Ruang makan
Aiza tunjuk muka masam sebaik sahaja Mukhreez muncul dari atas.
“Kan dah cakap tak payah hantar,” marah Aiza Munirah seraya menjeling geram. Tetapi dibalas gelak kecil Mukhreez. Terus lelaki itu pandang emaknya yang sedang mencedok bihun goreng untuknya bersarapan pagi.
“Apa salahnya. Adik kan nak pergi jauh. Abang long nak hantar sampai selamat.” Datin seri Raihanah mencelah seraya meletakkan pinggan di depan Mukhreez.
“Apa yang jauhnya. PD je kut. Bukan oversea,” balas Aiza sinis lantas suapkan makanan ke dalam mulut dengan muka mencuka. Mukhreez hanya bagi senyum.
“Sebab dekatlah abang long nak hantar. Kalau jauh, makan masa pula. Banyak kerja tertangguh nanti.” Mukhreez tak nak kalah. Masih ingin membantu dan Aiza Munirah tolak pinggan ke depan dengan geram.
“Masalahnya adik tak cakap pun dengan cikgu yang abang long nak hantar,” luah Aiza hal yang sebenarnya dan Mukhreez jongket bahu.
“Kalau macam tu call cikgu adik, sekarang!” suruh Mukhreez tegas dan wajah Aiza terus berubah riak. Nasib Mukhreez sedang pandang jam tangannya.
“Awal lagi ni. Baru pukul tujuh. Daftar pukul 10 kan. Lepas tu dengar taklimat dulu. Pukul 12 baru check in masuk bilik kan.”
Aiza bulatkan mata. Tak lama mengangguk geram. Nampaknya si abang memang menghafal jadual seminar. Itulah abangnya. Dah macam bodyguard. Kali ini terus dia tunjuk muka tidak puas hati. Dia tak mahu mencipta peluang untuk abangnya mengenali cikgu muda tersebut. Dia tak suka.
“Kenapa tak call?” soal Mukhreez yang hairan setelah melihat Aiza hanya menyuap makanan. Padahal telefon gadis itu ada saja di atas meja. Lalu, dengan geram Mukhreez keluarkan telefon. Menatal layar skrin kemudian mendail nombor telefon guru kelas adiknya.
Aiza pula buat muka bodoh.
“Erk, kenapa tak masuk?” rungut Mukhreez seraya memandang layar skrin telefon dengan muka pelik.
Aiza pula kerling abangnya. Dari muka bodohnya tadi sudah bertukar jadi muka selenga. Dia tidak akan buka mulut tentang hal yang terjadi. Tiada siapa pun yang patut tahu nombor telefon telah bertukar. Biar dia seorang saja yang menyimpan nombor cikgu tersebut walaupun sebenarnya nombor itu abangnya yang beli. Lagipun dia yakin abangnya tak akan nak menyimpan nombor tersebut. Lalu dia pandang wajah abangnya.
Mukhreez kerutkan dahi. Pandang Aiza yang buat tak tahu. Sambil mengunyah bihun goreng dia mendail sekali lagi lalu lekapkan telefon ke telinga. Sama juga seperti tadi. Panggilan tidak masuk. Kali ini dia sengaja menunggu lama. Apabila suara pemilik operator mengatakan nombor tiada dalam perkhidmatan terus dahinya berkedut seribu.
“Cikgu adik tukar nombor baru ke?” soal Mukhreez meminta kepastian dan Aiza mencebik seraya jongketkan bahu.
“Entah.”
Sepatah sahaja jawapan dan membuatkan Mukhreez memandang hairan. Si adik langsung bangkit sebaik selesai bersarapan. Gadis itu menuju ke sofa. Labuhkan punggung lalu memakai stokin. Dia yang kehairanan segera mendekati. Hati masih berteka-teki. Dalam tak puas hati dia medail sekali lagi. Dia inginkan kepastian. Apabila jawapan operator tetap sama Mukhreez pun ambil keputusan.
“Tak masuk juga. Nampaknya, adik memang kena pergi dengan cikgu adik.” Akhirnya Mukhreez terpaksa mengalah.
Dan… bibir Aiza terus tersungging senyum panjang. Mukhreez yang menyedari sikap adiknya itu sekali lagi memandang hairan. Dalam kepala curiga bersarang. Dia dapat merasakan ada rahsia yang disembunyikan Aiza dan dia akan dedahkan. Kenapa adiknya tak mahu dihantar? Kenapa adiknya tak suka dia mengenali guru kelas sendiri dan kenapa nombor telefon guru kelas gadis itu tak dapat dihubungi.
Tak apa. Dia akan cari sebabnya sampai dapat.
***
Perkarangan sekolah
“Jangan tunggu. Balik!” arah Aiza keras sambil mengetap bibir menahan merah. Kepala Mukhreez terundur ke belakang. Buat-buat terkejut.
“Uish, garangnya. Sikit lagi abang long kena telan.” Mukhreez sengaja berlawak namun Aiza menjeling geram.
“Dah, pergi!” arah Aiza sebaik keluar dari perut kereta. Cermin tingkap yang masih terbuka menempiaskan suara Aiza sehingga meninggalkan gema di telinga Mukhreez.
“Kenapa ni, dik? Kenapa abang long tak boleh hantar sampai ke dalam? Lagipun tak ada siapa pun yang kenal abang. Satu lagi, kalau ada yang tanya cakaplah abang ni abang grab.”
Aiza buat muka.
“Abang long adik driver bas okay. Bukan driver grab, bukan pilot. So, abang long balik sekarang,” arah Aiza lantas menonong pergi sehingga sampai di pintu pagar sekolah.
Mukhreez menggeleng tak faham. Sampai sekarang dia tak tahu sebab apa Aiza nak rahsiakan status keluarga. Kalau nak kata daddy mereka orang popular dekat Malaysia itu tak mungkin. Daddy hanya terkenal di kalangan syarikat-syarikat pengangkutan di Malaysia. Kalau dalam kalangan orang bawahan mereka tak kenal pun siapa itu Dato’ Seri Zainul Arif. Tetapi kalau sebut SpeeDiTrans tentu orang semua tahu. Pengangkutan awam yang kelihatan mewah tetapi boleh diguna oleh semua lapisan masyarakat.
Jadi, kenapa Aiza nak berahsia?
Lalu Mukhreez masukkan gear. Baru nak bergerak Aiza kembali jongolkan muka di pintu tingkap.
“Hah, balik nanti abang long boleh datang ambil. Dah nak drive jauh sangat kan,” perli Aiza dan memuntahkan tawa Mukhreez. Terus dia mengangguk lucu. Macam-macam betul perangai adiknya. Tapi tak apa.
Senyuman dilempar jauh. Dalam kepala sudah ada rancangan yang diatur. Setelah Aiza menghilang ke dalam pagar sekolah dia membuat pusingan u-turn. Kembali ke tempat tadi. Dalam dua tiga minit menunggu dia bergerak perlahan-lahan menghampiri pintu pagar utama sekolah. Berhenti di seberang jalan. Dari situ dia mengintai perilaku Aiza.
Dari celah-celah pagar dia dapat melihat dengan jelas sebuah Myvi ungu gelap baru saja memasuki petak parkir di hadapan bangunan utama sekolah. Adiknya itu pula sedang berdiri di dinding bangunan. Kelihatan beg pakaian gadis itu di sebelah kaki. Mukhreez dapat melihat seorang pemandu perempuan keluar namun susuk itu membelakangi dan hatinya hampa. Dia hendak sangat melihat wajah guru kelas adiknya namun terhendap macam monyet sekalipun wajah itu tetap tak nampak. Tetapi dalam hati dia cukup yakin itulah Cikgu Syifaa.
Dia lihat guru muda itu seperti menyapa Aiza namun gadis itu buat tak endah. Lalu susuk itu menghilang ke dalam bangunan dan hati Mukhreez hampa. Sikap adiknya membuat dirinya kesal. Kenapa adiknya tunjuk degil? Tunjuk keras kepala. Hati tertanya-tanya.
Wajah guru kelas itu lama pula menghilang lalu dia betulkan stesen radio. Baru beberapa minit dia tersedar. Berpaling lalu kereta tadi sudah mengundur hendak keluar dari kawasan sekolah. Kelibat adiknya sudah tidak menyandar di dinding lagi. Hati pun lega. Adiknya sudah masuk ke dalam kereta. Namun ada hampa yang datang.
Hampa kerana wajah guru kelas itu tak berjaya dilihat. Dengan perasaan kecewa dia menghubungi pembantunya. Memberitahu akan kembali masuk ke pejabat sekejap lagi. Tak tunggu lama dia mula memandu hendak meninggalkan kawasan sekolah. Ketika itu jugalah kereta Myvi ungu itu pun keluar dari pagar dan Mukhreez sempat menangkap nombor plat di belakang. Lalu dia hafal cepat. Berharap apabila terserempak dia boleh bunyikan hon tanda terima kasih atas segala budi Cikgu Syifaa.
Dia pun berlalu pergi dengan laju.
Melintasi kereta tersebut untuk kembali ke pejabat.
Share this novel