"Bismillahirrahmanirrahim..." Danial menyuap nasi ke dalam mulutnya menggunakan tangannya sendiri. Berdebar-debar aku menunggu reaksi Danial. Umi kata, sedap sahaja. Macam mana pula suamiku?
"Macam mana, sedap ke? Kalau tak sedap, bagitahulah. Nanti boleh perbaiki."
"Sedaplah, sayang. Makanlah." Danial tidak berhenti menyuap nasi. Berselera sungguh. Lega aku dibuatnya.
Satu senduk nasi aku cedokkan ke dalam pingganku pula. Kuah tomyam yang masih berasap, aku tuang banjir ke dalam pingganku. Ingin juga aku nikmati masakan aku sendiri yang tidak seberapa ini.
"Hmm, not bad." Komen aku. Bagi aku, bolehlah masakan tomyam tadi. Hendak kata seperti chef, memang tidaklah tetapi okeylah untuk menjamu suamiku.
"Umi, Dina, Danial. Najmi pergi dulu." Tangan dihulurkan kepada kami satu persatu oleh Najmi yang tiba-tiba datang dari belakang. Terkejut aku dibuatnya.
"Makanlah dulu. Nak cepat-cepat sangat ni dah kenapa? Dina dah masak tomyam banyak tu. Makanlah." Pelawa Danial.
"Takpelah bro." Kami terus bersalaman dengan Najmi.
"Hang jaga diri elok-elok, toksah buat benda takdak faedah. Hang nak kahwin tak?" Soalan umi seperti mengejutkan Najmi. Kahwin?
"Hmm, iyelah." Najmi tersengih kecil.
"Abang, abang tak payah down sangat. Jangan fikir sangat pasal jodoh tu." Kataku pula.
"Ye... Abang pergi dulu. Assalamualaikum." Najmi segera keluar daripada rumah lalu menghidupkan motosikalnya untuk pulang ke kota.
"Waalaikumussalam." Jawab kami bertiga.
Sekarang, hanya tinggal aku, Danial dan umi. Esoknya akan tinggal aku dan umi di rumah ini. Sekejap sahaja keceriaan menanti.
"Termenung lagi? Tak habis-habis termenung? Teringat siapa tu?" Tanpa aku sedari Danial merenung dalam wajahku. Merah padam pipi mulusku dibuatnya.
"Tak ada apa-apalah." Entah kenapa sejak aku kahwin ini, memang aku selalu termenung. Fikiran aku selalu jauh dibawa melayang. Ke mana, aku sendiri pun tak tahu. Mungkin ke Kutub Utara, mungkin juga ke Kutub Selatan.
"Seronok ke berangan?"
"K-Kenapa macam pelik je soalan ni..." Otakku ligat mencari maksud sebenar Danial. Kadang-kadang boleh jadi ada dua makna juga.
"Apa yang peliknya? Abang tanya, seronok ke berangan?"
"Bolehlah. Tak adalah seronok yang disangka. Kadang-kadang seronok, kadang-kadang tak." Aku sendiri tidak faham dengan ayatku. Iyalah, perempuan ini benar-benar rumit.
"Tak apalah, walaupun abang tak faham, tapi orang kata, orang yang kuat berangan ni kreatif. Isteri abang mesti kreatif kan?" Danial menguntum senyuman mesra. Malu aku dibuatnya sekali lagi.
"Kreatif?" Aku berpura-pura tidak faham.
"Dina sentiasa kreatif. Dina cari cara nak balas pickupline abang, Dina cari cara nak pikat hati abang. Abang rasa terharu." Luah suamiku.
Malu, sekali lagi.
"Abang, umilah." Memanglah kami sudah habis makan, tetapi ini bukan di dalam bilik. Ini di hadapan umi. Umi lun tumpang mendengar sekali.
"Takpa lah, umi dak makan orang pun. Hangpa sembang lah." Umi ketawa kecil. Nampak sangat mahu tumpang mendengar. Lama sangat tidak bermesra begini dengan abah. Pasti rindu.
"Umi, share la sikit tips rumahtangga bahagia..." Pinta aku dengan suara manja. Seperti dulu-dulu.
"Kalau nak rumahtangga bahagia, masing-masing kena faham peranan masing-masing. Macam Dina dengan Danial, hangpa bakal melalui PJJ, umi pun tak tahu sangat sebab umi tak pernah lalui. Tapi kena faham diri masing-masing lah. Suami kena kerja cari nafkah, isteri kena sedia berkhidmat untuk suami." Nasihat umi. Benarlah, umi memang ratu nasihat. Segala nasihat ada dalam otak umi. Walaupun tidak semua orang dulu-dulu ini bijak, tetapi mereka bijak dalam menyesuaikan hidup dan mendidik anak.
Aku dan Danial mengangguk serentak. Sekali sahaja sudah faham. Tiada bahasa kiasan ataupun dua makna dalam ayat ini. Cukup mudah difahami.
"Umi, terima kasih." Aku pula yang berasa sebak. Fahami masing-masing?
Terlalu banyak jumlahnya pada hari ini penceraian rumahtangga kerana tidak memahami masing-masing. Isteri tidak faham tanggungjawab suami, suami tidak faham peranan isteri. Akhirnya perpisahan menjadi jalan.
Aku harap, pengakhiran kami bukan begini. Tiada siapa yang mengimpikan rumahtangga yang dibina berakhir dengan lafaz talak.
Janji aku, aku ingin menjalani hidup bersama Danial, sehidup semati. Mempunyai pewaris yang soleh dan solehah, membina sebuah keluarga bahagia bersama. Ada keluarga yang sentiasa menghulur tangan setiap kali jatuh, berkongsi kebahagiaan bersama. Mudah cerita, semuanya bersama. Tipulah andai aku tidak teringin untuk menjadi ibu. Aku mahukan ada bayi comel yang menjadi penawar duka. Setiap kali melihat wajahnya, pasti ketenangan hadir.
Lagi-lagi anak itu daripada benih suamiku sendiri, Muhammad Danial. Yang ku cintai sampai mati. Sehingga akhir hayat.
Pinggan mangkuk aku bawa ke dapur untuk dicuci. Nampaknya licin benar penangan kami bertiga. Boleh tahan banyak juga yang aku masak, memandangkan pada mulanya aku ingatkan Najmi ingin makan sama.
Sekali habis di tangan kami. Nasib baiklah sedap.
"Biarlah abang cuci." Aku tiba-tiba dihalang Danial. Pinggan kotor yang berada di tanganku segera diambil Danial. Span kuning yang bertujuan untuk menyental pinggan kotor juga dilakukan tindakan yang sama oleh suamiku.
"Ini kan tanggungjawab Dina, biarlah Dina yang basuh."
"Kenapa pula? Tanggungjawab abang untuk buat sayang bahagia. Jadi, sayang rehatlah dahulu. Sayang dah masak sedap-sedap, abang pula yang makan sampai licin, biarlah abang yang basuh." Span kuning yang menjadi bahan utama mencuci pinggan itu diambil lalu Danial memulakan sentalannya. Mana ada sentalan sangat pun, bukannya berminyak degil.
"Taklah, Dina dah biasa tengok umi basuhkan pinggan untuk abah. Abah tak pernah minta pun, umi yang relakan diri. Abang janganlah salah faham pula, rumah ni tak ada peraturan macam rumah ayah long. Umi basuhkan pinggan untuk abah, tapi abah buat macam-macam lagi untuk umi. Bukan kejam sangat sampai menyiksa wanita." Kataku sambil tertawa kecil. Teringat lagi kisah 'Peraturan di Rumah Ayah Long' yang pernah tular di hampir semua laman media sosial satu ketika dahulu.
Setakat basuh pinggan, memanglah aku tidak kisah tetapi sampai ke tahap 'hormat' bagaikan anak raja kerajaan langit ini, sudah tidak boleh aku terima. Baik derhaka sahaja.
Astaghfirullah, apa kau merepek ni Irdina Safiya. Sabar, sabar.
"Dah siap." Pinggan yang masih basah itu disusun di tempat pengering untuk dibiarkan kering dahulu. Aku tersenyum melihat suamiku yang berjaya membuat satu kerja rumah. Lega aku dibuatnya.
"Terima kasih, abang." Tidak lokek untuk aku mengucapkan dua perkataan yang sangat ringkas ini. Semua kerana abah yang pernah menasihati aku dan abang-abangku sewaktu aku masih kecil lagi, yang berbunyi...
"Ucaplah terima kasih kepada sesiapa saja yang membuat kebaikan kepada hangpa, walaupun posmen yang hantar kad raya. Setiap ucapan kita walaupun pendek, mereka akan rasakan kita seperti hargai mereka. Semua orang mahu dihargai, semua orang mahu disayangi."
Kalam itu, akan sentiasa berada di hatiku sebagai kenangan yang kekal tersimpan. Takkan pernah pudar, walau secebis waktu.
"Sama-sama, sayang. Dahlah, jom masuk bilik." Tanganku diraih Danial. Kami berpegangan tangan menuju ke kamar tidur. Kalau ikutkan, mungkin masih awal untuk kami tidur tambahan pula baru sahaja selesai makan. Perut sudah kenyang, mana mungkin boleh terlena di atas katil. Nanti boleh jadi obesiti!
"Abang..." Panggil aku manja. Kepala aku disandarkan pada bahu Danial. Mahu mengambil aura manja katanya. Kali ini di dalam bilik, jadi tidak perlu untuk aku risau.
"Ye sayang, kenapa?" Jawabnya lembut.
Setiap suaranya, mempunyai makna. Seperti yang pernah aku katakan, mungkin tiada nilainya di mata kasar melainkan di sudut hati. Siapalah yang tahu melainkan diri sendiri?
"Abang, satu hari nanti, kita akan ada anak?"
Wajah gembira Danial terus berubah serta-merta. Malu pula aku dibuatnya. Sudahlah aku bertanya soalan cepu emas ini.
"Ya, Insya-Allah sayang. Abang mestilah teringin. Lagi-lagi anak kandung abang."
"Nanti kan, abang nak namakan anak kita apa?" Soalku lagi.
"Baby girl or boy?"
"Kalau girl?" Duga aku. Aku tidak kisah sama ada anak perempuan atau lelaki. Ada seorang cahaya mata pun, sudah cukup untuk aku bersyukur.
"Jannah. Sedap nama tu. Maksudnya syurga. Tapi, kenalah tambah sikit nama kat depan dia. Sayang nak tambah apa?"
"Jannah? Sedap nama tu. Dina tak ada idea lah abang... Lagipun, lambat lagi kita nak ada anak. Tak ke awal sangat?" Kataku malu. Entah siapalah yang membuka topik 'anak' hari ini. Aku bakal menjadi ibu, Danial bakal menjadi ayah. Ya, suatu hari nanti.
"Sayang yang buka topik pasal anak, abang ikut sekali jelah. Nanti sayang merajuk, susah abang nak pujuk tau." Bibir yang sederhana tebal itu dimuncungkan panjang.
Eh, akulah yang membukanya!
"Satu hari nanti, kita akan jadi ibu dan ayah?" Ragu-ragu persoalanku.
"Ya, untuk anak-anak kita."
"Anak-anak kita?" Aku menghela nafasku. Mengapalah saat ini fikiran burukku muncul kembali.
Ya Rahman, aku takut. Bantulah aku.
Share this novel