BAB 41

Drama Series 23843

KLIA

Farah memandang Syifaa dengan muka tidak puas hati. Namun Syifaa di sebelah hanya buat tidak tahu. Gadis itu hanya menghiraukan debar di dada yang makin bermaharajalela.

“Kenapa kau tak pakai baju yang mamat tu bagi?” soal Farah entah untuk kali yang ke berapa. Dari semalam lagi menyuruh. Tetapi Syifaa tetap degil.

Syifaa menghela nafas panjang setelah merasakan debar di dadanya beransur surut. Mata memerhati suasana di luar. Sudah lama tidak datang ke sini. Seingatnya tahun lepas adalah kali terakhir dia berada di lapangan terbang yang cukup indah ini. Tak sangka kali ini dia berpeluang lagi.

“Nanti duit simpanan dah cukup kita travel. Aku kempunan betul nak pergi luar negara.”

Farah julingkan mata ke atas.
“Aku tanya kenapa kau tak pakai baju yang mamat tu bagi. Yang kau cakap pasal travel ni apahal plak.”

Pantas Syifaa pandang tubuhnya yang berbalut baju kurung kain kapas.

“Baju tu cantik sangat. Rugilah kau tak pakai,” ujar Farah dan Syifaa mengangguk mengeyakan.

“Ya. Sebab cantik sangatlah aku tak pakai.”

Kebil-kebil Farah memandang.
“Kenapa?” soal Farah ingin tahu.

“Sebab… bila aku try semalam aku rasa macam tengah tunggu pihak lelaki datang sarungkan cincin tunang. Kau tahu tak. ”

Dan… tawa Farah terhambur besar lantas menggeleng lucu.

“Elok sangat lah. Itu tandanya kau masih ada hati. Kau ada rasa nak kahwin kan. Tak pun kau sebenarnya dah jatuh cinta tapi tak nak mengaku.” Farah menghuraikan dan Syifaa pantas mengetap bibirnya geram.

“Kau ni gila ke apa. Kau ingat aku datang sini sebab nak bercinta dengan mamat yang aku tak kenal tu ke? Aku nak bayar hutang okay. Bayar hutang. Faham!” rengus Syifaa lantas keluar dari perut kereta. Geram betul dengan perangai Farah. Semenjak dua menjak ini asyik nak kenakan orang saja kerjanya.

“Ya, aku tahu. Kau bukan datang cari calon tapi aku yang selalu berdoa supaya lelaki yang kau nak jumpa ini calon terbaik. Lagipun aku syak mamat tu memang betul-betul handsome punya. Kalau tidak student hari tu tak akan cakap macam tu. Aku ni dahlah tak sabar nak tengok muka kau," balas Farah yang sudah keluar dan kunci kereta.

Syifaa mencebik. Bukan kacak atau berharta yang dia cari. Semua tu tak penting. Dia hanya mahukan lelaki yang jujur.

“Sudahlah kau. Cakap dengan kau aku yang sakit kepala.” Syifaa terus menonong pergi. Dalam melangkah dia tak sedar telefonnya berbunyi.

“Janganlah merajuk,” Farah hairan. Perangai Syifaa nampak pelik. “Sensitif betul kau hari ni.” Farah tak faham dan Syifa memang sedar sikapnya yang lain saat ini. Mungkin dia takut sebab tu dia tak keruan.

“Kau takut ke?” tanya Farah apabila Syifaa menonong tak pandang kiri kanan. Mata itu mencari-cari lokasi tempat yang diberitahu lelaki itu semalam.

“Kau jangan bimbang. Kan aku ada dengan kau. Kalau mamat tu macam dracula aku akan jadi zombie untuk lawan dia. Kau jangan takut,” ujar Farah dengan lawaknya dan semestinya meletuskan tawa Syifaa.

Ada-ada saja yang Farah nak cakap. Lalu mereka berjalan seiringan menuju ke kafe sebagaimana yang telah diberitahu lelaki itu. Sebaik sahaja tiba mata Syifaa terbuntang luas. Melihat nama kafe di atas pintu terus kepalanya mencerna sesuatu.

“Ini kan cafe kegemaran aku,” ujar Syifaa teruja lantas mata meneroka suasana di dalam. Sudah berubah. Tak macam dulu. Nampaknya dekorasi kafe sudah seiring dengan peredaran zaman.

Hati tiba-tiba digamit rindu. Inilah tempat dia melepaskan rindu pada arwah suaminya sebelum lelaki itu melamarnya. Kafe inilah tempat dia menunggu lelaki itu pulang dari luar negara. Hanya dua tiga kali sahaja sempat ulang alik ke mari dan selepas itu lelaki itu hilang buat selama-lamanya.

Malah kafe ini jugalah tempat Farah menghantarnya ke bumi Sibu. Malah tempat ini jugalah Farah kembali menjemputnya pulang untuk terus menetap di bumi semenanjung. Tiba-tiba sahaja tangannya menggigil. Dia jadi tak kuat. Dia mula rindu dan Farah yang menyedari lantas menepuk bahunya.

“Chill sis. chill. Kan aku dah cakap. Kau kena tempuh apa sahaja yang akan berlaku. Kuatkan diri. Okay. Aku harap sangat pertemuan ini tak akan terhenti sampai sini. Aku yakin mamat tu bukan dracula tapi putera berkuda yang datang untuk menggembirakan hidup kau.”

Syifaa berikan pandangan redup kepada Farah lantas menekur ke bawah.

“Kenapa kau boleh cakap dia putera berkuda?” soal Syifaa lemah. Farah faham apa yang Syifaa inginkan lantas tarik tangan itu. Ukirkan senyuman manis.

“Aku nampak usaha dia dari awal lagi. Dia tolong kau walaupun dia tak tunjuk muka dia. Dia minta nak kawan dengan kau. Dia ayat kau. Dia bagi hadiah macam-macam. Bukankah lelaki macam tu mahal. Tak putus asa nak menarik hati kau. Lelaki yang macam nilah yang kau kena bagi perhatian. Dan aku nampak, walaupun kau dah tolak, tapi dia tetap berusaha. Kau tak cair?”

Syifaa diam. Apa yang dijelaskan Farah sudah difahami. Cuma dia yang takut. Takut dipermainkan. Umur dia sekarang ini bukan untuk mencari cinta monyet seperti zaman budak-budak dulu. Usianya sekarang ini adalah masa untuk dia berbakti pada suami. Bukan tak ada yang memikat terang-terang mahupun berselindung tetapi dia yang masih trauma.

“Apa-apalah Syifaa. Tengok muka kau tu pun aku dah tahu kau macam berbelah bahagi. Kalau macam tu baik kau tinggalkan duit tu kat kaunter. Lepas tu mesej cakap tak jadi jumpa. Kau blah je. Tak payah tunggu kat dalam. Tak payah nak gedik-gedik tunggu,” ajar Farah. Padahal dia sengaja nak mainkan hati Syifaa. Nak tahu pendirian gadis itu. Dan Syifaa? Tetap begitu.

“Kalau kau betul tak nak kenal tak nak kawan. Awal-awal lagi kau tak akan layan. Kau akan tukar no. phone. Tak pun kau akan block. Tapi kan aku ni dah kenal kau. Muka kau tu mengharap sebenarnya. Hati tu nak sangat kawan tapi mulut tu berat nak mengaku,” bidas Farah tak pandang kiri kanan seraya tangan naik mengusap bahu itu. Terus Syifaa cubit kuat. Geram dengan perangai Farah. Tunjuk muka sakit hati dan ketika itulah telefonnya berbunyi.

Terus keluarkan dari beg dan mata terbuntang melihat beberapa miss call dari pemanggil yang disetkan sebagai ‘kucing’.

Farah pula sambil menggosok lengannya yang pedih berpaling ke belakang apabila telinga mendengar suara riuh sedikit jauh dari kafe. Mata melilau. Tubuh pun bergerak sedikit. Ada booth jualan barangan tradisional sepanjang jalan di hadapan dan Farah teruja.

“Weh, aku pantang benar tengok benda-benda klasik macam tu. Aku nak pergi survey kejaplah.” Pantas Farah jatuhkan tangan dan mata melilau lagi sekali. Syifaa yang mendengar kata-kata gadis itu terkejut.

“Kau nak tinggal aku sorang-sorang. Aku tak berani lah Farah. Lagipun kejap lagi dia sampai.”

Pantas tunjuk layar skrin. Pesanan lelaki itu dibuka dan tunjukkan pada Farah.
- Sweetie tunggu kejap.
- Saya nak jamak qasar solat jap.

Terbeliak mata Farah sebaik membaca pesanan itu.
“Whoa… whoa. Calon suami idaman. Memang betullah dia bukan dracula. Tapi… dia bakal imam yang osem,” puji Farah namun Syifaa mengetap bibirnya geram. Ada debar menggunung. Padahal bukan nak dating. Sekadar berjumpa hendak membayar balik apa yang lelaki itu dahulukan.

Syifaa tarik nafas takut. Namun Farah buat tak tahu. Dalam kepala hanya satu. Dia nak larikan diri. Gila nak kacau daun. Tadi pun sengaja kacau hati Syifaa tapi dia tak berharap gadis itu tunjuk keras hati dan dia amat berharap pintu hati Syifaa akan terbuka sebaik melihat lelaki yang akan muncul nanti.

Sedang Syifaa memandang pesanan terus Farah menonong pergi.

“Weh, Farah!” panggil Syifa namun Farah hanya angkat tangan dan tunjuk dada kemudian buat isyarat buka pintu. Tak lama Farah menghilang dari mata dan dada Syifaa mula berdegup kencang. Mata pandang kiri kanan. Bahkan pusing belakang. Lelaki-lelaki yang muncul terus dicap sebagai ‘kucing’. Padahal dia tak pernah mengimaginasikan rupa lelaki itu. Dia takut.

Lama dia berdiri di luar. Tarik nafas panjang dan setelah berasa tenang, kaki pun di arah masuk ke dalam. Tuju meja yang telah ditempah oleh lelaki bernama Hadi aka Sylvester the Cat.

***

‘Jangan takut!’ Hati menyuruh.
‘Ini bukan dating. Jumpa sekejap lepas tu balik.’

Akhirnya dia bertegas dengan diri sendiri. Kenapa nak fikir lebih-lebih. Sedangkan diri sendiri sudah menolak lelaki itu. Kalaupun lelaki itu tak jemu mengayat dia tak perlu nak rasa tergugat. Tetapkan pendirian.

Tetapi dadanya tetap resah sebab dia akan menemui lelaki yang telah menolongnya dulu. Dia tergugat kerana dia takut lelaki itu lelaki jahat. Atau mungkin juga psiko.

Tetapi akhirnya dia redakan keresahan dengan beristighfar. Banyakkan berzikir di dalam hati. Sambil berzikir mata pandang ke luar kafe. Tujukan pandangan pada mana-mana lelaki yang dia nampak. Asyik meneka dalam keadaan tak tenteram. Lama pula menunggu. Akhirnya dia buka aplikasi dalam telefon. Sambung balik membaca artikel yang belum tamat.

Lenguh pula tunduk ke bawah lama-lama akhirnya dia panggung kepala. Tiba-tiba matanya singgah pada susuk tubuh seorang lelaki yang segak berbaju tshirt kelabu muda dibalut jaket kulit berwarna hitam. Cukup segak. Wajah itu seperti lelaki pan asian. Bahu itu menyandang sebuah beg kelabu sambil melangkah dengan teratur di luar cafe. Tangan kanan lelaki itu membimbit sebuah beg kertas. Manakala tangan satublagi sedang menatal layar skrin telefon. Lelaki itu cukup sempurna dan mulalah dada Syifaa berdetak kencang.

Apakah itu lelaki yang mahu berjumpa dengannya. Hati berkira-kira. Namun cepat-cepat dia sisihkan pertanyaannya. Tidak mungkin lelaki sesegak itu yang mahu berjumpa dengannya. Lalu dia kembali menekur memandang telefon.

Tak lama pun menekur ke bawah kerana dia merasakan dirinya diperhati orang. Terasa seperti ada susuk tubuh sedang berdiri di hadapannya. Pantas dia panggung kembali kepalanya dan isi di dalam dada hampir melompat keluar apabila lelaki yang ditekanya sebentar tadi berdiri betul-betul di hadapannya.

Syifaa terkesima. Matanya tak berkelip langsung ketika memandang. Air liur pun terasa kering. Tiba-tiba saja dia jadi bisu. Jadi macam patung. Tubuh pun sejuk macam berada di dalam peti sejuk. Tangan pantas menggigil. Apabila lelaki itu ukirkan senyuman manis barulah kelopak matanya berkerdip dan tangannya mula berpeluh.

“Assalamualaikum.”
Orang di depan memberi salam dan pantas Syifaa telan liurnya keras. Memerhati tak percaya. Bibir diketap tak yakin. Kemudian mulut menjawab Salam dengan perlahan. Wajah pula pantas merona merah apabila pandangan mata di depan seakan menembus ke jantungnya.

“May I have this seat?” soal lelaki itu penuh wibawa. Langsung tidak kekok. Bagaikan mereka pernah saling mengenali.

“Or is this taken?”
Gara-gara terpana terus Syifaa mengangguk. Tak pasti dengan apa yang dibuat terus dia menggeleng pula. Keadaannya sekarang ini ibarat dipukau dan pantas saja membuat orang di depan melarik senyuman panjang.

Syifaa resah. Tidak tahu bagaimana hendak memberi respon. Lalu dia kembali menekur ke bawah. Air liurnya ditelan segan. Betul ke orang di depan adalah lelaki yang ditunggu.

“Encik Hadi?” soal Syifaa setelah kembali memanggung kepala. Dia masih keliru. Malah hati berharap lelaki itu salah orang. Apabila lelaki itu mengangguk dengan senyuman terus dadanya pecah. Tak mampu nak bernafas dengan betul. Dia terkesima.

Dan Mukhreez pula beri senyum bangga.
“Have you fallen?” soal lelaki itu dengan senyuman yang tak habis-habis dan Syifaa terkedu. Pertanyaan itu amat difahami walaupun bukan sempurna dan dia merasakan kafe ini mulai gelap. Hanya senyuman itu yang membuat dia hidup. Senyuman yang hampir sama dengan seseorang. Ya. hampir sama.

Dan… dia benar-benar mati kutu.

Share this novel

ida
2025-06-17 00:02:54 

Baca la Gh. Kita pun bedebo mcm cikgu syifa tauu:p


NovelPlus Premium

The best ads free experience