3 BULAN KEMUDIAN.
BUKU-BUKU berkaitan subjek exam hari ini bersepah di atas meja. Semalaman Dhia menelaah sepintas lalu kesemuanya. Mana yang penting, dia masukkan ke dalam beg.
"Dhia... Dah siap, belum?" Terdengar suara Hasnah.
"Sikit lagi, bu. Ya tengah kemas buku ni ha..."
"Jangan lambat sangat! Dah lewat ni. Hari ini hari Isnin. Ramai orang hantar anak ke sekolah. Takut lambat ambil exam. Pintu depan tu jangan lupa tutup kang terbongkang sampai ke petang seorang pun tak perasan."
"Oh ya... Pintu..." gumam Dhia, kalut menutup beg. Sambil membetulkan tudungnya, dia bergegas ke pintu depan yang terbuka separuh.
Ketika mahu merapatkan daun pintu dan menguncinya, Dhia ternampak satu kotak penuh barangan ada betul-betul di depan pintu. Rasa pelik, dia buka pintu dan berlutut depan kotak tersebut dan membelek isinya. Di dalamnya ada bungkusan kopi, gula, teh, susu tin dan beberapa keperluan harian lain.
Dhia kehairanan sendiri memikirkan dari mana datangnya semua barang itu.
"Oi! Cepat lah, lambat dah ni." Suara Hasnah terdengar lagi.
"Baik, bu..." jawab Dhia acuh tak acuh. Dia lebih mencemaskan kotak tersebut. Apatah lagi bila dia ternampak ada sekeping kertas A4 dilipat dua terselit di antara barangan tersebut.
Waswas, Dhia menarik dan membuka lipatan kertas tersebut. Tertera perkataan 'sama-sama' berserta gambar muka kartun tersenyum.
Dhia segera tahu siapa yang menghantarnya. Spontan, dia angkat muka dan mengedarkan pandangan ke sekitar rumah mencari kelibat Zaril. Tapi tak nampak di mana-mana.
"Ya Allah, Dhia... kau buat apa lagi tu?" Suara Hasnah kedengaran semakin rengsa bila Dhia masih tidak muncul-muncul.
"Yalah, yalah," sahut Dhia tersenyum gembira sambil mengangkat kotak itu dan merapatkan pintu. Selepas menguncinya, Dhia bergegas ke dapur.
"Tu kotak apa pula tu? Ada orang tinggalkan anak kucing depan rumah kita lagi ke? tanya Hasnah apabila melihat Dhia muncul bersama sebuah kotak.
"Santa Claus datang bu malam tadi..."
"Apa kelos?" Hasnah terkebil-kebil.
Tersenyum geli hati, Dhia meletakkan kotak ke atas meja. "Tak ada apa-apalah, bu... Jomlah..."
"Ha, yalah..."
Di luar rumah, Zaril keluar terhendap-hendap dari balik pokok-pokok sambil memandang ke arah rumah Dhia. Ada sebentuk senyum puas di wajahnya kerana dapat membantu keluarga kecil itu.
DARI jauh, di celah keramaian orang, Zaril mengintip Dhia masuk ke dalam sekolah. Dia tersenyum sendiri melihat Dhia gembira dan bersemangat menuju ke dewan peperiksaan.
Manakala Dhia seperti dapat merasakan ada mata sedang curi-curi memerhatikannya. Dia mengedarkan pandangan lalu terpandangkan kelibat Zaril di celah pelajar.
Zaril cepat-cepat menyembunyikan diri.
Dhia tahu Zaril ada di situ. Tapi dia pura-pura kononnya tidak tahu. Padahal hati dah berbunga riang. Dhia meneruskan langkah.
Dari jauh Zaril tetap mengintai Dhia.
HARI demi hari, peperiksaan STPM berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, Dhia dapat menjawab semua soalan dengan tenang. Dia dan Hasnah juga mulai rapat.
Peperiksaan juga sudah habis. Hanya menunggu keputusan peperiksaan keluar. Sementara itu, Dhia memutuskan untuk bekerja di pasar segar tidak jauh dari pekan bersama Nek Kalsom.
Hasil jualan tidak menentu. Kadang-kadang laku, kadang-kadang tidak. Paling penting, Dhia masih dapat upah dari hasil jualan walaupun tidak banyak mana. Cukuplah untuk menyara hidup.
Hari ini, genap seminggu Dhia bekerja di pasar segar ini. Sepanjang bekerja dengan Nek Kalsom, dia dilayan persis nenek melayan cucu. Nek Teh memang mengingatkan dia tentang Nek Timah Terubat jua rindu di hatinya.
MACAM jadi satu hobi pula bila Zaril asyik menghendap Dhia. Bersama teh tarik ikat tepi, dia kembali ke tempat dia memerhatikan Dhia. Tapi ketika itu dia menyedari Dhia dah tak ada di tapak jualan. Cuma ada Nek Kalsom saja.
"Eh! Mana pula dia pergi? Tadi ada..." Zaril garu-garu kepala sambil menyedut air.
"Ehem! Gigih abang Zaril, kan?"
Zaril nyaris terloncat mendengar suara itu di belakangnya. Setengah panik, dia berputar menghadap Dhia.
"Eh! Dhia! Err... Dhia buat apa kat sini?"
Dhia tersenyum menahan gelak. Nampak sangat Zaril pura-pura berlakon. "Abang tu buat apa kat sini? Sekodeng Dhia dengan nenek, eh?"
Menggelabah Zaril bila diusik begitu. Otaknya ligat cari alasan paling logik. "Eh! Mana ada... Abang... Err... Abang... Datang sini sebab nak beli... Teh tarik sedap ni..." Zaril tayang bungkusan teh tarik di tangannya.
Dhia tergelak. "Amboi? Datang ke pasar semata-mata nak beli teh tarik ikat tepi ke? Abang rasa logik ke alasan tu?"
Bersama sengihan gugup Zaril menjawab, "err... tak logik kut..."
Dhia tergelak lagi. "Jom!"
"Jom apa?" Zaril bingung.
Tangan Dhia terangkat, menayangkan beg plastik berisi tiga bekas makanan. "Jom temankan Dhia dan Nek Kalsom makan sama-sama. Dhia ada tapau makanan ni. Tapi tak adalah lauk mewah macam abang biasa makan."
Zaril tersenyum segan.
"Jomlah... Daripada abang sekodeng kita orang kat sini dari tadi... Baik abang lepak sama kat situ." pelawa Dhia lagi.
Zaril tersenyum geli hati bersama muka merah menahan malu. Rupa-rupanya Dhia dah tahu awal. Tapi tetap dia tak nak mengaku. "Hei, mana ada sekodeng... Abang... Sebenarnya..."
Dhia mencebikkan bibir. "Sudahlah... Abang tak payah nak cover line sangatlah..."
Sudahnya Zaril tertawa lalu mengekori Dhia.
Akhirnya dia tak perlu lagi sembunyi-sembunyi memerhatikan Dhia. Dapat makan bersama dengan Dhia dan Nek Kalsom di pasar awam, benar-benar memberi pengalaman bermakna buat Zaril.
Selesai makan, mereka berbual kosong. Kadang-kadang Zaril ambil kesempatan melayan pelanggan bersama Dhia.
Ada ketika, Zaril sibuk mengemaskan sayur-sayur yang kelihatan bersepah. Dhia curi-curi memandang sambil membasuh periuk belanga. Nek Kalsom menyedari lalu berdeham.
"Ehem... Haram cu, pandang lama-lama..."
"Nenek ni..." Dhia ketawa geli hati.
Manakala Zaril terpinga-pinga bila mendengar Nek Kalsom dan Dhia seperti berkata sesuatu. Dia sibuk nak tahu. "Kenapa?"
Dalam sisa tawanya, Dhia menjeling ke arah Nek Kalsom beri isyarat supaya senyap. Kemudian dia memandang Zaril. "Tak ada apa-apa... Tu... Ada orang nak beli tu..."
Zaril menyeringai dan terus melayan pelanggan yang datang. Sementara Dhia mengulum senyum lalu sambung membasuh. Namun, sesekali matanya mencuri pandang Zaril lagi. Hatinya berbunga girang.
DHIA berdiri di muka pintu dengan telefon bimbit dilekapkan ke telinga. Di hujung talian, Zahara melaporkan apa yang telah berlaku apabila dia sudah lama tidak menghubunginya.
"Habis tu, macam mana dengan assignment kau tu? Dah settle?" Dhia kerisauan. Berkerut-kerut mukanya mendengar penjelasan Zahara.
"Alhamdulillah... Settle assignment aku. Tak sia-sia aku tak tidur malam. Ha... ni. Aku nak tanya kau punya exam okey? Dah habis kan?"
"Dah... Alhamdulillah, aku pun boleh jawab semua soalan."
"Baguslah kalau macam tu. Dhia... Errr... Abang aku ada kacau kau tak?" Dhia terkejut dengan pertanyaan Zahara.
"Kenapa kau tiba-tiba tanya macam tu?"
"Tak adalah... Aku risau je kalau abang aku ada kacau kau. Abang aku kan su..." Zahara terdiam seketika. Dia tidak perasan bahawa dia hampir terlepas cakap.
"Su apa... Ara?" Tanya Dhia, hairan.
"Hmm? Su? Mana ada aku sebut su. Aku sebut 'selalu'. Aku nak cakap abang aku kan selalu tolong kau. Ha..."
"Oh... ingatkan apalah tadi. Btw... aku nak terima kasih dekat kau dengan abang Zaril sebab tolong aku bagi barang dapur hari tu. Aku hargai sangat."
"Sama-sama... Sebenarnya aku sendiri tak tahu yang abang aku ada belikan barang tu untuk kau. Aku tahu lepas dia dah bagi dekat kau. Okay lah... Nanti kita sembang lagi. Bye."
"Okay, bye." Dhia mematikan panggilan tersebut.
Hati senang dapat bersembang dengan Zahara. Walaupun sekejap, panggilan itu sungguh bermakna baginya. Datanglah berapa ramai kawan sekalipun, kau tetap menjadi kawan baik aku, Ara. Selama-lamanya.
Share this novel