HDI 8

True Story Completed 65593

SELESAI membasuh pinggan, Dhia membawa langkah menuju ke biliknya tetapi terhenti. Dia berdiri di luar bilik Hasnah. Patut ke aku beritahu ibu sekarang? Ibu izinkan ke aku belajar? Cuba dululah, mana tahu ibu lembut hati ke? Belum cuba, belum tahu.

Dhia mengetuk pintu bilik Hasnah. Hatinya berdegup kencang menunggu respon daripada Hasnah. Tidak sampai sesaat, pintu dibuka.

"Dhia? Ada apa ni?" soal Hasnah.

"Erm... Dhia nak cakap sikit dengan ibu boleh?" jawab Dhia.

"Masuk lah..." jemput Hasnah acuh tak acuh. Dhia mengangguk lalu masuk ke dalam bilik. Dia berdiri di hujung katil.

"Apahal kau tercegat kat situ? Duduk lah." arah Hasnah apabila Dhia hanya berdiri.

Dhia segera duduk di atas bangku berdekatan meja solek Hasnah. "Pagi tadi, Dhia dapat surat tawaran belajar ke tingkatan enam di SMK Sungkai." beritahu Dhia. Jantungnya masih berdegup kencang.

"So? Kau nak belajar kat sana?" Dhia menundukkan kepalanya. Dhia tahu Hasnah sedang memerlinya meskipun riak wajah Hasnah kelihatan biasa sahaja.

"Kenapa tak jawab? Kalau aku tak kasi pun bukan kau nak dengar pun, kan?" tanya Hasnah tetapi nadanya masih tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

"Dhia bukan tak nak jawab cuma Dhia takut ibu marah. Dhia nak sangat sambung belajar, kalau boleh Dhia nak keizinan dari ibu. Itu aje."

"Keizinan dari aku? Kau dengar sini baik-baik, aku tak pernah izinkan kau belajar. Kau belajar pun bukan bawa makna apa-apa pun. Nenek kau yang beria-ria nak kau belajar sebab tu aku biarkan je. Tapi kau kena ingat, aku takkan bagi sesen pun duit aku untuk kau belajar. Kalau dah memang bodoh tu tetap bodoh jugak. Dah keluar!" marah Hasnah. Sungguh tajam kata-kata Hasnah kepada Dhia. Dia merasakan seperti hatinya ditoreh berkali-kali sehingga hancur berderai.

"Ibu, Dhia langsung tak marah pada ibu. Dhia tahu setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anaknya. Dhia janji Dhia takkan minta sesen pun duit daripada ibu. Terima kasih ibu sebab beri peluang pada Dhia untuk sambung belajar." ujar Dhia sebelum melangkah keluar. Hasnah tersenyum sinis.

Dhia melangkah longlai keluar dari bilik Hasnah. Air matanya tidak henti-henti keluar dari tubir mata.

'Ya Allah, kenapa berat sungguh ujianku ini? Apa salahku, Ya Allah? Jika benar aku tiada dalam hati ibuku maka kau buangkan lah juga rasa sakit ini. Aku tidak mahu berdendam, kuatkanlah aku. Sungguh aku perlukan kekuatan dariMu.' Doa Dhia di dalam hati.

Dhia menangis sehingga tidak terkeluar suara tangisannya. Terlalu perit untuk dia lalui semua ini. Air mata semakin lebat mengalir di pipinya. Tiada kata mampu diungkapkan untuk menjelaskan perasaannya tika ini.

DHIA menghubungi Zahara untuk menyampaikan berita gembira ini.

"Assalamualaikum Dhia. Ada apa kau call aku petang-petang ni? Kau okey tak?" Bertubi-tubi soalan diujarkan kepada Dhia.

"Waalaikummussalam Ara. Aku okey jelah. Kau janganlah risau. Ni aku call sebab aku nak bagitahu kau sesuatu ni."

"Lega aku dengar. Jap.... sesuatu? Huh ni buat aku suspen ni. Cita ah cepat."

"Aku...aku dapat tawaran pengajian ke tingkatan enam kat SMK Sungkai!" ujar Dhia dengan teruja.

"Wow! Tahniah beb! Aku happy gila untuk kau, akhirnya dapat juga kau sambung belajar."

"Tulah, aku happy sangat-sangat. Walaupun aku tak dapat belajar kat Uni, aku tetap bersyukur. Aku nak belajar rajin-rajin dan capai impian nenek aku untuk aku jadi cikgu."

"Dhia, aku minta maaf sebab aku dapat masuk Uni tapi kau tak." tutur Zahara dengan nada sedih.

"Ara, aku selalu cakap dengan kau kan, kau tak salah apa pun. Ini rezeki masing-masing. Mungkin rezeki aku di tingkatan enam kau pulak di universiti. Tak gitu, Ara?" Gelak tawa Zahara terletus jua dengan jenaka Dhia yang tidak seberapa itu.

"Kau ni Dhia, aku serius dia main-main pulak. Thanks Dhia sebab tak marah aku tapi kau kena kasi aku belanja kau makan, boleh?"

"Ara, kau tahu kan aku segan. Tak yahlah Ara, membazir je."

"Segan?! Membazir?! Kau ni...apa yang nak disegannya? Aku ni bff kau tau, belanja makan je. Aku tak kira, aku nak juga belanja kau makan. Esok tengah hari aku jemput kau. Bye." Zahara terus mematikan talian. Dia tahu bahawa Dhia pasti akan mencari berpuluh-puluh alasan untuk tidak terima hajatnya itu.

Walau bagaimana pun, Dhia tetap segan dengan Zahara, dia sudah banyak menolongnya dan Nek Timah. Tidak mengapa lah, kalau ini membuatkan Zahara gembira, dia menurut sahaja.

KEESOKAN HARINYA.

Dhia sudah bersiap sedia untuk menemui Zahara. Dia hanya mengenakan blaus berwarna pink dan seluar jeans. Tudung bawal bercorak melengkapi pemakaiannya. Dia melangkah keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Nek Timah sedang menyulam manik itu ditegur oleh Dhia.

"Nenek, Dhia dah nak pergi ni. Nenek okey ke duduk sorang ni? Kalau tak okey Dhia batal ajelah." soal Dhia. Dari semalam, Nek Timah tidak henti-henti batuk. Bagaimana dia tidak risau?

"Hish kamu ni Dhia. Kalau kamu pergi sekolah nenek duduk sorang juga. Kamu jangan risaulah. Dah, pergi tunggu di depan nanti Zahara sampai terus pergi." arah Nek Timah.

"Okeylah nek. Nenek jaga diri tau, jangan nakal-nakal." seloroh Dhia. Nek Timah menepuk lembut paha Dhia sambil tertawa.

Dhia menyalami Nek Timah dan melangkah menuju ke pondok di halaman rumah. Tidak lama kemudian, kereta milik Zahara terparkir di halaman rumah. Dhia segera masuk ke dalam perut kereta. Kereta bergerak meninggalkan perkarangan rumah Nek Timah.

Dhia mahu membetulkan kedudukannya terkejut apabila melihat ada seorang jejaka tampan duduk di tempat duduk hadapan. Siapa pulak lelaki ni? Abang Ara ke? Ara tak pernah sebut pasal abang dia pun.

"Kenalkan abang aku, Zaril. Dia baru balik dari UK." ujar Zahara apabila melihat kekeliruan di wajah Dhia.

Dhia memandang ke arah Zaril. Rupa-rupanya dia sudah merenung dirinya sejak tadi. Senyuman di bibirnya sungguh menggoda. Dhia tersedar dari kayalan itu cepat-cepat memalingkan wajahnya.

"O...oh, abang kau. K...ke..kenapa kau tak pernah sebut pun tentang abang kau kat aku?" tanya Dhia, tergagap-gagap.

"Asal kau tetiba gagap pulak ni?"

"Entah, aku pun tak tahu. Hah, soalan aku tadi kau tak jawab lagi." sela Dhia.

"Peliklah kau ni. Pasal soalan kau tadi, abang aku duduk kat UK dah lama sebab tu aku rasa tak penting bagitahu kau. Sebelum jemput kau, aku ambil abang aku dari airport tu yang lambat sikit."

"Oh faham. Tak apalah, ini soal abang kau jadi kau ada hak sama ada nak bagitahu aku atau tak. By the way, kita nak makan kat mana?" Dhia sengaja menukar topik. Dia tidak mahu bercerita lagi soal Zaril. Nanti tak fasal-fasal abang dia ingat aku minat kat dia. Memang taklah!

"Thanks beb. Aku nak bawa kau pergi makan dekat restoran kawan ayah aku. Makanan dekat situ sedap-sedap tau."

"Hmm..aku ikut je. Kau yang belanja bukan aku." Sepanjang perjalanan, Dhia hanya memandang jalan, tidak mahu lagi bertentang mata dengan Zaril. Segan!

PAK MAIL memberhentikan kereta di hadapan sebuah restoran mewah di pekan. Mereka keluar dari perut kereta lalu memasuki restoran itu. Mereka disapa mesra oleh pekerja di situ sebaik sahaja kaki melangkah masuk.

Mereka beriringan menuju ke sebuah meja yang telah disediakan. Dhia melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan dengan Zahara. Zaril pula duduk berhadapan dengan mereka. Sejenak kemudian, seorang lelaki lingkungan 60-an muncul.

"Hai, uncle Bad." sapaan mesra diberikan oleh Zahara.

"Hai, Ara. Eh, Zaril pun ada, bila balik dari UK?"

"Zaril baru balik hari ini. Alang-alang tu join Ara lunch sekali. Uncle sihat?"

"Alhamdulillah, uncle sihat. Huh, yang si cantik ni apa nama?" Pandangan uncle Bad sudah terarah kepada Dhia.

"Oh, nama saya Dhia. Saya mana ada cantik, uncle." jawab Dhia. Merah padam wajahnya apabila dipuji seperti itu.

"Such a beautiful name. Biasalah, orang cantik mana nak mengaku cantik. Eh, sibuk bersembang makanan tak hidang lagi. Uncle pergi tengok kat dalam kejap." Badrul terus berjalan ke dapur restoran semula.

"Dhia dah lama ke kawan dengan Ara?" Terpinga-pinga sebentar dengan pertanyaan Zaril. Dhia segera mengawal riak wajah agar tidak dicurigai olehnya.

"Oh, Dhia dah lama kawan dengan Ara. Sejak sekolah rendah lagi." jawab Dhia.

"Hmm...bff lah ni. Patutlah beria-ria Ara ni nak belanja makan, selalunya Ara ni kedekut nak belanja orang." Zahara menepuk lengan abangnya itu.

"Hish, abang ni. Ara bukan kedekutlah! Ara cuma pilih orang yang betul-betul ikhlas kawan dengan Ara. Kalau tak bankrap lah Ara nak belanja diola orang. Apalah abang ni, main tuduh-tuduh aje." Zahara sudah memuncungkan bibirnya. Hmm, mulalah tu perangai dia yang tak berubah dari dulu. Ara, Ara.

"Ala..abang gurau je. Ara ni sensitif sangat, macam mana muka tak berkedut." Mulut Zahara serta merta ternganga mendengar kata-kata selamba badak Zaril itu.

"Muka berkedut? Abang tu duduk kat UK lama sebab tu kulit jadi pucat macam albino." bidas Zahara habis-habisan.

Pergh! Zahara punya ayat lagi gempak. Ada ke dia samakan kulit abang dia macam albino. Aduh, cepatlah uncle Bad datang bawa makanan. Kalau tak, jadi perang mulut nanti. Pening!

"Albino? Eh, abang ni duduk je lama kat UK tu tapi abang masih lelaki melayu terakhir tau. Kulit abang ni masih kemelayuan tau." Perbahasan sudah bermula antara abang dengan adik.

Baru Zahara nak buka mulut, Badrul bersama dua orang pelayan lelaki datang membawa pinggan-pinggan berisi makanan dan minuman. Mereka menghidangkannya di atas meja.

Wow! Semua hidangan kelihatan sungguh mewah dan sedap. Meleleh air liur Dhia melihat makanan yang terhidang di depan mata. Pasti harganya mahal, sudah tentu dia tidak mampu walaupun dia melakukan banyak pekerjaan. Haih, ini yang membuatkan aku menjadi lebih segan terhadap Zahara. Kenapalah kau baik sangat dengan aku, Ara?

Melihat kegembiraan di wajah Zahara, Dhia tidak berkata apa-apa. Dia hanya menikmati makanan itu. Sepanjang kami makan, begitu banyak cerita dikongsikan oleh Zaril ketika di UK. Pengalaman, kisah cinta dan banyak lagi. Seronok pula ada adik beradik, semua dilakukan bersama-sama.

Tidak mengapalah, aku tetap bersyukur kerana aku tidak mempunyai adik beradik kerana mungkin aku akan lebih dipinggirkan oleh ibu. Mungkin ibu akan lebih menyayangi adik beradikku lebih dari aku. Semuanya pasti ada hikmah. Allah mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience