Dewan Utama Sekolah
Resah sungguh menanti hari Sabtu tiba. Walaupun lambat lagi tetapi duduknya serba tak kena. Sungguh Syifaa penasaran.
Itulah. Nak bayar balik sangat. Tak pasal-pasal kena bayar tunai lepas tu depan-depan pula. Hati tak sanggup tapi dah terlajak bersetuju. Nak buat macam mana. Dia memang kena hadap juga. Kalau dia tangguh sah-sah lelaki itu akan mengacaunya.
Syifaa pejamkan mata. Rasa nak saja undur balik masa yang sudah berlalu.
“Ni mesti takut nak jumpa kan? “ sapa Farah lantas labuhkan punggung di sebelah Syifaa. Pantas Syifaa celikkan mata. Pandang ke arah pentas tetapi kepala memikirkan benda lain.
“Nak jumpa lelaki yang kita tak kenal. Kau ingat aku berani sangat ke. Entah-entah buaya tembaga.”
Langsung Farah tergelak dengan kata-kata Syifaa.
“Aku tak tahu nak cakap apa tapi kan. Aku rasa….” Farah berhenti dan jongketkan kening ke arah Syifaa. “Aku rasa dia memang handsomelah. Biasanya orang nama Hadi ni segak kak oooiii.”
Pantas Syifaa kerutkan muka. Tak boleh pakai betul teori Farah.
“Kau tak percaya. Kau tengok arwah suami kau. Pertama kali jumpa dia apa yang kau rasa.”
Terus mata Syifaa melekat di dinding dewan. Ternampak wajah arwah suaminya yang tersenyum manis saat pertama kali mereka bertemu. Dia cukup terkejut dengan penampilan di depan matanya. Lelaki itu bukan lelaki muda atau sama umur dengannya. Tetapi lelaki itu hampir sebaya dengan abah tirinya. Wajahnya yang bersih dari segala noda hitam berserta dengan tubuh yang dibaluti pakaian yang kemas mampu menipu mata semua orang dan dialah gadis yang tertipu itu. 47 tahun adalah angka yang tidak boleh dipercayai. Dia tidak menduga sama sekali yang dia boleh jatuh cinta pada lelaki itu.
Hatinya cukup kesal. Tetapi soalan daya. Jika Tuhan Berkehendak tiada siapa yang mampu menolak. Apatah lagi hatinya sendiri mula menyukai lelaki itu sebaik melihat keindahan peribadi yang terzahir.
Sikap ambil berat lelaki itu yang tidak me lampau dan berselang-seli dengan romantis yang tidak boleh dibeli di mana-mana membuatkan dia terikat dengan lelaki itu. Namun apabila lelaki itu sudah tiada barulah dia tahu. Dia….
Pap!
Pahanya ditampar Farah lalu khayalannya terputus.
“Aku tak suruh kau ingat benda yang dah lepas. Aku nak kau hadap benda yang baru. Mana tahu kau akan jatuh cinta lagi.”
Syifaa tergelak tiba-tiba.
“Aku?” jari telunjuk di tudung ke muka sendiri. “Kau jangan nak berangan. Maaflah ya,” cebik Syifaa lantas julingkan mata ke atas. Farah balas dengan mengetap gigi.
“Jomlah. Masuk bilik. Kita rehat dulu. Lepas ni kan ada aktiviti lagi,” ajak Farah lantas bangkit. Syifaa mengangguk lalu turut bangun.
“Cikgu!”
Baru saja hendak bergerak seorang pelajar perempuan tingkatan tiga muncul. Pantas Syifaa mengalihkan pandangan.
“Ada apa?” soal Syifaa tidak faham. Tak semena-mena sekuntum mawar putih dan sebuah beg kertas dihulurkan. Terpisat-pisat Syifaa lantas mengambilnya. Pandang Farah yang tunjuk muka teruja.
“Tadi masa saya masuk pejabat kerani minta bagi dekat cikgu.” Jelas pelajar tersebut dan barulah hati Syifaa lega. Farah di sebelah pantas tunjuk sengih.
“Aku yakin kau akan jatuh cinta juga nanti,” ujar Farah dan Syifaa kerling tajam.
“Pandailah kau baca aku.”
Farah jongket bahu.
“Bukan pandai baca tapi cara kucing tu mengayat. Sama macam arw….” Farah pantas katup mulut apabila sedar hampir tersalah cakap.
“Ya. Cara mamat tu sama. Tapi aku tak akan jatuh cinta.”
Farah angkat kening. “Why?”
“Sebab dia kucing.”
Dan… tersembur tawa Farah lantas menggeleng terkena. Pandailah Syifaa membalas.
Mata mengintai beg kertas. Bunga di biarkan kerana sudah selalu menjamah mata. “Untunglah orang tu kan,” sakat Farah walhal pelajar tadi masih berdiri di depan mereka.
“Memang untung Cikgu Syifaa,” balas pelajar tersebut dan membuatkan muka kedua-duanya berubah.
“Handsome betul abang yang datang hantar bunga dengan beg tu. Silap tak ada telefon je. Kalau tidak saya ambil gambar abang tu.”
Terus dada Syifaa berdebar-debar apabila mendengar kata-kata pelajar tersebut. Farah pula kerling tidak percaya. Sebaik sahaja pelajar itu berlalu Farah terus rapatkan tubuh ke bahu Syifaa.
“Kan aku dah cakap, orang nama Hadi ni handsome.”
Pantas Syifaa julingkan mata ke atas.
“Handsome kat mata kau belum tentu handsome kat mata aku,” balas Syifaa padahal hatinya bergetar pelik.
Dan Farah mencebik apabila kata-katanya dipatahkan Syifaa.
“Jomlah masuk bilik guru.” ajak Syifaa apabila program pagi ini sudah tamat. Selepas rehat nanti akan disambung semula dengan aktiviti guru. Sempena majlis sambutan hari guru semua guru diraikan dalam majlis yang sederhana. Cumanya selepas rehat nanti guru-guru akan membuat persembahan mengikut rumah masing-masing. Mereka berdua pun tidak terkecuali. Farah sudah ada idea hendak buat apa. Cuma Syifaa sahaja yang hanya akan menyelit di belakang rakan-rakan rumahnya. Sementelah dia tidak hadir minggu lepas jadi dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Terus kaki melangkah ke mejanya. Baru saja hendak labuhkan punggung Aiza muncul dengan sekotak kek di tangan.
“Untuk cikgu.” Pantas sahaja Aiza hulurkan dengan senyuman. Farah tolong menerima kerana di tangan Syifaa sudah ada hadiah yang dipegang. Itu belum lagi yang ada di atas kerusi bahkan meja. Penuh tempat Syifaa dengan hadiah hari guru.
“Terima kasih Aiza!” ucap Syifaa dan dipeluknya gadis itu dengan mesra. Farah yang memandang cukup gembira. Kedinginan lalu sudah hilang. Berganti kemesraan yang bukan dibuat-buat.
“Moga Aiza berjaya dunia akhirat,” ucap Syifaa ikhlas dan Aiza mengangguk teruja.
“Selamat hari guru, Cikgu Syifaa. Moga apa sahaja yang cikgu impikan akan termakbul.”
Syifaa leraikan pelukan lalu berikan senyuman. Pandang kek yang telah dikeluarkan Farah. Pantas bibirnya di ketap dan dahi berkerut. Aiza perasan.
“Cantiknya deko. Nanti lain kali Aiza bagi hadiah lain tau.”
Terkebil-kebil Aiza tidak faham. Syifaa disebelah bukan main lagi mengerutkan muka tidak membenarkan Farah membocorkan rahsianya.
“Kenapa cikgu?” soal Aiza tidak sabar.
“Cikgu Syifaa tak suka sangat makan kek. Tambah-tambah kek cheese.”
Luas mulut Aiza ternganga. Tidak percaya. Mati-mati gadis itu ingatkan semua orang perempuan sukakan kek. Tak sangka pula Cikgu Syifaa sama macam abang longnya yang memang tak minat kek.
Syifaa pula menjeling Farah geram. Tak patut bocorkan rahsia. Dia tak kisah pun gadis itu hadiahkan kek. Kalau dia tak makan sekalipun dia boleh bagi cikgu lain makan. Farah punya pasal, habis kekurangannya terzahir.
“Habis tu… kalau cikgu kahwin nanti tak adalah sesi potong kek kan?” Naif gadis itu bertanya sehinggakan Syifaa tergelak kecil. Entah kenapa dia terhibur dengan soalan gadis itu.
“Nanti akan ada sesi potong pulut kuning. Tak pun potong agar-agar berlapis.” Farah tolong menjawab dan akhirnya Aiza hamburkan juga tawa. Gadis itu yang menyoal gadis itu juga yang terkena. Dan… melihat senyuman Cikgu Syifaa hati itu turut berasa bahagia. Satu lagi bonus untuk abangnya.
No more cake abang long!
***
Dalam bilik guru
Tak sabar pula hendak melihat isi di dalam beg kertas lalu Syifaa bawa ke mejanya. Bunga mawar putih yang sudah selalu dilihat dia letak ke tepi dulu. Kata-kata pelajar yang membawakan hadiah ini kepadanya telah mengganggu gugat ketahanan hatinya. Tiba-tiba sahaja dia kalah dengan kemahuan sekarang ini. Dia tak sabar hendak berjumpa lelaki itu pula.
Lantas dia tarik keluar isi di dalam. Sebuah kotak yang eksklusif. Bibir terus tersenyum panjang sebaik kotak dibuka. Tangan menyentuh satu set white board marker pelbagai warna. Hati rasa berbunga tiba-tiba. Sentuh pula sticky notes yang juga berwarna warni. Malah ada pen pelbagai warna juga.
Farah di sebelah menjeling geram.
“Jealouslah aku.” Lalu duduk dan tarik kotak. Melihat isi di dalam. Syifaa membiarkan seraya tersenyum. Kepala jauh memikirkan yang dia boleh guna semua itu. Cukup menyenangkan kerjanya. Farah kerling pelik.
“Yang kau senyum panjang tu dah kenapa?” tanya Farah hairan.
Syifaa pandang kotak di depan. “Sepanjang aku jadi cikgu tak pernah lagi orang bagi hadiah macam ni kat aku. Dan aku teruja sebab aku suka kumpul barang-barang macam ni. Satu lagi aku tak payah dah nak pergi kedai alat tulis dan borong semuanya kat kedai.” jelas Syifaa dan Farah mengangguk setuju.
“Bijak betul pakwe kau tu. Dia tahu macam mana nak tackle kau.”
Terus Syifaa terkedu.
“Farah. Kau jangan macam-macam.” Marah Syifaa. Tidak suka gadis itu menyebut begitu. “Dia bukan pakwe aku. Kawan pun bukan.”
“Hari ni bukan lagi. Esok-esok nanti aku yakin dia akan jadi pakwe kau.”
Terus Syifaa julingkan mata ke atas. Kemudian hembus nafas geram. Tarik kotak lalu simpan.
“Kau jangan nak sebut lagi. Aku tak suka,” pesan Syifaa tetapi Farah mencebik. Dalam hati berdoa agar lelaki bernama Mukhreez benar-benar menjadi teman Syifaa.
“Jomlah ke kantin. Kan kita kena makan dulu. Lepas ni nak ke padang pula.” ajak Syifaa menamatkan perbualan tentang lelaki yang tak dikenali. Farah mengeyakan. Lagipun perut sudah berkeroncong minta diisi.
Baru saja hendak melangkah keluar telefon Syifaa berbunyi. Tak jadi Farah hendak bergerak pantas merampas telefon di atas meja. Tak sempat Syifaa hendak mengambilnya. Semenjak lelaki yang dipanggil kucing itu minta bertemu Farahlah yang paling teruja.
Tak mengendahkan Syifaa yang meminta telefon. Dibukanya pesanan yang tiba.
- Happy teacher’s day.
- I gave you a set of marker to write down my name.
“Fuyooo! “
Farah muncungkan bibir. Syifaa yang turut membaca ya pantas merampas telefon. Dada usahlah cakap. Cukup berdebar melihat pesanan itu.
- If you can't wait to see me, just write my name beside your name on the sticky notes.
-And darling, don’t forget to stick it in your heart.
“Whoa…. whoa….” Farah teruja. Siap dengan tangan melekap di mulut. Wajah Syifaa pula sudah membahang merah.
“Kalau lah aku tak bertunang lagi aku rasa aku yang jatuh cinta dulu.”
Tak semena-mena jari Syifaa naik ke lengan Farah. Pantas Farah picingkan mata. “Kau cubit aku ni tandanya apa. Haa… ini mesti dah terjatuh suka kan. Yalah… perempuan mana tak suka dengan ayat lelaki macam ni. Fuh, meremang weh. Gila cara dia mengayat. Ini kalau sikit pun kau tak rasa aku tak tahulah. Nampak gayanya mamat tu kena terjun dalam kolam. Mandi bunga dulu.”
Dan kata-kata Farah mengundang geram dalam hati Syifaa. “Perempuan lain memang akan teruja. Tapi aku? Sorrylah. Dia kucing ke rimau ke aku tak mahu.” Putus Syifaa lantas bergerak keluar hendak ke kantin.
Farah di belakang terkebil-kebil pelik. Nampaknya Syifaa tak makan saman.
***
KLIA
Mukhreez di dalam kapal terbang merenung lama telefonnya. Dia amat berharap gadis itu akan mengucapkan apa-apa sahaja kata untuknya. Sebelum kapal terbang berlepas dia cukup menanti sedikit pesanan agar ia akan menjadi ubat untuknya merawat rindu. Dia mahu dirinya bahagia apabila jauh beribu batu.
Namun hati Mukhreez berderai kecewa juga apabila anak kapal telah membuat pengumuman bahawa kapal terbang akan berlepas sedikit masa lagi. Lantas dia memakai tali pinggang keselamatan dan mula hendak mematikan telefon. Tak sempat hendak menekan punat off satu pesanan masuk. Terus dia betulkan duduk. Dada pantas berdebar.
- Terima kasih atas hadiah yang encik bagi.
- saya hargai.
Yesss!
Walaupun ayat itu kedengaran skema dia tak kisah. Janji gadis itu sudi membalas. Itu tandanya dia ada peluang. Dengan cepat dia balas sebelum anak kapal datang mengganggu.
- Harap awak suka.
Tunggu si gadis dengan resah. Mata kerling peramugari di depan yang sedang bercakap-cakap dengan rakan sepenerbangan.
- Cikgu mana-mana pun akan suka dengan hadiah macam tu.
- Sekali lagi terima kasih encik.
Hati Mukhreez berbunga.
- Just call me Hadi
- No encik.
Dia menunggu gadis itu membalas namun sesaat dua tiada balasan yang muncul. Akhirnya dia yang beranikan diri.
- Saya dah ada dalam flight.
- See you soon dear.
Dada makin berdebar menanti balasan. Nasib tak lama menunggu.
- Semoga selamat pergi dan balik.
Dan… hati Mukhreez kembang mewangi. Mata dipejam rapat seraya menghembus nafas lega.
“Sir, please turn off your phone.” Datang anak kapal menegur dan Mukhreez terkial-kial malu. Gara-gara Cikgu Syifaa dia hilang dari dunia realiti. Kerana gadis itu juga dia sudah berubah.
Oh, sweetie!
Tak sabar nak jumpa.
***
Syifaa pandang nama penghantar pesanan. Nafas pun dihembus berat. Kemudian pejamkan mata seketika.
Muncul pertanyaan dalam kepala.
Entah apalah yang ada padanya sehingga lelaki yang bernama Hadi itu tak jemu berusaha. Dia tak mahu terluka lagi.
Tetapi, entah kenapa tangannya ringan membalas pesanan lelaki itu. Dia tak tahu kenapa.
‘Buka buku baru, Syifaa. Buang buku yang dah lama. Sudah tiba masanya kau ganti kenangan lalu.’
Kata-kata Farah menjenguk kepala dan hati pun nekad.
Jumpa dulu. Setelkan segala hal tak sudah. Kemudian, biarlah masa yang menentukan semuanya.
Share this novel