Wad berbayar, Hospital SALAM
Syifaa mundar-mandir di luar bilik rawatan. Dadanya berdebar teruk. Farah pula yang naik pening melihat gadis itu ke sana ke mari Bagaikan Aiza adalah anaknya.
“Dahlah Syifaa. Aku risau kau pulak yang tumbang.” Farah menasihati dan seperti dulu Syifaa dan degilnya tak boleh berpisah.
“Kalau jadi apa-apa dekat dia, mana aku nak cari penjaga dia. Nombor telefon pun tak ada. Nak berhubung macam mana,” luah Syifaa kesal. Dia mendekati Farah lalu duduk di sebelah gadis itu. Dia bermain dengan jemari sendiri. cuba membuang rasa resah yang tak berkesudahan.
“Itu masalahnya. Bila APDM tak diisi dengan lengkap macam inilah jadinya,” omel Farah geram. Geram dengan perangai pelajar Syifaa.
Syifaa pula menekur ke bawah. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Kad pengenalan gadis itu yang disimpan dalam poket baju kurungnya di tarik keluar.
“Tengok alamat dekat IC tak sama dengan alamat dalam sistem. Mana satu aku nak guna ni,” soal Syifaa risau. Dia bermain-main dengan kad berwana biru laut itu sambil menunggu doktor selesai membuat rawatan. Begitu lama sehingga duduknya rasa serba tak kena.
“Tu, doktor dah keluar,” beritahu Farah dan mereka sama-sama berdiri.
“Nampaknya patient kena bermalam dekat wad buat sementara waktu. Kami masih belum dapat mengenal pasti penyakit yang patient hidapi tetapi dari cerita yang cikgu cakap kemungkinan patient ada apendiks.”
Ternganga mulut Syifaa mendengar berita dari mulut doktor separuh abad itu.
“Kami kena dapatkan maklumat pesakit lebih dahulu. Kena berbincang dengan keluarga pesakit supaya senang untuk kami buat rawatan susulan.”
Terpinga-pinga Syifaa dengan permintaan doktor tersebut. Mana nak cari penjaga Aiza Munirah. Dalam sistem maklumat murid pun hanya ada nama Pak Aziz dan alamat. Nampak gayanya malam ini juga dia kena ke rumah penjaga gadis itu berdasarkan alamat yang ada.
Dia pandang Farah sebaik doktor berlalu pergi.
“Saya akan masuk pantau pesakit sejam sekali.” Muncul jururawat dari dalam bilik.
“Boleh kami masuk?” tanya Farah dan jururawat itu angguk seraya tersenyum.
Syifaa dan Farah sama-sama masuk ke dalam. Melihat lena gadis itu yang ibarat anak kecil hati kedua-duanya tersentuh.
Benarkah gadis ini sebatang kara? Hati tidak mahu percaya.
“Syifaa, bukan dia ada telefon ke? Cuba kau cek. Mana tahu kat dalam tu tentu ada nombor telefon yang boleh kita hubungi," arah Farah dan Syifaa tak tunggu lama. Pantas dia gagau beg sandang Aiza Munirah. Lega kerana berjaya ditemui. Baru hendak menatal skrin telefon gadis itu berbunyi lagu R&B. Terpegun melihat nama abang long tertera di layar skrin.
Syifaa tunjuk kepada Farah.
“Siapa?” soal Farah. Syifaa geleng kepala.
Deringan mati.
“Nama abang long. Dia ada abang ke?” Syifa garu kepala yang tak gatal dan Farah terangguk-angguk.
“Mungkin kut.”
Kali ini telefon berdering lagi.
“Eh, jawab lah," suruh Farah namun hati Syifaa pula yang tak keruan. Apa yang perlu dia beritahu pemanggil. Tentu orangnya akan terkejut mendengar berita mengenai pesakit.
Deringan berhenti pula. Tak lama berbunyi lagi. Dalam dua tiga kali juga.
“Macam mana nak cakap?” soal Syifaa berat hati.
“Berterus terang itu lebih baik. Pahit macam mana sekalipun pihak sana kena tahu.”
Akhirnya Syifaa akur juga. Sebaik telefon berdering sekali lagi dia pantas membawanya keluar dari bilik. Tidak mahu perbualannya mengganggu lena Aiza Munirah.
“Adik pergi mana. Dah masuk maghrib tapi adik tak balik-balik lagi. Semua orang risaukan adik. Pak Aziz cari dekat sekolah tak ada. Dekat pejabat daddy pun tak ada. Adik pergi mana sebenarnya?”
Terkedu Syifaa mendengar soalan yang bertalu-talu dari pemanggil lelaki. Langsung bibirnya kelu.
“Jangan buat abang long macam ni. Kalau adik marah dekat abang long sekalipun adik jangan libatkan orang lain.”
Syifaa hela nafas panjang.
“Kenapa adik senyap. Adik masih nak boikot abang long ke?”
Makin dia senyap makin banyak yang dia dapat tahu. Tetapi alangkah berdosanya dia membiarkan orang di sana bercakap seorang diri tanpa tahu apa-apa.
“Assalamualaikum.”
Akhirnya dia lontarkan salam dan pastinya orang di sana terkedu.
Mukhreez Hadi terpana. Suara yang keluar tidak sama dengan suara adiknya.
“Maaf ya, encik. Saya guru kelas Aiza Munirah. Dia sekarang admitted dekat wad SALAM. Petang tadi dia pengsan.”
Mukhreez tersentak.
“Kenapa baru nak bagitahu?” suara lelaki itu menjerkah keras dan perut Syifaa kecut ketakutan.
“Maaf. Saya tak ada nombor telefon encik.”
“What the hell. Tunggu dah nak mati baru nak call. Guru kelas jenis apa macam ni.”
Tuuuttt!!!
Talian diputuskan dan Syifaa genggam penumbuk. Sabar Syifaa. Sabar. Bukankah kau dah janji tidak akan jadi perempuan keras kepala. Kau dah berubah menjadi perempuan yang lemah lembut. Setakat kena marah dengan penjaga itu biasa. Bukan kau tak pernah rasa masa mengajar dekat Sarawak dulu.
Hatinya beristighfar. Kemudian melangkah masuk ke dalam membawa muka hambar.
“Macam mana?” soal Farah ingin tahu.
“Kena marah adalah.”
Tercengang Farah mendengar jawapan Syifaa.
“Apahal pulak.”
“Dia cakap aku lambat bagitahu. Tunggu adik dia ma….” Tak mampu Syifaa nak habiskan kata mengenangkan ayat itu tidak sepatutnya diucapkan. Farah sudah jegilkan mata. Tahu sangat ayat apa yang Syifaa tak mampu habiskan.
“Kejap lagi dia sampai.”
Nampak muka Syifaa sedih. Farah tahu Syifaa terkesan. Kalau lelaki itu datang nanti tahulah dia nak ajar.
“Jomlah kita solat dulu. Lewat sangat dah ni. Isyak pun dah tak lama nak masuk.”
Farah tersedar dari lamunan. Rupanya mereka sudah melewatkan solat. Terus dia bangkit. Tinggalkan Aiza seketika. Mereka mula mencari surau dengan bertanyakan jururawat yang mereka jumpa.
“Abang Man kau call tadi. Cakap nak ajak kau dinner dekat luar.”
“Habis tu kau cakap apa?”
“Aku suruh dia datang ambil kau kat sini.”
“Habis tu Aiza?”
Farah hentikan langkah.
“Biar aku yang tunggu. Bila penjaga dia dah sampai, aku blah. Nanti kita jumpa kat restoran.”
Syifaa angguk lalu tarik tangan Farah. Laju mereka melangkah ke surau. Tidak mahu terlepas waktu. Namun dalam hati kedua-duanya ada perasaan tidak sama yang menyusup masuk. Syifaa risaukan Aiza. Namun Farah sedang menunggu masa hendak membalas balik apa yang penjaga Aiza buat pada sahabat baiknya itu.
***
Melihat wajah pucat yang sedang lena itu, hati Mukhreez rasa kesal. Kesal kerana melepaskan tanggungjawab semata-mata mengikut kata hati yang terluka. Dia tarik kerusi lalu duduk menghadap adiknya. Kolam matanya bergenang. Pantas dia tarik tangan lembut milik adiknya.
“Maafkan abang long, dik. Kerana abang terlalu mengikut kata hati adik yang merana. Marahlah abang sepuas hati adik. Kalau itu yang dapat memuaskan hati. Pukullah abang long. Siatlah kulit abang long. Abang long rela. Tetapi jangan sesekali benci abang long. Itu tak mampu abang pikul,” keluh Mukhreez perlahan. Tanpa dia sedari air mata adiknya mengalir keluar.
Aiza mendengarnya. Aiza sudah sedar dari lena. Hanya Mukhreez yang tidak tahu.
Pintu bilik tiba-tiba dikuak orang. Lalu Mukhreez menoleh. Melihat seorang gadis berbaju kurung berdiri di muka pintu pantas dia bangun dan menghadap gadis itu.
Farah pula terkedu. Tak mungkin lelaki ini tersilap bilik. Inikah abang long yang telah bercakap dengan Syifaa sebentar tadi. Melihat pakaian berjenama yang membalut tubuh lelaki di depan dia tidak mahu percaya. Aiza cakap dia sebatang kara. Kenapa yang muncul ini nampak seperti putera raja.
“Guru kelas Aiza?” soal Mukhreez meneka dalam suara sopan. Farah menggeleng menafikan.
Mendengar suara tenang lelaki itu terus amarah yang bersarang dalam lubuk hatinya sebelum solat tadi hilang entah ke mana. Dia terpaku sebenarnya kerana itu dia menggeleng sahaja. Wajah lelaki ini dengan wajah Aiza memang saling tak tumpah. Cukuplah kalau dia katakan wajah ini wajah mewah. Bukan wajah kampung yang sekali tengok macam penoreh getah. Tetapi wajah ini wajah lelaki berkerjaya dan duduknya di dalam bilik yang berhawa dingin. Sama juga dengan wajah Aiza. Gadis itu memang terkenal dengan kecantikannya. Persis gadis kacukan. Tetapi sayang perangainya tidak seiring dengan kelebihannya.
Tiba-tiba amarah Farah kembali menghuni dada setelah nama Aiza menyusup masuk ke dalam kepala. Matanya kerling gadis itu yang nampak lena tetapi dia tahu Aiza sudah terjaga.
“Mana guru kelas adik saya?” soal Mukhreez mahu tahu.
“Dia dah balik. Ada urusan yang nak diselesaikan. Dia bukannya robot. Ada masa dia letih jugak.”
Tak pasal-pasal Farah hamburkan suara keras. Tercengang Mukhreez dengan kata-kata gadis itu. Kenapa balasan kata kedengaran kasar.
“Habis tu cik ni siapa?”
“Saya cikgu Farah. Tolong jaga Aiza sementara encik sampai.”
Mukhreez akhirnya mengangguk faham.
“Encik pun dah sampai jadi saya nak balik dululah. Saya harap Aiza akan sihat sepenuhnya. Exam dah tak lama. Jangan sampai masa exam dia terpaksa jawab soalan dekat hospital pula.”
Makinlah Mukhreez rasa pelik. Sinis bunyi ayat yang keluar dari mulut cikgu muda itu. Melihat gerak langkah guru itu yang menghampiri adiknya dia menunggu dengan sabar.
“Cikgu tahu Aiza dah sedar kan. So, cikgu harap Aiza jaga diri. Nanti dah sihat jangan nak peningkan kepala cikgu lagi.”
Sekali lagi Mukhreez tercengang mendengar kata-kata gadis itu. Dia ketinggalan sesuatukah. Pantas matanya singgah pada mata adiknya yang terpejam tetapi nampak bergerak-gerak. Sedarlah dia adiknya itu berpura-pura tidur.
“Apa maksud cikgu yang adik saya peningkan kepala cikgu?” soal Mukhreez tidak faham. Dia kerling adiknya yang sudah mengiring.
Panas hati Farah melihat gelagat Aiza Munirah yang keraskan diri ibarat tidak ada apa-apa yang berlaku. Hendak saja dia hamburkan marahnya pada kedua-dua manusia ini namun melihat lelaki itu yang seperti tidak tahu apa-apa dia jadi kasihan pula. Lalu dia minta diri. Malas hendak menjawab pertanyaan lelaki itu. Lagipun dia tiada hak untuk bercerita tentang Aiza.
Dia keluar dari bilik mahu menyertai Syifaa di restoren tetapi langkahnya terhenti apabila namanya dipanggil lelaki itu.
“Beri saya nombor telefon cikgu. Senang untuk saya tahu perkembangan adik saya.”
Farah menggeleng.
“Saya bukan guru kelas Aiza. Jadi saya tak layak nak bagi nombor telefon saya. Apa-apa hal berkaitan dengam adik encik sila berhubung dengan guru kelas adik encik, Cikgu Syifaa."
Syifaa!
Terus nama itu membawa dia merentas masa. Memori yang sudah lama ditinggalkan kembali hijau di dalam minda. Tak mungkin Syifaa yang disebut gadis itu sama dengan Syifaa yang terlakar di atas kertas lukisan suatu waktu dulu.
Tak mungkin. Tetapi… wajah yang ada di depannya ini seakan pernah dia lihat. Cuma dia tidak tahu di mana.
“Macam mana Aiza kat sekolah?” soal Mukhreez ingin tahu. Lagi sekali Farah menggeleng.
“Saya tak layak ceritakan apa saja fasal adik encik. Eloklah encik tanya sendiri pada guru kelas dia.”
“Kalau macam tu berikan saya nombor telefon guru kelas Aiza.”
Farah diam seketika.
“Minta dengan Aiza. Dari situ encik akan tahu dia simpan atau tidak nombor guru kelas dia.”
Sungguh Mukhreez tidak faham. Farah mahu pergi tetapi kembali menoleh dan menghadap lelaki itu.
“Saya tak mengajar Aiza tapi cikgu Syifaa selalu cakap dengan saya yang Aiza tu cerdik orangnya. Tapi saya betul-betul musykil.” Farah tujukan mata pada bola mata lelaki itu. “Dia cakap dia sebatang kara. Maklumat keluarga pun tak ada dalam sistem. Lihat nama penjaga pun lain dari kad pengenalan. Jadi kami anggap memang dia sebatang kara. Malah dia cakap dia orang miskin tak ada harta. Tapi kan….” Farah berhenti dan Mukhreez menanti dengan seribu rasa.
“Kalau miskin kenapa datang sekolah bawa iphone. Dahlah terkini punya. Tak ke kami semua rasa pelik.”
Mukreez terpukul. Selama ini dia tidak tahu apa-apa. Jadi dia rasa dia sudah banyak ketinggalan cerita tentang adiknya. Kerana diakah adiknya berbohong pasal keluarga. Dia tidak dapat mencari jawapannya. Namun dia akan usahakan agar Aiza berterus-terang.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Saya harap Aiza tidak akan buat hal lagi. Kasihan dekat guru kelas dia.”
“Selepas dengar cerita cikgu saya beranggapan adik saya dah bawa masalah pada sekolah.”
“Bukan masalah besar pun encik. Tapi kami bimbang prestasi dia akan merosot. Sayanglah, kalau result perikse penting dia merudum jatuh.”
“Macam mana saya nak hubungi guru kelas Aiza?”
Farah geleng kepala.
"Tanya Aiza." Ringkas saja jawapan Farah dan membuat Mukhreez rasa bodoh. Banyak betul cerita fasal adiknya yang dia tidak tahu.
“Saya pergi dulu. Nanti encik boleh tanya doktor pasal kesihatan Aiza.”
Farah mula melangkah. Namun berhenti dan menolah semula.
“Saya rasa mungkin selepas balik dari sekolah esok tentu cikgu Syifaa akan singgah melawat Aiza. Dia sayang sangat dekat Aiza tu. Tapi itulah….” Farah tak habiskan kata sebaliknya berlalu meninggalkan lelaki itu dengan seribu persoalan.
Share this novel