Villa Dato’ Zainal Ariff
Datin Seri Raihanah terkejut. Baru saja menghidangkan minum petang di laman rumah dia tersentak dengan kemunculan anak bongsunya. Tergesa-gesa keluar dari perut kereta menuju ke laman dan beg sekolah di lempar ke atas rumput karpet begitu sahaja. Punggung pula terus dihempas ke atas kerusi dengan muka cemberut menahan marah.
“Kenapa ni. Nak marah siapa sampai baling beg macam tu sekali,” soalnya sambil mengangkat beg lalu diletakkan ke atas kerusi.
“Marah dekat semua orang yang dah sakitkan hati adik.”
Terus kepala Datin Seri Raihanah tergeleng-geleng. Melihat wajah anak bongsunya yang merah dia yang rasa terguris. Bola mata gadis itu yang tajam menikam hidangan di atas meja juga cukup untuk membawa kesal dalam hatinya. Aiza Munirah semakin hari semakin memeningkan kepalanya.
“Siapa yang dah sakitkan adik? Cakap dengan mummy,” soal Datin Seri Raihanah mahu tahu.
“Cikgu tulah. Dia sengaja cari pasal dengan adik.” Aiza Munirah lepaskan rasa.
“Cikgu tu. Cikgu mana?” soal Datin Seri Raihanah pelik. Dia tidak tahu apa apapun perihal sekolah anaknya. Lagipun Aiza Munirah yang protes tak akan ambil periksa jika salasilah diri digembur rata.
“Dia dah rampas telefon adik.”
Terus kepala Datin Seri Raihanah berpusing pening. Patutlah.
“Kan mummy dah pesan jangan bawa phone ke sekolah. Cikgu mana yang tak marah kalau adik dah langgar peraturan sekolah. Lagipun sekolah ini bukan sekolah swasta macam dulu. Ini sekolah kerajaan dik. Kenapalah adik buat hal pulak,” omel Datin Seri Raihanah kesal.
“Mummy apa tahu. Mummy ingat seronok ke duduk dalam kelas baru. Masing-masing pandang adik macam adik ni alien. Dari dengar hinaan orang baik adik sumbat telinga adik dengan earphone. Dengar lagu lagi baik.”
Astaghfirullah al azim.
Tak sangka langsung perangai anak bongsunya berubah keras dan degil begini. Dia tidak faham. Apa yang sudah merasuk anak daranya sehingga tak beradab langsung.
“Dah adik yang nak sangat kan. Elok-elok belajar kat sekolah swasta tiba-tiba je nak tukar. Padahal result adik elok je,” leter wanita itu lagi.
Aiza Munirah terdiam. Ketap bibirnya kuat bagaikan mulutnya sudah membuat salah besar.
“Tak boleh ke jangan pandang orang macam orang ni jahat sangat. Padahal adik tak buat salah apa pun. Dia orang ingat adik ni apa.”
“Siapa yang cakap pasal adik tu.”
“Classmate adiklah. Cakap adik sombonglah, perasan cantiklah.”
Datin Seri Raihanah tunjuk muka tak percaya. Seingatnya, ketika Aiza Munirah belajar di sekolah lama tidak ada cerita begini. Dia tidak mahu percaya dengan cerita anaknya. Musykil pula dengan penjelasan Aiza.
“Kalau mummy nak tahu, tak sampai seminggu sekolah adik dah popular. Mummy ingat adik nak sangat ke.”
“Eloklah popular. Boleh abang long tumpang sekaki.”
Entah bila abang sulongnya itu muncul. Terus saja Aiza Munirah bangkit. Beri muncung sedepa. Malah siap menjeling lagi.
“Eh, nak pergi mana?” Wanita itu mencelah.
“Masuk bilik tidur. Dah lah tengah berapi. Kan tak pasal-pasal terbakar pulak rumah ni," luah Aiza Munirah geram. Tidak suka dengan kemunculan abangnya.
“Lah, popular pun tak nak. Isk, peliklah adik ni! Ke adik ada peminat misteri. Itu yang Marsh sangat tu,” sakat Mukhreez dan membuat amarah Aiza makin tumbuh lalu dirempuh lelaki itu dan berlari masuk ke dalam rumah membawa amarahnya yang tak sudah.
Mata Datin Sri Raihanah bergenang. Dia perasan perangai Aiza Munirah benar-benar lain. Apatah lagi setelah kepulangan Mukhreez ke sini.
“Mummy jangan risau. Malam karang okaylah tu," pujuk Mukhreez. Dalam masa yang sama memujuk hati sendiri dengan perlakuan Aiza Munirah. Bukan dia tidak tahu. Sikap adiknya itu ada kena mengena dengan kehilangannya. Gadis itu memberontak di atas kegagalannya menjadi abang yang baik.
“Mana mummy tak bimbang, Reez. Tahun ni dia dah final exam. Kalau adik tak dapat jawab periksa macam mana?” soal Datin Seri Raihanah bimbang.
“Tak adalah mummy. Bukan ke mummy cakap keputusan adik sebelum ini cemerlang.”
Datin Seri Raihanah mengangguk. Wajahnya yang risau sudah berubah riak. Kali ini ada soalan di wajah yang mulai keluar dari mulut.
“Mungkin dia tak serasi dengan sekolah baru?"
Mukhreez menggeleng.
“Tak kut. Kan dia sendiri yang nak pindah sekolah.”
Pantas Datin Seri Raihanah angguk.
Melihat ibunya yang sudah nampak lega Mukhreez hempaskan punggung ke atas kerusi dan menoleh ke belakang seketika. Kelibat Aiza nyata sudah tiada.
“Nanti Reez cuba korek rahsia adik," janji Mukhreez dengan harapan wanita itu tidak akan risau dan syak yang bukan-bukan lagi.
Namun Datin Seri Raihanah memandangnya pelik. Dia ukir senyum walaupun dia sendiri tahu senyumannya tidak dapat meyakinkan wanita itu.
“Adik tak akan luahkan masalah dia pada sesiapa pun. Reez lagilah," luah wanita itu kesal dan terus Mukhreez rasa jalannya jadi sukar.
Tetapi dia tak akan mengalah.
“Reez, abang dia mummy. Reez yakin, suatu masa nanti dia akan kembali mengharapkan Reez untuk menjaga dia macam dulu. Sama macam sebelum Reez tinggalkan dia.”
Ada air jernih yang bertakung di tubir mata Datin Seri Raihanah saat kata-kata itu menyentuh gegendang telinga. Wanita itu selalu mendoakan Aiza kembali menerima abangnya. Dia tidak mahu hubungan yang berantakan itu akan berterusan sehingga dia menutup mata.
“Dah. Makan kuih tu dulu. Menangis kuih tu sebab asyik dengar kita bercakap je," suruh Datin Seri Raihanah dalam lawak yang tak berapa menjadi namun tetap menerbitkan senyum lucu dari mulut Mukhreez.
Hati berasa kesal namun akal tetap mencari cara untuk mengembalikan adiknya yang dulu. Hati nekad.
Dalam berfikir tangan mengambil sepotong roti jala lalu cicah dengan kuah kari. Baru hendak disuap ke mulut Aiza Munirah melintasinya tergesa-gesa.
“Eh, adik nak pergi mana?” soalnya risau apabila melihat gadis itu kelam-kabut melangkah ke garaj kereta. Pakaian sudah berubah. Dari uniform sekolah terus santai dengan seluar jeans dan tshirt putih. Tak tenteram melihat sikap gopoh adiknya lantas tarik kaki mengekori. Datin Seri Raihanah pun ikut sama.
“Tak payah nak ambil tahu. Jangan nak menyibuk boleh tak." Kasar nada suara Aiza ketika Mukhreez mengekori dari belakang. Dia langsung terpempan tidak percaya dengan perangai adiknya itu. Lagilah hati seorang ibu pula.
“Adik, kenapa cakap macam tu?” marah Datin Seri Raihanah. Geram sungguh dengan perangai anak bongsunya. Aiza pula pantas menjeling abangnya tajam.
“Selama ini pun mana dia ambil tahu pasal adik dia. Dia hanya tahu jaga hati dia sendiri je kan.” Memang tidak berlapik kata-kata Aiza sehingga menggugurkan air mata Datin Seri Raihanah. Benarlah anak bongsunya sudah jauh berubah.
"Adik… jangan macam ni," pujuk wanita itu namun Aiza tidak mengendah. Terus sahaja membuka pintu kereta namun dihalang Mukhreez. Apa saja ayat yang keluar dari mulut si adik dia kena terima saja.
“Adik nak kena saman ke? Adik bukannya ada lesen lagi.” Mukhreez menghalang dan Aiza tetap begitu. Keras kepala.
“Tak kisahlah. Kalau kena saman pun paling kurang bayar duit je pun.” Kasar bunyinya dan Mukhreez rasa tercabar. Sesekali Aiza perlu diajar.
“Jangan nak lawan peraturan.” Suara Mukhreez sedikit keras.
“Lantaklah. Abang long tak payah nak kisah sangatlah.” Makin tinggi suara Aiza terlontar keluar.
“Adikkk!!!”
Datin Seri Raihanah pun tinggikan suara. Mukhreez memandang kesal. Dia tidak akan menggunakan kekerasan kerana hati adiknya pasti akan makin keras. Nafas dihela panjang.
“Aiza Munirah adalah adik abang. Darah daging yang tak boleh ditukar ganti. Sampai bila-bila pun abang long akan ambil kisah pasal adik abang sendiri.”
Dan tak semena-mena Aiza menghempas pintu kereta dengan kuat.
“Kalau dulu abang long tak pergi tinggalkan adik, adik tentu tak akan jadi macam ni. Hati ni sakit sangat, tahu tak. Abang cakap abang sayangkan adik sampai mati tapi abang tetap pergi juga. Jadi... kenapa abang nak ambil kisah lagi. Biarlah adik nak jadi apa pun. Kalau mati lagi elok. Tak perlu nak menyusahkan semua orang.”
“Aiza!” Kuat suara Datin Seri Raihanah terlontar keluar bersama air mata yang bercucuran jatuh ke pipi. Hati wanita itu tersiat pedih dengan kelakuan Aiza yang benar-benar berubah. Di pihak Mukhreez pula dia mengepal penumbuk menahan rasa sakit di dalam dada. Malah kekesalan yang datang bertindih sejak dia kembali ke villa ini mengejek dirinya. Betapa dia gagal menjadi penjaga adiknya sebagaimana janji yang ditaburkan kepada gadis itu.
Namun, dalam rasa pedih dia tetap menjalankan tugasnya sebagai abang.
“Adik nak pergi mana sebenarnya. Biar abang long hantarkan.”
Aiza naik geram. Tak semena-mena menjerit kuat.
“Sudahlah.” Dengan kuat dipukulnya badan kereta lalu berlari masuk ke dalam rumah semula. Mukhreez menghembus nafas kesal sekali lagi. Pandang ibunya yang masih basah dengan air mata.
Ah, bilakah semua ini akan berakhir!?
Hai, SEPUTIH MAWAR dah kembali. Doakan sampai jumpa perkataan TAMAT ya.
Share this novel