Bab 31

Romance Series 27539

"Dina, aku tak tahu nak buat apa. Aku buntu sangat." Sarah memejam sebentar dua kelopak matanya daripada melihat aku. Lufya yang menjadi teman setia di sebelah hanya menjadi pengurut bahu sejak tadi, diam tanpa kata tetapi dengan usaha mahu melegakan si sahabat.

"Aku rasa, hang kena minta petunjuk dengan Allah. Tu je caranya. Aku nak tolong pun, tak tahu nak tolong apa. Allah je yang tahu hang ada jodoh ke tak dengan dia." Aku menggigit dua bibirku sambil berfikir panjang.

Sebagai sahabat, apakah yang sepatutnya aku lakukan? Kasihan pula melihat Sarah menderita sebegini. Sarah pun iya juga, tidak boleh terlalu berserah kepada takdir. Semua benda perlukan usaha dan ikhtiar.

Doa, usaha, ikhtiar, istiqomah dan tawakal. Asas untuk mencapai kejayaan.

Aku hanya mampu mendoakanmu dari jauh, wahai sahabat.

"Dina, hang mai ke tak kenduri aku?" Celah Lufya tiba-tiba.

"Insya-Allah, mai ... hang toksah risau sangat, encik suami kasi je." Aku ketawa kecil melihat muka cuak Lufya. Takut benar aku tidak hadir ke majlis perkahwinannya nanti. Pastilah aku hadir, aku pengapit Lufya!

"Hmm, nasib baik. Aku tiba-tiba rasa ragu-ragu macam Sarah. Betullah orang kata, semakin dekat jalan ke masjid semakin banyak halangan. Aku penat, sampai kadang-kadang rasa tak jadi nak kahwin."

"Lufya, kenapa pula ni?" Ingatkan Sarah sahaja yang mempunyai masalah, rupanya Lufya sekali.

"Mungkin sama macam Sarah. Yang beza, Sarah dalam suasana ingin meluahkan perasaan, aku dalam alam pertunangan."

"Lufya..." Aku tersenyum simpul melihat mereka berdua. Sejujurnya aku bersyukur, masa perkenalan aku dan Danial sangat singkat, tidak menimbulkan pergaduhan. Alhamdulillah.

Itu baru sahaja satu ujian. Ujian bertunang. Setelah berkahwin, 1001 lagi ujian akan hadir satu demi satu.

"Aku ... bukan apa nak ragu-ragu dengan tunang sendiri. Cuma baru-baru ni, dia macam..." Kata-kata Lufya terhenti di situ.

"Macam?" Aku setia menanti jawapannya.

"Macam pelik. Pelik yang macam mana tu, susah sangat nak terangkan." Nada suara Lufya kedengaran semakin lemah.

"Sabar, mungkin perasaan agaknya. Jangan risau sangat, nanti sakit." Aku sendiri tidak mampu untuk berpesan lebih, aku bukan umi atau sedang duduk di tempat mereka. Aku baru merasa hidup di bumi Allah ini untuk 25 tahun, belum cukup usia dan semestinya tidak berpengalaman luas lagi.

"Harap macam tu lah." Lufya dan Sarah menundukkan kepala mereka ke lantai.

'Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan dua sahabatku ini untuk mencari pasangan halal mereka...' Doaku dalam hati.

*

"Abang..." Mataku aku buka semula setelah dipejam beberapa minit. Kini mataku menatap kipas siling yang berputar laju sahaja sambil menanti balasan dari Danial.

Sudah hampir satu jam kami membuat panggilan suara. Ya, panggilan suara, bukan panggilan video. Hanya untuk bersembang sebelum tidur, sekali satu jam dibuatnya. Tetapi tidak apalah, janji dapat juga aku lepaskan rasa rindu kepada suami tercinta.

Waktu yang terpapar di skrin telefon pintarku aku baca dalam keadaan yang samar-samar. Iyalah, aku di dalam gelap dan tiba-tiba sahaja cahaya dari kaca telefon pintar masuk ke dalam kornea mataku. Sakit mata dibuatnya.

Jam hampir 11 malam.

"Sayang? Sayang ada panggil abang ke tadi? Abang minum sekejap, sorry tau." Suara Danial barulah kedengaran daripada pembesar suara daripada telefon pintarku. Betapa syukurnya aku mendengar suara lelaki yang serak-serak basah itu, hanya Allah yang tahu.

Bahagia yang aku impikan. Bersama Danial setiap masa biarpun dipisahkan dengan berbatu jauhnya. Kini zaman teknologi, bukan seperti dahulu lagi.

"Tak ada apalah. Takut tahu, abang tiba-tiba senyap. Ingat dah matikan call." Aku ketawa kecil. Mimpi indah dibuatnya aku hari ini.

"Sayang tak nak tidur lagi? Anak dara tak baik tidur lewat ... nanti abang ngap baru tahu." Soal Danial tiba-tiba mencelah suasana.

"Dina bukan anak dara lagilah, abang." Bibirku diketap geram. Nasib baiklah hanya geram-geram manja. Semuanya sudah di tangan Danial. "Abang dah mengantuk ke? Kalau abang mengantuk, kita end call."

"Abang tak mengantuk pun, esok abang cuti lah. Abang tanya sayang, mana tahu dah terlelap dari tadi..." Suara itu kedengaran jelas lagi dari lubang suara. "Kita nak sembang topik apa pulak?"

"Kenal-kenal." Jawabku ringkas.

"Kenal-kenal?" Danial bertanya bagi mendapat kepastian.

"Kita tak pernah lagi berkenalan secara rasmi. Hari tu pun, tak sempat sangat. Jomlah kenalkan diri, bagitahu rahsia yang tiada orang lain tahu, tapi abang kena simpanlah." Terang aku laju.

"Abang je simpan? Dina tak? Habislah top secret abang macam ni..."

"Dua-dualah simpan. Abang ni..." Aku tersenyum bahagia sendirian. Walaupun orangnya tidak berada di sebelahku, tetap dapat aku rasakan sebutir bahagia. Apatah lagi kami bakal memulakan perkenalan secara rasmi yang bakal diingati sampai bila-bila.

"Ok, Dina start dulu. Lepas tu baru abang." Pinta suamiku. Aku menarik nafas panjang sebelum memulakan bicara.

"Nama panjang Dina, Irdina Safiya. Mesti abang dah tahu kan... Baru 25 tahun, muda tak? Ok, abang sambung." Ujarku penuh yakin.

"Aik? Pendeknya? Okeylah, abang pula. Nama abang, Muhammad Danial, umur 28 tahun bulan depan. Dina sambung lagi."

Aku memusingkan tubuhku ke sebelah kiri sebentar, membayangkan suamiku ada di sebelah. Benarlah, aku generasi yang bertuah. Aku dapat merasai kehidupan zaman dahulu dan zaman moden sekaligus.

"Dina ... kena kenalkan apa lagi?" Soalku keliru. Tidak pasti mahu memberitahu apa kepada Danial.

"Abang ada kisah silam yang nak diceritakan? Kisah pasal abang sendiri, bukan 'kisah sebelum hidup' abang. Dina nak dengar juga, manalah tahu boleh jadikan pengajaran, kan?" Halus sahaja suaraku meminta Danial menceritakannya.

"Kisah silam? Hmm..."

"Ye, kisah silam. Ada tak? Kalau abang malu nak cerita, Dina mula dulu." Aku menarik nafas panjang sebelum menyambung bicara. "Dina sebenarnya, takut umi dan abah dah tak ada masa Dina kat asrama dulu. Mula-mula rasa ragu-ragu nak masuk boarding school, takut apa-apa terjadi masa Dina tak ada kat rumah. Mula-mula tahun pertama sampai ketiga, okey je. Akhir-akhir tingkatan tiga masa nak ambil PMR tu, masa tu lah abah meninggal. Rasa macam, dunia gelap sekejap. Semua jadi huru-hara. Rasa hilang semangat nak belajar, sampai keputusan PMR pun merosot. Masa tu, Dina dah rasa sesuatu yang hilang. Semua dah tak sama macam sebelum ni."

"Jadi, tu kisah silam Dina? Okeylah, abang pula. Abang..." Telingaku setia menanti untuk mendengar 'cerita' seterusnya Danial.

Semua orang mempunyai kisah gelap tersendiri termasuk aku. Mungkin bagi aku, kehilangan orang tersayang adalah sesuatu yang paling pahit, mungkin bagi orang lain pasti ada yang lebih perit daripada itu.

"Abang ... ada penyakit, sayang." Suara serak-serak basah itu terhenti di situ sahaja.

Penyakit apa, Danial cintaku?

"P-Penyakit apa, abang?" Jantungku berdegup kencang. Rahsia gelap dan sulit Danial ialah...

Sakit?

Tidak, aku perlu mengetahuinya dahulu.

Assalamualaikum <33 Lama Deena tak update MHMPC, Deena tenangkan diri, rehat dulu sambil bercuti... Ehehe... Sebab tulah jarang update... Dalam part ni tak banyak sangat part Dina dengan Danial, nanti part seterusnya baru ada. With love, D e e n a :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience