Surau Al Falah
Jam sudahpun bergerak ke angka 2.00 petang. Namun, solat zuhur belum ditunaikan lagi. Selepas ini dia ada mesyuarat ajk kelab bola jaring pula. Lepas tu nak ke bandar sekejap. Nak cari buku rujukan. Pening apabila memikirkan kerja yang tak sudah-sudah. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk solat zuhur di surau sekolah sahaja. Dekat dengan padang. Senang hendak berjumpa dengan ahli kelab bola jaring.
Dia ke surau dan ketika itu semua pelajar tingkatan lima sudah kembali ke kelas masing-masing. Tiada siapapun di dalam. Perlahan-lahan dia masuk ke dalam. Ditinggalkan telekung solat di ruang solat lantas melangkah ke bilik wuduk untuk menyempurnakan wuduk terlebih dahulu. Selesai berwuduk dia kembali ke ruangan solat. Matanya tiba-tiba menangkap kelibat seseorang di dalam bilik persalinan. Kelihatan kepala itu terangguk-angguk mengikut rentak muzik dari telefon. Telinga gadis itu pula di sumbat dengan earphones.
Hati Syifaa mendidih tiba-tiba.
“Aiza!!!”
Suaranya sedikit kuat. Mujurlah tiada pelajar lain ketika ini. Terus dia tegak berdiri di hadapan gadis itu.
“Kat sini rupanya awak bertapa. Kenapa hari ni langsung tak masuk kelas?" soalnya geram. Tiba-tiba saja dia beremosi.
“Aiza… awak dengar tak apa yang cikgu cakap?” Oktaf suaranya bertambah. Namun gadis itu masih berada di dalam dunianya. Dengan hati bengkak dia memanggil kuat.
“Aiza!!!”
Terkulat-kulat gadis itu memandang ke arahnya. Dengan muka selamba gadis itu tarik earphones dari telinga. Kepala di dongak.
“Cikgu cakap denggan saya ke? Tak dengar pun.”
Syifaa tersentak.
Ya Allah, budak ni. Kalau tak sedar diri tadi mahunya gadis itu dipelempang. Tapi dia bukanlah sejenis yang akan tampar anak orang suka-suka hati. Penat dia bercakap rupa-rupanya Aiza Munirah tidak dengar. Dia pula geram sangat itu yang main hambur saja. Lupa yang telinga gadis itu disumbat dengan benda lain. Dia menarik nafas panjang. Beristighfar dalam hatinya agar masalah di hadapannya ini dapat diatasi dengan tenang.
Syifaa labuhkan punggung di depan gadis itu dan Aiza pula memasang kembali earphone ke telinga.
“Aiza ada masalah ke? Boleh cikgu tahu?” soal Syifaa mula berlembut apabila menyedari kesilapannya sebentar tadi. Tidak sepatutnya dia berkeras walaupun tidak didengari gadis itu.
Aiza tiba-tiba membalas dengan pandangan tajam.
“None of your business.” sinis kata-kata terluah keluar.
Syifaa tersentak. Sepanjang mengajar belum lagi terdengar suara m keras gadis itu dalam bahasa asing.
“Ikutkan hati, cikgu tak nak menyibuk tetapi kalau cikgu tak menyibuk Aiza akan gagal dalam pelajaran. Aiza cerdik orangnya. Sayang kalau anugerah yang Tuhan bagi tak seiring dengan sikap dan perangai.”
Terus Aiza tanggalkan earphone. Matanya tajam memanah mata cikgu di depannya.
“Tolonglah cikgu. Boleh tak cikgu jangan nak ambil kisah hal saya. Saya nak jadi apa pun cikgu jangan peduli.”
Syifaa hembus nafas begitu berat. Sabar Syifaa. Sabar. Dipujuk diri sendiri.
“Belum habis lagi bulan satu ni tapi dah macam-macam cerita yang cikgu dengar fasal awak. Tapi cikgu tak peduli sebab cikgu tahu awak buat hal sebab awak ada masalah kan? Jadi, kalau awak rasa nak kongsi dengan cikgu bila-bila masa saja cikgu sudi dengar.”
Tak semena-mena gadis itu bangkit. Terkejut Syifaa melihat muka merah itu.
“Jangan menyibuk boleh tak.” Habis berkata gadis itu terus berlalu pergi. Syifaa menarik nafas panjang. Baru hari ini dia berasa susahnya hendak melembutkan hati yang sudah keras. Namun hatinya tetap berdoa semoga suatu hari nanti seketul hati Aiza Munirah akan lembut juga akhirnya.
“Eh, apahal kau duduk bertafakur macam tu. Pelik aku tengok.” tiba-tiba suara Farah bergema di dalam surau. Syifaa tersentak. Dia berpaling dan melihat wajah Farah yang dibasahi air sembahyang. Nampaknya gadis itu juga hendak menunaikan solat zohor.
“Kau tak balik lagi?” soalan berbalas soalan.
“Ada mesyuarat kelab pula. On the spot macam nilah buat hati rasa geram. Aku baru nak membuta kat rumah alih-alih tak boleh balik pulak. Kena solat dulu baru hati rasa tenang.
Syifaa senyum. Kawannya yang seorang ini memang kaki tidur. Anak dara apa macam ni. Dahlah esok lusa akan bergelar isteri orang. Masih tak berubah sikapnya.
Syifaa senyum panjang.
“Aku bagi kau soalan tapi kau senyum je. Kenapa dengan kau. Masalah bertambah ke?” soal Farah lagi sambil tangannya ligat memakai telekung sembahyang.
“Masalah sama tapi kali ini lain sikit.”
“Aiza Munirah ke?”
Syifaa angguk.
“Kenapa?”
Syifaa hembus nafas dengan lemah. Bangkit berdiri lalu tarik beg telekung solat. Keluarkan kain berwarna putih itu lalu dipakainya.
“Dah banyak kali dia ponteng kelas. Hari ini lagilah. Dari pagi lagi tak masuk kelas. Terjumpa pula dia kat sini.”
“Kau tak tanya apa masalah dia?”
“Dah, tapi dia jawab none of your business.”
“Amboi mulut. Boleh tahan.” Farah mendengus.
“Cuba call penjaga dia. Tanya apa masalah dia. Tahun ni kan dia nak exam besar. Tak capai target sekolah teruk kau nanti Syifaa," usul Farah pula. Syifaa terdiam seketika. Otaknya cuba mengingati sesuatu.
“Aku tak ada nombor penjaga dia. Kat dalam APDM pun kosong. Aku musykil betul. Macam mana tak ada ya.”
Farah mengerutkan dahinya.
“Dia dari sekolah swasta. Aku pun tak faham sangat dengan cara pihak sekolah sana update maklumat. Nampak gayanya kau kena usaha lebih. Aku tahu kau boleh buat.”
Farah tiba-tiba memeluknya dari belakang. Pantas Syifaa sunggingkan senyum.
“Kau doakan aku kuat ya Farah.”
“Insyaallah , kau akan kuat. Kalau kau tak kuat mana mungkin kau boleh duduk dekat Sarawak enam tahun lamanya. Jauh dari keluarga kau pula tu.”
Hati Syifaa sebak tiba-tiba. Apabila Farah menyebut tentang keluarga rasa kesal mula datang bertimpa-timpa. Sudah enam tahun dia tidak pulang ke pangkuan keluarganya. Apakah umi dan abi akan menerimanya atau mungkinkah dia akan berkelana sekali lagi.
“Dah, dah. Solat dulu.” Farah leraikan pelukan lalu hampar sejadah.
“Lepas habis kerja, kita pergi A&W nak. tekak aku teringin nak minum coke float pulak," ajak Farah dan Syifaa angguk setuju.
Farah mula menunaikan kewajipan nan satu. Syifaa di sebelah pula lempar senyum. Perlahan-lahan angkat takbir dan menyempurnakan rakaat sehingga selesai. Usai solat dia berteleku lama di atas sejadah. Mendoakan kedua orang tuanya. Memohon daripada Tuhan agar melembutkan hati mereka. Malah dia turut selitkan nama Aiza Munirah. Berharap gadis itu akan berubah juga suatu hari nanti.
*****
Restoran A&W
Aiza Munirah melangkah lemah di kaki lima bangunan kedai di tengah bandar. Dia tidak masuk ke kelas tambahan sebaliknya ke perpustakaan. Usai mengulangkaji di situ dia melangkah mengikut gerak hatinya. Setelah penat berjalan dia hentikan langkah dan tujukan mata pada bangunan syarikat milik orang tuanya. Bukan daddy yang ada dalam kepala tetapi nama abang sulongnya yang meniti garis halus memorinya. Tiba-tiba juraian air mata menerjah pipi. Sakitnya mengenangkan diri sudah tidak seperti dulu.
Dia tunjukkan perangai kasarnya. Malah dia tunjuk egonya. Namun sikapnya yang tak seiring dengan hati buat dia pedih. Buat dia merana. Di mana saja dia berada dia teringat perbuatan sendiri. Segala kekurangan terpampang satu demi satu dan dia pusingkan badan lalu menyusup di celah-celah orang ramai mencari tempat yang boleh mengurangkan perasaan bercelaru saat ini.
Akhirnya dia berhenti di sebuah restoren makanan segera. Memesan satu set makanan yang mengandungi coke float, kentang goreng dan burger. Apabila selesai dia bawa dulang makanan dan duduk di ruang yang terselindung daripada pelanggan lain. Mata pandang ke luar. Hanya nampak kelibat manusia yang sibuk dengan urusan masing-masing. Dia tidak mahu habiskan masa begitu saja. Sambil menyusup minuman sejuk itu dia keluarkan buku nota. Inilah caranya. Menelaah di tempat begini padahal dia tahu sekolah lagi sesuai untuk mengulangkaji pelajaran. Tetapi jika di kelas kepalanya serabut melihat gelagat rakan-rakan lalu dia lebih suka habiskan masa di sini.
Dia tidak sedar. Susuk tubuhnya menjadi tumpuan dua pasang mata.
“Bukan Aiza ke tu?” teka Farah saat mereka mencari meja kosong. Syifaa mengangguk risau. Dia bimbang pertemuan tak terduga ini membawa kepada pertengkaran. Jika pertengkaran kecil dia tidak kisah. Kalau berlakunya perang besar alangkah malunya diri. Sebagai seorang guru dia tidak bisa menangani anak murid yang keras kepala. Tentu semua mata yang memandang akan menyalahkannya.
Hati gugup. Dia benar-benar bimbang.
“Aku pesan makanan. Kau pergilah jenguk dia. Mana tahu hati dia dah lembut,” suruh Farah dan Syifaa bersetuju. Perlahan-lahan dia mendekati pelajarnya.
“Tak sangka Aiza suka study kat sini," sapa Syifaa dan dia tidak menduga gadis itu menelaah pelajaran sendiri. Walaupun suka ponteng kelas ada cara yang buat Syifaa yakin Aiza Munirah bijaknya bukan pada kehadiran semata-mata.
Aiza pula tak jadi hendak mengigit burger di tangan. Hatinya mendidih panas melihat kelibat guru muda yang sering menjaga tepi kainnya sejak dua tiga minggu ini. Dia benar-benar tidak suka guru itu masuk campur hal peribadinya.
“Cikgu ni macam tikus kan. Pandai betul cari makanan.”
Terlontar tawa kecil Syifaa. Terhibur dengan kata-kata gadis itu dia hempas punggung dengan menunjukkan wajah mesra.
“Tak kena tu Aiza. Bukankah cikgu macam tweety. Kan kawan-kawan kelas Aiza panggil cikgu Miss Sweety Tweety. Janganlah Aiza nak ganti cikgu dengan gelaran lain pula.”
Sengaja.
Sungguh dia sengaja memanjangkan kata. Dia mahu menyelami hati gadis itu. Namun wajah garang yang terpamer buat hati Syifaa terpalut risau.
Aiza Munirah tutup buku nota begitu kuat. Dengan kasar masukkan ke dalam beg sandang lalu berdiri tegak.
“Makanan tu tak habis lagi. Takkan Aiza dah nak pergi.” Halang Syifaa dan Aiza tidak menjawab. Hilang seleranya dengan kemunculan guru muda itu.
“Dari rasa lapar terus rasa kenyang. Cikgu memang suka jaga tepi kain orang ke? Kalau macam tu baik cikgu jadi wartawan.”
Syifaa menggeleng lucu.
“Kerja ni memang cikgu suka. Tak ada pula hajat nak tukar kerja lain.”
Tak suka dengan cara cikgu itu. Pantas Aiza Munirah angkat kaki mahu melangkah namun perut yang memulas tiba-tiba menghentikan niatnya.
Sakit. Sungguh sakit. Sudah lama dia tidak rasa sakit begini. Tangan mula mencengkam perut sendiri.
“Kenapa Aiza?” soal Syifaa risau. Dia bangkit dan melangkah menghadap gadis itu. Bahu Aiza di sentuh namun pantas pula ditepis.
“Jangan nak ambil berat sangat. Aku tak suka.”
Wajah cemberut Aiza Munirah benar-benar merisaukan hati Syifaa. Nasib baik Farah muncul.
“Kenapa?” soal gadis itu kalut. Dulang di tangan di letakkan ke atas meja.
“Cikgu bawa Aiza pergi hospital,” pujuk Syifaa namun wajah merah gadis itu sudah menjawab bagi pihak mulutnya.
Aiza mula melangkah keluar dan Syifaa tidak pantas membiarkan gadis itu yang nampaknya bukan buat-buat sakit.
“Bungkuslah Farah. Aku dah tak ada selera nak makan,” arah Syifaa lantas melangkah keluar dari restoren.
Terkebil-kebil Farah dengan arahan Syifaa namun dia menurut juga. Dengan kelam-kabut dia ke kaunter semula. Mujurlah tiada pelanggan lain. Jika tidak jenuh hendak beratur. Sementara di luar Syifaa mengekori langkah Aiza Munirah yang kelihatan lemah tak bertenaga. Melihat gadis itu yang hampir jatuh dia melangkah lagi luas lalu menarik lengan Aiza Munirah.
“Sakit!” rintih gadis itu dan tentulah hati seorang Syifaa tak mampu menahan rasa.
“Sabar Aiza!" pujuk Syifaa kasihan dan tak semena-mena pelajarnya itu melurut jatuh.
Aiza pengsan.
Share this novel