Bab 27

Romance Series 27539

Badanku direbahkan semula ke atas tilam empuk itu. Entah mengapalah aku mudah sangat berasa penat sejak baharu-baharu ini. Terasa seperti asyik mahu baring sahaja.

Masih cadar ini. Cadar yang diperbuat daripada kain satin berwarna putih. Cadar pengantin baharu. Tanda perkahwinan aku dengan Danial.

Setiap kali aku menyentuhnya, aku akan teringat setiap sentuhan berharga suamiku.

Tanpa aku sedari, aku tersenyum sendiri membayangkan memori indah aku bersama seorang lelaki bergelar suami yang diberi nama Muhammad Danial. Terlalu istimewa lelaki itu, sehingga membuatkan aku berada dalam khayalan asmara yang istimewa.

Tidak pernah aku merasakannya sebelum ini. Cinta yang halal. Bukan yang haram.

Inilah nikmat alam perkahwinan yang aku tertanya-tanya sebelum ini. Memang benar sekali, sesiapa yang tidak pernah merasanya takkan tahu realiti menghadap cabaran berumahtangga ini, tetapi aku yakin sangat aku pasti boleh.

Semua orang boleh.

"Nak masak apa ye malam ni?" Tiba-tiba sahaja otakku terganggu dengan fikiran ini. Bila sudah menjadi isteri orang dan suri rumahtangga, ini sahajalah yang berada di fikiranku. Walaupun hanya aku dan umi di rumah ini, tidak salah untuk aku menyediakan hidangan lazat lagi istimewa untuk ibuku sendiri. Haraplah aku dapat mewarisi kehandalan keturunan umi iaitu 'ratu dapur'. Gelaran yang arwah abah dan abang-abangku sendiri berikan.

Kipas siling yang berbunyi-bunyi itu pula menjadi tatapan mataku sementara otakku ligat memikir sesuatu. Bahan apa yang berada di dapur pun, aku tidak pasti. Jangan kata bahan apa yang ada, siapa yang beli pun aku tidak tahu. Misteri, bukan?

Misteri, misteri juga. Rasanya ada jiran yang baik hati tolong belikan agaknya. Umi sekadar hulurkan duit dan upah sahaja. Tidak perlu lagi berpenat ke pasar yang agak jauh.

"Selain tomyam, masakan apa lagi yang sedap?" Soalku kepada diri sendiri.

Masak lemak cili api? Ya, boleh cuba.

Kari, aku kurang suka.

Masak merah masam manis? Nampak menarik.

Tidak apalah, aku tanya umi dahulu bahan apa yang ada di dapur. Risau pula aku sudah merancang macam-macam, sekali tidak cukup bahan. Pasar bukannya dekat. Hendak naik teksi pun sudah memakan kos. Hendak mengayuh basikal, panas benar rasanya.

Semangat untuk memasak tiba-tiba sahaja hadir dalam diriku tanpa aku pinta mahupun jangka. Kalau dahulu aku memasak untuk diri sendiri sahaja, paling tidak pun untuk rakan serumah, kini aku perlu memasak untuk suami dan umi sendiri. Pasti mereka lebih sensitif dalam menilai setiap rasa masakan tersebut.

Usahalah, Irdina. Usaha tangga kejayaan.

Terus aku bangkit daripada katil lalu menuju ke dapur. Tiada umi di situ. Ke mana pula wanita yang melahirkanku itu pergi?

"Umi?" Nama panggilannya aku seru.

Tiada jawapan. Sunyi sahaja.

"Umi?" Untuk kali kedua aku memanggil ibu kandungku sambil berharap akan bertemu dengannya.

Namun harapanku musnah, masih kekal tiada jawapan. Perasaan risau mula bertapak di dada, takut akan kehilangan satu-satunya ibu yang aku ada. Biarpun sebentar sahaja tidak dapat aku melihat wajah itu, mulalah sebak memenuhi dada. Bila sudah berkahwin ini, hormon dan perasaanku bertukar lain, semakin sensitif jadinya.

Pintu tandas aku buka, tiada orang. Begitu juga dengan bilik mandi dan setiap bilik di rumah ini. Masih sama, tiada kelibat umi.

Kali ini aku cuba pula mencari umi di luar rumah. Selipar jepun aku sarungkan lalu melilau-lilau sekitar halaman rumah sambil merayu akan berjumpa umi.

"Umi ... umi dekat mana?" Seruku seperti hendak menangis. Tidak ubah seperti kanak-kanak yang kehilangan ibunya. Samalah seperti aku, tetapi aku sudah dewasa. Sepatutnya aku lebih matang dalam menguruskan emosi sendiri, tetapi lain pula yang terjadi.

"Dina panggil umi ke? Umi kat sinilah." Suara yang amat aku kenali itu membuatkan aku terkejut sekali lagi. Umi?

"Umi? Awat keluaq tak habaq? Dina kalut tau cari umi merata-rata. Takut." Luahku kepada umi. Kelihatan beberapa biji jagung sudah berada di dalam guni hasil tanaman umi di bendang ini. Jagung yang kuning keemasan, sedap dibuat bertih jagung goreng lebih-lebih lagi ketika panas dan rangup. Fuh, nikmat.

"Umi petik jagung je. Nak takut apa? Dina dah besaq, dah boleh jaga rumah sendiri, dah jadi bini orang pun." Kata umi.

Benar, aku isteri orang. Tetapi, tidak dapat aku pastikan kenapa aku takut untuk tinggal di rumah ini seorang diri. Bukan takutkan hantu, mungkin aku takutkan tempat terpencil yang hanya aku seorang di dalamnya, lebih-lebih lagi waktu malam.

"Dina takut umi tak ada..." Badan umi aku peluk dari belakang. Selagi umi masih ada, selagi itulah aku akan menunaikan tanggungjawabku sebagai anak iaitu menjaga ibu bapa di hari tua. Meskipun yang tinggal hanya umi, perlulah aku layannya dengan baik sekali.

"Toksah takut la. Umi ada je, Insya-Allah. Jagung ni, umi rasa nak masak. Kalau Dina nak but popcorn pun boleh." Jari telunjuk umiku menunjukkan satu guni penuh berisi jagung. Banyak sungguh.

"Yelah. Dina tolong angkat bawa masuk." Perlahan-lahan guni berisi jagung itu aku angkat bawa masuk ke dalam rumah. Biarlah orang kata jatuh peranakan ke, apa ke janji umi tidak sakit. Umi sudah tua, aku muda lagi. Apa salahnya untuk bantu.

Niat asalku ingin bertanya bahan kepada umi terbatal seketika. Lihat jagung mentah di hadapan mata, menu lain pula yang terlintas.

Bubur jagung!

Iyalah, aku bukan lapar tidak makan seminggu. Cukuplah dapat isi perut dalam setengah hari pun sudah bagus. Tidak terlalu berat, tidak terlalu ringan. Ringkas untuk aku dan umi.

Umi duduk di atas kusyen span bertulangkan kayu yang berada di ruang tamu. Setelah meletakkan guni yang berat ke dapur, terus aku melabuhkan punggungku di sebelah umi.

"Kalau Dina masak bubur jagung, boleh?"

"Umi makan je apa yang anak umi masak. Masaklah apa je yang Dina nak." Umi memandang aku. Seperti yang umi pernah ajar kepadaku sejak kecil lagi, kata orang tua-tua bila bercakap jangan pandang tempat lain, rasa tidak beradab pula.

Semakin rancak aku bersembang dengan umi, semakin sedikit sebanyak aku terlupa tentang rindu aku kepada Danial. Tidaklah berasa sakit sangat.

"Umi, Dina nak minta sesuatu?" Pintaku dalam nada perlahan.

"Apa dia?" Umi kehairanan.

"Dina nak peluk umi, Dina nak melepaskan segala rindu kat umi. Dina nak umi tahu, umi tempat Dina meluahkan sayang, bermanja. Dina tak mahu kehilangan umi." Tubuh umi aku peluk seerat-eratnya seperti tidak mahu lepaskan lagi.

Umi bukan selamanya akan ada. Suatu hari nanti masing-masing akan pergi meninggalkan sesama sendiri. Bermula dari satu, dua, tiga sehinggalah manusia terakhir di bumi ini.

Sehingga tibanya hari akhir dunia. Yaumul qiyamah. Hari kiamat.

Yaumul Hasyr, hari berkumpul.
Yaumul Hisab, hari perhitungan

Setelah itu manusia akan ditentukan sama ada ke neraka mahupun syurga. Takut, sangat menakutkan apabila mesti melalui titian sirat yang tujuh kali lebih halus berbanding rambut. Barulah boleh masuk ke syurga.

"Dina anak yang umi paling sayang, tahu? Dina lebih mengerti kasih berbanding anak-anak lelaki umi. Umi tak salahkan depa lagi-lagi abang Hakim, sebab ada tanggungjawab sendiri sebagai bapa dan suami, lagipun depa lelaki. Umi ada Dina pun, umi dah bersyukuq. Dina mesti boleh jadi anak dan isteri solehah, Insya-Allah."

"Umi..." Sebak. Semakin sebak.

"Dina akan jadi ibu suatu hari nanti. Jadilah ibu yang terbaik, didiklah anak dengan ilmu agama. Ajarlah depa mahabbah, cintakan Allah lebih daripada makhluk. Jangan taksub pada dunia sebab dunia ni sementara." Pesan umi lagi.

"Umi,.." Dalam hatiku merayu agar umi berhenti. Kata-kata begini menambahkan lagi sebak di dada. Aku tahu, umi berniat baik cuma fikiran aku yang tidak tentu. Semakin berusia, semakin sensitif. Semakin berhati tisu, mudah koyak dan rapuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience