"Bangun, solat. Tak elok tidur maghrib-maghrib ni."
Aku membuka kelopak mataku yang terasa agak berat. Pelik, bagaimana aku boleh tertidur di waktu sebegini. Kalau umi tahu, memang habis aku 'dikerjakan' dengan leteran yang menyakitkan telinga!
Azan maghrib berkumandang kuat di seluruh kampung. Dengan ini, sudah dapat aku agak sekarang sudah pukul berapa. Tuala yang tergantung di belakang pintu aku capai lalu segera ke bilik mandi.
"Lekaslah jalan. Nak abang teman sekali ke?"
"Hish! Tak maulah!" Aku terus meneruskan langkah laju ke bilik mandi di belakang. Boleh tahan seram juga bilik mandi ini di waktu senja, kalau tidak dibuka lampu.
Memanglah seram, sudah nama pun tempat syaitan. Di sini, tiada pancuran air panas yang menyegarkan, hanya ada air kolah sejuk yang lagi menyejukkan.
*
Bunyi cengkerik mula kedengaran menghiasi senja yang menghampiri malam. Dengan bertemankan cahaya lampu kalimantang yang terletak di siling rumah, kami duduk berdua, tetapi tidak bersentuhan.
Itu, simpan wuduk namanya. Dari sembahyang maghrib yang kami tunaikan tadi, hinggalah waktu isyak yang akan masuk lebih kurang setengah jam lagi, kami menggunakan air wuduk yang sama.
Bermakna, tiada adegan manja-manja antara kami. Tidak boleh bersentuhan, nanti batal air sembahyang masing-masing.
"Sayang, abang nak tanya."
Aku membuka telinga mendengar suara Danial, bersesia untuk mendengar soalan yang bakal ditanya.
"Apa pandangan pertama sayang terhadap abang? Masa mula-mula sayang jumpa abang dengan Kak Farah, apa first impression terhadap abang?"
Soalan itu aku hadam lama.
"Pandangan pertama? Hmm... Biar Dina fikir..." Aku diam seketika, mengenang kembali akan peristiwa beberapa bulan lalu, kali pertama kami bertemu. Dengan Kak Farah yang menjadi perantara, akhirnya kami berjodohan.
Semasa itu, aku hanya menjadi adik saudara kepada Kak Farah. Ke sana ke sini kami pergi, demi mencari bapa saudaraku.
Danial ikut bersama.
Dari situ, aku mula kenali Danial secara halus. Tiada niat untuk merampas Danial daripada Kak Farah semasa itu, cukuplah aku terharu dengan sikap Danial yang melayan Kak Farah dengan baik.
Danial memberi semangat kepada Kak Farah ketika dia sedang lemah dan tertekan. Danial tenang, ketika dilanda masalah.
Itu kelebihan Danial yang aku perlu kagumi.
"Pandangan pertama Dina dekat abang, abang seorang yang baik, matang dan pandai bagi kata-kata semangat. Gitu." Aku tersenyum sendiri.
"Baik, matang dan pandai bagi kata-kata semangat? Betul ke abang macam ni?"
"Iyelah abang. Kenapa pula abang tak yakin dengan diri sendiri? Semua orang ada sifat negatif dan positif masing-masing, kan?" kataku memberi semangat. Nasib baiklah kami ada wuduk, tidak boleh bersentuhan. Kalau tidak ada air sembahyang, pasti lengannya sudah aku usap-usap.
"Terima kasih." ucap suamiku.
Kami bersembang lama, hinggalah azan isyak berkumandang di seluruh kampung. Setelah itu, kami terus berdiri menunaikan solat berjemaah. Berdua, bersama. Dia di hadapan, dan aku menjadi makmumnya di belakang. Cukup menyentuh hati.
Seperti biasa, elemen seorang Danial yang paling aku suka ialah suaranya.
Setiap alunan suaranya membaca ayat suci Al-Quran amat menyentuh hatiku. Suara merdunya, mampu untuk membuatkan aku mengalirkan air mata terharu. Walaupun aku tidak faham akan makna ayat suci Al-Quran tanpa terjemahan, apabila Danial membacanya aku seakan-akan faham tentang makna ayat suci tersebut.
Dengan tajwid yang tepat yang alunan suara yang merdu, lelaki itu mampu membuatkan aku jatuh cinta kepada bacaannya. Ikutkan hati, hari-hari aku inginkan dirinya mengimamkan solatku ini.
*
"Baby abah, nak makan apa?"
"Baby abah, sayang abah tak?"
"Baby abah, sayang umi tak?"
"Baby abah, marah tak kalau abah duduk jauh dari umi?"
Suara Danial yang masih menyentuh perutku seolah-olah sedang berkata-kata dengan malaikat kecil di dalam rahim ini kedengaran.
Dia... Ayah kepada kandungan ini.
Aku pula, ibunya.
Kami diciptakan untuk saling melengkapi. Kedua-dua tugasnya untuk mendidik cahaya mata ini menjadi manusia berguna. Kedua-duanya ditugaskan untuk memberi kasih sayang yang cukup, dan bukannya memberi tekanan kepada anak.
Apa yang terjadi kepada Danial, perlu aku ambil iktibar. Kegagalan keluarganya untuk mendidik membuatkan Danial menjadi kemurungan dan stres. Kesakitan yang dirinya alami, hanya dirinya yang tahu.
Aku akan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan lalu yang sama. Yang telah berlalu, biarlah berlalu.
"Sayang, kenapa diam ni?"
Suara itu mematikan lamunanku. Tangan Danial sudah hinggap bertentangan mataku, cuba untuk mengambil perhatianku yang sedang termenung jauh.
"Tak ada apa-apa lah. Termenung sekejap je." Aku membelai pipi suamiku lembut. Pipi itu, suci dari sebarang jambang yang menganggu ketampanannya. Taste aku, agak berbeza berbanding yang lain. Jika orang lain sukakan lelaki yang berjambang halus, aku pula tidak.
Jambang tidak cantik!
"Termenung je kerja. Tenung muka suami ni, tak nak. Ni, muka suami Irdina Safiya yang hensem ni. Ni, ni." Danial mempamerkan wajahnya kepadaku.
Aku ketawa kecil. Ada-ada sahaja si Danial ini. Kadangkala, perangainya membuatkan aku geram, tetapi geram-geram manjalah.
"Iyelah abang ... mana pernah puas tengok muka abang ni..." Pipinya aku belai lagi dengan penuh perasaan cinta kepadanya.
"Abang nak pesan kat sayang, jaga diri. Macam-macam boleh kena kat ibu mengandung ni. Abang nak sayang dengan baby sihat, nanti dah cukup masanya baby kena keluar. Abang tak nak kehilangan sayang..." Suara itu berbisik di telinga.
Cukup mendayu.
Ya, proses fasa kehamilan ini benar-benar menguji kesebaranku sebagai seorang wanita, apatah lagi nanti aku akan berhadapan dengan sakitnya bersalin yang seperti separuh mati.
Kerana itulah, wanita yang gugur ketika melahirkan anaknya dikira sebagai syahid. Sakit ketika melahirkan pun, sudah cukup untuk menghapuskan dosa.
Apabila terlihatnya bayi yang comel, lembut dan berbau syurga, segala kesakitan yang ditanggung akan hilang begitu sahaja. Ketika itu, perjuangan akan bermula.
Tentang zuriat ini, bukan sahaja kegembiraan setelah melahirkannya, tetapi fasa mendidik zuriat tersebut. Zaman kini, ramai ibu bapa tidak sedar masa berharga mereka bersama anak-anak hanya sehingga 12 tahun sahaja. Setelah itu, anak-anak akan lebih mudah terpengaruh dengan rakan sebaya, apatah lagi yang berkongsi minat yang sama.
"Insya-Allah. Abang pun sama, jaga diri. Jangan ikut sangat perasaan tu. Kalau rindu, call je lah," pesanku mesra. Beg dan barangan peribadi sudahpun aku letak di tangga utama, menunggu pemiliknya membawa masuk ke dalam kereta.
Hari ini, merupakan hari terakhir Danial berada di sini setelah empat hari datang menemani aku yang sedang hamil. Sepatutnya seminggu, tetapi dipendekkan pula menjadi empat hari kerana banyak kerja yang perlu dilangsaikan segera. Maklumlah, di kampung ini line nya agak lambat sedikit.
"Danial. Umi nak tanya."
"Ye, umi."
Dengan lembut sekali, Danial membalas kata-kata umi. Terharu.
Walaupun umi bukanlah ibu kandung Danial, Danial mampu melayan umi dengan baik dan sopan santun sekali, tanpa ada kekok. Biasanya, hubungan antara menantu dan ibu mentua ini agak kekok dan janggal, tetapi bukan pada suamiku dan umi.
"Tak ada ke cerita pasal Farah dekat sana? Lama umi tak dengaq cerita, risau pula. Tambah pula, dia ada anak kat sana. Lama umi tak jumpa dia. Ke mana lah pula anak bertuah tu lari, sampai bila nak merajuk?"
Soalan umi....
Kak Farah? Ada benarnya, soalan umi itu. Walaupun aku cuba untuk tidak bertemu dengan kakak saudaraku atas sebab Danial, namun tidak sepatutnya aku memutuskam silaturrahim kerana itu.
Dia tetap sepupu aku. Dia tetap darah daging keluargaku biarpun dengan gelaran sepupu. Paling penting, dia tetap kakak aku.
"Pasal Farah? Tak ada pula dengar cerita pasal dia, umi. Farah dah lama berhenti kerja, tak tahu sekarang duduk kat mana. Nanti kalau Danial jumpa, Danial bagitahulah nanti eh."
Aku menyaksikan sendiri, Danial bersalam dengan umi. Dengan penuh erat dan kasih sayang, tidak ubah seperti ibu kandung.
"Nanti kalau Farah muncul ke, habaq kat umi nah. Farah tu, tetap anak umi. Tak kisahlah anak saudara ke apa, dia tetap tanggungjawab umi untuk ambil tahu pasal dia walaupun umur dah 30 dah pun."
Ya Allah, terharunya aku mendengar kata-kata dari mulut seorang ibu. Mampukah aku jadi ibu yang terbaik dalam mendidik anak-anak, sepertinya?
Mampukah aku menyayangi anak orang lain, dengan penuh kasih, setaraf dengan anak kandung sendiri?
Yakinkah aku, untuk bertanggungjawab menjaga seorang anak hingga ke akhir nafasnya, andai takdirnya mereka yang pergi dahulu?
Umi, walaupun aku sudah berkahwin dan bakal mempunyai anak sendiri, tidak sedikit pun berkurang kasih sayang kepada aku, malah lebih bertambah.
Kerana cinta seorang ibu kepada anak itu, cinta kedua yang terkuat setelah cinta makhluk kepada Tuhannya. Lebih besar berbanding cinta kepada pasangan. Jika ditakdirkan perlu memilih di antara pasangan dan anak, pasti seorang ibu yang cekal akan memilih anak.
Share this novel