"Abang..."
Tubuh lelaki itu aku peluk sepuasnya sambil mengalirkan air mata. Air mata terharu.
"Sayang, everything is okay. Bertenang." Kepalaku diusap lembut.
"Siapa yang buat semua ni?" soalku pula. Kini aku sedang bersandar pada tubuh Danial, di dalam bilik yang sederhana gelap. Masa ini sepatutnya untuk tidur, tetapi kami gunakan untuk meluahkan perasaan masing-masing.
"Azmi. He wanted our happiness. Abang tak pernah tahu, Azmi tu bekas suami Farah. Dia jugak, ada simpan hati kat sayang. Berapa banyak perempuan yang dia nak sebenarnya? Anggun dia nak, Khairina dia nak, Farah dia nak, sayang pun dia nak juga." Jelas Danial tanpa tersekat-sekat.
"Jap, siapa Khairina?"
"Entah. Kawan Farah. Budak lagi." Danial tersenyum mesra. "Sayang, abang ada berita baik."
"Berita apa?" Aku mula menunjukkan ekspresi gembira. Apa yang baiknya? Baik aku buka telinga seluas-luasnya, dan menikmati suara husky lelaki ini.
"Azmi dah masuk penjara. Farah dah nak kahwin."
"Hah?" Mataku membulat. Eh, biar betul apa yang aku dengar ni?
Kak Farah nak ... kahwin?
Tentang Azmi, aku tidak hairan. Memang sejak dahulu lagi, sepatutnya dia sudah ke dalam. Begitu banyak penganiayaan yang dilakukan terhadap Kak Farah satu ketika dahulu, sedangkan dia dilepaskan begitu sahaja. Kerana dialah, Kak Farah menderita seumur hidupnya.
Namun, derita itu ada penghujungnya.
"Farah nak kahwin. Bakal suami dia duda anak satu. 34 tahun. Okeylah kan, tak tua sangat dari umur Farah. Yang paling penting, lelaki tu bertanggungjawab. Bukan jenis main pakai buang macam Azmi," jelas suamiku lagi.
Jam dua pagi. Ketika langit masih gelap, kami bercerita sesama sendiri. Mata kami tidak layu untuk tidur, sebaliknya masih celik biarpun di dalam gelap.
"Biar ... biar betul? Kenapa Dina tak tahu? Kak Farah tak bagitahu umi ke?" Aku menjungkitkan kening kehairanan. Tidak mungkin kakak saudaraku tidak akan beritahu umi, ibu kedua kepadanya. "Tapi, siapa nak jadi wali dia?"
"Abang dia. Farah ada abang kan."
"Abang?"
Seingat aku, abang kandungnya telah lama meninggal dunia. Jadi selama ini, abang saudaraku hidup lagi?
"Sayang tahu tak, apa dah jadi dengan ayah kandung Farah?" soalnya lagi. Aku menggeleng laju, menandakan tidak tahu. Sepatutnya, aku yang perlu tahu terlebih dahulu, kini terbalik pula. Bagaimanalah, Danial pula yang lebih mengetahui segalanya, sedangkan aku masih terlopong ternganga? "Dia kena penjara, sebab dadah."
"Da ... dah?"
Wahai manusia, mengapa kau memilih jalan yang tidak sepatutnya, sedangkan dunia masih luas untuk kau berubah?
"Ye. Bini muda dia tu, sekarang dah minta fasakh kot, tak silap. Yelah, siapa nak suami tua, kaki pukul, mat gian, share rumah. Tapi abang tak, abang hensem, sihat, penyayang, muda pulak tu. Tengok ni?" Danial menunjukkan mukanya kepadaku.
"Abang!" Aku memuncungkan mulut.
Memang, memang Danial ada semua ciri-ciri tersebut. Namun, aku terjatuh cinta kepadanya, bukan semata-mata kerana wajahnya yang akan membuatkan kaum hawa cair, tetapi kerana Danial sendiri.
Danial, encik suami yang tiada galang gantinya. Dia yang pertama, dia yang terakhir.
"Dah macam orang membawang kat kenduri kan? Abang bukan berniat nak sebarkan aib orang ke apa, cuma abang nak Dina tahu, semua yang dah terjadi masa Kak Farah tak ada." Danial berhenti sebentar, mengambil nafas baharu. "Macam mana abang boleh tahu tu, adalah. Baru je tadi Farah datang jumpa abang."
"Ooo, gitu." Aku mengangguk laju. Segaris senyuman terlakar di bibir merah delimaku.
Terlalu awal untuk aku merasakan lega, sedangkan alam perkahwinan kami masih panjang.
Bermula dengan Danial mengajak aku berkahwin sebagai ganti kepada Kak Farah, hinggalah hari ini aku sedang mengandungkan zuriatnya. Cantik dan indah susunan Tuhan, kini Kak Farah pula sudah ada pengganti. Bak kata orang, tidak elok untuk bersedih lama-lama.
Aku tahu, sungguh sakit untuk meninggalkan yang lama, apatah lagi sudah bertahun-tahun mereka bercinta. Punahnya harapan, apabila hari perkahwinan terpaksa dibatalkan kerana seseorang.
Seseorang yang toksik dan menghancurkan, namun masih tinggal rasa hormat terhadapnya. Kerana dia ialah ayah.
Ayahku, amat berbeza dari Kak Farah. Abah seorang yang bertanggungjawab dan penyayang, berbeza sungguh dengan Pak Long yang panas baran sikapnya dan gila talak.
Baru aku tahu, kematian ibu kandung Kak Farah bukan disebabkan barah, tetapi Pak Long sendiri yang memukul wanita itu sehingga maut. Sakit, terlalu sakit rasa hati ini apabila memikirkan orang yang tersayang sebenarnya dibunuh.
Sepatutnya, memang layak Pak Long pergi ke tali gantung! Biar mampus, dasar lelaki tak guna!
Aku berkata begitu, bukan kerana aku seorang psiko. Orang yang salah, sepatutnya perlu mendapat hukuman yang setimpal. Apatah lagi melibatkan nyawa yang tidak berdosa.
Aku bukan malaikat. Aku juga banyak khilafnya sepanjang 25 tahun menetap di muka bumi ini. Cukuplah, aku mahukan orang yang aku sayang bahagia, bukan lagi menderita.
Ada benarnya kata Azmi, aku dikelilingi oleh golongan yang mempunyai masalah keluarga. Aku perlu bersyukur, aku dikurniakan kedua ibu bapa yang baik sekali, sedangkan beratus juta orang di sana lagi masih mempunyai masalah keluarga.
*
Aku mengerling ke cermin sekilas. Hari ini, aku kelihatan manis dengan baju kurung chiffon dan tudung bawal kapas berwarna merah jambu. Sengaja aku memakai baju yang agak longgar, supaya tidak kelihatan rahim yang semakin membesar.
"Dina, betul ke cantik ni?"
"Betullah kak, akak nampak macam bidadari. Bidadari melayu terakhir." Jawabku yakin. Kak Farah yang dahulu dengan hari ini, sungguh berbeza. Kak Farah yang dahulu badannya sedikit berisi, kini sudah kurus bak anak dara. "Nah, bunga tangan. Pegang, hilangkan nervous tu sikit."
"Yelah." Kak Farah mengambil bunga tangan yang aku serahkan sebentar tadi. Sebentar lagi, kami akan ke masjid untuk upacara akad nikah buat Kak Farah.
Perkahwinan ketiga buat kakak saudaraku ini. Kali yang ketiga. Jika kali yang pertama dan kedua, dirinya asyik disakiti dan disakiti, mungkin kali ketiga ini dia akan bahagia.
"Dahlah kak, cik suami akak dah tunggu kat luar tu."
Kami berdua diikuti oleh dua orang pengapit keluar daripada bilik. Tidak ubah seperti majlis perkahwinan aku beberapa bulan lalu, rumah ini sesak dipenuhi manusia.
"Dina." Seseorang menepuk bahuku dari belakang.
"Kenapa abang?"
Danial rupanya. Segak suamiku hari ini, dengan memakai baju batik berlengan panjang, macam seorang guru pun ada!
"Dah lupa abang ke? Sibuk dengan pengantin baru je ni?"
"Mana ada lupa. Cuma busy je. Hari ni, kita ada dua pengantin. Abang lupa?" Aku tersenyum sendiri.
Kak Farah sendiri yang memilih untuk menyertai majlis nikah perdana yang dilakukan di masjid setiap tahun, untuk 20 pasangan pengantin. Lebih jimat, tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.
"Sarah .... dengan Saiful?" Tebaknya.
"Yes. Pandai pun."
Tidak aku sangka, Sarah juga menyertai majlis nikah perdana ini. Lebih jimat katanya. Nampaknya, kak Farah dan Sarah mempunyai tarikh akad nikah yang sama. Ulang tahun perkahwinan pun, samalah juga.
Leret ke bawah untuk baca epilog! <3
Share this novel