BAB 08

Drama Series 18121

Court Tenis dan Restoren Mewah

Sejuk hati Datin Seri Raihanah melihat anak-anaknya bergurau senda di tepi kolam. Sejak insiden minggu lepas Aiza sudah tidak mengenepikan abangnya lagi. Duduk berkepit macam belangkas pula. Kalau orang tak kenal tentu mereka akan cakap itu pasangan kekasih. Tetapi dia tidak akan kisah dengan kata-kata orang kerana dia tahu hakikat yang sebenar.

“Reez cakap nak pergi main tenis. Kenapa tak gerak lagi," tanya Datin Seri Raihanah apabila Mukhreez sudah bangkit.

“Nak gerak dah ni mummy. Tunggu Di datang ambil.”

Baru sahaja anak lelakinya menyebut nama Zuhdi terus kereta lelaki itu muncul di laman. 

“Kami gerak dulu my,” ujar Mukhreez kerana tidak mahu membiarkan Zuhdi menunggu lama. Dia paksa adiknya bersalam dengan mummy dan Aiza tidak menolak. Bukan sahaja bersalam  siap dengan memberikan pelukan dan ciuman juga.

“Amboi, macam tak nak balik dah,” usik Datin Seri Raihanah dan Aiza tergelak kecil. Sambil melangkah gadis itu melambaikan tangan. Kedua-dua anaknya sudah masuk ke dalam perut kereta Zuhdi dan lelaki itu memandu laju menuju ke gelanggang tenis yang selalu menjadi tempat mereka keluarkan peluh.

Selama sejam berlawan akhirnya masing-masing kepenatan.

Mukhreez dan Zuhdi mentertawakan Aiza yang kalah teruk berlawan main tenis. Gadis itu yang muncung di bangku panjang menarik kasar botol mineral di sebelah lalu diteguk laju untuk menghilangkan dahaga.

“Abang long dengan Abang Di jahat. Zalim.” Marah Aiza Munirah. Zuhdi yang sememangnya rapat dengan Aiza mendekati gadis itu.

“Itulah. Tadi Abang Di nak couple dengan adik, adik jual mahal. Kata boleh kalahkan abang Di dengan abang long. Tengok sekarang siapa yang susah. Kami jugak. Nak kena pujuk lagi.” Zuhdi menarik hidung adik kawan baiknya itu. 

Aiza protes. Mulutnya yang muncung sedepa itu sudah boleh diikat dengan getah. Mukhreez biarkan saja Aiza dengan sikapnya. Dalam kepala sudah ada rancangan. Tahulah macam man nak buat gadis itu hilangkan muncung. Terus mengemas raket tenis. Tak semena-mena dia bongkokkan badan lalu terduduk. Perutnya di tekan berulang kali.

Aiza tersentak.

“Sakit.” Mukhreez buat muka. Wajahnya berkerut seribu. Aiza yang tidak pernah melihat lelaki itu sakit begitu pantas merapati. Zuhdi yang tidak tahu apa-apa juga mulai panik.

“Eh, kau dah kenapa?” Zuhdi menggosok bahu Mukhreez. Cuba meredakan kesakitan lelaki itu. Melihat lirikan mata Mukhreez yang nampak seperti main-main Zuhdi ragu-ragu. Tetapi dia tak pernah melihat Mukhreez sakit begitu.

“Sakit lah mangkuk,” jerit Mukhreez seraya menolak tangan itu. Konon-konon tengah sakit sangat.

Aiza hilang punca. Kolam matanya mula bergenang.

"Aku bawa kau pergi emergancy." Cara Zuhdi menambah kekalutan Aiza. Melihat wajah itu yang sudah basah dengan air mata dia pun rasa nak menangis.

"Reez, kau terus sangat dah ni." Zuhdi bimbang melihat Mukhreez yang asyik menekan-nekan perut. Aiza pula tak lepas memegang tangan abangnya. Cuba membantu.

“Abang long, kenapa ni. Jomlah pergi hospital. Jangan buat adik takut ni.” Aiza menyentuh bahu Mukhreez pula. Hati Mukhreez sudah ketawa terbahak-bahak. Memandang tepat ke wajah adiknya.

“Prank!!!” ucap Mukhreez lalu sepantas kilat bangkit. Tarik beg raketnya lantas berlari keluar dari gelenggang tenis bagaikan sang kancil di kejar harimau.

“Abang longgg!!!” jerit Aiza Munirah geram. Tak sangka dia ditipu abang sendiri. Zuhdi yang juga tertipu pantas mengejar kawan baiknya. Apabila tiba di kereta, dengan cepat dilayangkan penumbuk ke perut lelaki itu. Tak pasal-pasal perut Mukhreez benar-benar mendapat sakit. Lelaki itu tertunduk menahan senak.

“Gila. Kau nak bunuh aku ke?” marah Mukhreez namun dibalas senyum senget Zuhdi.

“Padan muka. Dengan aku sekali kau kencing ya," omel Zuhdi geram apabila berjaya dipermainkan sahabat baiknya.

“Sorrylah. Aku nak bagi ubat dekat adik sebenarnya. Merajuk sangat.” Gelak Mukhreez dalam sakit yang bersisa.

Aiza yang sudah tiba di kereta memandang abangnya geram. Sekali lagi dia mencuka dan menonong masuk ke dalam kereta tanpa kata.

“Dahlah buat drama abang long. Jom kita pergi makan. Abang long belanja. Denda sebab usik adik. Hari ini adik nak makan kat restoren mahal. Biar padan muka abang long.”

Terhambur gelak  Mukhreez apabila adiknya cuba membalas semula.

“Takkan habis duit abang long kalau setakat belanja adik sendiri,” sindir Zuhdi pula dan menyebabkan Mukhreez tunjuk lagak. Tepuk poket seluarnya yang menggelembung.  

“Macam kau tak tahu.” balas Mukhreez sengaja dan Zuhdi siku belakang lelaki itu. Menunjuk pula.

“Adik makan yang mahal-mahal. Biar abang long tak mampu bayar. Lepas tu kita tinggal dia dekat restoren. Biar dia bayar dengan tolong cuci pinggan.”

Terhambur gelak besar Aiza dengan usikan lelaki itu.

"Hek eleh. Kau ingat aku siapa," bantai Mukhreez lalu mula memandu. Tadi, Zuhdi yang bawa ke sini jadi sekarang dia pula yang bawa lelaki itu dan adiknya ke tempat yang dia pilih.

Dan… gelak Aiza makin membukit menunjukkan rasa hati yang indah bahagia sehinggalah tiba di restoren. Mereka bertiga ambil tempat yang jauh dari pelanggan lain. Sebaik duduk Mukhreez dan Zuhdi buka cerita pasal kerja.

“Jadi ke tak deal kau dengan syarikat kat Pantai Timur?” tanya Zuhdi setelah siap memesan makanan. Mukhreez hanya mengangguk. Pandang Aiza yang nampak bosan dengan perbualan mereka. Dia tahu adiknya itu manalah boleh hadam soal bisnes. Orang muda tentulah tahu nak enjoy sahaja.

Melihat Aiza yang asyik dengan telefon matanya pantas memberi isyarat pada Zuhdi agar mengetepikan soal kerja buat seketika. Dia tidak mahu Aiza rasa terpinggir sekali lagi.

“Pinjam telefon.” pinta Mukhreez tiba-tiba dan mengejutkan Aiza. Kelip-kelip pandang abangnya tidak faham. 

“Nak buat apa?”

“Cicah air.” Pantas pula Zuhdi menjawab dan Mukhreez tergelak kecil. Dengan tak semena-mena jemari Aiza mencubit bahu Zuhdi. Selepas telefon dihulurkan kepada abangnya dia tonyoh pula mulut lelaki itu dengan sambal nasi ayam. Kebetulan hidangan itu sudah tiba.

Zuhdi beri isyarat akan balas balik dan Aiza Munirah buat muka tidak takut.

Mukhreez menggeleng. Sudah maklum dengan perangai kedua-dua insan tersebut. Gurau senda mereka sudah menjadi penghibur dirinya sejak Aiza kecil lagi. Dia tidak kisah dengan kemesraan kedua-dua insan itu.

Dia tilik telefon dengan rasa bangga. Melihat telefon adiknya dia benar-benar yakin. Mulut adiknya yang mengatakan benci padanya dulu tak seiring dengan hati. Aiza sayangkan dia. Jika tidak mana mungkin telefon yang dia hadiahkan semasa balik ke tanah air bulan lima tahun lepas akan digunakan adiknya. 

“Adik nak tukar yang lain ke?” soal Mukhreez menguji.

Pantas Aiza menggeleng tak mahu.

“First hadiah dari abang long. Adik tak akan minta tukar yang lain. Tapi kalau adik nak tukar adik akan cakap. Boleh kan?”

Mukhreez angguk dalam senyuman. Tingkah kedua-duanya hanya diperhati oleh Zuhdi. Sesekali dia suap nasi ayam ke dalam mulut.

“Abang long cari nombor siapa?” soal Aiza pelik apabila tangan abangnya tak putus-putus menatal layar skrin sehinggakan makanan di depan mata pun tidak dihiraukan. Tangan lelaki itu dari bawah naik ke atas tak henti-henti.

“Phone number guru kelas adik?”

Terus wajah Aiza berubah kelat.

“Boleh tak jangan sebut nama dia.”

Terhenti tangan Mukhreez daripada menatal layar skrin. Matanya dibawa tepat memandang anak mata adiknya.

“Abang long tak sebut nama dia pun. Abang long cakap guru kelas.”

“Sama je.” Muka Aiza sudah membahang merah.

“Kenapa nak  marah sangat. Dia buat salah dekat adik ke?”

Aiza senyap.

“Dia marah adik?”

Aiza menggeleng dengan muka ketat.

"Habis tu?" soal Mukhreez tak faham. Kedengaran Keluhan adiknga terlepas dalam terpaksa.

“Dia asyik minta penuhkan maklumat diri adik. Bosanlah.”

Lal7 Mukhreez menggeleng tidak percaya. Aiza masih belum menyempurnakan amanah yang tak seberapa itu.

“Itu kan dah tugas dia. Kalau cikgu adik tak buat nanti dia yang kena marah dengan orang atasan. Adik janganlah nak naik angin tak tentu fasal.” Kali ini Zuhdi pula yang menasihati dan jiwa Aiza terguris sakit. Betapa mereka tidak tahu apa yang ada dalam dadanya. 

“Jangan terlalu membenci. Nanti adik akan merindui," pesan Zuhdi dan Aiza menjeling geram. Tetapi apa yang dikatakan lelaki itu ada benarnya. Jangan terlalu membenci kerana suatu hari nanti kita pasti akan merindui.

Akhirnya Aiza tarik nafas dalam-dalam dan hembus kuat bersama janji cuba untuk membuang rasa benci sedikit demi sedikit. Dengan lemah Aiza buka mulut semula.

“Why abang long nak nombor telefon dia?” Akhirnya Aiza bertanya dengan nada perlahan dan Mukhreez lempar senyum bahagia. Adiknya itu sudah semakin senang dibentuk.

“Senang abang long nak tanya fasal adik kat sekolah.”

Pantas tubuh Aiza tegak memandang.
“Excuse me, abang long.” Aiza buntangkan matanya. “Adik dah besar okay. Bukan budak darjah satu yang baru masuk sekolah sampai abang nak tanya keadaan adik bagai.”

Mukhreez tergelak besar.

“Okay. Sorry. Bukan macam tu maksud abang long. Kalau boleh abang long tak nak adik jadi macam dulu. Adik masuk wad tapi abang long tak tahu apa-apa. Kasihan dekat mummy dengan daddy. Adik kena faham tu,” jelas Mukhreez dengan harapan adiknya akan tunjukkan mana nombor telefon guru kelasnya. Pada firasatnya gadis itu menyembunyikan nombor telefon tersebut. Sebab cikgu Farah telah pun cakap yang guru kelas adiknya sudah memberikan nombor telefon kepada semua pelajarnya.

“Betul tu dik. Baik bagi je nombor telefon cikgu adik tu.” Zuhdi memihak kepada Mukhreez. Terus mata Aiza menjeling Zuhdi dan lelaki itu hanya jongket kening tanda tak kisah. 

“Adik tak simpan," jawab Aiza malas. Ternganga Mukhreez mendengar jawapan adiknya. 

“Betul ke?” Mukhreez terus menatal mencari nama Cikgu syifaa. Nama itu akan selalu diingati kerana sama dengan nama gadis yang melekat di dalam kepalanya. Dia terus mencari sehinggalah matanya singgah pada sebaris nama yang comel.

“Miss Sweety Tweety!” sebut Mukhreez hairan.

Aiza tersentak. Dalam banyak-banyak nama kenapa abangnya boleh berhenti dekat nama itu.

“What a cute name!” luah Mukhreez teruja. Dan... muka Aiza terus pahit bak hempedu.

“Tak jadilah nak makan macam ni.” Aiza bangun hendak melangkah keluar tetapi dihalang Zuhdi.

“Haip. Habiskan makanan tu dulu. Tak baik membazir,” suruh Zuhdi tegas tetapi Aiza tetap berdiri.

“Tak suka betullah macam ni.” Gadis itu tunjuk muka benci.

“Adik tak suka apa?” soal Mukhreez tidak faham.

“Adik dah sedaya upaya sembunyikan dari abang. Apahallah boleh jumpa pulak. Siap sebut lagi. Dah lah adik allergic dengan nama tu.?”

Mukhreez dan Zuhdi saling pandang.

“Abang long sebut nama siapa?” Mukhreez bertanya tidak faham. 

“Guru kelas adiklah. Eeeeiii… geram tau.”

“Erk, siapa nama dia. Mana satu?” tanya Mukhreez lagi sambil tangan terus menatal layar skrin.

“Miss Sweety Tweety tulah.”

“What!!!” Terus tangan Mukhreez terhenti.

Dan Zuhdi juga turut bangkit lalu mengintai nama yang disebut Aiza Munirah di dalam telefon. Pandang Mukhreez lalu kedua-duanya terbahak-bahak ketawa tidak percaya. Rupa-rupanya yang tersorok sudah muncul dengan sendirinya.

What a cute name!
Lovely.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience