Kipas siling yang tidak pernah lelah berputar aku tenung lama. Bersama Danial di sebelah, aku dan dia melakukan perkara yang sama. Bukan kerana bosan, tetapi demi menenangkan hati yang masih kosong.
Apa yang berlaku siang tadi, aku lupakan seketika. Kini masa untuk bersama berdua dengan Danial, tidak mungkin aku akan spoil mood sendiri dengan mengungkit kisah lalu, apatah lagi masa untuk aku bersama dengan Danial hanya sementara dan terbatas.
"Dah puas tenung siling tu? Tak nak tenung muka abang?"
"Boleh je." Postur badanku dipusingkan menghadap Danial. Mata lelaki itu aku renung dalam, seolah-olah ingin tahu apa yang tersirat di dalam hati kecilnya.
"Dina tetap Dina, kan? Hiks!" Bibirku dimuncungkan manja.
"Yes, you are." Pipiku dibelai lembut oleh suamiku. "Dina tak pernah berubah. Dari awal abang kenal Dina, sampai sekarang. Dina tetap sama."
Aku?
Tetap sama?
"I know you love me and I love you too, sayang."
Ekor mataku memerhati sahaja anak mata Danial yang masih memandang aku. Suasana di jam sepuluh malam ini begitu indah, dengan kata manis dari Danial.
Kata-kata manis, yang aku percaya bulat-bulat itulah yang aku suka.
"Abang ... sebenarnya..." Aku menggigit bibir bawahku sebelum meneruskan kata. Entah mahu ajukan atau tidak, soalan sensitif ini.
"Iya?"
"Kak Farah. Dia perlukan abang."
Jelas suaraku tanpa gagap. Jujur sahaja diriku meluahkan isi hati yang terpendam sekian lama.
Kak Farah yang aku sayang, dia memerlukam suamiku. Dia yang datang dulu dalam hidup Danial, maka aku perlu beralah dengannya.
"Buat apa? Abang ada Dina."
"Tak ... bukan tu maksud Dina. Abang tahu kan, Kak Farah dah menderita seumur hidup dia untuk orang lain. Jadi, kita ni kenalah cari solusi untuk Kak Farah bahagia," jelasku panjang.
Salah satunya ialah, dengan membenarkan suamiku berkahwin lagi satu. Dengan ini, aku akan hidup bermadu dan menderita seumur hidup, jika aku tidak dapat menerima takdir seadanya.
Namun, bukankah setiap masalah akan ada solusi yang terbaik? Yang tidak akan menyakiti mana-mana pihak, malah membahagiakan kesemuanya sekali?
"Solusi apa?"
"Kita ... carikan suami untuk Kak Farah."
"Hah?"
Riaksi Danial terkejut. Aku tersengih sendiri. Pastilah Danial terkejut, jika orang yang disayangi bertahun lamanya akhirnya menjadi milik orang lain.
Dan aku, sebagai penggantinya. Bukankah takdir Ilahi itu cantik?
"Dina ikut persetujuan abang. Kalau abang tak setuju, Dina pun tak setujulah. Sekarang ni, abang setuju ke tak?" Riak wajahku gembira.
"Abang ... setuju. Jika itu yang terbaik untuk dia dan kita. Tapi ... kalau ada jodoh pun, macam mana Farah nak kahwin, sedangkan ayah dia tu menghalang?" Danial mengurut dagunya.
"Setiap masalah, pasti ada jalannya. Yang tu, kita akan fikir nanti. Sekarang ni, kita cari dulu stok suami Kak Farah," jelasku. Senyuman tidak lekang dari bibir, menandakan aku sedang bersemangat untuk menjalani 'misi' ini.
"Fuh, padu ayat. Eh silap, perkataan. 'Stok suami' eh? Hebat, hebat. Tapi, macam mana? Dina dah lama hidup dengan Kak Farah, Dina mesti tahu perangai ayah dia tu kan?" Danial mengulangi perbuatannya tadi, mengurut dagu sekali lagi.
Aku berdehem sebentar sebelum menyambung kata. "Wali, sepatutnya kena orang yang bukan fasik. Bukanlah Dina nak cakap ayah Kak Farah tu fasik, tapi tengoklah sendiri apa dia dah buat. Kahwin berkali-kali, tak ada satu pun yang lekat. Anak perempuan sendiri, dijual untung bayar hutang."
Tenang.
"Kak Farah, jadi mangsa perkahwinan jual beli macam jual beli hamba zaman dulu-dulu. Sekarang, dah beranak pinak, ada bapaknya nak jaga? Tak ada kan? Tak semua lelaki baik dalam dunia ni, tapi bukan semua lelaki jahat. Masih wujud lelaki yang special, limited edition dan kental macam..."
"Arwah abah?"
Jawapan dari Danial membuatkan aku tersenyum. Tepat sekali, memang arwah abah ialah seorang hero dalam hidupku.
Dan, aku juga mempunyai lagi tiga orang hero.
Abang Hakim, yang menjadi tulang belakang keluarga ini setelah kehilangan abah. Dia jugalah yang menjadi waliku semasa hari aku disatukan dengan Danial.
Abang Najmi, lelaki yang tersusun cantik takdir hidupnya. Bermula dengan kenakalan, tetapi amat bahagia. Hanya jodoh sahaja yang belum sampai buat dirinya, mungkin akan ada satu hari nanti.
Lagi seorang....
"Dan abang." Senyuman aku ukirkan di bibir mungil ini.
Hero realiti yang terakhir, ialah Danial. Suamiku yang halal, disatukan dengan sebuah akad yang membawa aku ke alam perkahwinan yang semestinya lebih mencabar dan banyak cabangnya. Terlalu banyak yang aku pelajari sepanjang kehidupan aku bersamanya.
Tanpa aku sedar, aku dapat memupuk sifat kesabaran dalam diri ini. Aku menjadi lebih sabar menanti kepulangan dia dari kota. Jarak antara kami, menjadi sebuah titik permulaan untuk mencekalkan emosiku.
"Abang?" Dahi suamiku terjungkit dek keliru. Sudah aku jangkakan situasi ini, cukuplah aku membalasnya dengan ketawa kecil yang menunjukkan aku sedang ceria.
"Yes, you are." Tangan lelaki bergelar suami itu aku capai lalu membelainya penuh kasih.
Seperti mana yang aku lakukan kepada Danial hari ini, begitu juga apa yang aku akan lakukan kepada bakal anakku nanti.
Dengan izin Allah.
"Sayang ni, memang sama macam dulu!" Pipi tembamku dicubit lembut oleh Danial. Bibirku mencebik, menandakan tidak suka dengan perbuatan tersebut.
Habislah rosak pipi gebuku nanti, siapa nak ganti?
"Of course lah, bukan Dina kalau tak masuk air!"
"Bukan suami Irdina Safiya kalau tak keluar air!" Sekali lagi pipiku dicubit olehnya.
Geram betul!
"Serius balik. Tadi kita tengah cakap pasal Kak Farah kan, macam mana lah boleh melelong sampai ke sini. Jadi ... macam mana kita nak mulakan?" Benak fikiranku mula ligat berfikir jalan pertama untuk misi kali ini.
Misi ini bukan main-main, misi ini untuk memastikan orang yang aku sayang selama ini dapat meneruskan hidup dengan bahagia dan tenang.
"Setahu abang, Kak Farah tak banyak songeh pun pilih calon suami. Yang pasti, lelaki tu kena rajin, jaga solat, bertanggungjawab, bonusnya hensem macam abang!"
"Ehem!" Bulat mataku memandang Danial. Perasan sungguh di malam hari ini.
"Uhuks! Betullah tu. Suami Dina memang hensem, kan?" Sekali lagi Danial mengangkat bakulnya sendiri.
Eee, gedik sungguh!
"Hensem. Hensem sangat, lebih hensem dari Taehyung kumpulan BTS tu," cebikku atas dasar niat untuk bergurau.
"Kan abang dah cakap. Sekali-sekala, nak perasan pun okey."
Aku hanya mampu tersenyum hambar. Sumpah, langsung tidak kelakar. Tetapi ada benarnya, Danial tetap lelaki yang paling kacak pernah hadir di dalam hidupku, tak tipu.
"Berbalik kepada cerita. Entah kali ke berapa kita tak terlelong ni, macam lelong barang pulak. Kita nak cari kat mana?" Wajahku mula serius dengan topik yang dibincangkan.
Ini tugasan aku dan Danial. Akan aku pastikan, wanita yang telah berjuang sepuluh tahun untuk bahagia itu mendapat kebahagiaan yang sebenar-benarnya, milik Allah Taala.
"Eh, banyak tempat boleh cari. Sekarang ni, banyak portal cari jodoh untuk cari lelaki-lelaki berkualiti tau! Insya-Allah, bukan semua lelaki bencikan janda." Danial menunjukkan wajah bersemangat.
"Bo ... boleh percaya ke?" Dahiku berkerut.
Benar juga, memang wujud lelaki yang baik dan bertanggungjawab, tidak lupa juga segelintir golongan yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap golongan ibu tunggal seperti ini.
Mahu tidak mahu, mencuba itu penting. Bukankah mereka mendaftarkan diri di situ untuk mencari jodoh tanpa perlu bercouple seperti anak muda zaman sekarang?
"Boleh, Insya-Allah. Abang sendiri yang cakap kan, ramai lagi lelaki baik yang wujud dalam dunia ni."
"Kalau macam tu, kita cuba lah." Tanganku diraih tanda setuju.
Misi akan bermula.
Share this novel