BAB 47

Drama Series 23843

Seminggu berlalu.
Syifaa rasa tenang. Tiada pesanan mengganggu. Panggilan pun tidak ada juga. Malah kuntuman mawar putih mahupun hadiah tidak singgah di pejabat.

Namun, hati rasa tak sedap. Kalau sudah selalu di ayat, rasa tak lengkap pula hidup menunggu pesanan masuk. Segala kerja tak sempurna. Malah, hari-harinya sunyi sepi.

Syifaa sedar.
Lelaki itu macam biskut chipsmore. Seminggu hantar mesej. Seminggu dua hilang. Kemudian muncul pula sehari dua. Selepas itu hilang balik. Dia nak tahu apa pekerjaan lelaki itu tetapi dia malu. Bukan main lagi dia menolak alih-alih berani nak tanya.
Tak.
Tak berani. Lalu dia tahan hatinya dari memulakan segala perbualan. Dia tak akan menjadi orang yang pertama. Dia malu.

Malu. tapi macam mahu. Sebab… dia pegang telefon. Ulang kali tatal layar skrin. Malah fikiran melayang ke arah lain.

“Apahal dengan kau ni. Tu hah, pengetua baca nama cikgu yang dah siap hantar borang LNPT. Kau tak dengar ke dia sebut nama kau?” bisik Farah. Muka Syifa berubah cuak. Terpisat-pisat memandang ke depan. Mesyuarat guru petang ini tidak diikuti dengan baik. Gara-gara sikap si kucing yang macam chipsmore, akalnya serasa hilang.

“Kau rindu Hadi, eh?” Duga Farah seraya menyiku dalam suara berbisik.

“Mana ada.” Kuat suara Syifaa terlontar keluar sehingga semua isi bilik mesyuarat memandang aneh ke arahnya.

“Mana ada apa, Cikgu Syifaa?” celah pengetua seraya menggeleng dan Syifaa pantas tunduk ke bawah. Wajahnya merah menahan malu. Farah di sebelah pula mengekek ketawa dan angin dalam badan Syifaa mula berkumpul. Jadi banyak. Habis saja mesyuarat terus dicubitnya gadis itu.

“Tak kacau aku tak sah.” marah Syifaa tetapi Farah macam kebal pula. Langsung tak mengendah.

“Kau memang angaukan dia tapi kau jual mahal,” tukas Farah lantas keluar dari bilik mesyuarat dan melangkah ke garaj. Syifaa di belakang mengekor dengan rasa geram.

“Kau jangan nak serkap jarang sangatlah.” Marah Syifaa seraya masuk lantas duduk di sebelah pemandu. Farah yang baru hendak menyuruh Syifaa mengambil alih stereng terus tak jadi. Terpaksa dia memandu dengan muka tak puas hati.

“Aku bukan serkap jarang tapi kenyataan. Masa orang tu nak membeli kau tak nak jual. Bila orang tu dah merajuk kau mulalah tak boleh nak duduk diam,” sindir Farah seraya hidupkan enjin kereta tetapi Syifaa buat-buat tak tahu. Keluarkan telefon dan tatal layar skrin. Buka peti pesanan. Konon-konon nak hantar mesej pada Abang Mannya. Padahal tengah tunggu pesanan dari superhero.

Farah menjeling lantas mencebik. Dia sengaja buat tak tahu. Padahal dia dengan Mukhreez bukan main lagi berbalas pesanan. Lelaki itu selalu bertanyakan keadaan Syifaa. Dia memang tukang report. Alang-alang nak membantu. Biar sampai jadi.

“Kau tak payah tunggulah. Orang tu dah berjauh hati. Padan lah dengan muka kau. Bukan main lagi dia tanya kau rindu dia ke tak. Tapi kau tak nak jawab.”

Syifaa malas hendak melayan bebelan Farah lantas alihkan pandangan. Tengok suasana di luar lagi baik. Tapi… suasana itu sudah selalu dilihatnya. Jadi tak memberi apa-apa makna padanya. Malah, langsung tak mampu menenangkan hatinya.

Farah yang menyedari sikap Syifaa pantas mendail nombor seseorang sebelum mula memandu.

“Encik superhero… ni hah! Ada orang rindu tapi tak nak mengaku.”

Syifaa yang mendengar suara Farah pantas berpaling. Buntang matanya melihat Farah yang melekapkan telefon ke telinga. Kemudian gadis itu menghulurkan kepadanya.
“Kau buat apa ni?” soal Syifaa tak percaya. Suara diperlahankan kerana takut orang di talian mendengarnya.

“Aku tolong call. Dah kau berat tangan sangat.”
Farah pantas lekapkan telefon ke telinga Syifaa apabila Syifaa buat tak endah. Tak sempat Syifaa menolak tangan Farah apabila suara garau di talian mula kedengaran. Syifaa terkedu. Tak mampu hendak membuka mulut. Beri jelingan pada Farah menyuruh membantu. Namun, Farah buat tak kisah.

“You missed me?” soal Mukhreez dengan gelak yang ditahan. “Don’t worry sweetie because I missed you more than you.”

Kebil-kebil Syifaa mendengarnya. Apatah lagi talian putus begitu saja dan Farah di sebelah pantas herot senyum penuh makna.

Syifaa yang tak faham apa-apa memandang telefon dalam-dalam. Setelah menyedari lelaki itu hanya mahu menguji pantas dia memandang ke luar semula. Melayan rasa hatinya. Ralit memandang ke luar, sedar tak sedar kereta yang dipandu Farah sudah sampai ke rumah. Namun mata Syifaa terpaku pada kereta yang di parkir di sebelah pagar. Kereta yang sama pada hari-hari yang lepas.

Hati pantas berasa resah. Dia kenal pemilik kereta itu.

Farah pula hentikan kereta di depan pintu pagar.
“Keluarlah. Buka pagar tu,” arah Farah tetapi tubuh Syifaa tiba-tiba saja menggigil. Lambat-lambat tangan bergerak ke picu pintu. Tak sempat hendak menarik, pintu dibuka dari luar. Terus dadanya bergenang makin kuat. Namun, melihat orang di luar resahnya berganti geram. Dia tak akan jual murah.

“Ada hal mustahak apa sampai tunggu kat depan pagar macam ni?” soal Syifaa kasar tetapi Mukhreez hanya beri senyuman.

“I missed you more, sayang!” ucap Mukhreez dan setiap kali lelaki itu membahasakannya sayang terus kepalanya jadi bingung.

“Awak salah orang ni. Sepatutnya awak ucap dekat perempuan lain.” Syifaa menolak keras dan riak wajah Mukhreez berubah serius.

“Saya tak salah orang. Dari awal kenal saya memang nak dekat Cikgu Syifaa.” Mukhreez berterus-terang namun Syifaa tak mahu menerima.

“Nampaknya awak dah lama aim saya kan. Pandai nak memujuk saya. Padahal awak nak buat jahat. Entah-entah awak orang jahat. Selalu ke luar negara sebab jual perempuan.”

Buntang mata Farah melihat ekspresi wajah Syifaa. Tiba-tiba saja wajah itu berubah ganas. Pandang pula muka Mukhreez. Lelaki itu terdiam. Tak sangka agaknya kerana Syifaa menuduh yang bukan-bukan. Tapi lelaki itu senyap hanya untuk seminit dua. Selepas itu hamburkan gelak besar.

“Saya dah ada kerja tetap. Kenapa saya nak jual perempuan pula,” sangkal Mukhreez gelihati seraya menggeleng lucu. Tak faham betul dengan karenah orang perempuan. Sekejap okay. Sekejap tak okay. Kadang-kadang, dia boleh baca apa yang ada dalam kepala gadis itu. Kadang-kadang dia tak mampu baca.

“Awak balik. Saya nak rehat. Saya tak ada masa lah nak bercakap dengan awak,” suruh Syifaa lantas buka pintu pagar. Farah yang turut keluar sebentar tadi masuk semula ke dalam kereta dan memandu sehingga ke dalam lantas memarkir kereta di bawah garaj.

Mukhreez pula jongketkan bahu.
“Saya datang sebab saya nak lepas rindu. Salah ke?” soal Mukhreez yang mengekor dari belakang. Syifaa yang hendak mengambil beg di dalam kereta berhenti.

“Awak ni memang salah orang. Rindu awak tu awak kena lepas dekat orang lain. Orang yang awak sayang.”

“Saya sayangkan awak.”

Dan… mata Syifaa buntang terkejut. Telinga salah mendengar agaknya.

“First time kita jumpa sampailah sekarang, saya hanya sayang awak.”

Kelip-kelip Syifaa memandang. Farah di depan pintu rumah pula herot senyum lucu.

“Sebab tu saya minta awak jadi kekasih saya.”

Menyedari hal yang lelaki itu ungkit pantas Syifaa mendengus.
“Kan saya dah cakap yang saya tak nak jadi kawan. Kekasih pun tak nak. Awak tak faham ke atau awak sengaja buat-buat tak faham,” marah Syifaa lantas buka pintu kereta. Namun disekat Mukhreez.

“Saya akan faham kalau awak cakap awak dah ada orang lain.”

“Ya. Saya dah ada orang….”
Tak habis ayat Syifaa apabila Mukhreez angkat tangan. Tunjuk muka serius. Tak mahu mendengar perkataan seterusnya dari mulut Syifaa. Farah yang baru membuka pintu rumah laju berpaling. Tak menduga yang Syifaa akan menjawab begitu. Matanya tak berkelip melihat kedua-dua muka itu yang sudah berubah riak. Syifaa yang terkedu kerana salah menjelaskan dan Mukhreez yang nampak amat kecewa. Tak sangka perlahan-lahan Mukhreez mengundur.

“Okay. Saya dah faham.”
Lalu Mukhreez pusingkan badan hendak berlalu. Syifaa yang menyedari perubahan riak muka itu mula diterpa rasa bersalah. Wajahnya yang merah dengan amarah tadi perlahan-lahan kendur. Dia sengaja berkata begitu kerana tidak mahu terus-menerus diayat lelaki itu. Tetapi tak sangka kata-katanya menjadi titik permulaan rasa yang pelik.

Farah di muka pintu pula pantas mendekat.
“Kau biar betul, Syifaa. Bila masa pula kau dah ada orang lain. Kau ni….” tak sempat Farah hendak habiskan bebelannya. Bunyi yang kuat di atas jalan mengganggu perbualan mereka. Dada masing-masing berdebar kencang. Melihat pula sebuah motosikal terbalik dan badan Mukhreez tergolek lalu mengiring di tepi pagar rumah hati kedua-duanya bagai diramas keras.
Syifaa tak percaya dengan kejadian di depan mata.

“Awak!”
Syifaa terkejut. Pantas dia mendekati Mukhreez yang perlahan-lahan bangkit lalu duduk di birai jalan.
“Awak. Awak okay ke?” Dengan cepat tangannya menjalar ke seluruh badan Mukhreez. Tilik muka. Kemudian tengok tangan. Apabila tiba di siku lelaki itu ada rasa pedih menjalar di hati. Tiada darah tetapi ada kesan calar.

Mukhreez pula terkedu. Tak sangka dia boleh dirempuh motosikal yang entah muncul dari mana. Gara-gara hati dihambat kecewa menonong saja dia bergerak hendak ke kereta. Alih-alih dirempuh orang. Sakit tubuhnya namun tak sesakit hatinya ditolak gadis yang kelihatan gelisah. Dipandangnya wajah itu yang nampak risau.

Syifaa pula tanpa menghiraukan pandangan Mukhreez pantas diampuhnya lelaki itu biar berdiri tegak. “Ada cedera kat tempat lain lagi?” tanya Syifaa risau.

“Ada!” Mukhreez menjawab dan mata Syifaa bergenang. Tiba-tiba saja rasa bersalah sebentar tadi semakin menggunung.

“Kat mana?” soal Syifaa kesal.

“Kat sini.” dan… Mukhreez lekapkan tapak tangan kanan ke dada. Pantas Syifaa ketap bibirnya dengan rasa bersalah. Sungguh dia malu kerana melukakan hati lelaki itu. Lantas berpaling melihat Farah yang sedang menolong pak cik yang terduduk di atas jalan.

Tinggalkan lelaki itu lantas mendekati pak cik yang dibantu Farah.

“Pak cik okay ke tak?” tanya Syifa dan tolong memapah orang tua itu sehingga ke sebatang pokok.

“Pening sikit,” jawab orang tua itu.

Mukhreez pula tolang mengangkat motor lalu sandarkan ke pagar rumah Syifaa. Ketika itu orang ramai keluar hendak menolong. Malah ada yang hanya mengintai saja.

Sebaik tiba di bawah pokok, Syifaa lepaskan lengan orang tua itu. Dia tak sedar jemarinya terasa basah. Apabila naik hendak menyapu peluh di dahi bau kurang enak menerpa hidungnya. Pantas dia turunkan.

Merah!
Dia nampak tangannya berwarna merah.
Serta-mera dia mula berasa pening. Dan… matanya berbalam-balam memandang lengan orang tua itu. Baju kemeja putih yang tersarung di tubuh sedikit basah dengan darah. Tak semena-mena mata hitamnya hilang berganti putih dan Syifaa hilang dari dunia nyata

Nasib Mukhreez sempat menangkapnya. Dan Syifaa? Melurut tak sedarkan diri.

Farah ternganga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience