Bab 10

Romance Series 27539

Telefon pintarku masih berbunyi sejak tadi menandakan ada orang memanggilku. Aku yang daripada bilik air baru sahaja selesai mandi terus menuju ke bilik di mana terletaknya telefon pintarku.

Nombor yang tidak dikenali.

Hendak jawab atau tidak? Tetapi kasihan pula dia menunggu lama, kalau peti suara yang menjawabnya pasti duitnya akan habis banyak nanti.

"Hello? Assalamualaikum?" Aku menanti jawapan si pemanggil.

"Waalaikumussalam. Dina..."

S-Suara itu... Biar betul? "Danial, awak ke tu?"

"Ye saya.... Saya nak tanya, Farah ada tak balik kampung? Farah berhenti kerja tiba-tiba, dah seminggu kami tak berjumpa." Soal Danial dalam nada yang sedih. Ya, aku faham sangat perasaan dia walaupun aku tidak pernah melaluinya.

"Kak Farah? Tak ada pun dia balik rumah umi." Aku mula risau. Ke manalah pula kakak saudaraku ini pergi.... Jangan terjadi apa-apa, sudah.

"Dina... Kalau ikutkan kami akan berkahwin tiga minggu lagi." Ucapnya lagi. Sebak kedengarannya.

"Ya, Dina tahu tu...." Balas aku.

"Nampaknya Farah memang jauh sekali hendak muncul kembali. Dina boleh tolong gantikan Farah?"

"Gantikan Farah? Gantikan yang macam mana tu?" Tersentak aku dibuatnya. Jangan bermimpi, Dina. Nanti jadi kenyataan.

Dup dap dup dap. Jantungku berdebar. Jangan cakap, Danial. Jangan.... Aku takut untuk mendengarnya.

"Be my wife. Marry me and we have a happy family with kids."

Aku tersentak. Danial ini biar betul?! "Awak biar betul ni Danial? Awak pasti awak tengah sihat sekarang?"

"Saya sihat dan serius, Dina. Saya nak awak jadi isteri saya gantikan Farah. Kita akan berkahwin tiga minggu lagi. Esok saya datang jumpa umi awak, awak kena datang jumpa mama saya. Awak kena pergi kursus kahwin, buat test hiv dan apa yang patut."

Danial... Are you crazy?... Memang berkahwin dengan Danial adalah impianku, namun takkanlah ianya secepat ini? Aku terasa seperti berada di dalam mimpi. Terus aku menampar-nampar pipiku. Mimpi atau tidak?...

Tidak, Dina. Ini semua dunia nyata. Bukan mimpi, bukan drama Korea yang aku selalu tengok malam-malam itu. Bukan. Ini semua realiti. Aku dan Danial bakal berkahwin, lebih kurang tiga minggu lagi. Sedia atau tidak, aku perlu bersedia.

Tetapi, andai suatu hari Kak Farah akan pulang kembali, apakah yang aku perlu lakukan? Pergi mengundurkan diri? Kalau tiada anak, mungkin aku akan rela tetapi bagaimana jika kami sudah mempunyai zuriat nanti?

Kerana aku hanya menggantikannya seperti yang Danial katakan.

Sudah, Dina. Jangan fikir semua itu. Jangan rosakkan mood.

*

"Terima kasih, pakcik." Wang tambang aku serahkan lalu aku berjalan kaki ke rumah umi yang terletak di tengah bidang sawah padi. Arwah ayahku yang memilih rumah disini. Semasa beliau masih hidup, beliau bekerja di bendang di hadapan rumah kami ini.

Kini orang yang aku sayang itu tiada lagi. Dia telah dijemput ilahi pada sepuluh tahun yang lalu, di mana semasa itu aku baru sahaja mahu mengambil ujian Pentaksiran Menengah Rendah (PMR). Lagi seminggu aku hendak menjawab periksa, tiba-tiba dikejutkan dengan berita ayahku sudah tiada. Abangku segera menjemput aku pulang dari asrama. Aku tidak dapat melihat arwah untuk kali yang terakhir, tetapi cukuplah aku dapat lihat ayahku dikebumikan di dalam liang lahad. Sayu rasanya apabila melihat orang yang disayangi akan mendapat 'rumah baharu' di sana. Sayu mahu tinggalkan ayah sendirian. Dialah yang berkorban segalanya untuk kami.

Rumah inilah, satu-satunya kenangan yang umi ada. Masih kuat cinta antara umi dan arwah ayah. Aku tahu, semasa aku tinggal di sini, setiap malam umi akan merindukan ayah. Ianya sebuah rindu yang tak berpenghujung. Infiniti katanya.

Aku berharap, apa yang bakal aku lalui nanti adalah sesuatu yang terbaik untukku. Allah sayangkan hamba-hamba-Nya, bukan?... Jika berkahwin dengan Danial adalah sebuah takdir yang tertulis buatku sejak azali lagi, aku mesti terima walau bagaimana cara sekalipun.

"Assalamualaikum umi...." Tangan umi yang melahirkan aku ini aku cium lembut. Entah kenapa aku sebak.

"Waalaikumussalam, Dina anak umi. Masuklah dulu, Danial belum sampai lagi ni..." Umi menjemput aku masuk. Umi memang tahu, Danial akan datang hari ini meminta izinkan aku menjadi isterinya. Namun tidak bermakna semestinya jawapan umi adalah ya.

"Umi, Dina rindu umi....." Luah aku. Hanya umi seorang tempat aku meluahkan perasaan. Lufya dan Sarah, memang mereka sahabat sejati tetapi kurang sesuai pula jika aku meluahkan perasaan kepada mereka.

Lebih baik aku meluahkan perasaan kepada umi. Umi makan garam terlebih dahulu daripada aku, sudah pastinya umi tahu tentang liku-liku kehidupan. Lagipun, umi sudah tua. Aku masih hanya ada sebentar masa yang dipinjamkan untuk aku bersama umi. Suatu hari nanti, umi akan pergi sama seperti ayah. Saat itu tiada lagi tempat bergantung untuk aku.

"Umi pun rindukan anak-anak umi juga.... Dina, umi sentiasa izinkan Dina. Umi nak Dina bahagia dengan suami dan anak-anak. Satu hari nanti, Dina akan rasa pengalaman menjadi ibu. Kasih ibu ini, melebihi segalanya. Orang kata kalau suruh dipilih suami atau anak, pasti seorang ibu akan memilih anak tetapi bukan umi. Umi pilih kedua-duanya. Umi sayangkan anak-anak umi, umi sayangkan juga suami umi...." Bicara umi lembut. Tersentuh aku dibuatnya. Benar kata umi, suatu hari nanti aku akan menjadi ibu juga. Nanti barulah aku akan tahu erti pengorbanan yang sebenar. Sama seperti umi.

"Umi.... Umi izinkan ke Dina nak kahwin dengan Danial?"

"Kalau Danial itu jodoh Dina, umi tak boleh menolak. Lagipun, Danial layak untuk menjadi suami Dina. Danial itu baik orangnya...." Umi mengusap kepalaku lembut. Aku tersentuh lagi. Umi izinkan?

"Tapi, Dina tak nak rasa bersalah seumur hidup... Dina nak bahagia macam pasangan lain... Dina bukan perampas...." Aku menunduk. Kalau kak Farah tahu nanti, apakah agaknya dia akan gelar aku? Perampas? Penyondol?

"Dina bukan perampas. Kalau Dina berkahwin nanti, Dina isterinya. Dina ada hak untuk membuktikannya. Tapi, Dina janganlah berdendam dengan Farah. Farah pun saudara Dina...." Pesan umi itu masuk tepat menusuk ke jantungku. Begitu mendalam.

Benarkah aku bukan perampas?... Atau sebaliknya?....

"Assalamualaikum..." Suara beberapa orang memberi salam kedengaran dari luar. Aku dan umi segera ke pintu untuk menyambut mereka. Aku pasti ianya Danial. Tetapi, siapa yang lain?...

"Waalaikumussalam...." Kami berdua menjawab salam. Aku terkejut melihat ramai orang di hadapanku. Are you crazy, Danial?

"Masuklah..." Umi pula selamba sahaja menjemput mereka masuk. Adakah semua ini dirancang?.... Umi!!!!

Bukan sahaja orang yang datang, tetapi dengan dulang hantaran sekali dibawanya. Ini majlis apa ni woi! Nak nikah harini ke?? Tolong aku!!!!

Patutlah Danial beriya guna 'pos super laju' menghantar baju kurung chiffon ini. Rupanya mahu buat majlis merisik sekali tanpa pengetahuan aku. Yang peliknya, memang tepat benar 'pos super laju' itu sampai tepat malam tadi. Laju benar nampaknya.

Tetapi nasib baiklah tiada pelamin ataupun hiasan seperti majlis merisik. Aku tetap tidak boleh lupa, aku cuma menggantikan Farah. Aku tidak tahu sampai bila.

Iyalah, aku teringat satu perkara. Cabaran itu.....

Aku yang bakal menang, bukan Lufya. Bagus. Aku dapat mencari Prince Charming pujaan hati lebih awal daripada Lufya. Bermakna, Lufya dan Sarah kalah.

Cabaran, cabaran juga. Tetapi apa yang aku bakal lalui nanti apabila menjadi isteri Danial? Yang terpahat dalm hati lelaki itu cumalah Farah selama bertahun lamanya dan bukan aku. Semuanya hanya mimpi, Dina.

Cincin merisik disarungkan ke jari manisku oleh mama Danial setelah mereka berbincang. Danial kelihatan segak hari ini berpakaian baju melayu berwarna nude sama warna seperti baju kurung moden yang aku gayakan hari ini. Aku adalah bakal isteri Danial bermula hari ini. Bukan lagi kak Farah.

Itu yang aku impikan tetapi bukan dengan cara ini. Aku seperti perampas. Aku merampas Danial daripada kak Farahkah?

Tak. Tak, Dina. Aku bukan perampas.

Aku bakal menjadi isteri Danial yang sah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience