itu di Shah Alam tetapi pekerjaan ayahnya nelayan. Apa ada laut ke dekat Shah Alam. Nak menipu pun agak-agaklah. Memang tak kena langsung.
Dia teliti lagi.
Adik beradik pula empat orang. Syifaa termenung sekejap. Jadi selama ini gadis itu bukan sebatang kara. Habis tu untuk apa gadis itu hendak menipu kalau itu tidak memberi apa-apa faedah. Pelik dan hairan tetapi dia sudah malas hendak ambil kisah. Janji nombor kad pengenalan mereka memang padan dengan sistem APDM. Jadi dia sudah tidak susah macam dulu lagi.
Loceng berbunyi tanda waktu rehat sudah bermula. Syifaa pantas kemaskan barang. Apabila pelajarnya beransur keluar dia mula mengekori dari belakang untuk ke kantin juga. Baru saja melangkah dia disapa pengetua yang baru keluar dari kelas.
"Student awak dah hantar surat cuti sakit?" tanya pengetua merujuk kepada Aiza.
"Dah tuan haji. Saya dah serahkan kepada kerani." Jujur Syifaa menjawab. Teringat hal awal pagi tadi. Sebelum loceng pertama sekolah berbunyi lelaki tua yang bernama Pak Aziz sudah terpacak di depan pejabat. Menghantar borang maklumat diri dan surat cuti sakit Aiza.
"Berapa lama cuti?" tanya pengetua mematikan lamunan Syifaa.
"Sampai habis cuti sekolah bulan tiga nanti, tuan haji."
"Lama tu. Jangan sampai dia ketinggalan pelajaran."
Syifaa mengangguk faham.
"Nanti saya usahakan cara lain untuk bantu dia," balas Syifaa komited dan pengetua mengangguk yakin akan kebolehan Syifaa.
Usai pamit, orang tua itu terus berlalu ke biliknya. Syifaa pula meneruskan langkahnya ke kantin. Belumpun sampai dia sudah didatangi beberapa orang pelajar lelaki tingkatan 6 atas.
Apabila sebuah beg kertas dihulurkan terus nafasnya dihembus kesal.
"Cikgu Syifaa, nah!" Kamil yang terkenal sebagai the most wanted senior of the year hulurkan beg kertas seraya lorekkan senyum gatal.
"Untuk apa?" soal Syifaa buat-buat tidak faham.
"Hari ni birthday saya."
"Oh, ya ke.” malas sungguh hendak mendengar apa-apa cerita. Bukan dia tidak kenal pelajar tersebut. Bibir diketap geram. Melihat mata anak muda itu yang redup memandangnya dia tahu lelaki itu sedang menanti ucapan darinya.
“Selamat hari lahir, Kamil. Moga semua impian awak akan termakbul."
Terus bibir Kamil terherot senyum bangga. Kerling kawan-kawan ya yang tolong mengaminkan ucapan tadi. Selepas itu bukan main lagi bersorak gembira. Tidak faham kenapa mesti menjerit begitu. Keningnya terus bertaut. Melihat pula wajah Kamil yang seperti terkial-kial hendak meluahkan kata.
“Terima kasih. Cikgu nak pergi kantin dulu.” Syifaa malas nak melayan pelajar yang besar panjang begini. Baru saja melangkah salah seorang berbunyi.
"Kamil ni hajat dia besar. Nak kahwin dengan cikgu bila habis STPM nanti."
Terus meledak tawa Syifaa. Kepalanya tergeleng-geleng tidak percaya. Tetapi begitulah hati manusia. Bila sudah cukup umur tentulah dalam kepala akan memasang impian begitu. Namun dia tidak menyangka sama sekali dia adalah orang yang ada dalam impian pelajar tingkatan enam atas itu.
"Awak belajar rajin-rajin sampai berjaya. Capai semua impian awak dulu. Cikgu tahu impian nak kahwin dengan cikgu tu mesti impian nombor 6 kan?
Dan kamil serta rakan-rakannya terlopong.
"Penuhi kesemua lima impian lain dulu. Kalau dah berjaya cikgu yakin impian nombor enam pun akan bertukar."
Syifaa senyum panjang dengan kenaifan masing-masing.
"Perjalanan awak semua masih jauh. Nak berjaya bukan mengharapkan doa cikgu semata-mata. Doa ibu bapa itu yang paling berharga."
Dan... masing-masing mula tunduk segan.
"Terima kasih atas hadiah dari awak Kamil. Cikgu amat menghargainya. Cikgu harap mudah urusan pembelajaran awak nanti. Terima kasih sekali lagi."
Berikan senyuman lantas berlalu ke kantin dengan rasa lega. Ibarat melepaskan satu bebanan yang cukup berat.
***
Balik dari kantin dia dikejutkan dengan satu lagi hadiah di atas meja. Melihat kotak hadiah yang terikat dengan reben cantik hati jadi walang. Terus kepala ke kiri ke kanan. Tidak jumpa apa yang dia cari. Lalu dia pusing belakang. Melihat Cikgu Hamdan yang mengangkat tangan dan melemparkan senyuman terus dada Syifaa berdetak kuat. Ketika itu hanya mereka berdua yang ada.
Dengan tangan yang menggigil Syifaa leraikan reben yang mengikat hadiah. Dia angkat penutup dan peluh mulai merenek membasahi tapak tangan. Dadanya diurut lega apabila melihat isi di dalam. Hanyalah seutas gelang platinum. Pada anggaran Syifaa gelang itu bukan mahal ataupun direka khusus.
"Hah, sapa bagi?" Kuat sekali suara Farah datang menyergah hinggakan spontan Syifaa menoleh belakang. Nasib baik Cikgu Hamdan sudah tiada di meja.
"Tu… orang belakang bagi," jawab Syifaa lantas perlahan-lahan tarik sekeping kad dibawah gelang. Tak sempat hendak dibaca Farah lebih dulu merampas.
"Aku dah agak. Dia suka kat kau," omel Farah pada lelaki itu lantas hempas punggung sebelah Syifaa.
"Masa cikgu-cikgu laki kenenkan dia dengan kau bukan main lagi dia cakap tak nak. Jual mahal konon. Tengok sekarang," cebik Farah lantas kerling ke meja cikgu tersebut.
Syifaa herotkan bibir. Panas hati pula dengan cara Farah. Terus tarik kad di tangan Farah. Buntang matanya membaca ayat yang tertera.
'Ruang dalam hati Cikgu Syifaa masih kosong? Kalau belum terisi saya nak hantar rombongan meminang cuti sekolah nanti'
Kelip-kelip Syifaa pandang Farah yang menjulingkan mata ke atas. Namun Farah tersentak. Syifaa bangkit membawa kotak lantas diletakkan ke atas meja cikgu Hamdan.
"Weh, kau! Kasihan dia." Farah kebingungan.
"Baik dia makan hati sekarang," balas Syifaa geram setelah kembali semula ke tempat sendiri. Melihat Farah yang masih duduk di sebelah ditolaknya gadis itu kuat.
"Balik tempat kau!" arah Syifaa keras.
Farah terkejut.
"Eh, yang kau nak baran sangat ni kenapa. Macam nak datang period. Hah, atau… kau sebenarnya nak jugak dekat Cikgu Hamdan tu tapi kau tak nak aku tahu kan. Jadi kau halau aku,” tukas Farah sengaja dan menerbitkan senyum geram Syifaa.
"Tak kuasa aku nak laki macam tu."
Farah hamburkan gelak besar. Faham sangat maksud ‘lelaki macam tu’ yang disebut Syifaa. Lelaki kurus tinggi pakai spek itu tidak ada dalam senarai lelaki yang akan dipertimbangkan Syifaa.
"Eeiii… memilih," kutuk Farah dan sebelum berlalu sempat ditariknya beg kertas di atas meja.
"Jangan cakap kau ada peminat lain." Farah tayang beg kertas di tangan.
Syifaa jongket bahu dan Farah cubit geram pipi gadis itu. Pantas Syifaa menggosok sakit tetapi di akhirnya dia senyum panjang dengan keleteh Farah. Lega seketika. Lalu ambil buku rekod mengajar. Baru hendak menulis refleksi padi tadi ada pesanan masuk pula. Buka telefon.
- Cikgu sihat? Cikgu sibuk ke?
Tak berkelip dia melihat pertanyaan dari penghantar pesanan. Entah kenapa dadanya yang lega tadi tidak tenang pula. Dia ingatkan lelaki itu tidak akan menghantar pesanan lagi. Gara-gara perbualan yang tak dijangka dulu.
-Dah dapat borang dengan surat mc Aiza?
Lagi soalan menerpa masuk.
Terus Syifaa mengurut dadanya. Tidak ada rasa hendak membalas. Entah kenapa tiba-tiba dia cukup terasa hati dengan lelaki itu. Dua kali menjerkahnya dan pada telahannya lelaki itu sejenis yang panas baran. Jadi, dia akan buat tak tahu. Malah dia teringat pula dengan kata-kata Aiza. Gadis itu mengatakan dia cuba mengorat lelaki itu.
Hati kesakitan namun, cepat-cepat dia buang jauh. Ingat akan status dirinya. Dia adalah seorang guru dan dia tidak boleh mengabaikan segala pertanyaan penjaga anak didiknya.
-Dah dapat. Macam mana dengan Aiza? Harap dia baik-baik saja.
-Dia okay, cuma masih diam. Tak nak kongsi langsung masalah dia.
Pesanannya dibalas Mukhreez.
Syifaa merenung pesanan tersebut. Apalah masalah gadis itu. Hendak saja dia pergi menemui tetapi dia tahu kesudahannya. Tentu saja gadis itu akan mengamuk dan menghalau dirinya nanti. Lalu akhirnya dia hanya berdoa dalam hati semoga gadis itu baik-baik saja.
-Insya Allah. Nanti dia akan cakap juga dengan encik. Adik beradik tak akan selamanya nak diam macam orang luar. Kan?
Pesanan tidak dijawab dan Syifaa biarkan sahaja telefon diam tanpa suara. Dia menyambung kembali tugasnya dengan cepat. Sebelum balik ada dua lagi masa bersama kelas lain.
Sedar tak sedar loceng sudah berbunyi dan dia bangkit hendak menuju ke kelas. Sebaik menarik telefon untuk disimpan ke dalam beg pesanannya dibalas.
-Thank you very much and have a good day at work.
Kelip-kelip Syifaa tengok pesanan dan tak semena-mena terbit senyum kecil dari bibirnya. Sesungguhnya tiba-tiba sahaja hati rasa ria.
Share this novel