Petang yang cerah.
Angin sepoi-sepoi bahasa menyambar pipiku. Di kala petang yang indah ini, aku duduk di atas pangkin kayu berhadapan dengan rumahku. Di atas sekeping kertas, aku cuba melakar sesuatu menggunakan pensel kayu.
Pokok, bendang dan awan. Hanya itu yang terlintas di fikiranku. Bagi aku, melukis ini juga sebuah terapi untuk menghilangkan stres. Biarpun minat dan bakat aku bukanlah dengan melukis, cukuplah aku dapat merasai keseronokannya.
Sejak aku pulang daripada 'bercuti' tempoh hari, selalu sahaja perutku meragam, dengan meminta makanan yang lebih banyak setiap hari. Boleh buncit aku dibuatnya!
Kalau ada timbang, mesti beratku sudah naik berkilo-kilo. Bertabah sahajalah, orang yang kuat makan dan berangan ini. Ada orang kata, kuat makan ini salah satu tanda berbadan dua.
Berbadan dua?
Pensel kayu aku letakkan di pangkin lalu serta merta aku berhenti daripada melukis. Aku mengandung?
Tetapi, hanya satu tanda yang aku alami. Aku tidak ada tanda-tanda yang lain seperti muntah-muntah dan loya. Bagaimana pula itu?
Mahu tidak mahu, aku perlu cepat membeli alat penguji kehamilan.
*
Aku dan umi duduk di pangkin kayu tempat biasa aku melepak. Di tangannya sudah terdapat sebuah telefon bimbit, hanya tunggu untuk mendail nombor sahaja untuk menelefon dia.
Dia? Siapa dia?
"Umi, janganlah..." rayuku separuh mati. Badan umi aku goyang-goyangkan, supaya wanita separuh abad itu membatalkan niatnya untuk memberitahu Danial tentang kandungan aku.
Kandungan aku? Ya benar, kandungan aku. Penyatuan benih aku dan dia telah membuahkan hasil iaitu malaikat kecil yang sedang membesar di dalam rahimku.
Ujian kehamilan yang aku lakukan sebentar tadi positif, tidak sangka pula umi ternampak perbuatanku. Kini, hanya umi dan diriku sahaja yang tahu. Sudah umi merancang untuk menelefon Danial, tetapi aku masih mati-mati untuk menghalang.
Bukan apa, aku agak gugup. Entah apa riaksi suamiku apabila mengetahui isterinya sedang membawa seorang janin di dalam rahimnya. Setakat ini, biarlah kewujudan malaikat kecil ini hanya aku yang tahu.
Setelah berfikir semula, mengapa perlu aku takut? Kami sudah mempunyai hubungan yang halal, sudah sah pun menjadi suami isteri. Mungkin tiada bisikan-bisikan jahat orang kampung yang akan mengutuk dan menghina aku.
"Danial tu suami hang kan? Menantu umi juga."
Aku memeluk lutut. Membiarkan sahaja perbuatan umi untuk membocorkan rahsia. Umi ni pun satu, kenapalah susah sangat untuk menyimpan rahsia.
Perut yang masih belum kelihatan itu aku usap lembut. Tidak dapat aku percaya bahawa terdapat si comel yang sedang berada di dalam rahim ini. Kalaulah Danial tahu, agaknya apa riaksi beliau?
Anakanda umi, duduk baik-baik tahu, nanti bila anak umi dah cukup bulan, anak umi akan keluar dan membesar seperti kanak-kanak lain. Bahagiakan umi, bahagiakan abah.
"Assalamualaikum, umi. Kenapa call Danial?"
Suara di dalam panggilan itu mengejutkan aku. Suara suamiku.
"Waalaikumussalam. Danial tahu tak, apa dah jadi dengan isteri kamu?"
Aku berdebar-debar menanti jawapan. Oleh kerana suara sengaja dipasang kuat, dapat aku dengari suara Danial dari dalam lubang telefon.
"Tak .... Kenapa? Apa dah jadi dengan Dina, umi?"
Danial...
Aku tersenyum sendiri. Begitu prihatin dirinya terhadap aku. Kenapa hati aku sahaja yang masih ragu-ragu dengannya, sedangkan sudah jelas kelihatan usaha dirinya untuk belajar mencintaiku biarpun dengan perlahan.
"Tak lama lagi, hangpa berdua nak dapat baby!"
Riang sahaja suara umi memberitahu, berbeza dengan aku yang sedang menahan peritnya degupan jantung yang semakin laju ini.
"Da ... pat ... baby?" Suara itu kedengaran tergagap-gagap. Danial terkejut?
"Iye lah Danial oi, bini kamu ni mengandung. Dah buat test, tapi tak pergi check kat klinik lagi. Nak pergi la ni, esok." Balas umi laju. Gembira sungguh bunyinya, seperti umi pula yang mahu dapat anak lagi.
Mestilah gembira, umi bakal dapat cucu daripada anak perempuannya sendiri. Kalau abang Hakim, isterinya atau menantu umi yang menjadi ibu kepada anak saudaraku tersebut.
"Alhamdulillah..."
Kedengaran daripada telefon, suara Danial yang agak serak. Mungkin sebak, mungkin terharu. Bukan setakat Danial sahaja yang terharu, aku pun sama.
Terima kasih, Danial. Terima kasih, Allah. Semoga dengan hadirnya cahaya mata ini, bakal mengeratkan lagi kasih antara kami.
"Umi, Danial nak balik kampung, boleh? Nak jumpa dengan Dina. Malam ni. Boleh tak umi?" pinta suara itu.
"Eh, mestilah boleh. Dina pun, mesti rindu kat Danial kan? Tapi, tak penat ke drive malam-malam? Jauh ni, dari KL ke sini. Lima jam."
"Demi Dina dan bakal anak Danial, Insya-Allah tak penat. Kalau Dina mampu untuk mengandungkan anak Danial sembilan bulan tanpa mengalah, takkan Danial nak drive 5 jam pun penat." Suara itu kedengaran gembira.
Ya Allah, Danial. Sungguh dia cintakan aku, aku yakin. Kadangkala, bukan semua perasaan itu mudah untuk ditunjuk hanya dengan kata-kata, tetapi dengan kesungguhan melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Bahagia aku, bahagia dia juga.
Doa aku, semoga Allah menyelamatkan Danial yang mahu memulakan perjalanan malam ini ke sini, demi bertemu aku dan malaikat kecil ini. Anak ini, sangat memerlukan abahnya, mungkin sehingga ke hari tua.
Tentang panggilan yang bakal kami gunakan, untuk itu aku sudah cadangkan agar bakal anak kami menggelar aku dan Danial sebagai umi dan abah, sama seperti aku, umi dan abah. Kini, giliran aku dan Danial untuk menggalas tanggungjawab sebagai pra-ibubapa, sebelum fasa seterusnya yang mungkin lebih mencabar.
Dengan izin Allah, sedikit demi sedikit aku akan usaha mendalami psikologi ilmu keibubapaan mengikut peredaran zaman, tidak lupa juga mempelajari daripada pengalaman umi sebagai ibu kepada aku dan juga dua abangku selama 31 tahun.
Ikrar aku, untuk menjadi seorang ibu yang amanah, penyayang dan memberi didikan akhlak dan agama yang terbaik buat bakal anak-anakku nanti. Mungkin orang lain lihat aku seperti terlebih bersemangat, cuma bakal seorang ibu cahaya mata pertama sahaja yang faham tentang keterujaan aku ini.
Masih ada maksimum sembilan bulan, untuk aku berlatih menjadi seorang ibu yang terbaik. Masih ada sembilan bulan, untuk aku menimati masa-masa indah bersama Danial sebelum kelahiran cahaya mata kami. Masih berbaki sembilan bulan, untuk aku bermanja dengan umi sebelum aku yang akan menjadi 'umi'.
*
Cahaya lampu jalan dan bulan purnama yang menghiasi malam, menjadi sumber cahaya apabila aku duduk di luar rumah ini. Orang kata, tidak elok anak dara keluar rumah malam-malam, tetapi aku bukan anak dara lagi, kan?
Tidak berani untuk aku ke pangkin, cukuplah aku duduk di tangga rumah menanti kepulangan Danial. Sudah seperti seorang ibu menunggu anak dan cucunya pulang seperti di dalam iklan raya pula. Dramatik bebenar!
Jam di skrin telefon pintar aku baca. Sudah hampir pukul dua belas malam. Sepatutnya Danial sudah tiba, mengapa bayangnya tidak kelihatan lagi. Sudah lebih 30 minit aku menunggu di sini, umi pun sudah terlena dibuai mimpi. Tinggal aku seorang, yang setia menanti.
Danial, abang di mana ni? Jam sangat ke jalan raya tu?
Sepuluh minit.
Dua puluh minit.
Tiga puluh minit.
Akhirnya, pandanganku menjadi kelam dan berbalam-balam. Entah bagaimana aku tertidur, tidak aku ketahui. Mengantuk sangat, hendak bangun pun tidak boleh.
*
"Irdina Safiya!"
Aku membuka mata perlahan-lahan. Masih kabur, tidak dapat dipastikan gerangan siapakah yang berdiri di hadapanku. Mataku digosok perlahan, dengan harapan akan cerah kembali seperti biasa.
"Umi..."
"Bertuah punya anak, umi cari Dina macam orang gila, rupanya ada kat tangga! Nasib ada kat tangga, kalau kena culik dengan van Siam macam mana? Bangun, bangun. Subuh pun tak solat eh?" bebel wanita separuh usia itu panjang.
Eh, sebentar.
Aku tertidur semalaman di tangga inikah? Ish ish ish, teruk benar perangainya. Nasib baiklah, tidak jadi apa-apa. Ini mesti kerana aku menunggu Danial semalam, sehingga terlelap di sini. Mujur di kampung ini masih selamat, tidak ada orang yang akan menculik dan menjual aku di lorong-lorong maksiat.
"Umi, Danial mana?" soalku kehairanan. Kalau Danial sudah pulang, mengapa dia tidak kejutkan aku di sini?
"Danial belum sampai lagi, kot."
Aku menggigit bibir. Risau pula, ke mana sebenarnya Danial pergi? Kata, hendak pulang malam semalam tetapi batang hidung pun tidak kelihatan.
'Selamatkanlah suamiku,' rayu aku di dalam hati kecilku.
Tanpa melengahkan masa, lantas sahaja aku masuk ke dalam rumah untuk mandi dan ganti semula solat fardu yang telah aku tinggalkan ini. Tuala yang tergantung di belakang pintu bilik dicapai, lalu aku ke bilik mandi di belakang rumah.
Haii, sorry sangat sebab pendek. Ni je mampu taip untuk hari ni. Kalau ada rezeki, malam ni ataupun esok Deena akan update
Share this novel