Meniti hari sebagai suri rumah tanpa suami memang sangat memenatkan. Penat menahan rindu, penat menahan sepi yang terbuku di dada. Hanya umi menjadi temanku, nasib baiklah umi pun layan sahaja perangai kanak-kanak aku.
Ia bukan sesusah mana apabila sudah terbiasa, cuma hati memang perlu cekal dan tabah. Apa-apa sahaja boleh berlaku selama suami tidak melekat dengan kita. Ada yang pasang lagi satu sembunyi-sembunyi, sudah bertahun-tahun barulah diketahui si isteri.
PJJ memang banyak cabangnya!
Bukan semua orang mampu. Aku perlu buktikan, dengan cara ini aku dapat mendidik hati supaya lebih tabah. Bukan semua orang mampu melaluinya, jadi aku adalah antara yang teristimewa.
Istimewa?
Kerana setiap insan yang dilahirkan di dunia ini berbeza. Bermakna, semua orang adalah edisi khas. Iyalah, lihatlah pada aturan jalan hidup setiap orang. Unik, bukan? Semuanya ada kelainan tersendiri.
Yang pasti, aku perlu bersyukur dengan takdir hidup aku. Aku ialah aku. Bukan orang lain.
"Dina?" Suara serak-serak basah itu menegurku. Tidak perlu aku soal siapa pemiliknya pun sudah aku tahu. Umilah, mana ada orang lain lagi di rumah kecil ini. Takkan makluk halus pula yang menyeruku. Ish, takut. Teringat semasa zaman sekolah di hostel dahulu. Cerita hantu merata-rata. Kalau ikutkan hati aku ini lemah juga, jangan katalah. Boleh pengsan jikalau kejadian sama berulang kembali.
"Awat umi?" Panggilan umi yang menyeruku itu aku balas dengan lembut. Tidak mahulah aku menjadi anak derhaka. Nanti hendak bau syurga pun tidak boleh, apatah lagi menghuni di dalamnya.
"Dina suka yang mana, duduk bandaq dengan kawan-kawan, ada kerja sendiri ataupun duduk dekat kampung, jadi suri rumah. Hang lagi suka yang mana?"
"Suka yang mana? Kalau ikutkan Dina suka dua-dua. Duduk dekat bandaq, ada kawan-kawan yang memahami seronok. Stres manapun, mesti ada sahabat dunia akhirat datang bagi sokongan. Kalau duduk kampung, rasa tenang je. Ada umi depan mata. Takdak la risau mana." Jujur aku. Dua-dua aku pilih. Dua-dua aku suka. "Awat umi tanya macam tu? Macam pelik je..."
"Tak adalah, saja je tanya. Umi pun pelik juga, kenapa lepas kahwin Dina nak tinggal kat kampung sedangkan boleh je hang nak duduk bandaq tu." Umi memberhentikan sebentar ucapannya sebelum disambung semula; "Terima kasih sebab teman umi kat kampung ni. Kalau bukan Dina, siapa lagi? Insya-Allah, ada hikmahnya Dina PJJ dengan Danial. Pasti ada hikmahnya."
Hikmah? Yang bagaimana?
"Hikmah? Maksud umi?" Ragu-ragu soalanku.
"Dina dapat pahala kesabaran yang sangat besar. Dina pun tahu, bukan semua orang mampu, bukan semua orang kuat macam Dina. Dina dapat jaga umi, lagilah besar pahalanya." Umi tersenyum bahagia melihatku. Itukah hikmahnya?
Ya, itulah.
*
Rindu!
Sehelai kertas daripada buku latihan lamaku aku koyak sedikit lalu mencatat sepatah perkataan itu. Tatkala aku bosan dan tidak tahu untuk buat apa, hanya inilah aktiviti aku.
Jika masaku terisi dengan aktiviti, mungkin aku mudah untuk kurangkan rasa kesakitan ini.
Tetapi, hendak diluangkan dengan apa?
Aku sendiri pun tidak tahu apa sebenarnya hobiku. Mungkin menonton drama Korea? Atau meluangkan masa bersama-sama dengan sahabat dunia akhirat? Kini aku jauh dari mereka. Kalau hendak buat panggilan video pun, aku yakin mereka sedang bekerja. Malam-malam pula aku mahu membuat panggilan video dengan Danial.
Rindu, rindu serindunya.
Orang kata, kalau tiada siapa untuk meluahkan boleh tulis dalam diari. Kenapa diari?
Diari memang tidak hidup dan takkan mendengar kata hati kita, cuma cukuplah sebuah buku menyimpan segala rahsia yang terbuku di hati. Tidaklah pendam sahaja.
Tindakan aku, sama sahaja seperti menulis diari. Bezanya, aku hanya menulis di atas cebisan kertas kecil, bukan buku tebal yang menjadi penyimpan rahsia setia.
Pena hitam yang tadinya menari-nari aku letak semula di atas meja. Cukup beberapa ayat untuk mentafsirkan perasaan aku. Bahagia dalam menahan rindu. Sekurang-kurangnya, aku ada alternatif untuk meluahkan. Bukan sebuah rindu yang tak berpenghujung.
Cukup sebaris ayat.
Kertas kecil itu aku lipat lalu selitkan di tepi buku. Biarlah masa menghapuskan rasa. Mungkin suatu hari nanti, aku akan terjumpa nota kecil ini.
Setelah itu, aku keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Rambut panjangku dibebaskan tanpa sebarang ikatan supaya lebih selesa. Boleh tahan panas juga tinggal di kampung ini. Duduk sahaja pun boleh berpeluh.
Inilah rumahku. Panas pun panaslah, ini syurgaku juga.
Tiba-tiba aku terpandang sebuah album tebal yang disimpan di dalam almari kaca. Warna hitam album itu seolah-olah magnet yang membuatkan aku tertarik untuk menyelongkarnya.
Pintu almari kaca aku buka perlahan-lahan supaya tidak mengganggu sesiapa di dalam rumah ini. Setelah dapat, aku duduk di atas lantai yang beralaskan tikar getah lalu menyelak perlahan muka demi muka.
Ini?...
Gambar kahwin umi dan abah?
Ya, gambar mereka. Pelik juga, bagaimana di zaman itu sudah mempunyai kamera walaupun gambar ini hitam putih dan kurang jelasnya. Kira-kira 32 tahun lalu. Abang sulung aku pun belum lahir lagi.
Eh, memanglah belum lahir! Kalau sudah lahir, anak luar nikahlah namanya!
Aku tertawa sendirian. Hanya ada tiga keping kenangan gambar perkahwinan umi dan abah selebihnya gambar-gambar aku, abang Hakim dan abang Najmi semasa sekolah. Lucu juga melihat gambar lama. Terasa kenangan lama bermain di minda. Alangkah rindunya semua itu.
Setelah puas, aku tutup semula album hitam itu. Habuknya boleh tahan juga, sampai asyik terbersin sahaja aku dibuatnya. Sudah nama pun alahan habuk.
Kali ini kulit album itu pula yang menjadi tarikanku. Ada sedikit corak bunga kecil, tiadalah kelam sahaja.
'MEMORIES OF US'.
Memori kita.
Setiap perjalanan hidup keluarga kami, disimpan di dalam album ini. Dari aku lahir, sehinggalah hari ini. Semuanya lengkap kecuali gambar perkahwinan aku yang belum dapat lagi daripada jurugambar.
"Dina buat apa tu? Dina baca apa?"
"Umi ... terkejut Dina tau. Belek album je. Tengok kenangan lama. Rindu..." Album hitam yang berat itu aku tunjukkan kepada umi.
"D-Dina ... tengok ... yang tu?" Umi mengambil semula album berat di tanganku. Kini umi pula yang membeleknya dengan membuka satu persatu mukasurat yang ada.
"Macam mana Dina boleh tahu? Umi nak simpan kenangan-kenangan ni, kalau nanti salah seorang kita dah tiada, bolehlah jadi pengubat rindu." Mata umi masih menatap album tebal itu, mengembalikan aura masa lalu. Bahagia.
"Jadi, umi rahsiakan selama ni?" Tebakku. Terharu sungguh aku melihat semua gambar di dalam ini lagi-lagi kenangan zaman belajar dahulu. Kenangan yang mustahil akan aku lupa.
Umi mengangguk perlahan sebelum menjawab; "Ye, supaya adalah pengubat rindu. Kalau dah tengok banyak kali, habislah bosan kan? Sama juga seperti cerita di tv."
Bosan? Tidak, aku tidak akan pernah bosan. Semua ini kenangan.
"Umi, Dina tak pernah bosanlah. Dina suka tengok semua gambar ni. Rasa macam dah balik semula zaman sekolah. Rindu..." Jujur aku. Terpaksa aku beritahu, kalaulah wujud mesin masa, aku akan simpan lebih banyak kenangan untuk bekalan hari esok.
"Umi ... rasa rindu sangat kat abah hang. Setiap kali umi tengok gambar-gambar ni, rasa macam baru semalam je kahwin. Kalau ikutkan dah 32 tahun. 3 dekad dah." Umi menghembuskan nafas lembut. Daripada tuturnya sudah aku perasan umi menahan sebak.
Setianya umi dan abah. Inikah yang dinamakan cinta mati?
Mungkin Allah lebih tahu.
Pengorbanan umi dan abah semasa dihentam penduduk kampung dahulu, sudah sampai ke telingaku. Itu pun abang-abangku yang menjadi penyampai cerita. Kalau disuruh umi yang membongkar kisah silam itu, sudah pastilah tidak mahu walaupun bukan salah umi dan abi langsung.
Zuriat ini hadiah Tuhan untuk pasangan yang sudah berkahwin, bilangannya bukan manusia yang dapat menentukan. Ada yang dapat tiga, empat, lima, enam dan ada juga yang seorang sahaja cahaya mata. Semuanya rezeki Allah.
Tiba-tiba teringin pula aku untuk mendapat zuriat. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja naluri itu hadir.
Wahai bakal anakku, bonda tidak sabar menunggu kehadiranmu yang bakal menceriakan seisi rumah ini.
Bismillahirrahmanirrahim... Tq for following me! Harini lambat update, leka dengan kerja lain sampai terlupa >< Enjoy your read! Kalau ada kesilapan di mana-mana, tegurlah. Saya terima dengan hati yang terbuka, Insya-Allah. Yang baik datangnya dari Allah SWT, yang buruk datangnya dari saya <33
Share this novel