BAB 01

Drama Series 18121

BAB 1

Kelas Tingkatan 5 Dinamik

Semua mata tertumpu pada pemilik tubuh yang berdiri tegak di muka pintu kelas. Suasana  yang asalnya bising dan huru-hara mula berubah senyap dan sunyi. Mata masing-masing fokus kepada seorang gadis yang lengkap beruniform Kadet Remaja. 

“Assalamualaikum.” Terlontar ucapan salam apabila masing-masing sudah tegak berdiri.

Serentak Salam itu dijawab. 

Syifaa berikan senyuman. Baru sahaja hendak melangkah masuk seorang pelajar lelaki tergesa-gesa menghampirinya.

“Awak student baru ke. Nanti kejap ya. Saya pergi cari meja dulu. Meja kat dalam kelas ni tak cukup.”

Hampir tersembur tawa Syifaa dengan gelagat pelajar bersongkok dan bercermin mata itu. Selalu saja menghiburkan hatinya sejak pertama kali dia menjaga kelas ini.

“Awak ketua kelas ke?” soal Syifaa. Sengaja seriuskan muka. Nampak kekalutan pada wajah anak muda itu ketika mengangguk dan pastinya Syifaa sudah faham. Pandai betul berlakon. Memek muka yang sekejap ketakutan sekejap macam pelawak itu mencerminkan anak muda itu boleh menjadi seorang aktor suatu hari nanti. 

“Dahlah Rahman. Kau tak payah nak sakat cikgu. Kau ingat Miss Sweety Tweety nak kat kau ke? Jangan perasan ek. Kau tu kontot,” laung seorang pelajar lelaki dari meja belakang. Pecah tawa masing-masing apabila pelajar lelaki bersongkok itu tunjuk penumbuk dan Syifa menggeleng berkali-kali.

“Dah. Jangan nak bergaduh. Jangan nak mengeji. Tak baik.”  Terus Syifaa melangkah ke mejanya.

Bergema satu kelas dengan suara gelak ceria tetapi Syifaa tidak akan beri muka. Jika tadi dia lembut tidak menjawab kerana dia tahu perangai ketua kelasnya. Anak muda itu sekadar mengusik. Tak lebih dari itu. Tetapi apabila semuanya sudah keluarkan suara gagak dia kena ambil peranan.

“Awak semua nak pegang piala pusingan ke?” soalnya sekadar menggertak. Masing-masing menjawab tak mahu dan terus diam. Tahu takut dengan hukuman yang akan dia berikan. Silap kalau menganggap lembutnya mudah digunakan. Dia lembut bukan sebarang lembut. Lembut dia ada tegasnya. 

“Baiklah, semua boleh duduk,” arah Syifaa perlahan.

Sebaik sahaja anak didiknya sudah melabuhkan punggung ke atas kerusi masing-masing dia pun buka buku rekod kedatangan. 

“Sebelum cikgu tanda kehadiran, cikgu nak awak semua hantar kerja Bahasa Melayu yang awak janji nak hantar kelmarin,” arah Syifaa tegas dan masing-masing akur. Rahman selaku ketua kelas segera bangkit. Tanpa disuruh, pelajar itu segera berjalan dari satu meja ke satu meja. Mengumpul buku latihan yang diminta. 

Apabila sampai di meja paling belakang berdekatan pintu keluar Rahman meminta buku latihan namun pelajar tersebut hanya memejamkan mata.

“Hantar bukulah,” gertak Rahman. 

Semua mata pantas memandang ke arah susuk tersebut. Syifaa pula tarik nafasnya panjang. Sekali lagi seperti dua minggu yang lepas gadis itu cuba menaikkan amarahnya namun tak pernah berjaya. Tetapi kali ini dia rasa sudah tiba masanya untuk dia beri hukuman apabila amaran kerasnya tidak diendahkan.

“Aiza Munirah!” panggil Syifaa dari jauh namun panggilannya tidak disahut. Gadis itu tetap pejamkan mata seraya kepala terangguk-angguk. Seperti mendengar lagu. Lalu dia hantar isyarat kepada Rahman supaya menghantar buku ke depan. Dia pula bergerak ke meja Aiza Munirah. Kelasnya menjadi sunyi-sepi.

Syifaa menggeleng sambil  menahan rasa. Patutlah tak dengar. Telinga gadis itu bersumbat dengan fon telinga. Mata itu terpejam rapat.

Dengan geram Syifaa cabut wayar dari telefon yang tersorok di dalam meja. Pantas telefon ditarik keluar dan disembunyikan di belakang badan.

“Eh, apahal cikgu main rentap macam tu je. Rosaklah nanti,”  tengking Aiza Munirah bagaikan ahli sihir. Terus bangkit dan mata memandang tajam ke arah Syifaa.

“Awal-awal hari tu lagi cikgu dah pesan. Tak boleh bawa barang terlarang. Telefon inipun dikira barang terlarang. Sudah termaktub dalam peraturan sekolah. Takkan awak tak  tahu lagi.” Syifaa angkat telefon dan tunjuk pada gadis itu. Hati menahan amarah. Namun gadis itu julingkan mata pula.

"Ada aku kisah!" Gadis itu menjawab kasar dan hati Syifaa panas berapi.

“Parents awak hantar awak  ke sekolah suruh belajar. Bukan suruh main-main. Lagipun tahun ini kan tahun penting. Awak tak boleh buat sesuka hati awak. Kalau tak boleh jawab soalan pereksa nanti macam mana," bebel  Syifaa namun gadis itu buat selamba badak. Tarik keluar earphone dari telinga.

“Cikgu tak payah nak sibuklah. Ingat saya tak pandai ke?” cerlung mata gadis itu memandang ke arah Syifaa namun sedikitpun tidak menggoyahkan keberanian Syifaa. 

Memang gadis itu nampak berlagak dan buat hati Syifaa menggelegak. Kalau seminggu yang lepas dia biarkan sahaja kerana pada firasatnya gadis itu belum dapat menyesuaikan diri. Namun hari ini dia perlu beri pengajaran pada gadis itu kerana umur 17 tahun adalah umur yang sudah matang untuk menimbang baik buruk perbuatan sendiri. Lalu dengan geram telefon di tangan digoyang.

“No more phone.” Amaran dilontar tegas lalu melangkah kembali ke meja. Simpan telefon di dalam beg tangannya dengan hati bengkak. “Kalau awak nak, suruh penjaga awak datang ambil,” sambungnya dan mula ke papan putih. Dalam hati geram dia perlu juga meneruskan pengajaran.

Aiza Munirah mendengus benci. Matanya menikam tajam mata rakan sekelas yang berani memandangnya. Akan dia bakar mereka dalam api kebenciannya. Kalau boleh biar cikgu muda itu yang pertama terbakar. Namun wajah tegas itu sudah kembali manis. Mengajar bagaikan tiada apapun yang berlaku. Hatinya bertambah pedih.

Dengan perasaan sakit hati Aiza Munirah bangkit lalu menolak kerusi sehingga terperosok ke daun pintu. Semua rakan sekelas terkejut dan memandangnya yang sudah melangkah hendak keluar dari kelas.

“Aiza, jangan ponteng.” Arahan Syifaa bergema kuat namun gadis itu buat tidak endah. 

“Cikgu ingat saya nak ikut ke arahan cikgu,” balas gadis itu lantas berlalu pergi.

Syifaa menghembus nafasnya berat. Langsung tak menduga. Di saat dia diberi amanah untuk menjaga kelas peperiksaan penting buat pertama kalinya semenjak berpindah ke sini dia sudah diduga sebegini rupa. Pertama kali dalam hidupnya berhadapan dengan pelajar begini. Dia jadi buntu hendak menyelesaikan masalah yang tidak diminta ini.

Saat pertama kali menerima kehadiran Aiza Munirah dia sudah pelik. Gadis itu muncul dengan fail peribadi yang kosong tanpa sebarang maklumat penting. Yang ada hanyalah sijil dan keputusan peperiksaan yang cukup cemerlang. Dia bangga dengan bukti kecerdikan gadis itu. Tetapi itu tidak cukup lagi untuk melayakkan gadis itu tersenarai dalam carta pelajar cemerlang kerana ada kelompangan pada adab dan akhlak.

Gadis itu memang bermasalah. Diberi borang maklumat diri, gadis itu hantar semula dengan lompang sana-sini.  Hanya ada nama ayah dan nombor kad pengenalan serta alamat rumah sahaja. Pekerjaan,  gaji  dan bilangan adik-beradik langsung tiada.  Pening melihat semua itu dia berusaha mencari dengan cara sendiri. Namun hampir seminggu mencari tetap tidak berhasil. Malah perangai gadis itu makin menjadi-jadi pula. Paling teruk suka ponteng kelas tambah-tambah lagi jika subjek itu di ajar oleh guru yang gadis itu tidak suka.

Manalah dia nak letak muka jika pengetua mendapat tahu masalah ini. Tentu saja cikgu yang mengajar kelas ini akan bersembang dan bercerita tentang gadis itu. Pastinya nama guru kelas akan terheret sama. Harus bagaimana lagi hendak dilentur gadis itu. Tetapi benda masih baru. Sebelum ianya jadi keras  dia perlu lembutkannya perlahan-lahan.

“Miss Sweety Tweety. Janganlah sedih. Kita rasa apa yang miss rasa.” 

Akhirnya dia ukir senyum apabila Rahman, ketua kelas bersuara. Anak didiknya itu pandai mententeramkan jiwanya.

“Mana tak sedih kalau awal-awal lagi  dah ada yang peningkan cikgu.”

“Jangan bimbang cikgu. Biar sorang tu je yang peningkan cikgu. Kami yang ramai ini akan jadi penawar.” 

Syifaa ukir senyum. Rahman kalau bercakap mengalahkan pelakon teater. Tetapi di akhirnya dia angguk lega apabila Rahman mewakili yang lain berjanji untuk memberikan yang terbaik padanya. Rasa tenang sekejap namun dadanya kembali bergelora apabila melihat telefon gadis itu sekilas. Dia berharap penjaga gadis itu akan muncul untuk menuntut barang berharga ini. Jika tidak muncul juga terpaksalah dia heret gadis itu ke pejabat pengetua

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience