Minggu ke-13 kehamilan.
Hanya aku dan umi yang duduk di ruang tamu. Tiada Danial, sudah pastilah suamiku sedang bekerja untuk mencari nafkah untuk aku dan si kecil ini. Bukan selalu Danial boleh pulang ke kampung, hanya hari cuti sahaja.
Memang payah untuk menanggung rindu, tetapi apalah yang mampu aku lakukan selain membuat panggilan video atau suara. Baju melayu yang ditinggalkan Danial, aku peluk sepuasnya setiap malam, merindukan tuan pemakainya.
Ish, kasihan bantal peluk yang menjadi teman setiap malam! Nampak sangat aku sudah ada penggantinya.
Sejak aku berkahwin, barulah aku mengerti apa sebenarnya tugas seorang suri rumah. Kalau ikutkan, ingin sahaja aku bekerja kerana bosan, tetapi kerja apalah yang ada di kampung ini? Kalau di pekan, pasti Danial tidak membenarkan.
Terpaksalah aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Ini baru mengandungkan anak pertama, nanti sudah beranak pinak lagi penat.
Barulah aku sedar, satu demi satu sahabat yang aku sayangkan selama ini akan pergi. Inilah realiti kehidupan yang sebenar dan terpaksa aku lalui.
Benar kata orang, dunia ini hanya sementara. Tiada yang kekal, melainkan Tuhan yang nyata. Satu demi satu akan pergi, meninggalkan diri kita sendiri.
Termasuk cinta.
Ya, satu hari nanti. Cinta akan datang, cinta juga akan pergi. Tidak ada yang kekal selamanya.
Kerana bosan, pantas sahaja aku membuka telefon pintarku lalu membaca mesej lama-lama bersama dua sahabatku. Kedua-duanya sudah jauh dari pangkuanku kini, berbeza dengan hari pertama kami kenal.
LUFYA: Kau okey tak dengan office baru tu? Ada masalah, bagitahu je kat aku.
SARAH: Bos department kau tu dahlah garang macam harimau. Harap kau kebalkan hatilah nak hadap perangai dia tu.
Aku tersenyum sendiri membaca mesej pertama kami, setahun lalu. Sememangnya aku sangat malas untuk clear chat, sampai ke mesej pertama pun masih tidak aku menghapuskannya. Kadang-kadang, bijak juga aku ini. Dapat melepaskan rindu yang terpendam.
Hanya mereka berdua yang kekal bersamaku biarpun hampir dua tahun berlalu. Kawan-kawan yang pernah hadir dalam hidupku, segalanya datang dan pergi. Mereka menganggap aku sebagai 'touch 'n' go', hanya ketika mereka susah dan bukan ketika mereka senang.
Semuanya datang dan pergi.
Chat seterusnya yang menarik perhatianku, ialah Danial. Nama contact lelaki itu yang disimpan sebagai 'Abang Sayang' aku tenung lama.
Kejap, bagaimanalah aku menyimpan nama Danial sebegitu? Tanpa aku sedar, sebenarnya hari demi hari berlalu, mencambahkan lagi kasih sayang antara kami. Biasalah, tak kenal maka tak cinta.
ABANG SAYANG: Sudi ke awak nak kahwin dengan saya? Sorry kalau saya buat keputusan melulu. Saya harap sangat ada orang gantikan tempat Farah dalam hidup saya.
ABANG SAYANG: I give you 3 days. Dua hari untuk awak tenangkan diri, solat istikharah atau whatever lah. Fikir sebaiknya jawapan yang terbaik untuk kita.
ABANG SAYANG: Assalamualaikum awak, dah hari ketiga dah ni. Jadi, apa jawapan awak?
Danial betul-betul cuba untuk menarik perhatianku semasa itu, tetapi aku tidak membalasnya. Begitu panjang setiap mesej yang diberikan, tetapi tiada jawapan. Alasan yang aku beri, untuk menjaga ikhtilat lelaki dan wanita.
Sebenarnya, bukan kerana itu. Ketika itu, sungguh berat rasa hatiku, hingga tidak tahu untuk menerima atau tidak. Tiga malam berturut-turut aku menunaikan solat istikharah, meminta petunjuk daripada Allah, benarkah Danial adalah jodohku.
Akhirnya, aku memilih untuk terima. Dengan ini, aku merelakan hati sendiri untuk berkongsi hidup dengan seorang lelaki, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.
Ting!
Bunyi notifikasi seperti loceng itu menarik perhatianku. Satu mesej baharu daripada Danial.
ABANG SAYANG: Sayang, tolong abang.
Jantungku berdegup kencang. Bunyinya bukan seperti main-main atau gurauan. Senang kata, ia lebih kepada serius.
'Ya Allah, apa sudah jadi dengan Danial?'
Bisik hatiku separa lemah.
Mesej seterusnya aku taip sepantas mungkin, merisaukan Danial. Sebenarnya, masih tidak aku pasti ia benar mahupun tidak, tetapi aku yakin ini bukan main-main.
Gerak hati seorang isteri apatah lagi ibu yang mengandungkan zuriat suaminya, amat kuat.
Aku, tidak sedap hati. Kenapa dengan Danial? Adakah kerana Kak Farah yang ingin membalas dendam? Tidak, tidak mungkin.
Peluh mula membasahi dahi memikirkan situasi Danial. Hendak tolong pun, tolong bagaimana? Kami berada jauh berbatu-batu sesama sendiri. Aku tiada kereta untuk memandu, apatah lagi duit untuk menaiki kapal terbang ekspres terus ke Kuala Lumpur di mana Danial berada.
Stay strong, my hubby. Stay qowiy, my Prince Charming. Baby is waiting you.
Aku yakin dan percaya dengan sepenuh hatiku, ini bukanlah kerja kakak saudaraku Farah. Dia bukan sejahat ini, aku mengenali dia lebih daripada orang lain. Lebih daripada Danial dan bekas-bekas suaminya sebelum ini.
ABANG SAYANG: Seseorang, cuba nak ganggu abang.
Seseorang? Siapakah dia?
Air mataku berguguran laju. Kelemahan perkahwinan jarak jauh, aku tidak dapat tahu apa yang berlaku kepada suamiku. Hanya aku mampu memanjatkan doa kepada ilahi, agar dia dalam lindungan-Nya.
*
"Hipokrit!"
"Irdina memang, dasar hipokrit!"
Setelah habis berdoa, aku menggantung semula telekung ke dalam almari. Patutlah aku pergi ke sana dan melawat Danial? Kenapa pula mesej yang aku hantar masih tidak dijawab.
Persoalannya, masih misteri. Siapa yang sedang cuba mengganggu suamiku pun aku belum tahu, apatah lagi ingin pergi ke sana dengan menggunakan kenderaan apa.
Suara Kak Farah berlegar-legar di benakku. Meskipun wanita yang usianya tua lima tahun daripadaku itu tidak pernah bercakap sedemikian, aku terngiang-ngiang akan suaranya mengatakan aku hipokrit.
Tenang, Dina. Insya-Allah, Danial okey di sana. Doa sudahpun aku panjatkan, memohon Danial akan selamat sahaja.
Namun, masih belum cukup untuk membuatkan aku tenang. Aku masih berasa tidak sedap hati. Perasaanku maish berbelah bahagi, patutkah aku ke sana dan melihat sendiri apa yang terjadi?
Kalau kapal terbang menjadi pengangkutan yang paling cepat untuk aku ke sana, akan aku korbankan hasil kerjaku untuk Danial.
Sekarang ini, aku mahukan Danial selamat. Aku tidak mampu untuk kehilangan dia, apatah lagi si kecil yang sedang membesar di dalam rahimku ini.
Jika diikutkan keadaan, pasti lebih sukar untuk aku menaiki kapal terbang disebabkan aku hamil, dan juga penempahan saat akhir yang membuatkan harganya melonjak tinggi.
Aku berjalan keluar dari bilik, mencari umi yang biasanya berada di dapur, tidak pun di biliknya. Semakin langkah semakin laju, menandakan aku semakin risau dan takut. Takut akan kehilangan orang yang aku sayang selama ini.
"Umi..."
Tubuh umi yang melahirkan aku itu, dipeluk sepuasnya sambil mengalirkan air mata. Harapan aku, hanya untuk ke sana bertemu dengan Danial, risau kepadanya.
"Ya Allah, awat ni Dina? Hang napa nangis?"
Soalan umi membuatkan air mataku menjadi lebih galak. Sepatutnya, aku harus menjaga emosi sepanjang kehamilan, tetapi terbalik pula jadinya.
"Danial. Dina nak jumpa abang Danial." Permintaanku disuarakan. Seketika ini, masih tidak terlintas di kepalaku pengangkutan yang benar-benar sesuai buat aku.
"Tapi, awat Dina macam tak senang je ni? Cer habaq sikit kat umi."
Umi mengusap kepalaku yang tidak tersarung hijab. Aku tahu, niat umi untuk menenangkan anaknya yang sedang resah.
"Danial, entahlah. Susah nak habaq."
*
"Assalamualaikum."
Salam diberikan oleh umi kepada tuan rumah. Menunggu sahaja tuan rumahnya untuk menjawab salam.
Adakah Pakcik Ahmad atau lebih mesra dipanggil Pak Mad ini, dapat membantu kami? Hubungan umi dan jiran-jiran bukan semesra dahulu, memandangkan ramai antara mereka yang sudah meninggal dunia termasuk abah.
"Waalaikumussalam. Kak Nisah, awat datang tak habaq? Masuklah."
Seorang makcik yang kelihatan muda dua tiga tahun daripada umi itu menjemput kami masuk ke dalam rumahnya. Ini bukan tujuan asal kami berkunjung ke rumah ini.
"Cah. Nisah nak jumpa Mad, boleh? Kalau Mad boleh bawa Nisah dengan Dina ke KL, kami bayaq. Kami sebenarnya nak cepat ni. Tapi kalau tak boleh, tak apalah. Tak paksa pun."
Laju sahaja bicara umi menyuarakan permintaannya. Terus sahaja ke permintaan yang sepatutnya, tidak meleret-leret sepertiku.
"Kejap eh kak, kami panggil cik abang. Dalam bilik lagi tu."
Sementara itu, aku dan umi duduk di atas kusyen di ruang tamu rumah jiranku ini.
Tidak pasti cara ini akan membantu ataupun tidak, memandangkan hanya Pak Mad yang mempunyai kereta. Silap aku juga, belajar tinggi-tinggi tetapi tidak mengambil lesen memandu.
Pandai sungguh, namanya. Akhirnya, menyusahkan orang.
"Nak pergi KL? Eh, boleh je. Jiran sendiri, takkan tak boleh tolong. Tapi, kena bayaq sikit la. Kami pun nak sara hidup."
Kata-kata daripada Pak Mad yang baru sahaja keluar daripada biliknya membuatkan aku dan umi berasa lega.
"Eh, takpa Mad. Kami bayaq semampu boleh. Mad dah tolong kami pun, kami dah bersyukuq tau. Maaf kalau asyik menyusahkan je Mad dengan Cah."
Wajah umi kelihatan gembira. Kelebihan hidup di kampung, kami dikelilingi oleh jiran tetangga yang baik dan bekerjasama.
Walaupun hubungan sudah tidak sama seperti dahulu. Alangkah indahnya semasa aku kecil, abah dan suami-suami yang lain bekerja di bendang.
Setiap kali waktu makan, pasti abah dan beberapa orang suami yang lain akan makan bersama-sama di pondok. Geng wanita pula, menyiapkan makanan untuk golongan suami atas tanda menghargai mereka yang penat mencari rezeki halal untuk keluarga.
Aku, seorang kanak-kanak semasa zaman itu, pastilah bermain bersama anak-anak jiran. Semasa itu, hidup kami lebih dari gembira. Bahagia bersama adik beradik, jiran dan ibubapa yang masih lengkap. Hobi kami hanyalah bermain dan bermain.
"Patutnya, kami yang patut berterima kasih kat Nisah. Zaman sekarang ni, susah dah nak cari duit. Tak macam dulu, ramai orang gunakan teksi. Sekarang, kalau pergi pekan pun tak ada sangat orang nak naik teksi."
"Kalau macam tu, kami bersiap dululah. 15 minit lagi, kami tunggu depan rumah."
Langkahku diikuti umi, pulang ke rumah kami. Lima belas minit untuk bersiap secepat mungkin.
Danial, isterimu akan datang.
Share this novel