Maghrib hampir tiba tetapi Syifaa masih belum mandi lagi sedari balik dari kelas tadi. Gara-gara mesej tadi dia yang kaku tak mampu buat apa-apa.
“Rugilah kau. Kurang-kurang kita boleh santai kat meja makan sambil pilih makanan. Tunggu orang datang hantar je. Sekarang, kena masak sendirilah. Aku ni dahlah malas. Nak makan apa malam ni Syifaa?” tiba-tiba Farah bersuara. Muncul di depan Syifaa lalu usap perut yang kempis. “Aku laparlah.”
Syifaa yang bangkit hendak ke atas jeling menyampah.
“Makan jelah maggi. Senang,” jawab Syifaa geram lantas melangkah hendak menjejak anak tangga. Namun terhenti apabila Farah menguis dengan muka risau.
“Aku dengar enjin keretalah kat luar,” beritahu Farah lalu melangkah ke tingkap nako. Selak langsir dan mengintai. Sebuah Toyota GR-Supra berwarna putih berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar. Tak nampak orang di dalam kerana cermin yang amat gelap.
Mungkin orang salah cari rumah.
Jentik hati Farah tetapi apa yang difikirkan berterbangan apabila telefon di tangan Syifaa berbunyi.
“Erk, kucing ni call. Kenapa?” soal Syifaa resah. Dan terus Farah mengintai semula ke luar. Dua tiga kali telefon berbunyi tetapi Syifaa tak sambut lalu Farah bergerak dan merebut di tangan gadis itu. Terus Farah menatal layar skrin. Tarik punat hijau ke tepi dan hidupkan pembesar suara. Terus mata Syifaa terjegil hendak marah.
“Keluar kejap.” Suara itu meminta dengan mesra tetapi Syifaa pandang Farah dan menggeleng tak mahu. Tetapi Farah cepat bertindak. Segera menolak Syifaa mendekati tingkap. Diselaknya langsir. Terus mulut Syifaa ternganga melihat kereta yang diam di depan pintu pagar.
“Erk… encik ke tu dengan kereta putih kat luar?” soal Syifaa tak percaya. Pandang Farah yang tunjuk muka teruja.
“Yeah. That’s me. Your Hadi.”
dan Syifaa mengetap bibirnya geram. Kepala ditunjal persoalan.
“Macam mana awak tahu kat mana saya tinggal?” soal Syifaa resah. Tiba-tiba dia takut. Kalau dah lelaki itu tahu kat mana dia tinggal memang balalah nanti.
“Keluar dulu. Saya akan cakap dekat awak.” Suara itu kedengaran lembut sahaja namun tak mampu menenangkan hati Syifaa.
“Kan dah cakap saya tak nak temankan awak. Awak tak faham ke?”
Tak semena-mena terdengar tawa halus di sebelah sana.
“Ya. Saya tahu. Awak nak rehat. But… just a minute, sweetie.”
Tetapi Syifaa keraskan hati.
“Farah kau jelah pergi jumpa dia. Aku tak nak lah,” suruh Syifaa geram dan menyebabkan Farah buat muka.
“Aku pula. Dia kan nak jumpa kau. Bukannya aku.” Tolak Farah seraya mencebik dan Syifaa menjeling geram. Ada kawan pun tak boleh tolong.
Farah yang menyedari perubahan air muka gadis itu pantas sahaja tarik tudung Syifaa yang ada di atas sofa lalu sarungkan ke kepala itu.
“Apa ni, Farah.” Syifaa kebil-kebil memandang sebaik saja kepalanya telah tertutup sempurna. Farah pantas mengangkat ibu jari. Beri isyarat sudah cantik. Kemudian terus menolak tubuh Syifaa ke pintu.
“Pergi.”
Farah tarik daun pintu.
Dengan tenaga yang ada Farah menolak Syifaa sehingga tubuh itu berada di muka pintu.
Mukhreez yang berada di dalam kereta pantas keluar sebaik melihat kelibat yang ditunggu-tunggu sudah muncul. Dari cermin mata hitamnya dia menilik wajah itu. Sungguh dia rindu. Walaupun wajah itu nampak tegang sahaja tetapi itu tidak menjadi satu masalah. Dia tahu macam mana hendak membuat pemilik wajah itu kelam-kabut nanti.
Syifaa pula dengan berat hati sarung selipar lantas pusing belakang. Pandang Farah dan dia ketap gigi tunjuk geram. Farah tunjuk teruja dengan menyebut wow tanpa bunyi sebaik melihat pemilik kereta keluar. Sebaik lelaki itu muncul terus Farah tutup pintu. Konon-konon tak ingin masuk campur. Padahal sedang mengintai di balik langsir.
Dengan hati yang berat Syifaa atur kakinya mendekati lelaki di pintu pagar. Melihat lelaki itu tanggalkan cermin mata kemudian berikan senyum mesra dada pantas berdetak kencang. Lututnya seakan bergoyang. Kekacakan lelaki itu hari ini amat luar biasa. Dengan t shirt merah hitam dipadankan dengan seluar slack hitam juga buat dia tak senang. Rasa nak pengsan. Tapi dia gagahkan diri. Dah hati cakap tak mahu tetapi kenapa pula dia nak rasa pelik.
Dalam keadaan serba salah kaki Syifaa sampai juga dekat pagar. Dengan tangan terketar-ketar ditariknya selak pagar tetapi dihalang Mukhreez.
“Tak perlu. Kejap je,” halang Mukhreez lantas kembali ke kereta. Buka pintu dan keluarkan plastik lutsinar. Di dalamnya ada dua buah kotak. Seperti kotak makanan tetapi Syifaa tak pasti.
“To the most beautiful lady I missed a lot,” ujar Mukhreez lantas hulurkan plastik. Syifaa kelip-kelip memandang. Antara hendak terima atau tidak. Tetapi apabila lelaki itu angukkan kepala menyuruh menerima plastik yang dibawa terpaksa Syifaa terima dengan berat hati. Pandang plastik di tangan.
“Apa ni?” Entah di mana silapnya dia jadi bendul pula.
Terus bibir Mukhreez terlakar senyum lucu. Terhibur dengan sikap bendul gadis itu. Mukhreez perasan. Di sebalik hati gadis itu yang keras ada kenaifan yang buat dia gila bayang. Dia sukakan perwatakan begitu.
Terus ditenungnya wajah itu penuh cinta.
“Saya belikan makanan. Sebab sweetie tak nak keluar jadi saya tolong hantarkan. To make sure my sweetie stays healthy.”
Syifaa terkedu.
Padan muka.
Lelaki itu jenis tak reti putus asa. Bagilah alasan apa pun lelaki itu akan cari cara.
“Okaylah. Saya tak nak kacau sweetie. Restlah tapi jangan lupa makan. Saya tak nak sweetie saya tak sihat. Esok kan sekolah lagi. Cikgu kena kekal bertenaga. Nak ajar budak-budak kan?”
Pantas Syifaa ketap bibirnya geram. Dari manalah lelaki itu tahu maklumat dirinya. “Awak ni pasang spy ke. Semua pasal saya awak tahu,” omel Syifa geram dan Mukhreez sunggingkan senyum lucu.
“Hendak seribu cara. Tak nak macam-macam alasan bukan. Betul tak cikgu BM?”
Dan… serta-merta wajah Syifaa menyebu merah. Lagi satu rahsia dizahirkan lelaki itu. Lepas tu pandai pula nak kenakan dirinya. Terus bibirnya terherot geram.
“Hangat-hangat tahi ayam.”
Syifaa menjawab dan Mukhreez hamburkan tawa ria.
“Kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya.”
Lelaki itu menjawab dan kelip-kelip Syifaa memandang. Ingatkan hanya pandai bercakap dalam bahasa asing. Tak sangka pula mahir menggunakan peribahasa.
“Awak….” Syifaa mahu membalas tetapi renungan mata itu membuat dadanya berdetak pelik.
“Yes, sweetie. Dah nak maghrib ni. Masuklah. But… jangan biarkan saya laksana jentayu menanti hujan (terlalu merindui). Balas mesej ya, sayang!” arah Mukhreez di hujung kata.
Bungkam mulut syifaa memandang lelaki itu yang sudah masuk ke dalam perut kereta. Perkataan sayang yang keluar dari mulut lelaki itu menghadirkan satu getaran yang sukar untuk ditafsir. Terus matanya memerhati kereta putih itu yang sedikit demi sedikit menghilang dari pandangan.
Dia di pagar hembus nafas yang tersekat. Terngiang-ngiang perkataan sayang di telinga. Malah dia nampak senyuman manis di bibir itu.
Bunyi enjin motosikal yang melintasi rumahnya pantas mematikan segala rasa. Tarik kaki lalu masuk ke dalam membawa getaran yang hampir surut. Baru saja meletakkan plastik ke atas meja makan Farah muncul menghulurkan telefon.
“Balas!” arah Farah tegas seraya tunjuk senyum kambing di hujung bibir.
Syifaa memandang hairan tetapi tangan tetap menarik telefon di tangan Farah. Sebaik melihat ayat yang tertera matanya terbuntang. Sama naik dengan mulut yang ternganga. Pantas saja debaran di dada yang hampir surut kembali bergendang kuat.
I miss you.
Do you miss me?
And I am waiting for your reply.
“Balaslah. Kan dia suruh balas,” laung Farah dari arah dapur. Terkial-kial Syifaa memandang Farah yang sudah tergelak kuat.
“Nak balas apa?” tiba-tiba saja Syifaa jadi bendul dan Farah hamburkan gelak besar. Kemudian melaung kuat.
“Balaslah… I miss you too Mukhreez Hadi. My dashing cat. My one and only superhero,” ajar Farah. Dan… barulah Syifaa menyedari yang dia sudah salah bertanya. Serta-merta kulit wajahnya merah menyala. Sungguh dia malu.
“Farah! Kau gila ke apa?” Marah Syifaa tetapi tidak diendahkan Farah . Pantas dia mendekati Farah hendak membalun bahu gadis itu tetapi pesanan datang lagi.
Andainya ada hujan yang tiba, percayalah titis-titis yang turun ke bumi itu adalah jumlah rindu saya yang tak terhitung untuk Cikgu Syifaa. Sweetie yang saya suka.
Dan….Syifaa pejamkan mata.
Tak tahu di mana silapnya. Kunci hatinya yang sudah lama dibuang seakan dijumpai.
Dia tertawan. Tetapi cepat-cepat dia menggeleng.
Tak boleh. Dia tak boleh jatuh cinta.
Full stop!
Share this novel