"Dah, jom kita makan kat sana tu. Saya dah lapar ni." Danial mengajak kami pergi ke medan selera yang berada di sebelah sana. Ramai juga orang tetapi masih ada tempat untuk kami duduk.
"Farah dengan Dina nak makan apa? Saya pergi belikan. Farah dengan Dina jaga tempat tau." Soal Danial. Aku dan kak Farah duduk bersebelahan.
"Dina nak makan apa? Akak nak nasi ayam dengan sirap ais." Pesan Kak Farah. Nasi ayam? Macam sedap juga kan... Sudah lama aku tidak menikmatinya.
"Dina pun nak nasi ayamlah. Air milo ais." Sekeping wang RM50 aku hulurkan kepada Danial, menyuruh lelaki itu membayar.
"Eh, tak apalah. Saya bayar. Lagipun saya yang ajar. Danial menolak apabila aku memberinya duit. Dia kata dia hendak belanja. Selamat duit aku.
Tetapi, kenapa dia ini baik sangat ya dengan aku? Aku bukan kenal dia pun. Kenapa dia layan aku ni sama sahaja seperti kak Farah. Maksud aku, bukanlah dia melayanku seperti teman wanita tetapi cara bercakap dan adabnya. Manis dan lembut. Tetapi tidaklah jambu. Masih nampak 'gentle'.
Kalaulah dia ini suami aku.....
Eh, apa ni! Bawa mengucap Dina, bawa mengucap. Berdosa rampas bakal suami orang tau. Lagi-lagi orang seperti kak Farah yang merangkak-rangkak mencari sinar bahagia dalam hidupnya.
Aku berharap, akan ada lelaki 'klon' seperti Danial ini yang akan menjadi suami aku. Setia, tutur kata pun sopan, indah mata memandang. Umi pun mesti restu.
*
Harith melangkah kemas ke dalam pejabat berpenghawa dingin itu. Selangkah demi selangkah. Lelaki tinggi lampai itu akhirnya berhenti di sebuah meja.
"Lufya." Panggil Harith.
"Harith. Tolong faham I. Kita dah nak kahwin dah, Harith." Itu sahaja kata-kata yang dikeluarkan Lufya lalu wanita itu berlalu pergi meninggalkan bakal suaminya sendiri. Terduduk lelaki itu kecewa.
"Lufya.... I.... I tak bermaksud, Lufya." Harith cuba menyeru nama itu, namun tidak disahut. Jelas ternyata wanita itu sudah tawar hati. Penat dengan permainannya.
"Astaghfirullah...." Lufya tersedar daripada mimpi buruknya. Ya, itu cuma satu mimpi. Bukan nyata.
Lufya berjalan menuju ke bilik air. Hatinya semakin gusar. Apakah tanda semua mimpi itu? Janganlah ada sesuatu yang buruk. Harap semuanya hanyalah mimpi daripada syaitan yang mahu mengganggu tidurnya.
"Harith....."
Dalam rumah ini hanya ada dia seorang. Sarah macam biasalah, ada aktiviti malam lah tu ataupun tidur di rumah kawan. Wanita solehah katanya, pasti ada usrah. Irdina pula, dari awal sudah beritahu dia hendak ke rumah bapa saudaranya bersama sepupunya.
"Ya Allah, jangan apa-apakan aku..." Lufya melutut. Dia tersungkur penat. Segalanya tidak boleh berpatah balik. Dua bulan lagi, dua bulan lagi, Lufya.
*
Sampai lewat malam kami masih tidak dapat menjumpai rumah paklong. Entahlah, disebabkan aku sudah lama tidak ke mari, memang aku sudah tidak ingat mana satu rumahnya. Begitu juga kak Farah. Rumah bapa sendiri pun sudah lupa.
Tidak hairanlah kak Farah terlupa, bapa toksik seperti itu memang layak dilupakan.
"Kita sambung esok jelah. Kita check in hotel dulu. Saya dah penat." Danial memutuskan untuk terus pergi ke hotel yang sudah ditempah awal. Itu pun jauh sedikit daripada kawasan ini, lebih kurang dalam 5 kilometer.
"Okey." Jawabku bagi menggantikan kak Farah. Kak Farah? Sudah tidur di pangkuan aku. Penat sangat nampaknya. Tidak apalah, dia pun sepupu aku juga.
Yang peliknya, aku merasakan sesuatu 'nikmat' apabila hanya berdua dengan Danial. Bukan kak Farah tidak ada dengan kami, tetapi aku maksudkan kak Farah sedang tidur. Aku rasakan sesuatu yang indah disamping aku bersamanya.
Bukan kerana aku sudah jatuh cinta atau sebaliknya, cuma aku dapat rasakan Danial ini lelaki yang lain daripada lain. Beruntung kak Farah bakal mendapat suami seperti Danial. Untung, sangat untung.
"Akak, bangun... Kita dah sampai hotel.." Kejut aku perlahan sementara Danial memunggah barangan kami di bonet kereta.
"Hotel? Kita tak jadi pergi rumah ayah ke?..." kak Farah masih lagi dalam mamainya.
"Esok kita pergi. Hari dah lewat. Kita tidur dulu tau." Aku pimpin tangan kakak saudaraku mendaki anak tangga. Kak Farah masih lemah. Danial yang membantu mengangkat kesemua barangan kami. Nasiblah tidak banyak. Kesian...
Tetapi, jangan ingat aku dan kak Farah tidur sebilik dengan Danial pula. Kami mestilah tidur bilik berasingan, nama pun belum kahwin. Kalau tidur sebilik tak pasal-pasal tok imam datang tangkap basah, 'kahwin free' lah kami bertiga ni. Habis jadi madu!
Suis lampu aku petik dari bilik yang gelap ini. Penghawa dingin aku hidupkan, terasa sejuk pula bilik ini. Ada dua katil single yang mampu memuatkan kami berdua, cukuplah untuk tidur semalam.
"Akak nak terus tidur ke?" Aku duduk di birai katil. Selalunya aku memang tidur lewat, apa lagi kalau bukan 'k-drama night' bersama Lufya dan Sarah. Kalau Lufya sudah kahwin nanti, Sarah sahajalah yang dapat teman aku.
"Haah. Dina taknak tidur lagi?"
"Dina nak mandi, lepas tu solat isyak dulu. Maghrib pun tak solat tadi, nasib baiklah boleh jamak ta'khir dah lebih 89 kilometer ni." Aku ketawa kecil. Tuala dan barangan mandi aku keluarkan daripada beg lalu aku berjalan menuju ke bilik air.
"Dina jangan risaulah, Danial tu, takkan tinggal solat punya..." Kak Farah ketawa kecil. Ya Allah, aku mula berfikir bukan-bukan. Janganlah aku terjatuh hati kepada bakal abang ipar saudaraku ini....
'Bakal abang ipar saudara?' Wujud ke? Alah, bolehlah.
*
"Kita nak sarapan dekat mana ni?" Soal Kak Farah kepada Danial. Perut aku mula berkeroncong memandangkan semalam kami tidak makan malam. Aku lapar juga tetapi malu pula untuk meminta Danial berhenti seketika untuk aku membeli makanan dan makan di hotel memandangkan kak Farah masih tidur.
"Kita carilah warung kat sini. Kawasan kampung kan, mesti ada banyak kedai tepi jalan." Danial memandu memusing-musing kawasan kampung sambil kami berdua melihat kiri dan kanan jika terdapat kedai makan berdekatan. Pagi-pagi lagi kami sudah check out hotel menandakan kami ingin meneruskan perjalanan kami. Pada mulanya, memang rasa membazir pula, iyalah kami check in pada pukul lebih kurang 10 malam dan keluar pada pukul 7.30 pagi. Hanya 9 jam 30 minit kami berada di sana.
Tetapi jika difikirkan semula, kami hanya ada masa sehari disini dan kami masih belum menjumpai paklong. Masa semakin suntuk.
*
"Saya dah tanya orang sini. Diaorang kata, ayah awak dah tak tinggal sini. Dah pindah. Patutlah kita tak jumpa. Rumah tu pun dah dirobohkan. Inilah tapaknya." Danial menunjukkan kami berdua sebuah tapak rumah yang dipenuhi semak samun. Nampak seperti sudah lama ditinggalkan.
Kak Farah memandang tapak itu dengan penuh sayu. Di rumah itulah, dirinya dilahirkan oleh arwah maklong. Kini rumah kayu itu tiada lagi. Semuanya musnah. Musnah memori dimamah masa.
Perginya insan yang dia sayangi tanpa diduga. Berat. Sungguh berat. Aku sendiri tidak mampu menanggungnya.
"Akak...." Bahunya aku sentuh lembut. Aku tahu kak Farah sedang sedih.
"Awak,..." Danial menghadiahkan senyuman manis kepada Farah. Kenapalah manis sangat seperti gula mereka ini, hormatilah orang 'single' ini...
"Jadi, kat mana kita nak cari ayah?" Kak Farah mengesat titisan air matanya. Takkan dibiarkan tanpak lemah di hadapan Danial.
"Saya tahu. Pakcik tu bagitahu tadi. Tapi jauh sikitlah dari sini. InShaAllah, sempat lagi kita nak pergi harini." Danial memujuk hati bakal isterinya. Aku cuba tersenyum dikala cemburu. Cemburu melihat mereka yang akan membina hidup baharu. Aku? Masih dengan hidup lamalah. Tiada istilah hidup baru untukku.
Sabar, Dina. Jodoh kau belum sampai lagi....
"Dekat mana?" Kak Farah memandang Danial serius. Melihat air mukanya sahaja sudah aku tahu betapa dia rindukan bapa kandungnya walaupun berbagai derita kerana lekaki itu.
Tetapi kenapa, kak Farah?...
*
"Ini ke rumah dia? Nampak macam besar... Kita salah rumah kot?" kak Farah terkejut melihat binaan di hadapannya. Kalau anda menyangka ianya sebuah rumah banglo atau yang seangkatan dengannya, pastilah tidak.
"Ya lah, kaya ke ayah awak?" Danial juga terkejut melihat rumah itu. Dari luar, memang kelihatan besar. Memang tidak tipu. Walaupun dari luar, kelihatan warna catnya juga sudah pudar dan tidak menarik lagi.
"Saya pun tak tahu, awak yang bawa. Awak kata pakcik tu yang cakap. Dia tipu kita tak?"
"Tipu... Tak mungkin orang tua macam tu nak tipu... Tapi, tak salah kan kalau kita cuba ketuk dulu. Tengok dulu, kalau orang lain kita minta maaf lepastu pergi." Danial memberikan cadangannya. Kami berdua mengangguk tanda setuju.
"Assalamualaikum...."
"Waalaikumussalam. Nak jumpa siapa?" Seorang lelaki melayu berusia lingkungan lewat 20-an dengan tidak berbaju keluar daripada rumah itu.
"Abang, abang kenal tak pakcik Husin. Ada orang kata dia tinggal kat sini." Danial memberanikan diri bertanya kepada lelaki tidak berbaju itu sebaik sahaja mengetahui orang lain yang muncul daripada rumah itu.
"Pakcik Husin? Pakcik tua dengan bini muda dia tu? Kejap-kejap." Lelaki itu masuk kembali ke dalam rumah. Dah dia suruh tunggu, kami pun tunggu sahajalah.
"Bini muda?" Gumam aku. Maknanya, memang sah lah paklong kahwin lagi. Tak serik betul.
Keluar seorang lelaki baya-baya 50-an daripada rumah itu. Aku kenal sangat. Apatah lagi kak Farah.
"A-Ayah?" Air mata kakak saudaraku jatuh membasahi pipi.
Share this novel