Bab 35

Romance Series 27539

Dan malam pun mentadang,

Di kaki langit gelap kita terbang;

Tidak mungkin dibuang sayang,

Biar seribu kali yang lain mendatang.

Lampu dimalapkan menandakan pesawat bakal mendarat tidak lama lagi. Tangan Danial yang sejuk kerana pendingin hawa aku genggam erat. Aku sangkakan kami bakal menaiki pesawat berlainan, rupanya sama dan duduk bersebelahan lagi. Syukur, alhamdulillah.

Inikah perasaan pertama kali aku di udara? Rasa terharu melihat ciptaan Tuhan walaupun di kaki langit. Mungkin tidak secantik pada waktu siang, tetapi malam tidak kurang juga. Cahaya lampu dari bangunan-bangunan, membuatkan suasana dari atas pesawat ini nampak indah.

"Seronok ke tak?" Soal Danial ke telingaku perlahan. Aku sekadar mengangguk laju tanda mengiyakan. Benar, ini pengalaman pertama dan sudah pastilah aku seronok.

Malam ini, kami akan tidur di hotel dahulu, lusa barulah hari akad nikah Lufya dan walimatul urus dibuat pada hari yang sama. Jimat.

Kelihatan orang ramai mula mengangkat beg masing-masing lalu berpusu-pusu keluar daripada pesawat, begitu juga kami. Aku menggalas beg yang kecil, manakala Danial pula beg yang besar. Hanya ada dua beg yang kami bawa. Sudah nama pun hanya 7 kilogram yang dibenarkan, takkan mahu bawa beg sebesar gajah pula.

Aku melangkah perlahan menuruni anak-anak tangga yang ada. Tidak sama seperti di KLIA tadi, tidak perlu menaiki tangga, sudah ada tingkat yang sebaris dengan pintu masuk pesawat.

Alhamdulillah, syukur kami selamat sampai ke destinasi. Kelihatan Danial sudah penat dan agak mengantuk, risau pula untuk membiarkan suamiku memandu kereta.

"Abang okey tak ni? Abang mengantuk tak?"

"Okey je, kenapa. Kita balik hotel cepatlah sayang. Abang penat sikit je." Tanganku digenggam erat, kami berjalan mencari ejen kereta sewa yang sudah sepatutnya menunggu di sini.

*

Mataku masih menatap jalan raya yang agak lengang disebabkan sudah lewat malam. Kebanyakan orang di bandar ini sudah tidur agaknya. Orang kata, Beaufort ini berpenunggu. Lufya pun tidak menafikannya.

Masih ada lima kilometer sebelum kami sampai ke hotel yang sudah ditempah. Kalau waktu siang, mungkin boleh dikatakan dekat sahaja setakat lima kilometer, dulu semasa zaman sekolah boleh sahaja merentas desa sejauh itu. Namun, lain pula pada waktu malam saat mata masing-masing mula memberat menahan mengantuk yang teramat.

Bukan tidak pernah berlaku di tanah air ini, kemalangan maut yang hanya disebabkan sesuatu yang dianggap kecil dan remeh sahaja.

Microsleep.

Aku tidak mahu kejadian yang pernah berlaku di bumi Malaysia ini berulang kembali kepada aku dan suamiku. Ya Allah, panjangkanlah usia perkahwinan kami, janganlah Kau ambil suamiku terlebih dahulu... Sebenarnya, seriau juga aku bila Danial mahu memandu dalam keadaan yang agak mengantuk. Pada malam yang gelap dan suram ini, sesuatu yang dianggap mustahil pun boleh berlaku. Kalau diekori kereta Volkwagen kuning di lebuhraya Karak itu, tidaklah.

Hanya tangan kanan Danial yang melekat pada stereng kereta manakala sebelah lagi tangannya aku pegang. Risau juga kalau Danial terlelap.

Keadaan semakin sunyi dengan atmosfera yang diterangi dengan cahaya bulan penuh. Nasib baiklah lampu jalan ada, dapatlah mengurangkan rasa seram yang berbuku di dada. Tipulah kalau aku berani dengan makhluk halus, sedangkan di asrama dahulu bermacam-macam kes wujud. Ada yang histeria, dirasuk dan sebagainya.

"Dah sampai."

"Dah sampai?" Aku melihat bangunan hotel yang berada di depan mataku. Syukur, kami selamat sekali lagi ke destinasi. Danial cepat-cepat memarkir kereta di ruangan basement lalu mengangkat segala beg yang kami bawa ke lobi utama yang dipanggil receptionist.

Tanganku mula menggigil semula dek kerana suhu penyaman udara yang disetkan ke suhu yang paling rendah sekali. Hanya tangan Danial yang hangat, menjadikan aku selesa.

"Tunggu kat sofa tu. Abang nak pergi daftar." Arah Danial sambil meletakkan semua beg dan barangan yang dipikulnya ke atas sofa khas di ruangan itu. Nampak mewah.

Kalau diikutkan perancangan asal aku, aku hanya mahu tidur di hotel bajet sahaja, bukan hotel mewah seperti ini. Semua ini rancangan Daniallah, siapa lagi.

Jam besar yang terus berdetak menjadi tatapan mataku kini. Setiap saat berlalu, meninggalkan aku yang terkapai-kapai mengenangkan masa lalu. Terlakar senyuman nipis di bibir mungilku yang merah-merah delima.

Hidup di bandar, jauh berbeza berbanding di kampung. Walaupun aku dikatakan pernah bekerja di bandar pada zaman sebelum berkahwin dahulu, anda salah. Tempat itu hanyalah sebuah kampung moden, yang berevolusi menjadi semakin maju hari demi hari, tetapi tidak seperti di sini.

"Termenung apa tu?"

Mataku beralih semula ke Danial yang sedang berdiri tegak di hadapanku sambil di tangannnya memegang anak kunci bilik hotel. Aku sendiri tidak tahu tingkat mana kami ditempatkan, harap tidak tinggi sangatlah.

"Kita dapat tingkat mana?"

"Tingkat lima."

"Lima?"

Kejap, biar betul. Bangunan ini berapa tingkat sebenarnya? Tinggi betul. Jarang aku dapat naik bangunan setinggi ini, apatah lagi yang lebih tinggi. Nampak sangat aku orang kampung yang tidak reti apa-apa.

"Kenapa terkejut sangat?" Kening Danial dinaikkan sedikit tanda kehairanan.

"T-Tak ada apa-apalah abang."

"Dah tu, jomlah naik. Nak tidur kat sini ke?" Beg-beg dan barangan dipikul Danial lalu kami menuju ke bahagian lif. Setelah pintu lif terbuka, butang yang bernombor lima ditekan oleh Danial. Aku hanya perhati sahaja suamiku dari belakang.

*

Wah, selesa.

Badanku yang penat aku rebahkan ke atas tilam empuk di hotel lima bintang ini. Bahagia rasanya, apabila penat berjalan akhirnya mendapat rehat yang sempurna. Danial? Rasanya sudah lama dibuai mimpi. Sampai sahaja, terus merebahkan diri. Mengantuk sangat nampaknya.

Wajah Danial yang sedang tidur aku tenung seketika. Tenang sahaja, tiada yang resah.

"Abang..." Bisik hatiku perlahan.

Serta merta selepas itu, aku tutup lampu bilik dan hanya bertemankan lampu tidur. Kelopak mata yang terbuka akhirnya ditutup. Keadaan sekeliling menjadi kelam dan berbalam-balam.

Tidak sabar rasanya, esok aku akan ke rumah Lufya untuk menolong apa yang patut. Sudah nama pun sahabat dunia akhirat, mestilah ada ketika bahagia mahupun lara. Lagipun, Lufya sudah menolong aku semasa hari perkahwinan aku sebulan lalu.

*

"Cantiknya isteri abang..." Danial menghampiri aku dari belakang membuatkan aku seram sejuk.

"Cantik?" Aku menjongkitkan kening kehairanan.

"Iyelah, cantik macam wanita melayu terakhir. Ni baju kahwin kita dulu kan?" Fabrik satin yang lembut dari bajuku Danial usap seketika.

"Yelah, baju kahwin kita lah ni." Jawabku sambil tersenyum manis. Siapa lagi yang pilih baju ini kalau bukan Danial. Fabrik satin dan kain batik yang digabungkan dalam pakaian tradisional ini membuatkan pemakainya kelihatan seperti wanita melayu terakhir, apatah lagi jika digayakan dengan sanggul lintang dan dokoh. Akulah orangnya. Wanita melayu terakhir di dunia.

Eh, perasan pula!

"Abang ... entah tiba-tiba abang rindu." Danial duduk di birai katil sambil menunggu aku bersiap menyarungkan hijab di kepala.

"Rindu? Rindu apa?" Soalku kehairanan. Tidak mungkinlah rindu Farah pula. Kau jangan, Muhammad Danial bin Izwan!

"Our wedding. Tak sangka dah sebulan. Memanglah sebulan tu baru sekejap je, tapi ... masa yang lalu tak boleh diulang semula. Rindu." Danial meluahkan isi hatinya yang terbuku.

Ya, rindu. Benarlah, aku menyimpan perasaan yang sama seperti Danial.

"Dina pun rindu, tapi jangan biarkan masa lalu menenggelamkan kita." Sekuntum senyuman aku hadiahkan buat suami tercinta.

"Abang, teringat lagi. Abang sebak masa lafaz taklik yang abang baca sendiri."

"Abang...." Aku tensenyum simpul mengenangkan peristiwa bersejarah itu. Tipulah andai air mataku tidak mengalir sewaktu Danial melafazkan taklik ini. Penting untuk pengantin perempuan mendengarnya. Andai sesuatu berlaku di dalam rumahtangga satu hari nanti, akan ada jalan penyelesaiannya.

Aturan Allah, segalanya cantik. DIA tidak mahu hamba-hambanya menderita dan terjerat. Jika berbekalkan kasih sayang dan cinta yang masih utuh, siapa sahaja yang mahukan jalan perpisahan melainkan semua itu telah hilang dibawa masa?

"Jomlah pergi, nanti lambat." Beg tangan jenis silang berwarna hitam aku capai lalu meninggalkan bilik hotel ini. Ke mana kami ingin pergi? Pastilah rumah ibu Lufya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience