Bab 12

Romance Series 27539

"Bakal bini orang tak tidur lagi?" Sarah menggosok matanya sambil melihat aku yang sedang memasak mi segera di dapur. Jam sudah menunjukkan pukul 12 malam, kebiasaannya aku sudah tidur tetapi tidak tahulah, hari ini aku tidak mengantuk.

Sarah ini, kalau terbangun pada tengah malam begini apa lagi kalau bukan kerana haus. Bukan Sarah kalau tidak kuat minum orangnya.

"Tak... Lapar...." Aku mula menyedari mi segera yang aku masak di dalam periuk besi itu sudah kembang, semua kuah sudah meresap ke minya, habis kering! Segera api dapur gas dimatikan. Kembang pun kembanglah, sedap juga kan kalau dimakan?

Hari ini, mungkin hari terakhir aku di sini. Hari terakhir aku bersama Lufya dan Sarah di rumah sewa yang banyak memberikan aku kenangan ini. Esok pagi aku akan pulang ke kampung. Enam hari lagi bakal berlangsungnya hari bahagiaku dengan Danial, tentu banyak perkara yang perlu diselesaikan. Mujurlah ada saudara dari jauh yang datang membantu umi membuat persiapan di kampung. Aku? Jangan kata aku goyang kaki, akulah yang paling sibuk menguruskan hari perkahwinanku.

Perlahan-lahan mi segera dengan kuah kari yang hampir kering aku suapkan ke dalam mulutku sendiri. Sambil itu terimbas kembali segala memori aku bersama Sarah dan Lufya di rumah ini. Terlalu banyak sampai tidak boleh aku kira. Esok aku akan menamatkannya, maka terlerai sudah hubungan teman serumah antara kami. Tetapi, tidak bermakna persahabatan akan musnah. Tidak. Hanya nama yang tiada, persahabatan kekal sejati.

"Dina, tahniah...." Sarah mengambil tempat di sebelahku. Mungkin mahu menikmati hari terakhir aku berada di rumah ini. Sebenarnya Danial langsung tidak cakap apa pun, tetapi takkanlah aku sebagai isteri orang akan tingga di sini kot?

"Kenapa?" Aku kehairanan Sarah tiba-tiba sahaja mengucapkan tahniah kepadaku.

"Hang yang pertama antara kami...." Sarah mengukir senyuman manis. Kenapa aku berasa lain macam sahaja ini....

"Sarah... Aku sebenarnya, rasa nak lari sangat daripada semua ni... Aku belum ready nak kahwin... Aku belum sedia nak duduk sebumbung dengan lelaki yang bergelar suami, tambah-tbah lagi bakal suami aku bekas boyfriend sepupu aku? Hang rasa camna?" Luah aku pada Sarah.

"Jangan, Dina. Anggaplah semua ini nikmat. Nikmat. Sebenarnya Dina, aku ni dah lama menyimpan hati pada Ustaz Saiful tu, tapi dia tak pernah nak datang merisik ke, masuk minang ke... Takkan aku nak habaq sendiri kat dia yang aku suka dia. Aku ni macam dilema. Aku tak mahu bercouple macam budak-budak lain, akhir sekali tak semestinya kahwin pun... Aku perlukan hubungan yang serius. Kalau Ustaz Saiful betul-betul nak berbinikan aku, baru aku terima." Giliran Sarah meluahkan perasaannya. Kami sama-sama meluahkan sesama sendiri. Masing-masing ada luahan hati sendiri, bersama suratan takdir yang tidak terduga.

"Aku tahu hang terdesak, Sarah. Cuma, aku tak kisah dah pasal cabaran tu, yang penting enam hari lagi aku nak kahwin. Enam hari lagi aku bakal jadi isteri orang.... Hang pun sama, cuba solat istikharah, doa minta petunjuk daripada Allah supaya Ustaz Saiful lembut hati nak berbinikan hang..."

"Aku dah buat. Tiga malam aku bangun. Tapi masih tak ada apa-apa petunjuk lagi. Takpalah, mungkin belum sampai lagi jodoh aku. Buat apa nak dikejaq..." Sarah tersenyum memandang aku yang masih berselera menikmati mi segera.

"Yakinlah pada takdir, Sarah. Aku pun sama sedang memaksa hati." Aku tidak memandang Sarah melainkan meneruskan menghabiskan makanan aku ini.

"Enjoy your meal. Aku nak tidur dulu. Selamat pengantin baru. Aku harap aku orang pertama yang ucap." Bahuku ditepuk lalu Sarah terus mendaki anak tangga ke biliknya di tingkat dua.

"Awai sangat. By the way, thanks." Sebaik sahaja Sarah hilang dari pandangan mata aku, aku menyambung semula makan. Makan saja tahu!

*

Bertemu dan berpisah adat manusia biasa
Hilang di mata tapi di hati jangan lupa
Berdoalah kita agar aman dan sentosa
Semoga kelak kita berjumpa di lain masa

Beg bagasi hitam aku masukkan ke dalam kereta. Puas sudah aku memeluk dua sahabatku ini. Hari ini, aku akan tinggalkan rumah ini. Mungkin sementara, mungkin juga selamanya. Saudara aku sendiri yang datang mengambil aku di sini. Bakal pengantin baru katanya, mana boleh balik seorang diri, bahaya.

Tiada setitis air mata pun aku biarkan jatuh di hadapan Sarah dan Lufya. Mungkin sudah tiba masanya, aku redha. Tidak apa, kami masih boleh berhubung melalui panggilan video, apa salahnya.

Rumah ini. Setahun sudah cukup untuk menyimpan seribu juta kenangan terindah. Bersama Lufya, Sarah dan Kak Anggunlah memori tercipta.

Dan hari ini, aku akan pergi sama seperti kak Anggun beberapa bulan lalu.

*

"Wah, dah meriah rumah ni..." Terkejut aku melihat bermacam barang di rumahku serta perabot yang sudah disusun lain. Semuanya bertujuan kerana aku ingin berkahwin. Ada satu bahagian yang kosong, katanya untuk memasang pelamin mini. Aku tidak minta pun semua itu memandangkan kami akan bernikah di masjid tetapi Danial yang berkeras mahu ada pelamin. Sempat pula dia tempah saat-saat akhir ini.

"Alah, bakal pengantin baru kan.... Lama dah family kita tak kahwin...." Beberapa saudaraku sebelah bapa sudah datang bertandang di rumah ini bagi membantu umi. Suka juga kelaurga jauh aku ini datang. Riuh sedikit rumah ini. Iyalah, rumah ini besar, tetapi penghuninya hanya seorang. Tidakkah sunyi?

Perkara pertama aku masuk ke dalam rumah ini, pastilah akan bersalaman dengan umi. Tidak berjumpa baru beberapa hari, tetapi sudah rindu. Apatah lagi rindu encik suami nanti. Cia cia cia...

Kali ini umi hanya duduk di kerusi kayu melihat anak-anak buahnya yang bekerja. Bahagia nampak. Tidak sama seperti abang Hakim kahwin dulu. Umilah yang paling sibuk sampai terlupa anak dara dia ni.

Aku mengambil tempat di sebelah umiku. Kepala aku dilentokkan ke bahunya. Terasa masa lalu berulang kembali. Aku rindu. Aku rindu semasa aku kecil dahulu. Aku ada umi dan abah di sisi, tiada siapa boleh ambil.

Sekarang tidak lagi. Seseorang bakal menggantikan tempat itu.

Danial.

Cinta yang aku tidak jangka.

*

"Hang kenal si Danial tu lagu mana?" Soal ibu saudara sebelah bapaku kepada aku yang sedang memasukkan telur yang baru direbus ke dalam sarung bunga telur. Meskipun hampir sepuluh tahun ketiadaan abahku, keluarga ini tetap tidak melupakan kami.

"Kak Farah kenalkan." Bohong aku. Memang kak Farah mengenalkan kepada aku, tetapi tidak bermakna dia membenarkan aku curi pasangannya. Ini semua idea gila Danial!

Bercakap tentang kak Farah, memang aku langsung tidak dapat menghubunginya. Aku tanya Danial, dia kata kak Farah sudah bertukar nombor telefon. Risau aku dibuatnya. Kak Farah bukan ada tempat bergantung selain umi.

Aku sebagai perempuan, tipulah andai aku tidak faham perasaannya. Segala persiapan telah dibuat, tiba-tiba sahaja perkahwinan dibatalkan. Mana tidak kecewa?

Aku merenung pelamin mini yang sudah siap dipasang di ruang tamu. Aku sendiri tidak percaya pelamin itu untuk aku. Aku yang akan bersanding di atasnya, bukan orang lain.

Semakin masa berlalu meninggalkan aku, semakin aku ingin kembali ke masa lalu untuk melarikan diri. Sehingga waktu ini, aku masih belum rasa bersedia untuk menempuh alam rumahtangga dengan lelaki yang baru aku kenal lebih kurang dua bulan. Kenal pun tidak, macam mana nak hidup dengannya? Memanglah orang kata cinta halal itu lebih indah, tapi.... Aku langsung tidak kenal siapa sebenarnya Danial.

Bersambung....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience