Bab 51

Romance Series 27539

Aku memerhati keadaan bilik yang gelap. Sejak kebelakangan ini, agak sukar untuk aku melelapkan mata dengan selesa. Pusing ke kiri, tidak selesa. Pusing ke kanan pun sama.

Perlahan-lahan, mataku dapat menyesuaikan dengan keadaan sekeliling. Satu demi satu perabot di dalam bilik ini jelas kelihatan.

Jika semalam aku tidur bersama Danial di sebelah, kini tinggal bantal peluk yang menjadi teman setiaku. Bantal peluk ini tersangatlah setia, tidak pernah tidak ada bersamaku. Senang kata, bantal peluk ini sentiasa bersama denganku setiap malam. 

Teringat ketika aku kecil dahulu, setiap kali guruh dan petir menyambar kawasan kampung, aku akan peluk bantal ini untuk mengurangkan rasa takut. Sejak kecil memang aku sudah biasa tidur seorang, sudah nama pun anak perempuan tunggal. Takkan mahu tidur dengan abang atau umi dan abah pula. Malulah!

Kini, bantal itu telah bertukar ganti dengan yang baharu. Meskipun berganti, tetap bantal besar ini membawa makna buatku.

Jika aku takut, aku akan peluk bantal.

Jika aku sunyi, aku akan peluk bantal.

Semua itu berakhir ketika aku melangkah ke tingkatan satu, di mana aku ditawarkan untuk bersekolah di sekolah berasrama penuh. Takkanlah aku mahu bawa bantal sebesar orang ni pula, hendak letak mana nanti?

Kini, peristiwa lama berulang kembali. Kesunyian yang membawa aku teringat kembali zaman kanak-kanakku yang serba takut itu dan ini. Iyalah, atap rumah ini diperbuat daripada abestos, meskipun sudah diharamkan sejak bertahun lalu disebabkan faktor kesihatan, alhamdulillah umur umi dan orang kampung yang lain masih panjang.

Di rumah ini dilapis dengan siling supaya habuk dari bumbung itu tidak betul-betul jatuh ke lantai. Bolehlah mengurangkan bunyi sedikit. Tetapi itu baru sahaja dilakukan beberapa tahun lalu. Ketika zaman aku masih bersekolah rendah dahulu, mana ada siling yang melapisi lapisan setelah bumbung yang melindungi daripada hujan panas.

Bunyinya apabila terkena hujan, jangan cakaplah. Bising bebenar, sehingga mengganggu tidur lenaku. Seringkali aku tersedar dari tidur, dek bunyi hujan yang menyembah bumbung itu.

Nasib baiklah sejuk!

Di kala malam yang sepi ini, rindu pula aku kepada Danial. Entah apa yang suamiku sedang lakukan di sana pun aku tidak tahu. Haraplah dirinya sedang tidur lena dibuai mimpi indah di tengah malam buta ini.

Aku mencapai telefon pintar yang berada di atas meja solek. Memang sudah biasa aku letakkan di situ setiap kali aku ingin tidur. Tidaklah pagi-pagi ia hilang pula ditimbus tilam, tidak dapat aku menelefon Danial nanti.

Sekali aku tekan butang buka, terus sahaja cahaya dari peranti tersebut menerobos masuk ke dalam kornea mataku. Disebabkan agak terang, aku mengurangkan sedikit pencahayaannya agar sesuai dengan keadaan bilik yang gelap.

Jam di skrin tersebut aku baca. Masih lewat malam.Di kala manusia lain sedang nyenyak tidur, aku antara yang masih berjaga. Benarlah, trimester pertama kehamilan ini agak mencabar, apatah lagi pengalaman pertama.

Bakal ibu, sabarlah akan ujian yang dihadapi. Nanti, akan aku lihat sendiri si kecil mulus yang comel, akan terbayar segala kepenatan sepanjang bergelar pra-ibu ini.

Ini baru trimester pertama, belum lagi bersalin.

Ketika itu, harap sangat aku akan ditemani Danial di sisi, dapat memegang tangannya. Aku harapkan, adanya dia untuk memberi semangat kepadaku disaat aku lemah.

Kerana janji kami untuk sentiasa menyokong satu sama lain. Jika aku tidak kuat, dia ada untuk menyokong. Jika aku rapuh, ada Danial untuk menjadi tulang belakang.  

*

"Irdina."

"Kau, kena jadi orang yang berani."

"Kau tak boleh kalah dengan dia."

Sepi. Hanya suara khayalan yang membayangi. Entah dari mana datangnya suara itu, aku tidak tahu. Ada makna dari setiap kata-kata itu, tetapi aku tidak mengerti.

Siapa dia? Kenapa aku kalah dengan dia? 

"Berangan apa tu, Dina?"

Pandanganku ditoleh ke belakang. Tidak lain dan tidak bukan, umiku yang tersayang.

Jadi, suara tadi suara umikah? Entah, belum dapat aku pastikan.

"Tak ada apa-apalah. Umi ni, kenapa asyik tegur dari belakang ni, seram tahu." Aku memuncungkan mulutku. Sudah berkali-kali rasanya ditegur dari belakang oleh umi. Mujurlah aku tidak ada serangan jantung, kalau tidak memang sah-sah sudah berada di hospital.

Hendak anaknya cepat mati agaknya, umi ni pun.

Eh, tidak baik cakap begitu, Irdina. Umi kan, umi aku juga.

"Okey, umi tak buat lagi. Dina rindu kat Danial ke tu? Asyik termenung jauh, nampak."

"Rindulah. Mana tak rindu, suami sendiri," balasku.

Bisikan tadi masih misteri. Hendak kata daripada umi, agak pelik. Lain benar daripada kata-kata umi sebelum ini. Jangan-jangan khayalan aku sahaja agaknya.

Khayalan?

Aku duduk di atas kusyen. Kepalaku didongak ke siling, masih tercari-cari punca suara 'khayalan' tadi.

Makhluk halus?

Tidak mustahil, Irdina. Mereka tetap makhluk Tuhan yang hidup dan merayau-rayau ke seluruh dunia. Sedang manusia melakukan rutin kehidupan seperti biasa, tanpa sedar kita diperhatikan oleh mereka.

*

Langit yang tadinya masih cerah sudah bertukar senja. Kelihatan orang kampung sudah menutup pintu dan tingkap rumah masing-masing. Pada waktu begini, bukan sahaja nyamuk dan berkeliaran, begitu juga syaitan yang tugasnya menyesatkan manusia.

Pesan arwah abah, agar umi tutup semua pintu dan tingkap sebelum jam tujuh. Hari ini, lambat pula waktu solat maghrib masuk, dalam pukul tujuh setengah agaknya.

Semakin malam menjelma, semakin aku takut. Masih trauma dengan suara yang mengganggu aku tengah hari tadi. Itu baru tengah hari, belum malam lagi.

Sejak aku tinggal di sini, belum pernah lagi ada makhluk halus yang menganggu aku. Adakah kerana ada malaikat kecil yang sedang menumpang rahimku, menjadi perhatian mereka?

Setelah siap memasak hidangan malam, terus sahaja aku masuk ke dalam bilik air untuk mengambil air sembahyang. Sejak petang tadi, memang sudah aku mandi awal-awal, takut pula hendak mandi maghrib-maghrib begini.

Dimulakan dengan kaki kanan, aku keluar daripada bilik mandi yang luasnya separuh daripada bilikku. Mana tidak seram, kalau sudah luasnya pun besar.

Nasib baiklah sekarang, bilik mandi ini dibina di dalam rumah, ekoran umi tidak berani untuk keluar rumah malam-malam. Itu pun, abang Hakim yang mengubah suai rumah ini. Kalau tidak, pasti umi tidak mahu, katanya rumah ini satu-satunya dengan arwah abah.

Telekung putih bersulam aku sarungkan ke tubuh. Rasanya, sejak tadi sudah azan, cuma aku sahaja yang tidak dengar. Terus sahaja aku mendirikan perintah yang wajib itu.

Eh, sekarang pulalah aku mahu teringat akan Danial. Payah betul!

Masa ini pulalah, memori solat berjemaah kami berlayar di mindaku. Saat Danial melafazkan Iqamat, membaca surah Al-Fatihah dengan merdu dan bertajwid, semua bermain di fikiranku.

Danial.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience