"Dina! Kejaq akak!"
Laju setiap tapak kakiku melangkah besar mengejar si kakak saudara. Dengan kudrat aku yang baru berusia sepuluh tahun berbanding Kak Farah yang berusia 15 tahun, manalah logik untuk aku kejar.
Tidak apalah, janji kami seronok bermain permainan kejar-mengejar ini. Hanya kami berdua. Abang-abang aku, memang tidaklah. Nasib baiklah ada Kak Farah, yang sudah dianggap seperti kakak kandung ini menjadi teman sepermainan.
"Alah, penatlah. Hang lari laju..." Aku terduduk di atas tanah yang agak berlecak keletihan. Nafasku masih tercungap-cungap, kepenatan baru sahaja berhenti berlari. Susah benar agaknya mahu mengejar atlet sekolah ini, berbeza dengan aku, mudah sahaja ditangkap. Huh.
"Kita main lain, nak? Tak best lah gini, asyik kami je menang. Hang tu lari lembap sangat." Kak Farah berhenti lalu duduk berlutut di atas tanah lembap ini bersebelahan denganku.
Aku mula tersenyum sinis sambil menepuk lengannya, "jadi!"
"Eh, mana aci!"
"Aci lah!"
"Tapi kita kan tengah rehat?"
"Ada Dina kisah? Dalam peraturan dia pun tak ada rehat kan?" Aku ketawa besar. Padan muka si kakak, walaupun aku tidak segagah dia untuk berlari seperti atlet negara semasa acara balapan, tetapi aku ini boleh dikatakan bijak juga. Kan?
Perasan pun sama.
"Yelah, yelah. Akak dah bosan lah main ni. Kita main lain lah..." Kak Farah menggelengkan kepalanya sambil meneguk air koaong yang diisi di dalam botol tadi. Sudah kami bawa siap-siap bekalan air, memang kami sudah rancang untuk berlari-lari.
"Habis tu, nak main apa? Masak-masak? Eii, tak naklah. Macam perempuan!" Bahu Kak Farah aku tepuk sambil ketawa besar. Walaupun aku dilahirkan seperti seorang perempuam tulen, aku dibesarkan dengan dua adik beradik kandung lelaki. Tipulah aku, kalau terbiasa dengan permainan kanak-kanak perempuan seperti orang lain. Mainan aku pun, semua mainan lama abang-abangku dahulu.
"Macam perempuan? Habis, hang tu pa? Lelaki? Tomboy? Eh eh, sedaq diri sikit, hang tu dilahirkan perempuan, toksah nak tukaq jantina pulah la ni. Eii, geli!"
"Ke situ pulak hang. Kak, Dina jarang main mainan perempuan. Abang Hakim dengan Najmi lah, manalah nak main mainan perempuan ni. Dina bukan ada adik beradik perempuan pun," cebikku tidak ikhlas. Aku dan Kak Farah, sudah biasa bergurau kasar.
"Apa-apa jelah. Akak tak suruh hang pi main masak-masak, akak nak kita main benda lain. Main, soal jawab!" Ujar Kak Farah riang.
Okey, aku setuju.
"Soal jawab? Bolehlah." Aku mengangguk laju, sudaj bersedia dengan permainan baru yang kami akan mulakan sebentar lagi.
"Dah sedia?"
Aku mengangguk laju. Redha sahaja dengan soalan apa yang bakal ditanya. Soalan cepu emas ke, cepu perak ke, cepu gangsa je tidak apalah. Yang pasti kami dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
"Soalan pertamanya berbunyi ... Apa husband material Dina?"
Uhuks!
Aku berpura-pura batuk tersedak. Serius lah, soalan ini pula yang ditanya. Haram betul!
Aku ini, budak lagi. Nak kahwin? Mungkin lima belas tahun lagi. Lama, cukup lama lagi. Masih berbaki tujuh tahun untuk aku menghabiskan persekolahan yamg wajib, mana mungkin sudah fikir tentang kahwin.
Lambert lagi mak oii!
"Wajib jawab ke? Dina mana pernah pikiaq pasal kahwin, sumpah! Dina baru darjah empat, bukan semester empat bercinta dengan lecturer macam dalam drama tu!" Badan Kak Farah aku tolak kasar. Padan muka dia!
"Wajib lah anakanda oi, kalau hang tak jawab .... Akak bagitau makngah dengan pakngah yang hang dah bercinta dengan budak darjah lima kat sekolah hang tu! Biar depa rotan hang sat lagi!"
Sekali lagi, tawa terburai antara kami berdua. Ingat aku takut sangat? Macamlah Kak Farah tidak pernah bercinta.
"Sebab akak suruh, Dina jawab okey. Dina hentam je, toksah marah okey?." Satu tarikan nafas aku jalani. Mencari keyakinan dahulu, sebelum menjawab soalan cepu emas cepu perak cepu gangsa ini.
Satu saat.
Dua saat.
Tiga saat.
Empat, lima, enam dan tujuh saat. Masih sepi, tiada satu perkataan yang keluar daripada mulutku. Seolah-olah tahu sahaja hati berat untuk melepaskan kata.
"Hensem, comel, kaya!" laungku penuh bangga. Begitulah aku seusia ini, hanya ini yang terfikir di mindaku. Kalau berduit, semua benda pun boleh buat. Hari-hari pakai baju berjenama, beg tangan berjenama, barangan berjenama dan semestinya kereta mahal yang meluncur laju di atas jalan raya.
Dengan bangga dan riyaknya, aku keluar dari kereta sambil mengibas shawl yang tersarung di kepala bertemankan lelaki yang berpakaian suit serta berkaca mata hitam.
Siapa lelaki itu, kalau bukan encik suami pujaan hati. Gelaran Datin yang aku pegang semenjak berkahwin dengannya, masih menjadi bualan orang sehingga kini. Wajahku dan dia, terpapar di mana-mana termasuklah surat khabar dan dunia digital. Fuh, sukar untuk digambarkan kehidupan semewah itu.
"Hah, itu je? Dasar klise betul. Tak nak ke, lelaki yang kuat agama, hebat, gagah, wira negara dan penyayang macam pak ngah, abah hang?" Kak Farah ketawa lagi. Aku hanya merengus geram.
Ya, tahu. Aku hanya kanak-kanak sepuluh tahun, masih belum matang untuk berfikir soal 'husband material' ini. Setahu aku, umur aku ini hanya untuk bermain dan belajar mengenal perkara baharu.
"Nak lah, mana boleh tak nak. Tak terfikir je tadi." Aku memuncungkan bibir. Biarpun tahu Kak Farah bukan jenis melayan, aku masih membuat perangai manjaku di hadapannya. Apa lagi, kalau bukan untuk menagih perhatiannya.
Hari ini.
Daguku yang ditongkat dengan telapak tangan diangkat semula. Secara tiba-tiba sahaja, kenangan 15 tahun lalu itu berlayar di fikiranku. Kalaulah dapat ulang semua kenangan lama itu, sudah lama aku ulang.
Kalaulah kemesraan hubungan aku dan Kak Farah boleh ditukar ganti, akan aku gantikan dengan separuh nyawaku untuknya. Hari ini sahaja, sudah berkali-kali aku terfikir tentang dirinya.
Orang tua-tua kata, kalau mimpi seseorang bermakna kita rindukan dia. Ya, aku rindukan Kak Farah. Sebutir permata yang datang dan pergi, rapuhnya hubungan kami disebabkan kami mengejar cinta yang sama, iaitu Danial.
Pen berdakwat hitam yang terletak di dalam laci meja belajar ini, aku capai bersama sehelai kertas putih kecil. Penutup pen itu aku tanggalkan dari badannya, agak mampu dilihat dengan mata sendiri keadaan mata pen tersebut.
Perlahan-lahan, mata pen tersebut menyentuh permukaan kertas. Dakwat-dakwat hitam membasahi kertas, ia keluar sendiri tanpa dipicit olehku.
Jika, memang kau tercipta buatku
Maka, izinkan aku mengenalmu
Dua baris lirik lagu yang entah dikutip dari mana aku catatkan di atas kertas putih kosong tersebut. Kertas yang asalnya suci dan bersih, kini disaluti dakwat hitam dek tulisanku yang agak serabut ini. Lama sungguh tidak menulis nampaknya.
Ayat yang ditulisku tadi, aku baca perlahan-lahan sambil tersenyum sendiri. Ayat ini, mengingatkan aku tentang Danial.
"Jika, memang kau tercipta buatku."
Seperti yang Danial ucapkan kepadaku tempoh hari. Jika aku adalah jodohnya, pasti tidak akan ke mana.
"Maka, izinkan aku mengenalmu."
Ayat ini, tidak ubah seperti semasa fasa awal perkahwinan kami. Masing-masing masih kekok untuk berkomunikasi kerana tidak kenal sesama sendiri. Lahir dan tinggal dari latar belakang yang tidak sama, mungkin terdapat perbezaan budaya terhadap kami berdua.
Segalanya Danial.
Ketampanan lelaki itu, tidak pernah membuatkan aku tidak cair. Kemanisan gula guli cinta tahap potong kaki semasa awal perkahwinan kami, menjadi satu titik permulaan untuk ujian yang akan kami tempuh akan datang.
Aku juga tidak mahu mendiamkan diri, akan aku cuba untuk peluk Danial seeratnya dan tidak akan membiarkan figura itu dibahagiai oleh wanita lain.
Semua yang aku hadapi sebelum ini, hanya sebuah ujian kecil berbanding badai besar yang melanda kehidupan orang lain.
Setelah puas berangan, telefon pintar pula aku capai. Gambar perkahwinan kami yang menjadi wallpaper itu aku tenung lama. Di saat aku dan dia berpakaian serba putih, kami disatukan dengan sekali sahaja lafaz.
Sudahlah, Dina. Asyik membuang masa sahaja.
Langkahku pula menapak di bahagian ruang tamu rumah, meneroka sekeliling bahagian rumah pusaka ini. Pelbagai harta dan barangan turun temurun ada tersimpan di dalam rumah ini. Terdapat juga, barangan yang menjadi kenangan aku sewaktu zaman kanak-kanak terdahulu.
"Dina..."
Aku menoleh sekeliling, mencari dahulu di mana terletaknya gerangan pemilik suara sebelum menjawab. Bukan aku tidak tahu gerangan itu ialah umi, tetapi aku mahu mencari di mana kedudukannya.
"U... Umi." Pusing ke kiri, pusing ke kanan barulah jumpa sang gerangan yang menyeru namaku.
"Umi nak sembang dengan Dina, boleh?" pintanya.
"Boleh je, kenapa ni umi?"
Langkahku mengambil tempat di atas kerusi jati diikuti oleh umi. Kami duduk bersebelahan, di atas kerusi kayu jati hasil belian arwah abah belasan tahun lalu.
Sungguh lama dan tahan. Sebab itulah umi sukakan perabot yang diperbuat daripada kayu jati, simpan lama-lama pun tidak mudah rosak.
"Umi bosan. Seminggu umi rindu hang masa pergi honeymoon haritu. Dulu, umi boleh je duduk sorang-sorang. Sekarang, asal tak nampak anak umi yang cantik ni je, umi rasa sunyi." luah wanita yang bergelar ibuku itu.
Inilah hakikat menjadi seorang ibu. Semakin meningkat usia, semakin terasa diri sunyi apabila tiada siapa datang menemani. Jika diizinkan oleh Tuhan, akan aku jaga wanita ini sehingga akhir nafasnya, Insya-Allah.
"Bosan? Dah tu, nak Dina buat apa? Geletek umi sampai umi ketawa?" Tanganku mula menggeletek pinggang umiku.
"Janganlah!" Umi cuba menolak dirinya. Segera aku melepaskan tanganku. Niatku hanya satu, ingin melihat umi gembira.
Kegembiraan aku, dikongsi bersama. Kegembiraan mereka, kebahagiaan aku juga.
Danial dan umi.
Umi ialah insan yang sanggup berjuang separuh mati untuk melahirkan anaknya, manakala Danial ialah seorang suami yang wajib aku taati setiap masa, selagi arahannya tidak melanggar batas agama.
Kiranya, kalau aku ingkar kerana seorang suami ingin berpoligami, dosalah. Dalam Islam pun, memang dibenarkan berpoligami. Sunnah nabi pula itu.
"Tak sangka anak dara umi dah kahwin .... Umi macam tak boleh bayang, anak yang umi jaga dari baby ni dah jadi milik orang. Walaupun dah sebulan, umi tetap rasa Dina ni anak dara lagi."
"Anak dara?" Aku ketawa kecil.
"Arwah abah mesti gembira, kalau tahu anak perempuan tunggal dia dah jadi bini orang. Apatah lagi kalau Dina dengan Danial nak timang cucu nanti."
"Cu... Cucu? Umi kan dah ada cucu dah, buat apa nak lagi..." Aku menutup wajahku yang sedikit kemerahan kerana malu. Sukar untuk dibayangkan, aku ialah ibu kepada cahaya mata Danial. Tugasku adalah untuk menyayangi dan mendidik mereka, untuk menjadi manusia yang berguna dan membanggakan keluarga kelak.
"Itu, anak abang Hakim. Hangpa kahwin tapi tak ada anak, sunyilah." Tawa umi mula kedengaran, menceriakan lagi suasana.
"Eh, siapa tak nak umi? Tapi, Dina belum bersedia je." Aku tersenyum kelat. Pahit manis rumahtangga aku, biarlah aku dan dia sahaja yang mengetahui. Tidak akan aku ceritakan kepada umi, mahupun orang lain.
Share this novel