Wad Hospital Salam
Syifaa mundar-mandir di hadapan bilik rawatan. Cukup tak sabar menunggu doktor selesaikan rawatan. Farah yang menunggu di bangku pula menggeleng tak faham. Perangai Syifa dah tak ubah seperti ibu ayam yang kehilangan anak.
“Macam mana dengan Aiza. Risau betullah,” keluh Syifaa lantas hempaskan punggung di sebelah Farah.
“Kau rilkes okay. Aku pula yang naik seram tengok kau. Dah mengalahkan emak-emak,” omel Farah namun Syifaa buat tidak tahu. Fikirannya ligat mengingati saudara terdekat gadis itu yang harus dihubungi. Antara mahu menghubungi atau tidak. Teringatkan suara abang gadis itu terus perutnya kecut. Tak sanggup dimarahi lagi.
Namun mata tak lepas memandang beg sandang Aiza yang dipegangnya. Dalam hati berkira-kira hendak mengambil telefon di dalam tetapi hati tak kuat.
Farah yang menyedari kelakuan Syifaa pantas berbunyi. “Kau ni kan, benda urgent macam ni takkan nak tangguh. Kan abang dia dah pesan suruh cepat-cepat call.” ujar Farah gelisah. Gelisah dengan sikap Syifaa.
“Aku takutlah.” Tiba-tiba saja tangan Syifaa menggeletar.
Farah menghembus nafas kesal seraya menggelengl. Melihat keadaan Syifaa dia simpati. Semenjak kejadian lalu Syifaa begitu takutkan lelaki. Sebab itulah sampai sekarang dia tidak berani hendak dekat dengan mana-mana lelaki. Apatah lagi jika ada lelaki yang hendak mengurat, gadis itu akan buat muka risau dan kelat..
Hendak tak hendak terpaksalah Farah yang menyeluk beg sandang Aiza Munirah. Keluarkan iphone gadis itu lalu hulurkan kepada Syifaa.
"Kita nak inform je kan. Aku tak rasa kau akan kena jerkah lagi. Aku dah jelaskan pada mamat tu. Takkan dia nak buat hal kut. Entah-entah orang kat sana tu cair dengar suara kau. Terus jadi bisu."
Syifaa jegilkan mata kemudian bagi sepit ketam dekat lengan Farah. Pandai nak mengusik. Terus Farah mengaduh sakit dan ketika itu doktor sudah keluar.
“Cikgu, patient kena operate dengan segera. Bimbang apendiks akan pecah dan membahayakan nyawa patient.”
Terus Syifaa telan liurnya keras. Buntang matanya mendengar berita tentang kematian dan dadanya terus sesak. Sendinya turut lemah mendengar perkataan itu.
“Harap cikgu dapat hubungi saudara terdekat patient dengan segera untuk kami bincang dengan lebih lanjut. Jangan jadi macam hari tu. Patient mengamuk nak balik.”
Hilang lemah Syifaa berganti dengan rasa terkejut.
Patutlah bila dia datang nak menjenguk Aiza hari tu tak dapat. Rupa-rupanya gadis itu sudah lari balik awal. Hati pun kesal. Susah benar hendak melentur sikap gadis iitu. Nak berkawan lagilah susah. Harus bagaimana dia hendak membentuk sikap gadis itu.
Farah di sebelah menyiku lengan Syifaa. Mamatikan lamunan sahabatnya yang jauh entah ke mana. Farah tolong mengangguk. Berjanji akan segera memaklumkan hal ini kepada keluarga Aiza. Lagipun mereka diberi masa sehingga petang ini sahaja. Dalam kepala Farah pula hanya ada satu cara. Terus dia ke katil dan tarik jari telunjuk Aiza. Gadis itu yang terlena setelah dirawat tidak menyedari jarinya sudah melekap di belakang Iphone dan sekejap sahaja telefon itu hidup. Pantas Farah tatal layar skrin mencari buku panduan telefon. Berjumpa sahaja dengan nama abang long dia unjukkan telefon kepada Syifaa.
“Ambil nombor ni. Simpan dalam telefon kau. Kalau jadi apa-apa kau tuju dekat nombor ni.”
Syifaa menggeleng tak mahu.
“Aiza tak bagi. Kalau dia tahu aku dah skodeng hak peribadi dia macam mana?”
Rasa nak hempuk kepala Syifaa. Tiba-tiba saja Syifaa jadi penakut sekali. Tidak macam dulu. Liar dan petah menjawab.
“Aku gerenti dia tak akan tahu. Itupun kalau kau tak buka mulut.”
Syifaa tarik nafas panjang.
“Lagipun kau perlukan nombor ni sebab kau nak isi maklumat dia. Bulan tiga dah nak kena hantar maklumat calon SPM kan. Kau nak penyelaras maki kau. Kau tahulah Kak Wahidah tu macam mana kan.”
Kelip-kelip Syifaa memandang. Cakap Farah semuanya betul. Dia tak perlu takut dan dia berhak memilik untuk kebaikan anak didiknya juga. Lalu dengan tangan terketar-ketar dia menyimpan nombor telefon yang ditunjukkan Farah.
“Kau call abang dia sekarang. Tapi… aku tinggal kau kejap. Aku nak ke cafe. Perut aku lapar. Kau nak apa-apa tak?”
Syifaa menggeleng tak mahu. Dalam keadaan begini dia tidak berselera hendak menjamah sebarang makanan.
“Dah, cepatlah call,” arah Farah lantas hulurkan telefon Aiza. menyuruh Syifaa memasukkan kembali ke dalam beg sandang gadis itu. Kemudian Farah melangkah keluar. Sementara Syifaa pula masih berkira-kira. Tiba-tiba….
“Air… air.” Kedengaran suara Aiza Munirah yang lemah. Merayu meminta minuman. Fikiran Syifaa terus kembali ke alam sedar. Tangannya pantas menyimpan telefon sendiri ke dalam handbag tanpa menyedari telefon gadis itu masih ada di tangannya.
Dalam keadaan lemah amarah Aiza meruap keluar.
“Kau ambil telefon aku." Kasar bahasa yang digunakan gadis itu. Walau dalam keadaan lemah perkataan yang keluar itu tetap mengganggu emosi Syifaa.
Tanpa membalas kata Aiza, Syifaa letakkan telefon ke atas meja lalu tuang minuman dan hulurkan kepada gadis itu. Sayang sekali, tak disangka-sangka gelas ditepis kuat lalu jatuh ke bawah. Nasib baik gelas itu tidak pecah.
“Buat apa kat sini? Nak menyibuk hal orang lagi?” jerkah Aiza Munirah kuat, langusng tak hiraukan keadaan sendiri. Sikap itu menyentap tangkai hati Syifaa.
“Aiza! Cikgu bukan nak menyibuk tapi ini memang tugas cikgu. Pelajar cikgu sakit. Takkan cikgu nak tengok saja.” Terpaksa dia menjawab agar gadis itu faham. Namun, kalau sudah benci berlembut macam mana sekalipun tetap tak memberi kesan pada gadis itu.
“Tolonglah jangan nak menyibuk hal aku. Baik kau balik.” Halau Aiza dengan mata yang mula merah dan berair. Nampaknya sekejap lagi hujan lebat akan turun menimpa bumi. Syifaa kakukan diri.
“Salahkah cikgu nak tolong Aiza?”
Dan tak semena-mena gadis itu menangis lalu membaling apa sahaja yang ada berdekatan dengannya. Sungguh hati Syifaa rasa terkilan. Melihat perangai gadis itu sedikit sebanyak mengingatkan diri akan kepahitan hidupnya sebelum ini.
“Aiza jangan nangis. Kalau Aiza nak luahkan apa-apa cikgu sudi mendengar.” Syifaa keraskan hati. Dia perlu kuatkan semangat. Gadis itu perlu dipujuk namun pandangan mata Aiza yang cerlung hampir menembusi jantungnya membuatkan hati mudanya tetap berasa seriau.
“Pergi! Pergi!” tempik Aiza kuat seraya menangis lebat. Dalam amarah yang tidak diketahui apa puncanya gadis itu cuba bangkit hendak menghalau Syifaa dengan kudrat yang ada. Nasib baik tubuh itu masih lemah. Jika tidak tentu sahaja hari ini akan menjadi tragedi yang amat sukar baginya.
Air matanya serasa mahu gugur namun cepat-cepat dia tepis. Pandang Syifaa dengan pandangan berkaca-kaca juga.
“Aku benci kau! Aku benci kau! Baik kau pergi sebelum aku yang lari.”
Apabila Aiza menggugur begitu Syifaa pun angkat kaki. Dia terpaksa. Demi ketenangan dirinya dan juga gadis itu. Dia bergerak ke arah kaunter lalu mengkhabarkan petugas akan keadaan Aiza yang menangis bagaikan orang gila. Sekejap sahaja para petugas datang dan Syifaa hanya memerhati dari luar.
Tiba-tiba air matanya jatuh tak malu.
Melihat keadaan gadis itu dia tahu ada sesuatu yang membelit jiwa dan raga dara cantik itu. Kerana dia pernah merasai kepedihan lalu dia turut merasai apa yang sedang dilalui gadis itu. Cukuplah apa yang dia lihat sekarang ini meyakinkan dia yang gadis itu dalam masalah yang cukup besar. Pedih, sakit, hilang punca dan sebagainya menguasai jiwa. Begitulah yang dia rasa saat dia kehilangan seseorang yang baru sahaja dicintainya.
Dalam deraian air mata dia tak lupa berdoa agar Tuhan menguatkan hati anak didiknya itu.
“Eh, apahal kau kat luar,” sapa Farah yang muncul dengan membimbit beg plastik. Gadis itu mengerutkan dahi.
“Aiza meracau!” jawab Syifaa lantas menjauh sedikit dan dengan perasaan bercampur-baur dia mula menghubungi saudara terdekat gadis itu.
Share this novel