PROLOG II

Drama Series 18121

Mei 2015
Coffee House KLIA

Mukhreez mengambil tempat berdekatan kaunter pembayaran di dalam sebuah Coffee House di KLIA. Sudah lama dia tiba namun hatinya masih berbelah bahagi. Kepala pula masih berfikir panjang. Antara mahu melangkah pulang ke villa keluarganya atau kembali semula ke Australia, tempat dia bertapa sekian lama. Jika ikutkan hati, masih berat rasanya hendak bertemu muka dengan seluruh ahli keluarganya terutama sekali sepupunya yang telah menggores luka yang amat mendalam di hati. Tetapi kepalanya yang waras menyuruhnya pulang kerana darah daging yang ada di tanah tumpah darahnya ini tidak boleh ditukar ganti.

Hatinya tak kuat.
Lalu, dia berlama-lama di kafe ini. Masih ingin mencari kekuatan. Majalah perniagaan yang diterbangkan jauh dari Australia dibuka untuk menghilangkan rasa bosan. Diselaknya helaian lalu dibaca sambil menunggu cappucino panasnya sampai. Apabila bosan matanya ditala ke pintu masuk Coffee House. Tiba-tiba bola matanya jatuh pada sesusuk tubuh yang terkial-kial di luar. Si gadis memandang ke dalam kafe. Seperti mencari seseorang. Tetapi tiada siapa pun di sini kecuali dia seorang. Akhirnya susuk berbaju muslimah itu melangkah masuk lalu menyendiri di meja sebelah dinding kaca. Tidak jauh darinya.

Entah kenapa matanya mahu terus memandang. Dia menilik wajah itu yang memandang telefon di tangan. Apabila gadis itu memanggung kepala jantung di dalam dada tiba-tiba saja berdetak kencang. Terus dilarikan wajah. Ada perasaan gelisah menyondol dadanya. Pantas kepala menekur ke bawah. Tangan tiba-tiba menggeletar. Tetapi hati masih mahu melihat. Apabila muka diangkat dia lihat wajah itu pegun memandang ke luar.

Cantik!
Betapa indahnya ciptaan Tuhan. Itulah yang terdetik di hati.

Betapa hati tak mampu menipu. Dia terpaku seketika. Wajah yang tidak dicat dengan apa-apa warna itu terserlah keasliannya. Nampak pandangan redup itu yang amat memukau. Tak sangka pandangannya tertangkap. Pantas dia tunduk menghirup Cappucino panas yang  baru dihantar.  Matanya buat-buat menatap majalah di atas  meja. Entah debar apa yang datang mencelah. Hati sungguh tidak tenang. Wajah ayu itu begitu menarik hati dan membuat dirinya penasaran.

Dengan berhati-hati dia melirik ke arah gadis tadi. Kelihatan si gadis termenung jauh. Pandangan itu sudah tembus sehingga ke luar dinding kaca. Jelas kelihatan deretan kapal terbang bersusun menanti giliran terbang ke awan biru. Dia memerhati lagi wajah ayu yang bertudung bawal itu. Tudung berwarna coklat muda itu amat kena dengan wajah itu yang putih kuning. 

Kepalanya berekspresi. Mata bundar gadis itu begitu kena dengan bentuk muka itu. Sekali tengok macam orang arab. Dua kali tengok seperti perempuan melayu terakhir. Kerdipan mata itu juga bisa menggoyahkan hati mana-mana lelaki. Pipi yang gebu dan bibir itu yang mungil membuatkan sesiapa saja akan memandangnya berkali-kali.  Amat menarik namun ada sesuatu yang kurang pada wajah itu saat ini. Tiada senyuman yang melatari wajah. Nampak sayu seperti sedang menanggung bebanan yang amat berat.

Dia kalah dengan wajah itu dan dadanya tak henti-henti menghasilkan irama yang tidak tersusun indah. Kenapa rasa begini tiba-tiba hadir. Seingatnya hanya sekali dia rasa begini. Itupun ketika sepupunya ada. Tetapi rentak yang menunjal dadanya ini membuat dia rasa sesuatu yang sukar untuk dia percaya. 

Sudah lima tahun hatinya kosong tanpa rasa. Rasa ingin menyayangi dan ingin melindungi sang gadis. Dia sendiri yang menegah hatinya agar tidak jatuh cinta buat kali kedua. Dia  nekad tidak akan lemah di kaki perempuan lagi. Namun rasa yang dulu dibenam ke dasar bumi seakan kembali melonjak keluar setelah melihat gadis itu. Langsung dadanya bergetar tak henti-henti. Ibarat baru pertama kali terjatuh cinta. 

Dia mendongak ke atas dan hatinya berbisik kata.

Jika benar ini petunjuk-Mu, Kau panjangkanlah pertemuan tak terduga ini.

***

Syifaa perasan lelaki yang duduk selang dua meja darinya asyik menjeling pandang ke arahnya. Terus hatinya risau kerana dia selalu berhalusinasi ada orang mengekorinya sehingga ke sini. Sudah lima tahun berlalu namun perasaan takut itu tetap ada. Serasa semua orang yang dia jumpa jahat-jahat belaka.

Dalam rasa takut dia kerling lagi lelaki tersebut tetapi tidak nampak pula lelaki itu memandangnya. Barangkali dia yang melebih-lebih. Kerana terlalu takut fikirannya mula menafsir bermacam-macam perkara yang tidak elok.

Mata tak lepas memandang keluar. Mencari kelibat Farah. Sudah berjanji untuk berjumpa di sini. Tempat yang sama waktu pertama kali gadis itu menghantarnya terbang ke Bumi Kenyalang. Namun kelibat gadis itu tidak kelihatan. Hati pantas tak keruan.

Saat mata memandang pintu masuk tiba-tiba sahaja lelaki yang melihatnya tadi mengukir senyum. Untuk apa dia tidak tahu. Lantas  dia larikan mata.

Tidak!
Dia tidak perlu membalas mesra pada orang yang dia tidak kenal.

“Syifaa!!!” 

Nama yang terlontar kuat di muka pintu kafe mengejutkan dirinya. Terus dia picingkan mata. Melihat susuk tubuh yang berlari masuk ke dalam bagai dikejar harimau bibirnya mula terlorek senyum indah.

Tetapi Farah tiba-tiba brek mengejutkan.
Gadis itu meniliknya dari atas sehingga ke bawah bagaikan melihat pari-pari dari kayangan.

Tentu saja Syifaa faham apa yang bermain di dalam fikiran gadis itu.

"Syifaa ke ni?” soal Farah tidak percaya. Langsung terkedu melihat tubuh yang berbungkus cantik. Tiada lagi lukisan warna menatari segenap wajah itu. Paling penting sehelai rambut pun tidak terlihat di matanya.

“Aku tak percayalah." Farah tepuk pipi berulang kali dan Syifaa pantas mendekat.  

“Ya. Ini aku.” Syifaa depakan tangan. Tetapi Farah masih tak percaya.

“Tapi… Syifaa yang aku kenal bukan macam ni.” Farah tergeleng-geleng musykil.

Pantas sahaja Syifaa hamburkan tawa kecil. Dia sudah mengagak. Tentu gadis itu tak percaya. Ketika zaman belajarnya dia hanya membungkus kepala jika hendak menghadiri majlis ceramah agama. Baju kurung pula membalut tubuh ketika menjalani praktikum di sekolah. Wajah juga selalu ditatarias kerana dia memang gilakan solekan. Kalau hari biasa pula dia selesa dengan seluar jeans dan rambut terlepas bebas.  

Namun semenjak nyawa orang yang mengajar dia apa itu cinta melayang pergi dirinya banyak bermuhasabah. Apatah lagi semenjak mengajar di Sibu dia banyak menghabiskan masa dengan Ustazah Dayang Hasanah. Wanita yang menjadi ibu angkatnya itu mengajar dia menjadi muslimah sejati. Lagipun dia sudah berjanji dengan arwah suaminya sebelum dia bernikah. Akan menutup aurat setelah sah menjadi isteri lelaki itu.

“Kau jangan bimbanglah. Pakaian dia je yang berubah. Muka dia tu duk macam tu lah. Jealous aku. Macam budak sekolah menengah.” Baizura yang muncul dari belakang mencelah dan Syifaa pantas raih rakan sebiliknya semasa di maktab. Dipeluknya erat. Tidak menyangka gadis itu juga sudi kemari untuk menjemputnya pulang.

“Kau tak nak peluk aku?” soal Syifaa pada Farah yang masih kejung tak berkelip. Dia depakan tangan menanti gadis itu bereaksi dan mata Farah pun berair. Sebak melihat perubahan Syifaa. Itulah yang selalu dia doakan. Mahu Syifaa benar-benar kotakan janji sendiri. Ternyata gadis itu tidak memungkirinya.

Lantas dipeluknya Syifaa ketat-ketat. 

“Jangan bimbang hati aku masih sama. Sayang kau orang semua dengan ikhlas.”

Farah angguk sebaik leraikan pelukan. Renung tajam mata Syifaa. Dalam jernihnya bola mata gadis itu ada rekahan kaca pilu yang dia seorang sahaja tahu. Dia berharap rekahan itu sudah bercantum dan Syifaa yang muncul di depannya ini sekuat karang di lautan. Tidak goyah dan tidak mudah lemah lagi.

“Aku tak menyusahkan kau ke datang jemput aku?” suasana sepi seketika mula berlalu pergi. Masing-masing menggelengkan kepala. Baizura sudah hempaskan punggung ke atas kerusi.

“Susah apanya. Hari ini kan hari Sabtu. Lagipun aku masih single. Kalau dah ada anak tentu aku tak boleh nak mengekor Farah lagi.”

Farah tergelak kecil. Namun matanya tak lepas memandang Syifaa. Nampak bola mata gadis itu terarah pada pintu masuk cafe.

“Kau cari siapa?” soal Farah dan kerling Baizura yang turut memandang ke luar. Nampak gadis itu bulatkan mata bertanyakan siapa  dan pastinya Farah tidak akan berbunyi. 

Syifaa tersedar. Dia masih terbawa-bawa dengan peristiwa lalu dan tak semena-mena air matanya merembes turun ke pipi. Tiba-tiba sahaja suasana ceria bertukar mendung. Farah tak tunggu lama pantas sahaja memeluk sahabat akrabnya sekali lagi.

“Kau dah janji dengan aku kan. Kau nak jadi perempuan kuat. Kau tak akan menangis lagi. Tapi… kita baru je jumpa kau dah tunjuk muka tak senonoh kau dekat aku,” omel Farah tidak suka dalam suara berbisik agar Baizura tidak menyedarinya. Gadis itu tidak boleh tahu.

“Maaf. Aku….”

Syifaa seka air mata dan Farah ketatkan pelukan. Mata melirik ke arah Baizura. Menghantar isyarat kepada gadis itu. 

“Jangan menangis. Kau ingat aku lupa ke?” 

Syifaa pantas kerutkan dahi. Serta-merta leraikan pelukan Farah.

“Lupa apa?” soalnya tidak faham. Farah jongketkan kening pada Baizura dan gadis itu bangkit lalu menuju ke kaunter cafe. Tak lama gadis itu mendekat dengan sepotong kek tanpa lilin.

“Apa ni?” soal Syifaa tidak sedar. Farah ketawa kecil.

“Tarikh lahir sendiri pun kau abaikan. Manalah aku tak geram,” omel Baizura sambil meletakkan piring ke atas meja.

Terus pecah tawa Syifaa. Tengok pula sepotong kek tahulah dia Farah memang mengenali dirinya.

“Selamat hari lahir Syifaa Hayati.” Pantas Farah kucup dua-dua belah pipi Syifaa dan diikuti oleh Baizura.

“Dari dulu sampai sekarang. Hal orang je dia nak menyibuk. Hal sendiri hampeh," omel Baizura dan  gelak Syifaa semakin kuat. Sudah hilang sopannya sebentar tadi. Jika keduanya ada bersama terserlah sikapnya yang periang. Segala kesedihan juga  hilang di bawa angin lalu.

“Terima kasih semua. Aku happy sangat. So, macam biasa kau habiskan kek tu.” Syifaa tolak piring berisi kek ke arah Farah. Seperti dulu-dulu Farahlah tukang habiskan makanan yang manis itu. Syifaa pula memang tidak menggemari kek.

“Selamatlah tuan punya badan. Maintain slim. Jadi, akulah tukang tambah kilo.”

Dan… gelak mereka memenuhi ruang cafe. Tanpa disedari ketiga-tiganya, lelaki yang konon-kononnya sedang sibuk membaca itu telah mencuri dengar perbualan mereka.

***

Mukhreez senyum.

Pandang jam tangannya.  Tarikh 28 Mei ini akan dia ingat sebagai kenangan yang cukup indah. Akan dia jadikan penyebab untuk dia kekal berada di bumi Malaysia bersama keluarga tercinta. Pertemuan tak terduga dengan gadis itu telah melembutkan hatinya. Serasa ini adalah petunjuk atas segala masalah yang membelit hatinya.

Dia hembus nafas lega.

Kerling sekilas gadis yang telah menambat hatinya. Terlihat bibir yang terlukis senyum itu pantas dikeluarkan buku lukisan yang selalu ada di dalam beg laptopnya. Sudah lama dia tinggalkan kepakaran. Gara-gara gadis itu, tangannya terasa gatal hendak kembali melukis.

Tanpa disedari si gadis dia mula menjalankan misinya. Melukis dengan cara mencuri pandang. Apabila tertangkap dia hanya berikan senyuman. Buku lukisan sengaja disembunyikan di balik majalah. Biar rahsia kekal rahsia.

Sekejap sahaja lakaran wajah itu terbentuk sempurna. Hanya sekadar menggunakan pensel 2B tetapi hasilnya buat diri sendiri terpaku. 

Di bawah lukisan dia catatkan nama pemilik wajah yang telah didengarnya sebentar tadi.  Tarikh hari ini juga tak lupa ditulis.

“Maaf, encik. Boleh tolong ambil gambar kami.” Tiba-tiba seorang gadis muncul meminta pertolongan. Terus dia tindan buku lukisan dengan majalah. Beri senyuman dan terima telefon yang dihulur gadis itu. Tak sangka mereka meminta tolong daripadanya.

Dengan rasa teruja dia berdiri di hadapan ketiga-tiga gadis yang siap menunggu. Melihat gadis yang  bernama Syifaa itu terlentok manja di bahu kawannya jantung lelakinya hampir luruh. Mujurlah sempat dia sambar. Letak balik dalam sarangnya. Malah siap diberi amaran agar jangan menggatal. 

“Okay. Ready!" ucapnya bersahaja. Walhal tangannya menggeletar saat menekan punat kamera telefon. Dua tiga kali gambar dirakam dan hati cukup puas dapat menilik gadis itu melalui kamera.

Telefon bertukar tangan. Ucapan terima kasih dibalas anggukan. Namun hati memaksa menyapa dan beramah mesra. Tetapi dia tak yakin.

Lantas dia kembali duduk. Menatap lukisan yang belum siap sepenuhnya. Dalam hati terdetik. Gadis secantik itu mustahil tiada pasangan. Lalu dia kemaskan lukisan tadi. Cuba bertenang. Sedar tak sedar masa berlalu begitu saja. Sebaik memandang semula ke meja tadi si gadis dan rakan-rakannya telah berlalu pergi.

Pantas dia kemas barangnya lalu tergesa-gesa keluar dari kafe. Kaki sepantas kilat berlari ke aras bawah. Firasat mengatakan gadis itu mungkin berada di pintu masuk utama KLIA.

Lelah mencari. Hampa pun menghambat jiwa. Gadis tadi tak berjaya ditemui lalu dia hempaskan rasa di atas kerusi. Tetapi mata masih melilau ke segenap ruang. Masih berharap adanya pertemuan dan akhirnya dia lega. Kelihatan gadis itu menapak ke sebuah kereta di seberang jalan. Bunga senyum baru berkembang tetapi terus layu apabila melihat gadis itu memeluk erat seorang lelaki muda yang keluar dari perut kereta.

Sungguh dia kecewa dan segala rasa kesal menyerang hatinya.

Tiada lagi harapan dan dia gagal meneruskan pertemuan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience