KERETA milik Zahara tiba di perkarangan rumah Nek Timah. Sebelum keluar dari perut kereta, Dhia mengucapkan terima kasih kepada Zahara, Pak Mail dan Zaril. Dhia melangkah masuk ke dalam rumah selepas kereta milik Zahara hilang dari pandangan.
"Assalamualaikum nek, Dhia dah balik." ucap Dhia sebaik sahaja kaki melangkah masuk.
Suasana sepi, salam Dhia tidak disambut oleh Nek Timah. Dhia berjalan ke dapur untuk mencari Nek Timah namun Nek Timah tiada di dapur. Dia pergi ke bilik Nek Timah pula. Dia mengetuk pintu bilik Nek Timah beberapa kali. Nenek tidak membukanya. Dia mulai risau. Dia terus memulas tombol pintu lalu masuk ke dalam.
"Nenek!" jerit Dhia. Dia berlari mendekati Nek Timah yang terbaring di atas lantai itu.
"Nenek, bangun nek. Dhia dah balik. Nek!" ujar Dhia sambil menangis teresak-esak.
"Ya Allah, selamatkan nenek aku. Aku tidak sanggup kehilangannya. Tolong Ya Allah." Dhia berdoa di sisi Nek Timah.
NEK TIMAH dimasukkan ke wad kecemasan. Dhia terduduk di hadapan pintu wad kecemasan kerana kudratnya yang semakin lemah.
Hasnah memandang Dhia dengan pandangan tajam. Dia yakin bahawa Nek Timah sakit kerana Dhia. Hasnah terus mendekati Dhia dan menarik Dhia untuk bangun.
"Ini mesti salah kau kan?! Kau buat apa kat nenek? Jawab!" soal Hasnah sambil menggenggam kuat lengan Dhia.
"Ibu, sakit. Dhia... Dhia tak buat apa-apa pun kat nenek. Dhia sayang nenek." jawab Dhia tersedu-sedan.
"Habistu? Macam mana nenek boleh rebah? Tu...kau pergi mana pakai baju lawa-lawa ni? Kau pergi mana?!"
"Dhia pergi...pergi makan dengan Ara."
"Apa? Makan? Kau tinggalkan nenek sorang-sorang? Cucu jenis apa kau ni? Kau sedap-sedap makan kat luar pastu nenek kau tu, kau tinggal je. Kau tahu kan nenek kau tu sakit. Dia tak boleh tinggal sorang-sorang. Lagi satu, kenapa kau tak minta izin aku dulu untuk keluar. Aku ni siapa? Tunggul ke? Hah?!"
"Dh..Dhia tak bermaksud untuk tinggalkan nenek dan buat ibu terasa. Ara nak sangat belanja Dhia. Nenek pun dah izinkan." Air mata Dhia tidak henti mengalir akibat menahan sakit.
"Kau dengar sini ek? Kalau jadi apa-apa dengan nenek....siap kau! Aku tahulah macam mana nak ajar kau. Pergi duduk sana!" Hasnah menolak kuat tubuh Dhia sehingga dia tersungkur di atas lantai. Dia bangun perlahan-lahan dan duduk di atas kerusi yang berdekatan.
Tidak sampai sesaat, doktor keluar dari wad kecemasan tersebut. Dhia terus menghampiri doktor itu.
"Doktor, macam mana keadaan nenek saya? Nenek saya okey kan?"
"Alhamdulillah, nenek kamu stabil. Dia cuma penat sahaja. Tekanan darahnya rendah jadi kerana itu dia pitam. Kamu jangan risau ya?"
"Doktor boleh saya jumpa mak saya?" soal Hasnah pula.
"Maaf, buat masa sekarang mak Puan kena rehat. Esok baru pelawat dibenarkan melawat pesakit."
"Oh, terima kasih ya doktor." Doktor tersenyum sebelum beredar dari situ. Hasnah mendekati Dhia lalu menunding jari ke arah Dhia.
"Aku tak izinkan kau jumpa dengan nenek. Aku nak kau balik sekarang." Dhia terus mengangkat wajah.
"Kenapa Dhia tak boleh jumpa nenek? Dhia nak jumpa nenek." bantah Dhia.
"Eh! Kalau kau jumpa dengan nenek... nanti nenek kau bertambah sakit. Dahlah dia sakit sebab kau. Tengok muka kau nanti bertambah sakit lagi nenek kau tu. Dah, jangan degil. Pergi balik!" Hasnah menghalau Dhia supaya pergi dari situ namun Dhia tidak putus asa. Dia segera memegang kaki Hasnah.
"Ibu, Dhia nak jumpa dengan nenek. Tolonglah izinkan Dhia. Tolong bu. Dhia.... Dhia dapat tengok nenek dari jauh pun tak apa. Tolong bu." Hasnah terus menarik kakinya dari pegangan Dhia.
"Kau pekak ke apa? Aku cakap kau tak boleh jumpa nenek. Kau tak faham bahasa ke? Pergi balik sebelum aku heret kau. Balik!" Dhia tidak mampu berbuat apa-apa. Akhirnya, dia hanya menurut kata-kata Hasnah. Dhia melangkah longlai keluar dari hospital itu.
HASNAH menunggu Nek Timah di ruangan menunggu. Sementara itu, kejadian petang tadi terimbau kembali.
Hasnah baru pulang dari kerja berasa hairan kerana mendengar tangisan Dhia dari dalam bilik Nek Timah. Dia pergi menjenguk ke dalam untuk kepastian. Dia sungguh terkejut apabila melihat Nek Timah terbaring di atas lantai. Dia terus mendekati Nek Timah dan memeriksa keadaan Nek Timah.
"Apa dah jadi ni? Macam mana nenek boleh rebah?" tanya Hasnah kepada Dhia. Namun Dhia tidak langsung memberi jawapan walaupun sepatah. Dia hanya menangis teresak-esak.
"Dhia, ibu tanya ni? Kenapa diam? Jawab Dhia." tanya Hasnah lagi. Dhia masih menunjukkan reaksi yang sama.
"Orang tanya, dia diam je. Suka hati kaulah. Cepat tolong ibu angkat nenek masuk kereta. Ibu nak bawa nenek pergi hospital."
Setiap kali Hasnah mengingat kejadian itu, dia berasa amat marah terhadap Dhia. Dhia tidak boleh diharap untuk menjaga Nek Timah.
Dia bersumpah bahawa dia akan memberi pengajaran kepada Dhia. Dhia harus menerima hukuman terhadap kesalahannya dan dia akan memastikannya.
DHIA menghubungi Zahara untuk memberitahu perkara yang terjadi. Dhia tidak tahu kepada siapa harus dia luahkan kalau bukan kepada Zahara. Hanya Zahara yang mampu menenangkan jiwanya yang gundah-gulana ini.
"Assalamualaikum Dhia." sapa Zahara di hujung talian.
"Waalaikummussalam Ara. Aku..." balas Dhia namun dia tidak mampu meneruskan bicaranya. Perasaan sebak semakin menebal di dalam diri.
"Dhia, kau kenapa ni? Kenapa kau nangis?" soal Zahara, hairan.
"Ara, kau boleh tak jemput aku kat hospital? Aku tak ada duit nak balik naik teksi."
"Hospital?! Kau sakit ke Dhia?"
"Tak....nenek....nenek masuk hospital. Nenek....rebah." Akhirnya, tangisan Dhia tidak dapat dipendam lagi.
"Hah?! Kau sabar ya Dhia? Aku...aku datang jemput kau. Kau tunggu aku tau."
"Okey...terima kasih Ara."
"Tunggu tau....aku datang sekarang." Zahara terus mematikan talian.
Abang! Abang!
Zahara memanggil Zaril sambil menuruni tangga. Zaril sedang bersantai di kolam renang terkejut akan panggilan Zahara itu. Zaril terus bangun dan mencari kelibat Zahara.
"Abang, Ara nak minta tolong boleh?" tanya Zahara, tercungap-cungap.
"Boleh, apa dia?"
"Ni...nak mintak tolong jemput Dhia kat hospital. Nenek dia masuk hospital."
"Masuk hospital? La... kenapa tak cakap awal-awal. Jom, cepat." Zaril terus berlalu dari situ tanpa menunggu Zahara. Zahara agak pelik dengan reaksi Zaril tetapi dia membiarkan sahaja. Dia bergegas mengintil Zaril ke kereta.
"Aku harap kau okey, Dhia. Haih, macam mana lah bila aku dah pergi Universiti nanti? Siapa lah yang akan ada untuk kau nanti?" Bebel Zahara di dalam hati.
Share this novel