BAB 29

Drama Series 18121

Wad berbayar Hospital Salam
Sudah dua jam berlalu dan Syifaa masih belum boleh dilawat. Mukhreez di luar resah menunggu. Sungguh hatinya tak tenteram. Walaupun doktor memberitahu gadis itu baik-baik sahaja tetapi dia yang gundah-gulana.

Setelah lama menunggu, doktor memberitahu boleh melawat malam nanti. Mukhreez akur. Lagipun dia tak mahu dikenali. Dia akan masuk ke dalam apabila gadis itu benar-benar lena.

Akhirnya maam pun tiba. Tepat jam 11 malam dia masuk ke dalam. Tarik kerusi lalu labuhkan punggung di sebelah gadis yang begitu lena. Sedikitpun tidak bergerak. Hembusan nafas yang keluar dari rongga hidung itu membuktikan kepenatan gadis itu melawan musibah yang menimpa. Lalu Mukhreez mengenang semua yang terjadi dengan seribu kekesalan. Dia lambat sampai. Dia mahu mengundurkan semula masa yang telah berlalu tetapi dia tidak ada kuasa. Hanya Tuhan yang berhak atas semua perkara.

Lama melayan perasaan dan akhirnya Mata Mukhreez jatuh pada wajah yang pucat tidak bermaya itu. Pun begitu kecantikan itu masih terserlah. Kulit putih yang tidak dilitupi sebarang solekan itu tetap menggetarkan hatinya.

Dalam resah menunggu tiba-tiba bibirnya merekah dengan senyuman. Nampaknya inilah hikmah Tuhan menguji. Pertemuan yang memeritkan ini mengundang taman indah dalam hati. Rupa-rupanya guru kelas yang tidak pernah dikenali itu adalah gadis yang didamba. Betapa perancangan Tuhan itu tak terjangkau dek akal manusia. Tetapi sayang sekali. Saat mereka bertemu ada musibah yang memedihkan datang menduga.

Melihat gadis yang lena tak berkutik itu, nyawa Mukhreez seakan bakal melayang pergi. Andainya dia lambat sampai tentu hidupnya akan kembali merana dan Aiza pula pastinya akan hidup dalam kekesalan sehingga ke akhir masa.

Saat mendengar cerita Aiza hatinya serasa luruh dan tak mungkin akan tumbuh semula. Mahu sahaja dia mencari lelaki yang telah membuat jahat pada gadis yang sedang lena ini. Tetapi Aiza tidak mahu kes ini dibawa ke balai polis. Dia tidak tahu kenapa. Namun wajah duka adiknya seperti menyimpan seribu rahsia. Dan dia tidak akan bertanya kerana Aiza sudah berjanji untuk berubah. Lalu dia putuskan. Biar semua kejadian perit itu berlalu begitu sahaja. Janji dia berjaya dekat dengan si gadis.

Mata yang terpejam direnung dalam. Alis mata yang tersusun elok mencerminkan keayuan si gadis. Malah bulu mata yang melentik ke atas menambahkan bukti bahawa gadis itu benar-benar cantik. Dalam mata terpejam begini pun dia tergoda. Kalaulah si gadis sudah sedar dia yakin mulutnya akan terus mengajak gadis itu bernikah.

Parah. Dia sudah parah.
Tangan tiba-tiba terasa gatal.
Rambut si gadis yang panjang mengurai membuatkan dia hilang arah. Tak teragak-agak dia hendak menyentuh rambut itu. Akalnya melarang tetapi hati pula membuak-buak hendak mengelus. Dengan perasaan tak tertahan tangannya mendarat juga di atas kepala si gadis. Saat tangan menyentuh rambut itu dadanya penuh dengan rasa yang sukar diluahkan dengan kata. Andainya gadis itu halal dia yakin bukan tangannya sahaja yang bergerak. Mulutnya pun akan sama main peranan.

“Abang long!” suara yang menyapa dalam nada tersekat pantas menghentikan tindakannya. Mukhreez pantas melarikan tangannya. Melihat Aiza yang sudah berdiri di sebelah terus dia sunggingkan senyum. Tetapi si adik tunjuk muka geram.

“Kenapa dengan abang long ni? Abang jangan buat hal. Cikgu Syifaa bukan bini abang,” marah Aiza dalam suara berbisik. Bimbang cikgu Syifaa akan tersedar.

"Soon adik. Soon,” balas Mukhreez bangga namun, Aiza tidak faham. Apa yang abangnya merepek. Baru pertama kali jumpa dengan Cikgu Syifaa lelaki itu sudah cakap yang bukan-bukan.

"Abang long jangan nak macam-macam. Cikgu masih belum sedar." Lagi sekali Aiza memarahi namun Mukhreez tunjuk sengih gila. Hati Aiza pantas berdegup resah.

"Kenapa dengan abang long ni. Abang long bukan macam ni. Pegang-pegang perempuan yang tak halal tu bukan perangai abang long," bebel Aiza tidak suka dan matanya bergenang bimbang. Bimbang abangnya buat kerja gila tetapi ketakutannya hanya disambut gelak lucu Mukhreez.

"Normallah tu dik. Lelaki tengok perempuan. Tambah-tambah yang cantik macam ni.”

Buk!
Satu tumbukan singgah di bahu Mukhreez.
"Yes. But not my abang long. Abang long hanya akan pandang orang yang halal untuk abang long. Bukan itu yang abang long cakap dengan adik?" sinis Aiza berikan. Malah menjeling geram dengan sikap abangnya.

"Apasal nak marah abang long pulak. Sepatutnya abang long yang marah adik." Mukhreez tunjuk sedikit sisi seriusnya. Terus Aiza palingkan muka. Pedih di bibir belum lagi hilang. Malah peristiwa tadi pun masih segar diingatan namun abangnya tak menyempat hendak melawak.

"Patutlah tak izinkan abang long pergi sekolah. Adik tak nak abang long jumpa cikgu cantik macam ni," usik Mukhreez dan tak semena-mena Aiza mencubit lengannya dan Mukhreez menggosok pedih.

"Awas! Abang long jangan nak macam-macam. Dah, pergi!" suruh Aiza lalu menarik lengan abangnya. Menyuruh lelaki itu keluar namun Mukhreez tidak mengendahkan. Terus Aiza bagi muka masam mencuka dan akhirnya Mukhreez bangkit juga.

"Okay. Abang long pergi tapi abang long akan tunggu cikgu adik sedar dulu baru abang long bergerak balik."

"No!"
Pantas Aiza menolak tubuh Mukhreez yang baru bergerak hendak labuhkan punggung ke atas sofa.
"Apahal pulak. Abang long nak dia tahu yang abang long dah tolong dia."

Aiza menggeleng laju. Tidak setuju. “No. No. No. Tak boleh. Cikgu tak kenal abang long. Jangan buat hal," marah Aiza.

"Lah, sebab tak kenallah abang kena tunggu. Biar dia tahu yang abang long abang adik.” Mukhreez tunjuk muka tak faham.

Aiza menggeleng lagi tetapi kepala hilang punca. Entah macam mana hendak dijelaskan kepada abangnya. Melihat wajah Mukhreez yang berkerut menanti jawapan akhirnya dia buka mulut.

"Bukan macam tu. Maksud adik… cikgu hanya kenal Abang Di as my brother. Not you.”

"What?" Terjegil mata Mukhreez tidak faham. "Bila pula cikgu kenal Abang Zuhdi?"

Aiza mengetap bibirnya geram. Berat hati hendak bercerita. Apatah lagi guru muda itu sedang lena. Bimbang sang gadis terganggu.
"Ingat tak masa dekat KB Mall. Kan adik ada jumpa guru kelas adik dekat sana?"

Dan ingatan Mukhreez pun melayang pada insiden dia terserempak dengan gadis itu dulu. Malah perbualannya dengan Zuhdi pun muncul di benak satu demi satu. Tetapi mukanya terus berkerut apabila senyuman Zuhdi muncul mengganggu.

"Haih, tak kan abang nak kena bersaing dengan Abang Di pulak?"

Terus Aiza naik geram.
"Nak bersaing buat apa pula. Cikgu tu bukan piala. Dah, abang baliklah. Biar adik yang tunggu. Lagipun adik dah call Cikgu Farah. Kejap lagi dia sampai."

Mukhreez pantas melarikkan senyum. Mata kerling Cikgu Syifaa yang masih lena tak berkutik.
"Cepatlah abang long. Kalau cikgu Farah nampak abang long, susah adik nanti."

"Kenapa pulak?"

Aiza rasa nak gila dengan pertanyaan abangnya.
"Sebab Cikgu Farah sorang saja yang pernah tengok abang."

"Eloklah."

"Tak boleh."

"Kenapa?" Pening sungguh Mukhreez dengan sikap adiknya. Apalah yang adiknya itu buat. Hubungan mereka dah bertukar jadi macam filem Keluarga 69 tapi versi berbeza.

“Cuba terus-terang dekat abang?”
Dan Aiza naikkan tangan mencubit kedua-dua belah pipi lelaki itu.

"Sebab adik cakap dengan Cikgu Syifaa yang abang long tu driver bus."

Dan tak disangka-sangka terluah tawa besar Mukhreez. Dengan pantas mulut lelaki itu ditekup Aiza. Bimbang akan menyedarkan Cikgu Syifaa.

"Handsome gila macam ni kerja bawak bas je. Agak-agaklah dik."

“Ya. Sebab tulah abang tak boleh ada kat sini. Cikgu Syifaa anggap abang miskin tapi Cikgu Farah dah kenal muka abang. Tentu macam-macam hal nanti yang cikgu soal nanti.”

Mukhreez menggeleng lucu. Macam-macam sungguh cerita adiknya. Berbelit jadinya. Tetapi dia tak biarkan dulu buat masa sekarang. Apa yang penting, gadis di atas katil itu perlu sihat walafiat dulu. Selepas itu barulah dia akan mulakan agendanya.

"Abang long. Baliklah. Jangan tunggu adik. Nanti adik call bila nak balik,” suruh Aiza dan akhirnya Mukhreez menggeleng kesal. Benda dah terjadi. Dia pun malas nak serabutkan kepala. Layankan saja sikap adiknya. Akhirnya dia bergerak juga ke pintu.

“Nanti, puji abang long banyak-banyak depan Cikgu Syifaa," pesan Mukhreez lantas kerling si gadis di atas katil. Hati sungguh tak sabar hendak menatap mata itu dalam sedar. Malah telinga sudah tidak sabar hendak mendengar suara lembut itu mengungkapkan kata. Ah, sungguh dia parah. Parah dalam cinta yang belum bermula.

Habis meneliti wajah itu Mukhreez sentuh kepala Aiza.
“Jaga diri.” Kepala Aiza ditarik lalu hadiahkan kucupan hangat. Tak lama beredar meninggalkan hospital.

Dan hati Aiza berlagu sayu. Abangnya tak pernah lupa. Kucupan hangat itu menandakan dia disayangi sepenuh hati. Itulah cara abangnya. Menunjukkan sayang dengan cara yang berbeza. Tetapi dia pula, menunjukkan perangai jahatnya hanya kerana geram pada abang sendiri. Meninggalkannya untuk sekian lama.

Lelaki itu sudah lama kembali dan sikap itu masih sama. Lalu dia tanam dalam hati, dia perlu kembali pada zamannya yang lalu. Zaman yang menguatkan kasih sayang mereka. Matanya pun bergenang dan air jernih mengalir pilu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience