Bab 18

Romance Series 27539

"Abah." Batu nisan marmar berwarna putih itu aku sentuh lembut. Bukan mengusap, hanya sekadar sentuh.

Berpisah alam, sungguh menyakitkan.

Surah-surah pendek dibaca oleh kami berempat. Aku di sebelah umi manakala Danial dan Najmi duduk bersebelahan. Setelah itu, kami menadah tangan memanjatkan doa kepada Ilahi buat arwah.

Tersedu-sedan aku dibuatnya. Kehilangan kata.

Rumput-rumput kecil di situ aku cabut menggunakan tanganku sendiri. Terasa sayu. Semakin sayu menahan peritnya sebuah rindu. Aku tiada untuk memberikan penghormatan terakhir kepada abah, tetapi aku akan sentiasa doakannya dari jauh, walau di mana sekalipun aku berada.

Satu hari nanti, aku akan ke sini juga. Tempat tinggal semua orang setelah datangnya ajal maut. Di dalam tanah yang sempit, penuh dengan haiwan berbisa.

Dari tanah kita dicipta, ke dalam tanah juga tempat terakhir kita.

Sekurang-kurangnya, dapatlah aku mengubat sedikit rindu apabila berkunjung ke sini. Terasa aku seperti masih berada di dalam dunia semalam, disaat aku dilayar bahagia.

Kini ada Danial menjadi pengganti. Syukur kepada Allah.

Aku berjanji, aku takkan menangis lagi. Aku bukan kanak-kanak lagi. Aku sudah menggalas sebuah tanggungjawab besar iaitu isteri kepada Danial.

*

"Kita hantar umi dengan Najmi balik dulu, lepas tu baru kita keluar tau." Kali ini suamiku sendiri yang memandu kereta, bukan abang Najmi.

Sebenarnya 'keluar' yang dimaksudkan ialah berdating lah, apa lagi. Ada-ada sahaja Danial ini.

Setelah tiba di rumah.

"Bye umi. Abang jaga umi elok-elok tau kat rumah." Pesan aku sambil bersalaman dengan dua ahli keluargaku ini. Satu umi yang melahirkan aku, satu lagi abang kandung yang lahir dari rahim yang sama serta berkongsi segalanya.

Najmi tidak membalas apa-apa melainkan sebaris senyuman. Cukup untuk aku ertikan perasaannya yang sebenar.

Aku tahu, abang Najmi sedang dilayar emosi cemburu. Cemburu kerana kami boleh berdua-duaan secara halal dan dia tidak.

Sabarlah, abang Najmi. Suatu hari nanti abang akan dapat bertemu bidadari jodoh yang sebenar, pasti.

"Dina mengelamun ke?" Suara lembut yang seakan berbisik di telingaku mengejutkan aku daripada suasana yang agak sepi sejak berkurangnya dua orang daripada kereta ini.

"Tak ada apa-apalah... Kita nak pergi mana abang?" Soalku tiba-tiba. Danial kata ingin membawa aku ke suatu tempat, namun janganlah tempat awam seperti pusat beli-belah pula. Sudahlah aku hanya memakai baju kurung pula tu. Macam mahu pergi kenduri pula.

"Adalah. Sayang mesti suka." Ringkas sahaja jawapan suamiku tetapi menjadi tanda tanya di benakku. Sudah lebih dua dekad aku menetap di kawasan ini, tempat apakah yang aku suka?

"Yelah. Tapi jangan pergi tempat public pula. Saya dahlah pakai baju kurung macam nak pergi kenduri pulak." Kata aku.

"Kenapa nak malu? Baju macam ni lah cantik, nampak macam wanita melayu terakhir. Manis, ayu, lemah lembut.... Lagipun nak melaram bagai nak tunjuk dekat siapa? Ajnabi? Suami sendiri kat ada nak tayang-tayang..." Danial tersengih manja. Puas sudah aku diceramahkan suami sendiri. Balik-balik ada 'double meaning' di situ. Huh!

"Iyalah. Betul jugak. Buat apa nak cantik-cantik dengan lelaki lain, buat tambah dosa je. Tapi, tak ke pelik kalau tiba-tiba masuk mall pakai baju kurung macam ni?" Aku cuba meyakinkan 'statement' yang aku maksudkan. Hendak berdebat dengan suami sendiri memang susah, lagi-lagi yang jenis genius lagi pintar macam Danial.

"Abang tahulah. Ikut jelah abang. Bukan mall, Dina pun bukan suka sangat pergi shopping kan?"

"Eh, Dina suka lah. Dina selalu shopping baju kat butik murah-murah je, tak adalah sampai ke mall yang mahal-mahal. Tudung pula selalu beli online je, murah pun murah." Ingat aku ini muslimah sangatkah sampai tak pernah membeli belah? Aku ini, kalau sudah masuk dalam butik boleh lupa dunia. Tidak apa, baru tiga hari kita hidup bersama, Danial.

"Alamak, tak selamat lah duit abang macam tu. Takutnya.... Nasib baik abang nak bawa ke tempat murah je, tapi Dina mesti suka punya.... Abang yakin..." Mata suamiku masih fokus dengan pemanduan, walaupun aku masih bersembang dengannya.

"Tempat murah apa? Tak apalah, Dina tak kisah pun janji ada abang. Betul tak?" Aku tersenyum panjang. Semua benda bertukar indah apabila bersama bersama dengan Danial. Biasalah, sudah nama pun pengantin baru, mana tidak berkepit selalu.

"Kita dah sampai."

"Dah sampai?" Aku melihat keadaan luar. Patutlah dekat. Kampung aku pun masih belum keluar lagi. Tempat apa sebenarnya yang Danial ingin bawa aku?

"Jomlah ikut abang." Danial mula berjalan selangkah demi selangkah sambil memegang erat tanganku.

"Kat mana abang nak bawa ni? Cakaplah betul-betul...." Aku melihat kawasan sekeliling lagi sekali. Tiada apa yang menarik melainkan sawah padi yang biasa aku lihat di rumah sendiri.

"Jom main lari-lari." Danial menarik tanganku sambil berlari di jalan bendang. Cuaca yang agak redup membuatkan keadaan tidak terlalu panas.

"Abang!" Aku terpaksa mengikut suamiku berlari di jalan bendang. Indah. Tiada siapa yang melihat mahupun mengintai. Hanya kami berdua melainkan Allah yang melihatnya. "Kalau setakat nak lari macam ni, kenapa sampai bawa ke sini? Kenapa tak di rumah sahaja?"

"Sebab kat rumah ada ramai orang, ada umi, ada Najmi. Kat sini tak ramai orang. Boleh kita luangkan masa berdua sepenuhnya." Kedua-dua tanganku dipegang apabila kami sudah berhenti berlari. Wajahku direnung dalam. Malu aku dibuatnya.

"Abang.... Kenapa abang pandang macam ni?" Aku cuba membaca isi hati seorang lelaki bergelar suami ini tetapi tidak dapat. Danial ini penuh misteri.

"Sayang tak lapar ke?"

"Lapar tu taklah, cuma haus. Kan panas ni..." Iyalah, tekak aku kering sejak tadi. Padan muka sendiri, siapa suruh tidak minum tadi.

"Abang tahu. Jom abang bawa Dina pergi minum." Tanganku masih bertaut erat, tanda cinta antara kami.

"Minum? Dekat mana?"

"Tu dia, dah sampai...." Jari telunjuk suamiku menunjukkan sebuah warung di tepi bendang. Warung itu.....

"Abang........."

*

"Adik ni kenapa? Asyik nangis je? Adik tak ada duit ke... Kalau tak ada jom akak belanja makan." Lengan wanita muda remaja berusia awal 20-an itu ditarik lembut oleh Farah. Kelihatan dia hanya berjalan kaki hendak ke mari dengan beg galas sentiasa di mahunya membuatkan Farah berasa kasihan kepada wanita itu tambah-tambah apabila menyedari dia sedang menangis.

"Betul ke akak?" Mata wanita yang tidak dikenali itu bersinar-sinar. Perutnya asyik berkeroncong sejak memulakan perjalanan tadi menandakan sudah tiba masanya untuk dia makan namun satu sen pun duit dia tiada.

"Betullah. Marilah duduk." Farah menarik kerusi plastik di warung tempat kerjanya lalu membenarkan wanita muda itu duduk. Kurus kering sahaja tubuhnya. Sekali pandang dengan beg sandang besarnya, seperti orang dihalau dari rumah. "Adik nak pesan apa? Cakap je akak bayarkan, akak kerja kat sini. Pesan sahajalah."

"Kat sini ada menu apa? Tapi akak jangan tipu saya, saya tak ada duit langsung tahu.... Kalau akak tipu saya, saya tak boleh nak bayar...." Mata redup wanita itu dihalakan ke bawah.

"Eh, akak tak tipulah. Nah, ambil menu ni. Pilih lah apa yang adik suka. Akak tak kisah, dulu pun akak pernah rasa susah. Akak pernah tak makan berhari-hari, apa salahnya nak bantu." Farah duduk berhadapan dengan wanita muda itu. "Adik apa nama dan datang dari mana? Kenapa bawa beg besar tu?"

"Terima kasih akak. S-Saya....." Tergagap-gagap dia hendak menyebut namanya sendiri. "Saya Khaireena."

"Khaireena? Sedapnya nama."

"Boleh panggil Erin. Saya tak duduk sini. Saya cuma tumpang rumah orang kat sini. Lepas tu saya....." Ayat itu terhenti sekadar di situ.

"Lari rumah?" Pandai pula Farah meneka. Iyalah, apa lagi kalau bukan lari rumah dengan membawa beg galas seperti mahu memanjat gunung sebegitu?

"Lebih kurang." Malu wanita yang menggelar dirinya Khaireena itu. Mana mungkin mahu membuka pekungnya sendiri dengan orang yang tidak dikenali ini.

"Tak apalah. Akak hormat privasi adik. Kalau tak nak cerita pun tak apalah... Sekarang, nak order apa?" Kertas nota sudahpun berada di tangan Farah. Hanya tinggal sedia untuk dicatat sahaja pesanan pelanggannya.

Farah sekejap menjadi pelayan, sekejap menjadi penghantar makanan sekejap menjadi tukang bancuh air. Warung ini hanya warung kecil di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang besar. Tiga pekerja sahaja sudah mencukupi.

"Nak... Bihun sup dengan air suam." Ringkas sahaja pesanan Khaireena. Cukuplah untuk dia sekadar masih boleh menempuh kehidupan di dunia ini. 'Kerjanya' semalam langsung tidak diminta bayaran, sudah tahu-tahu ianya duit haram. Buat apa hendak ambil?

Setelah mencatat apa yang perlu, Farah segera ke dapur lalu menyuruh dua orang pekerja warung itu menyiapkan makanan yang dipesan. Oleh kerana hari ini tidak ramai yang bersinggah, bolehlah Farah bercurhat dengan Khaireena.

"Erin. Erin makan tau. Akak nak tanya sikit je." Farah duduk berhadapan Khaireena sambil membiarkannya makan dengan penuh berselera. "Akak bukan apa, akak cuma nak tanya mana keluarga Erin?"

"K-Keluarga?" Sudu dan garpu diletak tepi seketika.

Keluarga. Sebuah perkataan ringkas tetapi penuh makna.

"Saya tak ada keluarga. Ibu bapa saya bercerai masa saya umur tujuh tahun. Sebelum tu hidup kami baik-baik sahaja, lepas tu mulalah gundah. Mak saya sakit dan meninggal dunia, ayah saya kahwin dengan orang lain lepas itu dah tak pernah jumpa. Adik-adik saya pula, entahlah. Ada orang buat anak angkat, sampai sekarang tak jumpa."

"Kita sama. Awak tak ada keluarga, saya pun sama." Ingin sahaja Farah berpelukan dengan Khaireena tetapi masih menghormati keadaan Erin sedang menikmati hidangannya.

"Akak...." Mata mereka masing-masing saling bertaut. Terdapat jutaan perasaan yang dipendam sekian lama, ingin diluahkan sesama sendiri. Masing masing berkongsi perasaan yang sama, hilangnya sebuah permata sejak dahulu kala.

Assalamualaikum, Deena nak beritahu Deena akan slow update MHMPC bermula esok, memandangkan minggu depan Deena exam. InShaaAllah bulan 12 Deena akan fokus kepada MHMPC... Doakan Deena berjaya dunia akhirat, tq <3 Love, d e e n a.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience