PULANG semula ke kampus setelah habis makan, Dhia terima panggilan dari Zaril.
"Sofia kata Dhia serang dia?" Tanpa salam atau tanya khabar, Zaril terus terjah dengan soalan begitu buat hati Dhia menghangat.
Serang? Amboi... pandai sungguh putar belit cerita. Dhia tak terkejut kalau cerita tersebut sampai ke telinga abang Zaril tapi dia terkejut bila Zaril kata dia serang perempuan tu.
"Dhia..."
"Abang percayalah cakap dia?" Dhia cantas sebelum Zaril keluarkan bahasa menyakitkan hati.
Memanglah kalau tentang perempuan tu, hati Dhia akan jadi sakit sangat-sangat.
"Ayat tadi kan ayat tanya."
"Mana Dhia tahu, tak nampak tanda soal kat belakang." Dhia tahan rasa hati.
Abang Zaril gelak perlahan mendengar kata-kata Dhia. Huh! Boleh lagi dia bergelak tawa.
"Dia kata Dhia lempang dia, betul ke?"
"Ha'ah, betul la tu." Pantas dhia mengiyakan. Boleh kira lempanglah tu, walau dengan tote bag.
"Haih! Perempuan... Perempuan..." Zaril seperti mengeluh.
"Kenapalah suka berperangai macam budak-budak..."
"Memang Dhia budak!" Dhia memintas.
"Masih belajar lagi, kan? Abang yang gatal suka kat Dhia siapa suruh?" Talian terus Dhia tamatkan. Geram bila Zaril kata dirinya budak-budak.
Tak lama, panggilan Zaril masuk lagi. Tapi, dia reject. Berkali-kali Zaril mencuba sebelum pesanan melalui WhatsApp dihantar.
- Kalau Dhia tak angkat call, abang datang UITM sekarang. -
Zaril mengugut dan kemudian panggilannya muncul lagi. Tak agak-agak Dhia terus menjawab. Takut kalau betul-betul datang cari dia sampai dewan kuliah.
"Dhiaaaa..." Suaranya seperti mengeluh.
"Kalau abang nak tahu. Ya! Memang Dhia lempang Sofia sebab dia kacau Dhia dulu. Abang sebagai tunang dia, tolong nasihatkan dia jangan ganggu Dhia, sebab Dhia tak tahu apa-apa."
"Hey! Janganlah cakap macam tu... Buat abang sebersalah aje..."
"Dhia nak masuk kelas dah." Tanpa menunggu Zaril bersuara, Dhia terus tamatkan panggilan. Kemudian, telefon dia terus matikan dan campak ke dalam tote bag yang tersandang di bahu.
KELIHATAN rakan Sofia sedang bersarapan roti bakar di ruang tamu. Seorang yang lain sibuk dengan telefon bimbitnya. Tiba-tiba selonggok pakaian jatuh berunggun di depannya. Terkejut beruk dia dibuatnya lalu menoleh.
"Eh! Apa pasal ni, Pia?"
Sofia menyandar bahu ke dinding, masih lagi dengan baju tidurnya. "Kalau kau orang nak, ambillah."
Pinggan roti ditinggalkan lalu mereka terus teruja, semuanya menerpa timbunan pakaian itu.
"Ya Allah, aku suka baju yang ni! Betul ke kau dah tak nak ni?"
"Biar betul, beb? Kau dah tak nak ke?"
Sofia seronok melihat mereka teruja. "Ha'ah, aku tak nak! Aku dah taubat!"
"Taubat?!"
Serentak mereka saling berpandangan.
"Biar betul?"
Mereka benar-benar terkejut. Tapi Sofia tak menjawab, terus berlalu dari situ menuju ke biliknya.
Sambil berebut pakaian, mereka berbisik sesama sendiri.
"Macam tu aje dia taubat? Senangnya!"
"Ah, lantaklah. Yang penting aku nak yang ni."
"Eh! Aku naklah yang nampak bahu ni!"
Maka mereka berdua terus berebut-rebut sesama sendiri.
Di dalam biliknya, Sofia menghempaskan tubuh di atas katil. Hatinya riang bila rancangannya untuk merapatkan diri dengan Zaril semula berjalan lancar. Sofia sedar yang dia perlu mencari jalan terus untuk rapat dengan Zaril.
"So, what's next after this?"
SEMENTARA menunggu pensyarah masuk ke dewan, Wati keluarkan topik hangat. Topik tentang pelajar baru.
"Kau orang, ada pelajar baru masuk. Nama dia Iskandar."
Naura menjadi teruja dengan kata-kata Wati.
"Woo! Pelajar baru, kau dah jumpa dengan dia?"
"Mestilah dah. Aku kan pro dalam bab-bab ni. Kalau kau nak, aku boleh kenalkan."
"Kau kenalkan dengan Naura je. Aku tak minat." Dhia mencelah.
"Kau ni macam tahu-tahu je. Ti, kau wajib kenalkan aku dengan dia. Kalau boleh, hari ini jugak." Dhia dan Wati saling berpandangan mengagak.
"Hah! Naura dah bagi hint dah tu. Kau jangan lupa tau, Ti." Dhia ketawa terkekek-kekek.
Tiba-tiba suasana hingar-bingar di dalam dewan kuliah bertukar sunyi. Itu menandakan lecturer sudah masuk.
"Naura... lecturer dah masuk." Wati berbisik perlahan agar Dhia berhenti ketawa.
Naura terus toleh ke arah Dhia. "Kiranya deal lah kan, aku dapat kenal dengan mamat Iskandar tu?"
Mereka mencebik. Naura ni perangai tak pernah berubah. Pantang dengar tentang pelajar lelaki yang baru masuk. Kot-kot sangkut!
Mereka terus diam sebab di depan sana lecturer sudah mula membuka mulut.
TERLIHAT kelibat Iskandar di kejauhan, Naura rasa teruja. Tidak sabar-sabar mahu bersemuka dan berkenalan dengan Iskandar.
"Eh... Kau ni, kalau ya pun excited... Sabar-sabarlah dulu." Dhia menarik tangan Naura apabila dia terus mahu menerpa ke arah Iskandar.
Namun, Naura tidak mengendahkan kata-kata Dhia. Dia perlu bertindak segera.
"Wati!" Jeritan Naura sudah mengalahkan suara Tarzan memanggil haiwan-haiwan dalam hutan. Lantang. Siswa-siswi yang hilir mudik di kawasan parkir motosikal tertoleh-toleh mendengar suara halilintarnya. Huh... Hendak pandang, pandanglah. Dia peduli apa?
Wati menoleh memandang Naura yang tiba-tiba muncul di situ macam kilat. Kaki Naura sudah setapak melangkah mendekatinya dan Iskandar.
"Aku nak jumpa kau. Ni siapa?" Jari telunjuk Naura lurus ke arah Iskandar yang bibirnya sudah mengukir senyuman mesra. Pandai betul Naura ni berlakon. Padahal dah tahu siapa, saja aje suruh Wati kenalkan Iskandar pada dia.
"Ni? Ni... Iskandar. Pelajar baru kat kampus kita."
"Hai! Nice to meet you two." Iskandar memperkenalkan diri.
"Hai... Saya Naura. Sebelah saya ni, Dhia." Naura senyum meleret.
"Err... Saya minta maaf... saya ada kelas. In Shaa Allah, kita jumpa lagi nanti. Assalamualaikum."
"Okey-okey. Hati-hati... Waalaikumusalam." Naura menjawab dengan suara paling manja yang pernah keluar dari anak tekaknya.
Sepeninggalan Iskandar, Naura terlompat-lompat teruja sebab dapat berkenalan dengan Iskandar. Macam monyet pun ada aku tengok. Teruk betul Naura ni.
"Sudah-sudah! Jom balik dorm." Dhia menarik lengan Naura dan melangkah laju meninggalkan parkir motosikal itu.
Share this novel