"Ni ke kampung awak?" Danial terpegun melihat suasana kampung dan sawah padi yang indah sekali. Sejuk mata memandang. Bukan bermakna Danial melihat sawah padi, tetapi ini kali pertama dia dapat melihat alam semula jadi ini di kampung bakal isterinya sendiri.
"Tak. Sebenarnya, ini bukan kampung saya. Ini kampung makngah saya..." Farah memandang bawah. Wajahnya muram. Mungkin sudah dapat agak soalan seterusnya daripada Danial.
"Kampung makngah awak? Jadi, kat mana rumah ibu dan ayah kandung awak? Saya nak jumpa dia orang, nak minta restu kita bakal berkahwin, Farah." Danial meneruskan pemanduan ke 'tempat percutian' yang dimaksudkan Farah.
"Sebenarnya, ibu saya dah lama meninggal, Danial." Tutur kata Farah semakin lemah. Tiada daya lagi untuk wanita itu bersuara. Mengenangkan kisah lalu adalah sesuatu yang perit, Danial.
"Ayah awak?" Seperti yang diagak, soalan inilah yang akan ditanya Danial. Ayah. Farah bencikan perkataan itu. Ayahnya tidak sama seperti ayah orang lain.
"Ayah saya jahat!" Air mata yang ditakung sejak tadi mengalir jatuh ke bumi. Meluahkan perasaan bencinya kepada ayah kandung. "Ayah saya jahat, selepas ibu meninggal ayah saya berkahwin lain dan lupakan saya.... Makngah saya yang jaga saya..."
"Maaf, saya tak tahu...." Danial terkejut mendengar penjelasan Farah. Di sebalik senyuman yang mekar di bibir wanita ini, tersimpan seribu duka di sebaliknya. Hanya dia yang tahu.
"Tak apalah...." Farah kembali memandang hadapan. Mereka sudahpun tiba ke tempat yang ingin dituju.
Danial dan Farah keluar daripada perut kereta dan terus mengeluarkan barangan dari bahagian bonet kereta.
Farah mengetuk pintu lalu memberi salam kepada penghuni rumah kayu itu.
"Assalamualaikum."
Sepi. Tidak berjawab. Hanya kedengaran suara orang yang masih bekerja di bendang sehingga kini.
*
Beg sandang denim ini tetap menjadi pilihan aku walaupun usianya semakin meningkat saban tahun. Beg ini terlalu istimewa buatku kerana umi sendiri yang menyulam bunga-bungaan di permukaan beg ini. Setiap kali aku merindukan umi, beg inilah yang akan aku tenung.
Hari ini, aku akan pulang ke kampung. Rindu di dada ini jangan katalah. Sungguh aku merindukan umi yang berada di kampung.
Bukan seperti biasa, kali ini aku tidak memilih untuk menaiki bas kerana ada lebih duit belanja. Kali ini aku memilih untuk menaiki teksi, lebih privasi dan selamat.
Setelah beberapa minit perjalanan, aku tiba di kawasan kampung tempat aku dilahirkan. Sawah padi yang hijau di sekeliling kampung menambahkan keindahan apabila melihatnya.
"Encik. Nah." Wang kertas RM10 aku hulurkan kepada pemandu teksi itu lalu dia berlalu pergi. Aku berjalan menuju ke rumah itu. Rumahku syurgaku.
Eh, ini kereta siapa?
Terkejut aku melihat sebuah kereta Perodua Axia yang berwarna putih parkir betul-betul di hadapan rumahku. Takkanlah abang pula. Ini pasti ada tetamu datang bertandang.
Kasut lelaki dan kasut tumit tinggi perempuan? Milik siapa?
Ya, sah. Sah ada tetamu datang. Namun aku masih belum tahu siapa. Pintu utama rumah umi dibiarkan terbuka.
"Assalamualaikum.." Salam aku berikan dari luar.
"Waalaikumussalam." Salam yang aku berikan tadi dijawab oleh tiga individu. Aku segera masuk ke dalam rumah. Terkejut aku melihat 'tetamu' yang hadir itu ialah....
Kak Farah!
"Kak Farah.... Akak.... Akak balik?" Bertahun sudah aku tidak bertemu dengan kakak saudaraku ini. Tiga tahun dia berhijrah ke Kuala Lumpur tanpa pulang ke mari. Aku tahu, dialah kakak yang paling kuat, yang paling sabar. Berbagai dugaan mendatang dalam hidupnya tetapi dia tetap cekal dan tabah.
"Ya, Dina. Akak balik, sayang...." Kami berpelukan. Sungguh aku rindukan kakak saudaraku yang sudah aku anggap seperti kakak sendiri ini. Namun, kali ini dia bawa pulang seorang lelaki.
Siapakah dia? Suami baharu kak Farah? Atau bakal suami?....
Lelaki itu menoleh memandang aku. Sebentar. Aku yakin, aku pernah lihat dia. Otakku mula memproses mengenalpasti siapakah sebenarnya lelaki ini. Aku pasti aku pernah lihat dia sebelum ini.
Ya, aku tahu! Dialah lelaki yang menegurku semasa saat pertama aku mahu melangkah keluar daripada kampung ini! Tidak salah lagi.
Tetapi, apa hubungan lelaki itu dengan kak Farah?...
*
Farah termenung jauh sambil menikmati pemandangan sawah padi yang indah. Terkenang kembali apa yang berlaku sebenatar tadi di hadapan makngah dan Danial.
"Umi, izinkan Danial untuk memperisterikan Farah...." Pinta Danial dengan lembut sekali.
"Danial...." Puan Zainab memandang insan yang kelihatan 'innocent' itu. Dia tahu, memang lelaki ini benar-benar ikhlas untuk menjaga anak saudaranya ini.
"Umi, Danial betul-betul ikhlas, umi. Danial janji akan jaga Farah sepanjang hidup Danial."
"Danial dah tahu siapa sebenarnya Farah?" Nada suara Puan Zainab kedengaran serius.
"Kenapa?..."
"Saya... Saya sebenarnya janda, Danial. Saya dah pernah berkahwin sebelum ni!" Farah meninggalkan ruang perbincangan mereka. Tidak sanggup untuk menghadap Danial lagi. Takut untuk melihat reaksi seorang Danial.
"Farah...." Danial mengeluh perlahan.
"Farah...." Danial menegur Farah dari belakang. Segala lamunannya sebentar tadi terbang dibawa angin. Farah sedikit pun tidak mahu menoleh memandang Danial. Kali ini dia berada di dalam dunia realiti, bukan imbas kembali lagi.
"Danial, I'm so sorry...." Farah menutup kedua matanya. Dia tahu, lelaki ini kecewa.
"Tak perlu untuk minta maaf, saya tetap nak kahwin dengan awak walaupun awak macam mana sekalipun." Danial mengambil tempat bersebelahan dengan Farah tetapi masih mengekalkan jarak antara mereka.
Farah memandang Danial dengan rasa bersalah. Adakah lelaki ini benar-benar ikhlas dengannya? Atau, sebaliknya....
Kerana dia tidak mahu perkara pahit yang lalu itu berulang kembali dan kembali....
Sementara itu, Irdina yang keluar dengan tudung bawal chiffon merenung pasangan sejoli yang sedang berduaan di pangkin kayu rumah uminya.
"Jika inilah indahnya nikmat alam perkahwinan, mengapa aku tidak?... Aku pun nak jugak berkasih macam tu..." Bisik Irdina di dalam hati kecilnya.
Bukan cemburu, tetapi....
Share this novel