***
Mukhreez tarik kerusi penuh wibawa. . Inilah masa yang ditunggu-tunggu selama ini. Siang malam berusaha akhirnya rezekinya tiba. Tetapi ada satu yang buat dia kecewa. Gadis itu tidak memakai baju yang diberikan. Dia lebih dahulu menilai baju itu sebelum Aiza berikan kepada cikgu di depan ini. Dia mahu yang terbaik namun dia hampa juga.
Hajatnya tak kesampaian. Tetapi tak apa. Dia sempat merakam gambar gadis itu tadi dan dia akan jadikannya sebagai pengulit tidurnya nanti.
Nafas gembira dihembus lega. Buang segala hampa yang datang mengganggu. Pertemuan yang terjadi ini adalah satu rahmat dan matanya langsung tak mahu digerakkan. Sesaat pun dia tak mahu melepaskan peluang yang datang. Dia meneroka setiap inci wajah itu. Dia mahu melepaskan rindu yang berkurung di dalam dada sejak sekian lama. Tetapi keadaan gadis itu yang resah tak pantas dibiarkan lama. Bimbang juga kalau tiba-tiba si gadis larikan diri. Dia yang akan rugi.
“Terima kasih sebab sanggup datang,” ucap Mukhreez mesra. Syifaa pula mengetap bibir belah dalam seraya kepala masih mencari kepastian. Betulkah lelaki itu hendak berjumpa dengannya. Mungkin lelaki itu Hadi yang lain. Lalu dia pandang wajah itu dengan muka berkerut.
Hati Mukhreez pantas berbunga. Dalam berkerut begitu pun dia tak mampu nak alihkan mata. Kalau dah halal memang dia tak akan lepaskan gadis itu. Jauh dia berangan dan senyuman yang terlakar makin membuat si gadis makin resah.
“Am I doing wrong?” soal Mukhreez menguji dan muka itu masih berkerut.
“Erk, ma… maaf. Encik tak salah orang kan?”
“Salah orang? Maksud cik….” Sengaja Muhkreez main tarik tali.
“Encik nak jumpa siapa sebenarnya?” soal Syifaa dan berharap bukan dirinya yang dituju. Lelaki di depan ukir senyum lagi. Tak habis-habis senyum sampai Syifaa tak mampu nak bernafas dengan betul.
“Saya tak salah orang. Memang saya nak jumpa orang depan ni. Nur Syifaa Hayati binti Hamzah,” ujar lelaki itu dengan muka yang sudah serius. Terus Syifaa menelan liurnya tak percaya. Bagaimana lelaki itu boleh tahu nama penuhnya.
“Macam mana encik tahu nama penuh saya?” soal Syifaa macam budak kelas belakang. Mata memandang takut-takut. Tetapi Mukhreez tergeleng-geleng lucu. Tak sangka gadis di depan ini naif orangnya.
“Cuba ingat balik macam mana saya boleh hantar sweetie pergi kecemasan?” suruh Mukhreez dan terus wajah Syifaa membahang merah. Apabila lelaki itu memanggilnya begitu di akhirnya dia yakin lelaki itu memang Hadi aka Sylverster the Cat. Tapi dia bodoh. Boleh pula tanya soalan begitu. Sah-sah lelaki itu dah tengok kad pengenalannya.
Okay. Itu dia tak kisah. Tetapi? Hari tu baju dia koyak. Rambut dia terurai dan perut dia berdarah. Apakah lelaki itu sudah melihat semuanya. Adakah lelaki itu juga yang mengangkatnya. Pertanyaan dalam kepala tak terjawab tetapi senyuman yang terlakar di bibir lelaki itu memberikan jawapan yang cukup sempurna.
“Jadi….”
Mukhreez senyum.
“Jangan bimbang. Only that time. Untuk seterusnya saya akan pastikan kita halal dulu.”
Makin tebal kulit muka Syifaa. Tak sangka lelaki itu boleh membuat dirinya ingat semula benda yang dah lama. Tak tahu nak cakap apa lalu dia tunduk. Pandang beg tangan di atas kerusi sebelah. Sungguh dia gugup. Tanpa dia sedar lelaki di depan semakin galak meneroka wajahnya.
Ada rasa cinta yang sukar Mukhreez halang. Dia tak akan matikan benih cinta yang semakin subur ini. Tambahan pula matlamatnya sekarang hanyalah satu.
Dia akan pastikan gadis itu ingat pertemuan ini.
Syifaa yang resah terus tarik beg tangannya. Dia tak boleh lama. Kalau tidak dia akan terbakar hangus. Pantas dia keluarkan sampul berwarna coklat muda. Letakkan ke atas meja dan tolak sampul itu ke depan dengan tangan yang masih terketar-ketar. Walau tak kuat tetap membuat hati Muhkreez berbunga. Itu tandanya gadis itu tak pernah jumpa lelaki lain. Itu juga tandanya gadis itu tak pernah keluar blind date. Dia suka.
“Ini duit encik. Tolong ambil. Saya tak nak berhutang dan saya tak dapat nak tunggu lama,” ujar Syifaa. Mata sesekali pandang ke luar. Mencari Farah namun batang hidung gadis itu langsung tak nampak di mata. Dia sudahlah resah. Perlukan teman namun Farah seakan hilang dari radar.
Mukhreez di depan pula tarik sampul dengan senang hati. Buka sedikit dan tengok isi di dalam. Ada duit tunai. Gadis itu kotakan janji. Malah gadis itu amat nekad. Sanggup bawa duit tunai sebanyak ini hanya semata-mata tak mahu menerima lamaran perkenalannya.
Mukhreez herot senyum lantas letakkan kembali sampul. Syifaa pula pantas menggeleng kecil lalu buat-buat pandang ke atas. Senyuman lelaki itu benar-benar mengganggunya.
“Kenapa tak kira?” tanya Syifaa. Pelik. Dia sudah bagi kenapa lelaki itu buat tak tahu pula.
“Nak kira duit dekat tempat awam macam ni. Awak rasa semua orang kat sini baik ke?” Soalan lelaki itu menyedarkan dirinya yang tak semua orang berhati baik.
“Entah-entah lepas ni saya kena pukul. Tak pun kena culik. Paling sadis saya kena tembak.”
Mendengar perkataan tembak terus kolam mata Syifaa bergenang. Dia amat takut. Terus tangannya dikepal kuat.
“Tak ada apa-apa dah rasanya nak cakap. Saya dah bayar balik duit encik. Jadi, biar saya gerak dulu.” Pantas Syifaa bangkit dan cepat-cepat Mukhreez juga berdiri.
“Wait, sweetie.”
Syifaa menjeling.
“Jangan panggil saya sweetie. Saya tak suka.”
“Okay… Okay. Saya tak panggil. Tapi, duduk dulu.” Mukhreez tengok jam tangannya dan Syifaa pula kembali henyakkan punggung dengan resah.
Mukhreez pantas merenung wajah itu.
“You know. I feel tired but... just because I'm excited to see you I don't care.”
Terkebil-kebil Syifaa memandang. Apabila lelaki itu berterus terang hatinya jadi kasihan.
“Semalam an saya tak tidur. Sampai je pagi tadi saya setelkan kerja dulu . Sengaja suruh awak datang petang sebab saya harap kita boleh berbual lama.”
Syifaa pantas mengetap bibirnya.
“Nak berbual buat apa. Saya dah cakap kan. Saya setuju nak jumpa sebab nak bayar balik duit encik dan encik sendiri dah janji tak akan kacau saya lagi.” Kasar nada suara Syifaa tetapi Mukhreez tak kisah.
“Saya tak mampu tepati janji. Saya memang nak kawan dengan awak tapi awak tak setuju. So, saya nak upgrade jadi kekasih saya. Saya harap awak tak tolak.” Tiba-tiba saja Mukhreez luahkan rasa dan membuat dada Syifaa berdebar kuat.
Perkataan kekasih itu membuat duduknya serba tak kena. Lalu dipandang wajah di depan dengan muka tak puas hati. Dia tak menafikan lelaki itu begitu segak orangnya. Tetapi sebaik melihat wajah itu hatinya pantas memutuskan. Dia tak mahu kenal dengan mana-mana lelaki. Dia juga tak mahu bercinta.
“Saya tak nak. Cari orang lain.” Terus Syifaa bangkit namun Mukhreez menghalang sekali lagi. Lagak mereka berdua sudah seperti pasangan kekasih yang sedang bergaduh. Yang lelaki sedang memujuk yang perempuan merajuk tak sudah.
Melihat mata yang asyik menjeling pandang pantas Syifaa tersedar. Geram dengan diri sendiri kerana tak berjaya melarikan dari lelaki di depan spontan diketapnya bibir.
“Jangan buat macam tu.”
Tiba-tiba lelaki itu menegah. Spontan Syifaa lepaskan bibirnya dan mata kelip-kelip memandang lelaki itu. Tak faham.
Mukhreez pula telan liurnya keras. Tindakan gadis itu membuat duduknya tak senang. Rasa nak saja tarik gadis itu bawa ke pejabat qadi. Tetapi dia masih waras.
“Your act. Will take my breath away.”
Dan Syifaa tunduk ke bawah. Dada bergoncang kuat. Tak mampu hendak mengangkat muka. Sungguh dia malu. Mukhreez pula hembus nafas panjang. Kesal kerana kali pertama berjumpa dia tak mampu mengawal patah-patah yang keluar dari mulutnya. Kerana hati yang terlalu mendambakan gadis di depan dia dah macam orang gila.
Lalu dia berdehem betulkan suara.
“Sorry for the phrase,” ucap Mukhreez lantas tarik beg kertas di kerusi sebelah. Bawa naik ke atas meja dan tolak ke hadapan gadis yang masih menekur ke bawah.
“This is for you. From Sydney with love,” ujar Mukhreez dan serta merta Syifaa angkat muka.
Perkataan maaf yang keluar dari mulut itu tadi disertakan sekali dengan hadiah membuat hatinya berbelah bahagi. Dia nampak hati lelaki itu lembut. Mudah meminta maaf. Beg kertas yang dihulurkan itu pula tanda lelaki itu bersifat pemurah. Namun, dia yang malu.
“Saya tak minta apa-apa pun. Kenapa….” tak habis ayatnya apabila lelaki itu menggeleng.
“Yes I know, but this is for you. Just for you sebab sudi jumpa saya kat airport hari ini. Saya anggap awak datang menyambut saya pulang dan saya harap awak tak tolak. Anggap lah ini juga sebagai hadiah perkenalan kita.”
Syifaa mengetap bibirnya belah dalam pula. Dah tebiasa. Dia amat malu dengan cara lelaki itu. Malah cukup segan kerana tadi bukan main lagi dia beria hendak balik. Beria menolak lelaki itu tetapi akhirnya sikap pemurah lelaki itu terzahir sampai ke sini. Dia teragak-agak hendak mengambilnya. Tetapi renungan mata itu kelihatan amat berharap. Akhirnya dia tarik juga beg itu.
“Terima kasih!” ucap Syifaa lembut dan suara itu terus menusuk ke hati Mukhreez. Sudah tidak kedengaran suara hambar mahupun keras. Nada itu sudah berubah. Terus sekali lagi matanya memanah mata gadis di depan.
Syifaa pantas melarikan matanya. Ada debar menggila dan Mukhreez senyum bahagia.
“Kita minum dulu,” pelawa Mukhreez. Berharap pertemuan ini tidak terhenti lagi. Namun Syifaa menolak.
“Maaf. Saya puasa.”
Mukhreez senyum.
Dia sudah maklum. Aiza sudah memberitahunya. Cikgu cantik itu tak lokek bercerita pada adiknya hendak habiskan qada puasanya sampai minggu depan. Haih, lama betul cuti.
Kepala lelakinya sudah berputar jauh. Tetapi cepat-cepat dia buang.
“Tunggu kejap.” Langkah diatur ke kaunter. Bercakap-cakap dengan pelayan di situ seketika dan kembali semula ke meja. Baru sahaja hendak duduk telefon di dalam poket seluar berdering. Melihat saja nama Tan Sri Zainul Arif terus Mukhreez menjauh.beri isyarat hendak menjawab panggilan. Syifaa mengeyakan.
Tak lama Mukhreez kembali semula ke meja lantas labuhkan punggung.
“Saya ingat kita boleh duduk lama-lama kat sini tapi itulah. Saya terpaksa tinggalkan sweetie.”
Lagi sekali panggilan itu muncul dari bibir Mukhreez dan membuat Syifaa mengetap bibirnya geram. Sebaliknya pula bagi Mukhreez. Pantas naikkan jari tanda tidak membenarkan Syifaa berbuat begitu. Apabila Syifaa akur hati Mukhreez rasa begitu berat hendak beransur pergi.
“Is it okay to leave you alone, sweetie?”
Panggilan itu masih tak hilang dari mulut lelaki itu dan buat hati Syifaa mendidih geram.
“Sekali lagi encik panggil saya macam tu saya tinggal barang ni kat sini. Jangan harap encik dapat hantar mesej pada saya lagi,” ugut Syifaa seraya tanpa sedar dia sebenarnya yang salah dan Mukhreez hanya ukir senyum.
“Promise to call me Hadi and after this no more sweetie but… if you still call me encik….” Mukhreez berhenti. Tidak menyambung kata sebaliknya merenung wajah itu redup sehingga menerbitkan detak pelik dalam hati Syifaa.
“I’ll move first. Take care and until next time, dear!” ucap Mukhreez lantas sandang beg ke bahu Kenyitkan mata kemudian berlalu pergi membawa hati yang gembira. Dalam kepala pelbagai rancangan disusun. Demi mendapatkan gadis itu.
Sementara di meja, Syifaa diam tak bersuara. Sikap lelaki itu membuat hatinya goyah. Dia keliru. Tak tahu nak buat apa tetapi akhirnya dia bangkit untuk keluar dari kafe. Namun, langkahnya tak sempat bermula. Lelaki itu tidak membawa bersama sampul yang diberikan tadi. Terus hatinya patah. Perlahan-lahan dia tarik.
Apakah lelaki itu sengaja? Berharap ada pertemuan seterusnya atau memang lelaki itu benar-benar ikhlas menolongnya. Syifaa kesal dan kepala terteleng-teleng ke luar mencari kelibat tadi namun hampa kerana sudah tidak nampak di mata
Nafas dihela panjang. Terpaksa dia menghubungi juga dengan berat hati.
“Yes, sweetie.” Mukhreez menjawab seraya melangkah ke kedai menjual coklat.
“Kenapa tak ambil duit yang saya dah bagi tadi?” soal Syifaa kesal tetapi lelaki itu boleh diam sejenak.
“Dapat jumpa hari ini pun dah satu rahmat. Saya tak nak duit. Saya hanya tunggu sweetie setuju saja. Setuju untuk jadi kekasih saya.”
Dan… dada Syifaa berdebar kuat. Tak beri signal terus saja putuskan telefon. Pandang telefon tak percaya. Baru saja jumpa terus nak berkasih. Dia tak mampu terima. Terus dia tarik beg kertas. Mahu keluar namun langkahnya tersekat. Pelayan datang membawa plastik berisi bungkusan makanan.
“Encik tadi minta kami bungkuskan makanan untuk cik.” Pelayan itu hulurkan plastik bersama senyum penuh makna. Terpinga-pinga Syifaa tidak faham tetapi tetap mengambilnya juga. Tengok isi di dalam. Nampak saja kertas berlipat di dalam terus ditariknya keluar.
- Take this for your iftar, sweetie.
- May Allah grant you ‘Hadi’ to become your imam.
Ternganga mulut Syifaa tak percaya dengan tulisan lelaki itu. Tiba-tiba hatinya luruh di kaki sendiri.
Share this novel