HDI 13

Others Completed 65754

ZARIL berdiri termenung di koridor. Kerana terlalu leka, dia tidak menyedari Datin Yani menghampirinya.

"Hai, Zaril... Fikirkan siapa tu?"

Zaril tersedar lalu menyeringai memandang Datin Yani. "Errr... Mana ada ma."

Datin Yani berhenti melangkah, sambil membetulkan baju kelawar di tubuhnya.

"Habis tu Zaril buat apa termenung kat sini?" tanya Datin Yani kehairanan.

Zaril tersenyum gugup. "Err... Zaril sebenarnya teringatkan Dhia."

Dahi Datin Yani berkerut. "Teringatkan Dhia?"

"Haah..." Zaril mengangguk. Pada dasarnya Zaril agak waswas mahu meneruskan hasratnya. Dia perlu menyusun ayat agar tak terlihat pelik di mata Datin Yani.

"Sebenarnya... Zaril nak tanya pasal Dhia."

"Dhia? Makin berkerut dahi Datin Yani. "Hmm... Kenapa Zaril tiba-tiba nak tahu pasal Dhia?"

Zaril semakin serba salah mahu bertanya.

MACAM orang kebulur, Hasnah melahap nasi dan berlaukkan kari kepala ikan. Lahapnya mengalahkan pelarian perang. Sedangkan Aishah hanya menjamah seadanya.

"Kenapa kau tak makan?" tanya Hasnah kehairanan.

"Kau makanlah," jawab Aishah sambil tersenyum.

Hasnah pun sambung makan.

Kemudian Aishah berkata lagi, "Tengok kau makan macam ni, macam sepuluh tahun tak makan. Anak kau tak masak ke?"

Sejenak, Hasnah menghentikan suapan lalu memandang Aishah. Sambil tersenyum sinis, Hasnah berkata, "Anak aku tu pemalas! Dia tu cari alasan tak nak masak. Konon sedih sangatlah mak aku meninggal. Puih!"

"Ish, kau ni... Tak baik tuduh anak kau macam tu. Kau sendiri tahu kan anak kau tu sayang gila kat mak kau. Sejak kecil lagi, dia tinggal dengan mak kau mesti dia sedih mak kau meninggal. Kau ni Hasnah. Think positive lah sikit." Aisyah menggeleng kepalanya untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya.

Hasnah pula, seperti biasa dengan muka selamba tak bersalah, mencapai ayam goreng dari pinggan Aishah. Tapi dia cepat tersedar lalu melepaskan semula ayam itu.

"Aku ambil, ek?" Tiba-tiba hari itu Hasnah rasa nak jadi baik sikit.

Sambil tersenyum kelat, Aishah mengangguk. Ayam yang tak luak itu diletakkan ke atas pinggan Hasnah.

"Ambillah, Hasnah. Kebulur pulak kau nanti."

"Terima kasih."

Dalam hati Aishah marah dengan sikap Hasnah terhadap Dhia. Bagi Aishah, Dhia itu merupakan anak yang baik dan mendengar kata. Tidak pernah sekali aku mendengar Dhia itu melawan Hasnah. Walaupun Hasnah berkali-kali melayan Dhia dengan buruk, Dhia tetap hormat Hasnah sebagai ibunya.

SEJAK duduk di meja makan itu, Dhia tak banyak bicara. Nasi lemak atas pinggan langsung tak dijamah. Sehinggakan Zahara naik susah hati melihatnya.

"Makanlah, Dhia," pujuk Zahara. "Tak apa. Aku tunggu..."

Dhia cuma mampu tersenyum kelat. Mahu tak mahu, dia mencapai sudu dan menyuap sedikit. Nasi yang ditelan terasa pahit di tekak.

Zahara mengeluh panjang. Dia tahu Dhia masih sedih atas pemergian Nek Timah. Dia juga sendiri tak faham kenapa Dhia masih ingin berdiam diri dengan kelakuan Puan Hasnah.

"Berbaloi ke, Dhia?" Pertanyaan itu spontan keluar dari mulut Zahara.

Dhia tersentak. Tak jadi menyuap nasi ke mulut lalu dia melepaskan sudu ke atas pinggan. Kalau boleh dia tak ingin membincangkan soal itu sekarang. Tapi Zahara terus mengasak dengan soalan-soalan tajam.

"Berbaloi ke dengan apa yang dah berlaku sekarang ni? Kau hampir hilang segala-segalanya bila ibu kau sendiri tergamak memperhambakan kau?"

Tiba-tiba Dhia menjadi sayu. Dia memaksa dirinya mendongak dan memandang wajah Zahara seraya menjawab lirih, "Entahlah, Ara... Aku sendiri tak tahu kenapa aku masih bertahan..."

Hati menjadi semakin sebak. Kalau boleh dia tak mahu berdepan dengan sesiapa dalam keadaan begini.

"Aku tak faham kenapa nasib aku tak seberuntung kau yang Allah kurniakan seorang mak sebaik Datin Yani. Ibu aku Allah dah tetapkan di lohmahfuz ibu seperti itu. Apa lagi yang aku boleh buat Ara selain dari terima?"

Air matanya mula mengalir perlahan.

Nafas Zahara terhela berat. Sambil terus menatap Dhia, dia bertanya, "Tapi kau juga pernah cakap dulu. Allah tak akan ubah nasib seseorang tu kalau dia sendiri tak nak ubah. Kau lupa?"

Dhia terkedu mendengar kata-kata itu. Perlahan dia bersuara sambil cuba menukar topik.

"By the way... Thanks sebab belanja aku nasi lemak. Sedap."

"Sama-sama kasih. Aku sentiasa akan ada dengan kau. Tak kira waktu kau susah atau senang. Okey?" suara Zahara bergetar sebak.

Bersama linangan air mata, Dhia memandang Zahara dengan bibir menggeletar menahan bermacam-macam rasa yang saling membuncah di dada.

"Aku sayang kau, Ara." Hanya itu yang mampu Dhia ucapkan.

Perlahan-lahan, Zahara menghela nafas lega. Berharap sangat sokongannya ini mampu menguatkan semula semangat Dhia. Aku pun sayang kau juga, Dhia.

SEJAK tadi, fail terbuka di atas meja. Tapi konsentrasi Zaril terganggu. Fikirannya jadi tak tenteram apabila mengenangkan sikap Puan Hasnah terhadap Dhia. Lebih lagi apabila dia teringatkan perbualan dengan Datin Yani siang tadi.

"Sejak kecil lagi, Dhia tu tak pernah dapat kasih sayang seorang mak. Mama sendiri tak faham kenapa Hasnah tu layan Dhia tu seperti bukan anak sendiri."

Zaril terdiam seketika mendengar penjelasan itu. Tidak dapat menyembunyikan rasa risau, dia bertanya, "Ayah Dhia? Layan Dhia macam tu juga?"

Datin Yani menarik nafas panjang. "Ayah Dhia, Razlan memang sayangkan Dhia. Tapi waktu umur Dhia 17 tahun, Razlan menikah lain. Razlan curang dengan Hasnah. Sejak tu, Razlan jarang balik rumah melawat Dhia."

"Jadi, selama ni... Dhia hanya dapat kasih sayang arwah Nek Timah?"

"Ya... Zaril. Kesian mama tengok Dhia tu. Dhia tu budak baik, berbudi bahasa, sopan dan paling penting hormat orang tua. Hmm, apalah nasib Dhia?"

"Zaril pun rasa benda yang sama, ma..."

Mengingati semua itu membuatkan Zaril merasakan yang dia perlu lakukan sesuatu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience