"Danial..."
Mataku dipejam lama. Ternyata pagi tadi, aku terlajak subuh sekali lagi. Semua sebab semalam lah, terlalu bersemangat untuk melaksanakan 'misi' sehingga terlewat bangun.
Danial ni pun satu, susah benarkah mahu kejut aku daripada tidur?
"Dina ... abang minta maaf. Abang mandi awal pagi tadi, tak tahu pula Dina belum bangun." Rambut hitam panjangku dibelai lembut.
"Abang balik esok kan?" Kepalaku sedikit mendongak menghadap muka Danial ynag lebih tinggi daripadaku.
"Iye, my princess. Dah, jangan risau nak tidur sorang-sorang lagi malam ni. Abang takkan bagi mana-mana hantu kacau Dina, nanti kena bantai dengan abang. Abang ni, bukan calam-calam tau, atlet karate sekolah tau. Haa..."
"Atlet karate sekolah, konon! Orang belajar seni mempertahankan diri bukan untuk belasah orang sesuka hati Encik Danial oii, tak pasal-pasal masuk ke dalam nanti."
Balasku.
Keadaan menjadi sunyi seketika. Bak kata orang putih, awkward silent namanya. Aku dan Danial memandang sesama sendiri, mungkin kami berdua sedang berfikir untuk bercakap tentang apa pula selepas ini.
"Abang, kenapa diam je ni?" Aku cuba memecah suasana.
"Tak ... tak ada apalah. Fikiran abang melayang ke Bulan tadi. Jangan marah eh, nanti cepat tua. Kalau sayang marah jugak, abang cubit lagi pipi gebu gebas sayang ni." Satu cubitan manja hinggap di pipiku.
"Muhammad Danial bin Izwan, awak memang nak kena lah..." Wajahku mula merah padma menahan geram yang sudah terbuku di dada. Ingin sahaja aku lepaskan perasaan 'geram' itu dengan membalasnya. Biar Danial tahu, pipi mulus lagi gebu dan cantik ini bukan untuk dimain-main.
Sabar, ini hanyalah geram-geram manja sahaja, mana mungkin akan melibatkan pergaduhan. Kadangkala, suka juga aku apabila Danial mencubit pipiku, terasa kasih sayang antara kami bertambah erat.
Iyalah, setiap pasangan suami isteri pasti ada cara tersendiri untuk memikat hati pasangan masing-masing. Pasti akan ada sebuah 'trademark' untuk membuktikan siapa suami atau isteri kita yang sebenarnya.
Satu hari nanti, semua itu akan hilang. Salah satu daripada suami dan isteri akan pergi dahulu, dijemput penciptanya. Disaat itulah, kita akan merindukan setiap perkataan dan perbuatan pasangan yang telah bersatu dalam hidup bertahun lamanya.
"Kena apa? Kena peluk lama-lama sampai lemas?" Danial sengih nakal.
Bijak.
Bijak sungguh, menyambung perkataan.
"Cubalah kalau berani."
Mataku dijegilkan tajam. Ada berani mahu peluk aku? Ehem, aku Irdina Safiya, mana boleh kalah kepada orang.
"Ok. As your wish."
Tangan lelaki itu mendarat di belakang tubuhku, menandakan dirinya sedang memelukku erat. Aku pula tersengih sendiri, tidak tahu pula Danial benar-benar akan melakukannya.
"Abang akan peluk, sampai sayang lemas. Lemas dengan cinta 'infiniti' abang ni."
Aku cuba menarik nafas sedalamnya. Setakat ini, tidak adalah kes lemas sampai biru satu badan disebabkan Danial lagi.
"Oh, yea? Are you sure? Infiniti?" Aku mula bertindak balas membalas pelukan tersebut.
Yang hadirnya dari kasih sayang.
Yang hadirnya dari perasaan cinta.
Bukan kerana nafsu semata.
Apa yang kami lakukan inilah, yang bakal diteladani oleh bakal anak kami nanti. Setiap perkara yang kanak-kanak lihat di matanya, pasti mereka akan ikut.
Aku dan Danial, perlulah menjadi contoh terbaik buat mereka. Aku dan Danial, bukan sekadar suami isteri, tetapi ibu dan ayah juga. Tanggungjawab aku bukan sekdar untuk Danial, tetapi untuk zuriatnya juga.
"Mestilah sure. Mana boleh ragu-ragu buat keputusan. Abang yakin, cinta abang 'infniti' untuk sayang sorang je."
Danial diam.
"Okey ... not bad, tahap keyakinan abang. Boleh jadi buissnessman ni abang, yakin buat live depan orang ramai ... lepastu..."
Kata-kataku dibiarkan terhenti di situ.
"Busted." Sambung aku.
Bukan tidak pernah, selebriti-selebriti yang sudah berjaya dan mempunyai beratus ribu pengikut ini, berani membuat eksperimen barangan secara 'live', tetapi tidak diuji terlebih dahulu.
Hendak ketawa pun ada, tetapi itulah relaiti apabila hidup terlebih yakin. Bagi aku, biarlah yakin dan malu itu bertempat, sesuai pada keadaannya.
Bukan yakin seratus peratus, itu terlebih yakin namanya. Silap-silap, diri sendiri yang mendapat malu.
"Busted eh?" Danial mengurut dagunya. Ekor mataku dari tadi asyik memerhati sahaja perlakuan Danial.
Urut dagu, angkat kening dan menggigit bibir. Tanpa sedar, aku juga telah berjangkit daripada 'virus' perlakuan suamiku ini. Sekejap menggigit bibir, sekejap mengurut dagu, sama sahaja pasangan suami isteri ini.
*
Sempat sahaja aku memerhati Danial yang sedang membelek gambar aku dan Kak Farah sewaktu kecil yang diletakkan di atas meja belajar di bilikku ini.
Dari jauh, aku perhati sahaja. Biarlah, mungkin Danial ingin tahu juga kehidupan kami sewaktu kecil dahulu.
Aku dan Kak Farah. Hubungan sepupu yang bagaikan adik beradik, kini semakin renggang hanya disebabkan seorang lelaki. Lelaki itu, kini telah bergelar suamiku atas pilihanku sendiri untuk merelakannya menjadi suamiku.
Atas dasar ganti.
Selalu aku berdoa di dalam setiap sujudku, agar sinar bahagia muncul buatnya. Sudah bertahun-tahun menjadi permainan biawak hidup, pasti akan wujud kebahagiaan buatnya.
Kebahagiaan itu mesti dicari, mungkin sukar untuk datang dengan sendiri.
Hari ini, aku akan menjadi orang tengah untuk Kak Farah. Dia layak mendapat jodoh yang sepatutnya.
Paling penting, dia juga layak mendapat apa yang wanita lain dapat dalam hidupnya.
Jika sebelum ini, hanya doa yang mampu aku titipkan buatnya, hari ini aku akan bertindak lebih dari itu. Akan aku carikan lelaki yang terbaik untuknya, dan solusi untuk mereka disatukan.
Danial memang hanya seorang, dan tiada pengganti yang serupa dengannya, tetapi aku percaya masih ramai lelaki yang lebih baik dari Danial.
Nombor telefon yang diberikan kepadaku untuk menjadi pengubat rindu aku dail menggunakan telefon rumah. Murah sedikit bayarannya, berbanding menggunakan telefon bimbit. Beberapa saat pun, sudah mahal.
Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan lafaz basmalah, aku menunggu panggilan itu dijawab. Harapnya, aku tidak mengganggu masa peribadi atau kerjanya lah.
"Hello. Dina, kenapa call akak?"
Aku tersenyum apabila mendengar suara itu. Suara yang paling aku rindu, dengan kemesraannya, tanpa perlu beremosi.
Inilah suara Kak Farah yang sebenar-benarnya. Serta-merta kisah lama yang berlaku antara aku dan kakak saudaraku ini berulang kembali. Sebuah peristiwa yang tidak mungkin akan aku lupakan sampai bila-bila.
Dialah sepupu, dialah kakak, dialah teman sepermainan sewaktu zaman kanak-kanakku.
"Ooo, tak ada apalah. Akak sihat tak? Lama tak jumpa." Aku membalas bicara itu dengan lembut sekali, agar tidak menyakiti hati ibu kepada dua cahaya mata itu. Lama tidak jumpa, mana ada lama. Bukankah semalam baru sahaja Kak Farah pulang dan meninggalkan aku nombor telefon baharunya ini.
Nombor sepuluh digit ini, tetap aku simpan tanpa pengetahuan Danial. Sudah diamanahkan kepada aku, agar aku menjaga nombor telefon ini, supaya tidak diketahui Danial.
Sekarang ini, perlukah aku untuk kekal menyimpannya, ataupun bagitahu sahaja Danial untuk misi mencari pengganti kali ini?
Tidak apa, sabar dahulu. Masih terlalu awal. Kelak, Danial akan tahu juga.
"Lama tak jumpa apanya, semalam tu jumpa dengan siapa? Kenapa Dina call akak ni, dah bosan ke layan suami tu."
Sinis suaranya.
Aku mengeluh lemah. Tidak sangka sehingga tahap itu yang Kak Farah fikirkan. Adakah dia masih bencikan aku?
Atau ... berdendam denganku?
Share this novel