HDI 16

True Story Completed 65593

DHIA menyidai kain di ampaian. Muram wajahnya. Matanya nampak sedikit bengkak. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata. Kejadian semalam benar-benar menghiris perasaannya. Peristiwa itu bagaikan terimbau semula di matanya.

Rembang senja sudah mula melabuhkan sayapnya. Allahuakbar! Allahuakbar! Dari kejauhan sayup-sayup kedengaran azan Maghrib berkumandang.

Dhia kelihatan termengah-mengah memakir basikalnya di tepi pangkin. Tergesa-gesa dia berjalan ke belakang rumah. Sebaik sahaja tangannya menolak pintu dapur, herdikan Hasnah menerobos gegendang telinganya.

"Kau jangan masuk dalam rumah ni! Orang lain pergi kerja kat pasar dah lama balik, yang kau dah Maghrib baru nampak batang hidung. Apa alasan kau nak bagi lagi? Lana, anak Peah tu pun sampai awal. Kau ingat aku tak tau. Kau saja nak mengelat buat kerja, kan? Kau tau petang-petang aku balik kerja nak makan, kau main suka pergi menggatal entah ke mana!" Hasnah menghamburkan kemarahannya.

Dhia terkaku di muka pintu.

"Rantai basikal Dhia putus tadi ibu, itu yang lambat Dhia kena tolak basikal ni." Dhia membela dirinya.

"Hello! Bukan kau tak biasa jalan kaki pun sebelum ni, takkan itu nak jadi alasan untuk kau ambik masa berjam-jam nak sampai rumah!" marahnya lagi.

Dhia mengangkat mukanya. Terpamer riak tidak puas hati di wajahnya.

"Ibu tak pernah nak terima apa pun yang Dhia cakap. Ibu benci sangat dengan Dhia ni kenapa? Bukan ke lepas arwah nenek meninggal Dhia dah janji Dhia akan ikut semua cakap ibu. Tapi ibu tetap benci dengan Dhia, kenapa?"

Hasnah terus bangun. Merah padam mukanya.

"Kau ni memang saja nak cari pasal dengan aku! Nanti kau... Aku tau nak mengajar orang macam kau!" Pantas dia berlalu dari situ.

"Nah! Kau boleh berambus dari rumah ni!" Terus berterabur kain baju Dhia dicampak ke mukanya. Habis berterabur di atas tanah.

"Aku dah tak nak bela manusia yang tak sedar diri macam kau ni! Kau sibuk menyebut nenek kau yang dah mati tu kan?" Terjegil-jegil biji mata Hasnah memandang Dhia.

"Hah, kau boleh berambus ikut dia! Kau pergilah tinggal kat kubur dia tu. Kalau boleh kau korek tanah kubur tu, kau masuk kat dalam tu sekali! Tak habis-habis dengan nenek kau! Apa, kau ingat bila nenek kau dah mati aku nak timang kau! Cium peluk kau! Hei! Pergi matilah kau!" tempik Hasnah sekuat hati.

Makin kuat esakan Dhia. Pantas Dhia memeluk kaki Hasnah.

"Ibu tolong jangan halau Dhia. Dhia dah tak ada sesiapa ibu. Dhia minta maaf, Dhia janji Dhia takkan lawan cakap ibu lagi. Tolong ibu. Tolonglah kesiankan Dhia. Jangan halau Dhia bu." Teresak-esak Dhia menangis. Kaki Hasnah makin kuat dipeluknya.

Namun, rintihan dan tangisannya itu tidak sekelumit berbekas di hati Hasnah.

"Dah, berambus! Aku cakap berambus! Aku tak ingin nak tengok muka kau lagi! Aku dah cukup menahan hati selama ni dengan perangai kau! Kau pergilah mana kau nak! Kau jangan nak melalak kat sini, kau kan hebat. Mulut tu bukan main lagi melawan. Dah berambus!" jerit Hasnah.

Dengan kasar Hasnah menolak tubuh Dhia hingga tersembam mukanya ke tanah.

"Ibu, jangan buat Dhia macam ni. Dhia minta maaf. Tolonglah ibu!" Tangis Dhia sambil merangkak ke muka pintu.

Tepi bibirnya berdarah, mungkin disebabkan mukanya tersembam ke tanah tadi. Waktu itu kelihatan dua susuk tubuh manusia sedang berlari ke arah mereka.

"Kenapa ni Hasnah? Pasal apa kain baju berterabur semua ni? Ya Allah! Ingat Tuhan Hasnah. Kenapa jadi sampai macam ni? Cuba buat bersabar sikit Hasnah." Datin Yani cuba menenangkan Hasnah.

"Hasnah bukan saja-saja nak marah dia Yani. Perangai tak semenggah! Bukan sekali dua dia buat perangai macam ni, dah banyak kali! Hari ini memang Hasnah hilang sabar. Makan minum dia kita bagi, kita nak dilawannya! Orang macam ni patut dihalau aje!" jawab Hasnah.

Zaril menyampuk, "Apalah Mak Cik ni? Kalau ya Dhia tu salah, Mak Cik yang tua ni menegur bukan Mak Cik sama mengikutnya. Kalau betul Mak Cik dah tak nak jaga Dhia, hantar rumah kami. Tapi ingat, lepas ni jangan Mak Cik sibuk pulak mencari Dhia." Tegas suara Zaril.

Hasnah bagaikan baru tersedar. Dia bukannya sedar sebab yang menegur itu Zaril tapi dia baru tersedar janjinya terhadap arwah Nek Timah.

Ya! Dia sudah berjanji untuk menjaga Dhia sampai dia menutup mata. Giginya diketap. Nampaknya dia kena mengalah. Dhia yang sesekali terdengar esakannya itu dipandang benci!

"Kutip semua kain baju kau! Masuk! Kalau kau buat perangai lagi, memang betul-betul aku halau kau!" arah Hasnah dalam nada yang keras.

"Dah-dah masuk nak. Nah, ambil baju-baju ni." Datin Yani menolong Dhia mengutip kain bajunya. Sempat lagi dia mengelap air mata yang berderai di pipi gadis malang ini.

"Terima kasih Mak Cik Yani, abang Zaril." Suara Dhia bagaikan tak terkeluar dek sedu-sedannya.

"Dah pergi masuk. Nanti makan. Mak Cik jangan tak bagi pulak Dhia ni makan." Zaril mengingatkan Hasnah.

Dhia sudah masuk ke dalam rumah.

"Tak siap lagi ke menyidai kain tu? Pokok bunga dah siram? Semua kerja tak boleh nak diharap. Pemalas!" Suara ibu memekik dari tengah rumah.

Dhia yang terkhayal cepat-cepat mengangkat bakul kosong masuk ke dalam rumah.

ZARIL cuba melelapkan mata tapi gagal. Dia tidak boleh membiarkan Dhia terus dilayan sebegitu rupa oleh Hasnah.

Dia bingkas bangun. Kemudian dia duduk di meja, mencapai sehelai kertas dan mula menulis satu.

Zaril tidak mahu berdiam diri dengan melihat sahaja penderaan Hasnah terhadap Dhia.

ZAHARA menutup lampu sebelum membaringkan tubuh ke katil. Baru nak pejam mata, terdengar pintu bilik dikuak. Zaril berjalan masuk lalu berdiri di hadapan Zahara.

"Ara," panggil Zaril.

Zahara mendongak memandang Zaril. Tak cakap apa-apa, Zahara bangun lalu duduk menjatuhkan kaki ke lantai.

"Ara... Abang nak bincang sikit tentang Dhia. Abang tak sanggup tengok Dhia kena dera dengan Mak Cik Hasnah tu... Kita mesti buat sesuatu. Ara ada idea?"

Zahara tidak segera menjawab. Sebaliknya menarik tangan Zaril supaya duduk di sebelahnya. Zahara meramas-ramas tangannya sambil berkata.

"Ara tahu perangai Dhia macam mana. Baik hati dan penyabar. Dhia tu takkan melawan Mak Cik Hasnah tu... Apa abang cakap tu memang betul... tapi kita ni orang asing... Terus terang cakap, Ara memang nak tolong Dhia..."

"Abang faham... Ara jangan bimbang. Nanti pandai-pandailah abang fikirkan cara lain nak tolong Dhia, okey?"

Zahara tersenyum tenang. "Okey. Ara percayakan abang 100%..."

Zahara berasa lega lalu dia menggegam lembut tangan Zaril. "Terima kasih abang... Tolong Dhia..."

Zaril tersenyum dan mengangguk sebelum keluar dari bilik Zahara. "Dah... Pergi tidur... Sorry ganggu Ara..."

Zahara tersenyum meleret.

DHIA sedang memasukkan pakaian-pakaian kotor ke dalam mesin basuh. Tangannya lincah bekerja tapi benaknya teringatkan peristiwa Sofia datang ke rumahnya tadi.

Ketika itu Dhia mendengar pintu rumah diketuk bertalu-talu. Dia bergegas ke depan.

"Kejap!" Dan ketika membuka pintu, Dhia tergamam melihat seorang wanita lingkukan 20 an berdiri di luar dengan wajah keruh. Tak ada salam, tak ada mukadimah, dia terus meluahkan rasa.

"Apa yang Zaril suka sangat dengan perempuan macam kau ni? Dahlah miskin... Tak sedar diri! Aku memang kenal sangatlah perempuan macam kau ni. Perempuan mata duitan!"

Dhia tercengang kehairanan. Siapa pulak perempuan ni? Suka hati je sound aku. Sewel ke?

Dhia juga menyedari Safiyah atau mesra disapa Peah menjengah kepala sibuk nak tahu.

"Eh! Kenapa tu?"

Dhia cuma memandang sekilas. Dia tidak jawab pun pertanyaan itu. Hati masih bertanya siapa perempuan yang berada di hadapannya ini. Apa kaitan dia dengan Zaril?

Peah mencebik lalu mencemuh, "kekwat! Orang nak tolong... Tak nak. Lantak kaulah... Puiii!"

Dhia segan apabila jiran-jiran lain mula menjengah memandang ke arah mereka.

"Awak... Kalau ya pun, masuklah dulu... Kita bincang kat dalam."

Dia memintas dengan suara meninggi. "Tak payah! Aku tak nak pun jejak rumah kau ni!"

"Okey! At least... Perkenalkanlah diri awak tu dulu. Kenapa datang rumah saya pastu sound saya? Saya kaitan apa dengan awak?" Dhia melepaskan ketidakpuasan hatinya.

"Kau nak tahu sangat siapa aku?! Nama aku Sofia! Zaril tu TUNANG aku! Faham tak?!"

"Hah?" Dhia terpinga-pinga.

Sofia masih lagi dengan rasa marahnya. "Tak payah nak hah, hah sangatlah! Kau pekak ke?! Aku ni TUNANG Zaril!"

"Saya tahu, awak tunang abang Zaril. Tapi, kenapa jumpa dengan saya? Saya bukannya ada hubungan apa-apa dengan abang Zaril pun."

"Tak ada hubungan apa-apa konon! Kau jangan ingat aku bodohlah! Aku datang sini nak warning kau eh? STAY AWAY FROM ZARIL. Kalau tak... Siap kau!" Kemudian dia terus berlalu meninggalkan Dhia yang panik.

"Sofia, awak dah salah faham ni!"

Namun, Sofia langsung tak mengendahkan. Makin laju langkahnya pergi dari situ.

Dhia masuk ke dalam rumah. Dia terus gelisah memikirkan Sofia.

Nampak sangat Sofia marah apabila tanggapannya bahawa dia ada hubungan dengan Zaril. Dia benar-benar buntu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience