Bab 4

Romance Series 27539

Sebagai ahli keluarga perempuan, akulah yang perlu melayan tetamu. Kak Farah bakal berkahwin dengan pilihan hatinya tidak lama lagi, aku sangat berharap agar rumahtangga yang dibina kali ini pula kekal hingga ke akhir hayat.

Ramai sahabatku dan keluargaku dijangka membina rumahtangga daalm masa terdekat, manakala aku pula?... Bila?...

Ya, jodoh itu satu ketentuan Allah yang telah terkaktub di Luh Mahfuz sejak kita berada di dalam perut ibu lagi, tetapi cukuplah aku ingin tahu siapakah dia walaupun sekali sahaja.

Lufya dan kak Farah bakal berkahwin. Sebaiknya, aku masih ada Sarah. Sarah masih 'single' sehingga hari ini. Tidak apalah, sekurang-kurangnya aku masih ada geng 'single'.

Eh, janganlah cakap macam tu...

Sepatutnya, aku harus bersyukur mereka bakal mendirikan masjid. Seeloknya Lufya tidak bercinta lama-lama, dan Kak Farah bakal ada lelaki yang dapat menjadi ayah tiri kepada dua anaknya daripada bekas suami itu.

Aku? Masih belum ada kepentingan untuk berkahwin. Jangan kata sedia atau tidak, calon pun belum ada.

Tidak apa, aku masih terima cabaran itu. Aku akan pastikan, aku tidak kalah dengan Sarah. Mungkin aku tidak menang, tetapi aku juga tidak kalah. Tak akan.

"Dina." Kak Farah menegurku. Aku menoleh memandang kakak saudaraku itu.

"Ye, akak." Balasku.

"Dina tolong doakan pilihan akak kali ini benar-benar tepat... Akak dah solat istikharah minta petunjuk dengan Allah, tapi masih belum dapat. Akak minta sangat Dina doakan..." Rayu Kak Farah sambil air matanya mengalir di pipi.

"Akak. Janganlah menangis." Bahu kakak saudaraku aku usap lembut. Ya, sudah pastilah kak Farah mahu membuat pilihan yang tepat untuk kali ini, berharap agar perkahwinan kali ini adalah yang terakhir.

Aku tahu, kak Farah masih trauma dengan kisah silam yang menimpa dirinya. Berkahwin dan ditinggalkan adalah amat perit bagi seorang Farah. Bertahun lamanya menjadi seorang ibu tunggal kepada dua cahaya mata berlainan bapa, amat memenatkan bagi dirinya.

Hampir dua tahun kak Farah tidak pulang ke sini, hanya tinggal di kota menyendiri. Tiada siapa untuk menemani melainkan Aisyah dan Kamilia, si dua permata hati.

"Akak tak kuat...." Kepala kak Farah disandarkan di kusyen kerusi kayu. Aku memegang tangannya. Sejuk.

"Akak... Dina sebenarnya kenal Danial." Tangan ibu dua cahaya mata itu aku usap lembut.

"Kenal?" Kak Farah membuka matanya luas.

"Bukanlah kenal hati ke hati, tetapi maksud Dina pernah jumpa dengan Danial." Tutur aku lembut.

"Maksud Dina?" Kak Farah tiba-tiba mengubah perbualan kami menjadi serius. Entah kenapa.

"Danial pernah sesat, lepas tu Danial tanya Dina mana nak pergi. Dina tak sangka pula Danial tu bakal suami akak."

Farah ketawa kecil mendengar penjelasanku. Eh, sudah kenapa pula kak Farah ketawa?

"Dina, Apa Dina rasa bila pertama kali jumpa Danial?" Soal Kak Farah kepadaku.

"Maksud akak?.. Dina rasa biasa je, tak adalah terlampau takut atau gembira masa tu. Tup tup pula Dina tahu Danial tu bakal suami akak. Terkejut Dina tau." Aku duduk berhadapan dengan Kak Farah berhadapan dengan sawah padi yang indah.

"Dina tahu, Danial tu 'special'. Danial ni istimewa daripada orang lain." Kak Farah memandang aku.

"Maksud akak, istimewa yang macam mana?" Aku membalas pandangan kak Farah. Senyuman nipis diberikan kepadaku.

"Danial, sekali dia sayang dia tak akan tinggalkan seseorang tu. Danial sangat setia, percayalah." Kak Farah melontarkan suara lembutnya.

"Kalau begitu, baguslah. Dina tumpang gembira. Dina nak akak bahagia. Dian tak sanggup tengok akak memderita macam dulu." Balasku sambil senyum.

"Dina bila nak kahwin? Dina tak merancang nak bina masjid ke? Dina pun dah sesuai ni, 25 tahun dah. Lambat-lambat dah tua macam akak ni, tak ada orang nak nanti." Usik kak Farah.

Panas telinga aku mendengar tentang 'kahwin' ini. Kenapalah semua orang mahu 'push' aku? Biarlah aku hendak membujang dahulu buat sementara waktu.

"Dina tak rancang apa-apa lagi akak... Dina nak cari pengalaman kerja dulu, lepas tu barulah cari suami. Lagipun, Dina belum sedia nak jadi isteri orang..." Tutur kataku masih aku jaga walaupun di dalam hati sudah seperti larva yang sedang mendidih panasnya. Huh!

Tercabar. Ya, aku perlu mengaku. Aku sangat tercabar.

"Oh, kalau macam tu carilah pengalaman dulu, lepas dah sedia nanti, bolehlah kahwin. Tak elok membujang lama-lama. Kalau umi meninggal nanti, siapa nak jaga Dina? Abang Najmi dan abang Hakim akan berkahwin, ada isteri dan anak, tak sempat untuk bela Dina." Kak Farah masih duduk di pangkin sambil menghadap aku.

"Akak, kalau ada orang bagi cabaran siapa kahwin dulu dia menang, akak rasa Dina perlu tak terima cabaran tu? Akak kan dah pernah rasa alam perkahwinan, jadi Dina tanya akaklah." Tanyaku. Aku tidak mahu cepat kalah dengan Lufya.

"Dina rasa cabaran tu bermanfaat tak untuk Dina? Kalau Dina rasa bagus dan membina semangat untuk mencari cinta halal, apa salahnya. Tetapi kalau sebaliknya, ikut suka Dina lah. Perkahwinan ni, persatuan dua hati lelaki dan perempuan. Kalau boleh, kahwin ni biarlah sekali, bukan berkali-kali macam akak ni. Kita nak cari pasangan sehidup semati, bukan sehari. Jodoh ni di tangan Allah, Dina." Ucap Kak Farah. Terpempan aku dengar.

Kak Farah pernah merasanya. Aku cumalah sebuah tin kosong yang tidak reti apa-apa. Cuma yang bagusnya, kak Farah langsung tidak menceritakan sisi gelapnya ketika bercerita tentang alam perkahwinan kepadaku meskipun aku sudah tahu semua. Deritanya, lukanya, semua aku tahu. Namun semuanya disimpan di dalam hati Kak Farah.

Dua kali berkahwin dan ditinggalkan adalah cukup perit. Kalau aku, memang patah semangat terus hendak berkahwin. Namun kak Farah tidak. Selagi hayat dikandung badan, dia terus berjuang membela nasib diri sendiri walaupun derita menduga.

"Dina. Minggu depan akak nak jumpa ayah akak. Doakan urusan akak dipermudahkan... Akak takut nak jumpa ayah, takut ayah tak benarkan akak dengan Danial kahwin..." Rayu kak Farah. Bukan aku tidak tahu perangai bapa saudaraku bagaimana. Dua kali perkahwinan kak Farah, dua kali itulah dikahwinkan secara paksa oleh ayahnya. Bagi paklong, wanita hanya dilihat sebagai pemuas nafsu durjana, bukan permata yang perlu dibela.

Dari dulu aku bencikan paklong. Sanggup melihat anak kandung sendiri menderita. Selepas maklong meninggal, paklong terus berkahwin lain. Kot ya pun mahu berkahwin lain, kenapa tidak mahu jaga anak dengan arwah isteri? Kurang asam jawa punya lelaki!

Kan aku sudah memaki orang, huh.

Meskipun aku tidak pernah merasa bagaimana rasanya mendapat toxic family, aku tetap merasai kedukaan kak Farah dengan keluarga toksiknya.

Aku, alhamdulillah masih ada umi yang baik, yang sentiasa mendoakanku sehingga hari ini. Aku sentiasa berdoa kepada Allah agar usia umi dipanjangkan lagi. Aku tidak ingin kehilangan umi. Aku tidak sanggup melihat umi pergi. Aku tidak kuat.

"Dina sentiasa doakan akak. Dina tak pernah lupa." Wajah ibu dua cahaya mata itu aku tatap.

"Walau jahat macam mana pun ayah, dia tetap ayah kandung akak. Akak tak pernah lupa dia dalam setiap sujud akak. Akak nak ayah berubah, tinggalkan semua tabiat buruknya. Akak sayang sangat dengan ayah akak walaupun jauh dan jarng berjumpa."

"Akak..." Sehingga macam itu kak Farah menyayangi ayah kandungnya. Benarlah, kakak saudaraku memang seorang yang kental. Kalau aku memang taklah hendak melayan orang pembawa toksik seperti itu.

"Dina.... Dina nak ikut tak, teman akak pergi jumpa ayah?" Ajak kak Farah.

"Pergi jumpa paklong? Dina boleh je, tapi kena apply cuti dulu lah. Lagipun, paklong stay mana?" Aku serba salah untuk menolak walaupun minggu ini aku dijangka lebih sibuk daripada biasa.

"Ayah akak stay Tanjong Malim. Dekat je dari rumah akak."

"Tanjong Malim? Jauh juga dari sini kak... Tapi takpelah, InShaaAllah Dina cuba." Balasku, masih serba salah. Sedangkan aku pun masih belum tahu aku akan ikut ataupun tidak. Kalau bukan aku yang memandu sekali pun, kasihan kak Farah atau Danial mahu berulang alik mengambil aku dari sini ke Tanjong Malim. Jauh rasanya....

Bersambung...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience