BAB 31

Drama Series 18121

Di rumah Sewa

Luka di perut Syifaa sudah semakin pulih setelah berehat di rumah. Tambahan pula Hajah Solehah ada menjaganya di rumah sewa. Asalnya Haji Zakaria mencadangkan agar dia berehat di kampung sahaja tetapi cuti selama dua minggu yang diberikan doktor membuatkan Syifaa berat hati hendak menyusahkan orang tuanya. Apatah lagi dia perlu ke hospital untuk rawatan susulan.

Kerana tidak mahu abahnya seorang diri tanpa teman Syifaa memaksa uminya pulang. Tidak sanggup melihat orang tua itu bersendirian. Tambahan mereka masih ada anak yang lain yang perlu dijaga.

Sebaik orang tuanya pulang, dia seorang diri di rumah. Baki cuti yang ada membuatnya sungguh bosan. Apabila Farah pergi mengajar. Dia habiskan masa dengan mengemas rumah dan juga memasak sampai Farah sudah bertukar menjadi mak nenek. Asyik membebel kerana dia yang tak duduk diam.

“Engkau ni. Kan aku dah pesan. Jangan masak. Jangan kemas rumah. Aku balik sekolah aku buatlah,” bebel Farah sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Syifaa yang sedang menghidangkan makanan hanya tersenyum.

“Aku bosanlah Farah. Kalau aku tak buat kerja nanti lama-lama badan aku jadi tong gas. Kalau aku jatuh dah tak ada orang yang larat nak angkat aku,” balas Syifaa dengan usikan. Namun Farah mencebik seraya mendekati. Sejambak mawar putih diletakkan di hadapan Syifaa. Tangan Syifaa yang sedang mencedok nasi spontan terhenti.

Terkejut melihat mawar putih yang bersih. Tetapi tangan tetap mengambilnya lalu dihidu penuh syahdu. Farah di sebelah berkerut.

“Kau suka?” soal Farah. Apabila soalan itu menerjah keluar terus air mata Syifaa mengalir keluar.

“Dah lama aku tak tengok bunga macam ni. Siapa yang bagi. Tunang kau bagi kat kau ke?” soal Syifaa seraya menyeka air mata yang masih hendak luruh. Terus Farah jongket bahu.

“Lambat lagilah dia nak kasi bunga. Itu untuk kau.”

Terus Syifaa terkedu.

“Masa aku masuk pejabat waktu nak balik sekolah tadi, PO yang bagi dekat aku. Dia cakap ada orang hantar bunga untuk kau,” jelas Farah dan kening Syifaa pantas terangkat.

“Siapa?”

“Entah. Cuba tengok. Mana tahu ada kad.”

Pantas Syifaa mencari kad. Memang ada. Terselit di celah kuntuman bunga. Kalau tak diperiksa betul-betul tak akan nampak sebab kad itu terlalu kecil.

- A get well soon roses for you.

Syifaa terkedu. Melihat kata-kata itu terus matanya ditujukan pada jambangan bunga di atas almari kasut. Mawar merah yang dia dapat di hospital itu sudah hampir layu. Namun dia tetap menyimpannya kerana baginya baik menjadi hiasan dalam rumah daripada dibuang begitu saja.

“Orang yang sama ke?” soal Syifaa keliru. Pantas Farah turut memandang ke almari kasut. Dalam sedang mencari si pengirim, telefon di atas meja makan berbunyi. Tanda ada pesanan masuk.

- White roses means a new beginning.
- Hope this message finds you very well.

Farah terkedu. Mulutnya tergelak tiba-tiba.
“Siapa yang hantar mesej ni? Peliklah. Lepas tu aku hairan betul. Dia tak tahu ke yang rose putih tu lembaran baru untuk orang yang bakal kahwin je.” Farah tergeleng-geleng seraya mengintai telefon Syifaa.

Syifaa pula kerutkan dahinya. Tidak ada nombor telefon yang muncul, sebaliknya jelas tertulis perkataan ‘private number’ pada pengirim pesanan. Farah yang mengintai terus memandang wajah Syifaa. Muka itu berkerut tiba-tiba.

“Siapa ya? Ke dia mamat yang tolong kau?” soal Farah teruja. Muka pula menunggu tak sabar dan Syifaa terus menghantar pesanan dengan dada yang berdebar-debar.
- Encik siapa?

Soalnya tak sabar. Terasa begitu lama masa berjalan.
- Nobody
- But… I was your superhero

Mulut Farah pantas ternganga namun cepat-cepat dikatup. Mata pandang Syifaa tak percaya. Syifaa pula sudah berdebar tak tentu arah. Pantas sekali tangannya membalas pesanan.
- Encik orang yang tolong saya ke?
- Hantar saya ke emergency?
- Bayar bil?
- Bagi bunga?

Sudah berapa soalan yang dihantar gara-gara terkejut. Dia menunggu orang di sana membalas namun tiada tanda pesanannya akan dibalas. Lalu,
- Siapa encik sebenarnya?
- Macam mana encik boleh dapatkan - nombor telefon saya?

Hati tak sabar menunggu. Selang beberapa minit akhirnya balasan pun tiba.
- Like I said before,
- I’m nobody but… just your superhero.
- And don’t get me wrong
- A cute girl named Aiza was given to me.

Dan Syifa menghembus nafas kesal kerana dia lupa. Aiza pernah memberitahu semua ini. Gara-gara sudah seminggu dia tenang tidak memikirkan perihal sesiapa tiba-tiba hari ini lelaki yang mengaku sebagai superhero itu muncul pula. Manalah dia tak kalut. Kepala pun berat tiba-tiba. Lalu dia ambil keputusan. Pesanan dihantar.
- Terima kasih atas budi encik.
- Tapi… saya nak bayar balik duit encik.
- Bagi saya details.

Nampaknya terpaksalah dia keluarkan duit simpanan untuk membayar balik kepada lelaki itu. Terus dia pandang Farah dan dia tahu gadis itu simpati.
- No need, sweetie.

Terbuntang matanya melihat gelaran yang muncul apabila pesanan dibalas. Hati mula resah. Kenapa orang di sana perlu mengungkapkan perkataan begitu.
- Bagi details. Saya tak nak berhutang.

Ayat Syifaa kedengaran keras dan menyebabkan Farah memicingkan mata. “Kau ni. Janganlah keras sangat. Orang dah tolong kau macam-macam. Hargai tau.” Farah mencebik.

Terus Syifaa menggeleng.
“Aku tak nak terhutang budi.”

Farah faham. Semenjak kejadian lalu Syifaa jadi keras hati. Kalau ada lelaki yang nak mendekat gadis itu akan menjauh. Malah buat-buat tak tahu. Geram dengan Syifaa Farah membaca pesanan yang tiba dari pengirim yang tak dikenali.
- Itu bukan hutang. Itu sedekah.
- Saya ikhlas.

Dan Syifaa mengetap bibirnya tak puas hati.
- Maaf. Saya tetap nak bayar.
- Lepas saya dah setelkan semuanya saya harap encik jangan mesej saya lagi.

Buntang mata Farah membaca pesanan Syifaa dan tiba-tiba bibirnya terherot senyum puas hati apabila melihat pesanan dibalas.
- Awak tak nak tolong saya dapat pahala sebab bagi sedekah?

Terus muka Syifaa berubah riak. Pandang Farah dengan wajah merah. Tebal kerana membuat orang di sana terasa hati. Ayat yang tertera jelas menggambarkan perasaan orang di sana. Lalu, dia serba salah.
- Tapi… kalau awak bekeras nak bayar juga saya nak awak bayar dengan jawapan.

Dan… Syifaa kelip-kelip membaca tak faham. Bayar dengan jawapan? Farah di sebelah menanti tak sabar.
Kalau macam tu kena ada soalan

Entah kenapa dia jadi bendul pula. Langsung tak sedar orang di sana sedang tersenyum bahagia. Syifaa pula sudah tak mampu duduk tenang. Tiba-tiba….
- Miss Syifaa Hayati! Wanna be my friend?

Dan…sekali lagi Farah di sebelah yang ternganga. Syifaa lagilah. Kenapa lelaki itu nak berkawan? Terus dalam kepala sudah ada jawapannya. Dia yakin lelaki itu sengaja nak menjerat.

***

Lapangan Terbang Kuala lumpur

Mukhreez merenung telefon di tangan. Bibirnya terlorek senyum panjang. Tetapi dada tetap berdebar-debar. Kemungkinan untuk ditolak itu tinggi tetapi dia sudah ada ayat untuk membelit.

Sudah sejam dia berada di balai ketibaan namun dia masih tidak mahu beredar lagi. Dia amat berharap gadis itu akan membalas pesanannya. Sedetik, dua detik sehinggalah lima belas minit berlalu. Tiada balasan yang muncul. Hati hampir hancur kecewa. Namun dia kuatkan semangat. Masih ada masa selagi gadis itu bukan hak milik orang.

Dengan tekad yang ada dia bangkit lalu keluar dari balai ketibaan. Tak sabar hendak meneruskan agendanya. Akan dia pastikan gadis itu menyerahkan hati dengan rela.

***

Masih di rumah sewa

“Jawap je lah setuju. Apa yang susahnya. Dia nak kawan dengan kau. Itu je.” Farah memujuk namun Syifaa letak telefon lalu tarik pinggan nasi.

“Tak naklah aku. Entah-entah orang tua mana yang selamatkan aku. Ayat bukan main lagi.” Syifaa menolak. Muka sudah berubah tona. Tertulis cemas dan bimbang.

“Kau agak je kan. Tapi bagi aku kan… tak mungkin orang tua. Sebab Aiza sendiri yang sebut ‘abang’ kan. Maksudnya muda lagi.”

Syifaa menggeleng tak mahu. “Tak kisahlah abang ke datok. Aku tak akan jawab. Aku lagi rela bayar balik dengan duit.”
Farah pun menghembus nafas panjang. Susah hendak melembutkan hati orang yang sudah tidak percaya pada lelaki.

“Bila kau keras macam ni aku dah nampak yang kau tak move on lagi. Orang tu dah tinggal tulang Syifaa kenapa kau nak seksa diri dengan tunjuk kau boleh hidup tanpa lelaki.” Tiba-tiba Farah berceramah dan tangan Syifaa tak jadi hendak menyuap makanan. Jatuhkan tangan ke bawah lalu pandang Farah dengan muka sedih.

“Bukan aku tak move on Farah tapi….” Syifaa menekur ke bawah.
“Aku takut aku kena tipu macam dulu. Kau tahu kan apa yang jadi. Kau tahu kan. Yang berbohong tu pula kawan baik aku. Kawan yang paling aku sayang. Yang aku percaya luar dan dalam. Semua tu buat aku trauma Farah. Trauma,” dan… tangisan pun berhamburan keluar.

Lalu Farah terus bangkit dan memeluk dari sisi.
“Maafkan aku Syifaa. Bukan aku nak buat kau ingat semula sejarah lama tapi aku nak kau terima keadaan. Masa depan kita semua di tangan Tuhan. Kita tak tahu apa yang akan jadi. Cuma, kita perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik.”

Syifaa hanya diam. Air mata yang turun tak mampu mengubati hatinya. Malah kepalanya mula berpusing pening. Jadi berat.

“Aku tak nak kau menyendiri. Tak lama lagi aku dah nak kahwin. Bila aku dah jauh dari kau aku nak sangat ada orang yang boleh jaga kau. Please, terima je.” Farah memujuk lagi.

“Entahlah Farah.”
Akhirnya Syifaa bangun. Nasi tak makan, meja pun tak kemas. Dan… dia pun masuk ke dalam bilik lalu berkurung. Farah pula menghantar dengan hampa.

Sementara telefon di atas meja makan masih kosong tanpa jawapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience