Usai bersarapan, adik-adiknya mengikut abang mereka ke kebun di belakang rumah. Syifaa pula nak bermain-main dengan Dhia namun si kecil itu merengek pula. Lalu dia ambil peluang membersihkan ruang tamu dan menyusun atur semula perabot. Sedar tak sedar jam sudah berganjak ke angka 11 pagi. Lalu dia kembali ke bilik untuk mandi. Melihat ada pesanan terus dibuka dan dibaca.
- Aiza dah selamat.
- Doakan adik saya cepat sembuh.
Syifaa ukir senyum sebaik membaca pesanan yang sampai. Tak tunggu lama terus dibalas.
- Insyaallah. Amin.
Lega mendengar keadaan gadis itu lalu hatinya amat berharap sikap Aiza juga akan berubah selepas ini. Ukir senyum dan pandang jeling biliknya.
Tak jadi hendak membersihkan diri dia kemaskan pula biliknya. Almari pakaian dibuka. Satu persatu baju kurung moden yang sudah lama tidak dipakainya dikeluarkan. Baju-baju yang berlipat pula dikemaskan semula.
Tiba-tiba matanya terpandang tshirt merah tua berjalur hitam di bawah lengan dan juga kolar. Bagaikan ada suara yang menyuruh pantas tangannya menarik baju kemeja tersebut. Serta merta air matanya jatuh berguguran. Masih ada lagi kenangan bersama arwah yang tidak habis dilupuskan.
Tshirt itu dibawa ke katil. Diciumnya lama bersama linangan airmata.
“Abang!” ucapnya sayu dan ingatan terhadap arwah muncul kembali. Hati menjerit sakit. Kenapa terlalu sukar hendak memadamkan ingatan pada lelaki itu. Sungguh dia tidak tahu.
‘Abang dah lukakan hati Syifaa pada hari pertama kita nikah. Tapi sekuat mana Syifaa cuba untuk bencikan abang, Syifaa tetap tak mampu. Tolonglah, abang! Pergi jauh dari Syifaa. Syifaa nak hidup dengan tenang.’ Halau hatinya.
Lalu dengan berat hati dia masukkan kemeja tersebut ke dalam plastik sampah.
Hilang semangatnya hendak membersihkan almari pakaiannya. Bimbang kiranya akan terjumpa barang-barang pemberian arwah yang lain pula. Dia tidak mahu mengingati kenangan lama yang hampir membunuh jiwanya lantas dia ke katil lalu berbaring sambil menatap ceiling.
Wajah arwah suaminya yang tersenyum manis menggamit hatinya. Satu persatu kenangan yang tak mahu diingat tiba-tiba muncul semula.
Share this novel