"Abang ... abang tak rindu Dina ke?" Hanya Tuhan yang tahu betapa bahagianya aku diberi peluang untuk melihat wajah suamiku lagi meskipun hanya dengan skrin telefon pintar.
Cukup membahagiakan.
"Mestilah abang rindu. Kita berjauhan tempat je, hati tak akan." Kata suamiku sambil tersenyum manis.
Baru hari pertama aku tidur tanpa suami di sisi. Sukar, namun aku perlu tabah. Bukan cemburu buta, tetapi terlebih risau. Biarpun Danial baik-baik sahaja di sana, aku yang di sini terlebih emosi. Biasalah itu, isteri memang hatinya lembut.
"Abang, Dina tak tahu nak cakap apa. Tapi, Dina nak tengok abang je. Nak tengok abang gembira, sihat je." Wajah suamiku di dalam skrin tersebut aku tenung lama. Mungkin kali ini laluan telefon agak tidak membenarkan, namun cukuplah kami dibenarkan membuat panggilan video walaupun lima minit.
Beginilah hakikat aku setelah berkahwin. Bukan Irdina Safiya yang dahulu, yang garang, yang kental dan kuat.
Bukan aku semakin lemah, cuma aku terlalu manja. Aku yakin, aku kuat dan tidak lemah.
Tetapi, siapalah manusia yang boleh hidup tanpa bantuan manusia lain? Makhluk bukan bersifat Qiyamuhu Binafsihi, mampu berdiri dengan sendiri tanpa bantuan orang lain.
Maksudnya, memang aku tidak mampu untuk hidup seorang diri. Aku tetap perlukan bantuan dan sokongan. Tanpa mereka, mungkin aku sudah murung tidak tahu untuk terus bertahan hidup di bumi ini.
"Sayang jangan sedih-sedih. Abang ada je. Kalau tak ada apa-apa masalah, abang baliklah hujung minggu ni. Abang pun rindu, tahu tak!" Suara garau itu bertukar manja pada akhirnya. Comel betul!
"Betul ni?" Soalku bagi mendapat kepastian. Harap benarlah.
Begitulah sifat sebenar lelaki. Kalau dilihat dari fizikalnya mungkin kuat dan matang, tetapi dalam hati sebenarnya ada taman pujangga, siapalah yang tahu.
"Betullah." Ringkas sahaja jawapan itu, tetapi cukup membenarkan hatiku melonjak gembira.
Danial akan pulang? Biar betul?
"Abang ... terima kasih!" Mataku aku pejam rapat seketika menahan gembira.
"Sama-sama. Sayang dah makan? Kesian kat baby nanti, mama dia tak nak makan." Aku tahu kata-kata suamiku hanyalah sekadar gurauan, tetapi dalam maksudnya jika difikirkan semula. Baby? Cahaya mata?
"Baby apanya, Dina belum mengandunglah. Abang ni!" Kataku dalam nada sedikit merajuk. Tidak mungkin aku akan hamil dalam masa terdekat, tidak mungkin.
Tetapi, kalau aku hamil, bagaimana?
Sudah, sudah Dina. Aku tidak hamil.
"Abang gurau je. Kalau ada anak terlalu awal pun, tak best juga. Nanti tak sempat untuk kita berdua." Ada benarnya kata Danial, nanti tidak sempat untuk kami berdua meluangkan masa suami isteri muda. Sudahlah masa bertemu kami agak terbatas.
Kalau ikutkan, jangan tipulah. Mungkin aku belum benar-benar bersedia, tetapi aku perempuan yang inginkan seorang cahaya mata yang comel dan sihat. Melihat gambar kawan-kawan di media sosial yang sudah mendapat zuriat mereka, membuatkan aku teringin pula. Biasalah, fikiran aku sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan sekeliling yang aku lihat setiap hari, di alam maya atau realiti.
"Abang, kita bayangkan je lah dulu sementara belum ada ni. Cuba bayangkan, kita dah ada anak, mesti Dina tak sunyi. Sementara belum ada, kita beranganlah dulu." Kataku. Berangan? Bolehlah.
"Berangan? Dina dengan berangan memang tak boleh dipisahkan ke? Tapi, idea yang bagus tau." Danial ketawa kecil mendengar cadanganku.
Pelik sangatkah?
"Abang, kita pun mana ada ilmu parenting lagi. Nanti tak tahu macam mana nak uruskan baby. Mana boleh..." Jujur aku. Satu apa pun ilmu untuk menguruskan bayi tiada dalam kepalaku, bagaimana untuk menjaga zuriat kami sendiri suatu hari nanti?
"Ye tak ye jugak. Tapi, kita kan boleh belajar. Mungkin kali pertama gagal, tak apa. Kita belajar dari pengalaman." Danial senyum lagi.
"Belajar dari pengalaman?" Soalku tertanya-tanya. Ada benarnya kata-kata suamiku. Kita boleh belajar ilmu kehidupan dengan pengalaman.
"Pengalaman. Sayang pun tahu, kita bukan sentiasa berjaya, kan? Hidup ini ada pasang surutnya." Jelas suamiku.
Aku faham.
"Kalau abang ada baby girl, abang nak jaga betul-betul. Mesti muka dia mirip isteri abang kan. Comel, ada lesung pipit asli, mata perang. Comel." Nampaknya Danial mula membayangkan ada seorang anak perempuan. Begitu juga aku.
"Baby girl je? Baby boy tak nak? Kesian baby boy nanti papa dia tak nak dia." Aku memuncungkan mulut sengaja walaupun mengetahui Danial sekadar bergurau. Anak lelaki ke, anak perempuan ke semuanya rezeki.
"Mestilah nak. Baby boy, mesti dia hensem macam papa dia, kan?"
"Perasan!" Aku tidak dapat menahan ketawa lagi. Tahulah suamiku ini edisi khas, tetapi lucu kalau membayangkan ada zuriat yang serupa dengan Danial. Alamak, comel! Tidak dapat aku bayangkan.
"Perasan-perasan pun, nanti abang yang jadi papa anak-anak kita tau." Danial membalas ketawa.
Malam ini, pasti aku mimpi indah!
*
Punat kecil berwarna merah yang menunjukkan lambang 'buka' itu aku picit perlahan setelah suis utama ditekan. Bosan juga di rumah ini, tidak tahu untuk membuat apa. Seronok sangat bersembang dengan suami sendiri walaupun dengan telefon pintar sehingga tidak sedar sudah pukul 9 malam.
Biasanya di rumah sewa bujangku, aku, Sarah dan Lufya akan makan malam bersama atau duduk di hadapan kaca televisyen untuk menonton drama Korea bersama. Seronok benar, kadang sehingga menangis-nangis pun ada menghayati jalan cerita.
Kali ini, hanya aku di hadapan kaca televisyen ini. Umi masih di dalam bilik, mungkin baca Al-Quran agaknya.
Bukankah ini me time aku? Aku boleh bertenang tanpa ada sesiapa mengganggu? Mungkin juga. Kadangkala, aku juga perlu berehat, menenangkan diri sendiri secara bersendiri setelah semua tanggungjawab aku tunaikan.
Rancangan drama melayu pukul 9 sahaja yang aku saksikan. Iyalah, di rumah ini bukan ada saluran televisyen berbayar, buat bazir duit sahaja. Kami bukan selalu tengok pun.
Drama melayu pun, bolehlah. Aku okey sahaja. Sudah bosan sangat. Bayangkan kalau kena duduk rumah tanpa keluar langsung untuk beberapa tempoh tanpa sesiapa, pasti aku sudah gila.
Sudahlah, mana ada lagi peraturan sebegitu di zaman moden ini melainkan ada peperangan dunia ketiga.
Tak, tak. Apa benda pun boleh terjadi di dunia ini. Dikurung di dalam rumah tanpa boleh keluar? Siapa kata tidak logik? Manalah tahu suatu hari nanti terjadi pula? Tidak, tidak. Aku tidak mendoakannya.
"Abang, tolong ceraikan saya! Saya tak mampu hidup lagi dengan abang!"
Suara yang datangnya dari peranti televisyen itu benar-benar mengejutkan aku. Apa yang sudah jadi kepada pasangan itu sehingga isteri sanggup meminta cerai daripada suami?
Share this novel