"Shh... Kenapa isteri abang menangis malam-malam ni...." Kepala aku diusap perlahan oleh Danial. Tangisan aku sudah reda, tetapi masih ada sedu sedan.
"Abang.... Abang pernah rasa rindu kat seseorang?" Soalku dalam nada perlahan.
"Rindu? Rindu yang macam mana? Abang mestilah rindu kat isteri abang, rindu kat orang yang abang sayang macam mama dengan papa abang." Jawabnya. Aku masih dalam dakapannya.
"Saya rindu kat abah saya.... Boleh kita ziarah kubur abah saya esok?" Pinta aku. Kerana rindu aku menangis. Aku sepatutnya mendoakan abah tenang di sana, bukan menangis seperti ini.
"Mestilah boleh. Kita pergi sama-sama tau..." Danial memujuk aku. Aku bahagia bersama dakapan hangatnya yang indah.
"Jadi, Dina menangis sebab rindu abah?" Danial cuba meneka.
"Ye." Aku terpaksa mengiyakan. Sepuluh tahun sudah berlalu tetapi aku masih tidak dapat melupakan detik pahit itu.
"Kalau Dina rindu, banyakkan solat, doakan abah kat sana. Sedekahkan Al-Fatihah, bagi hadiah dekat abah. Bukan menangis macam ni.... Dina tahu kan, hanya tiga benda yang tak akan terputus bila kita meninggal dunia. Sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan doa daripada anak soleh. Dina kena buktikan, Dina anak yang solehah. Abah Dina mesti bangga." Lembut sahaja tutur bicara Danial, membuatkan aku tersentap. Pandai pula dia pujuk aku.
Aku mengangguk perlahan.
"Abang, jangan tinggalkan Dina." Sayu suaraku. Hanya dia seorang lelaki yang aku ada selain abah dan dua abangku.
"Takkan, sayang. Terima kasih sebab panggil abang 'abang'. Abang cemburu dengan Najmi tau, abang yang sepatutnya dipanggil abang tapi dia pulak yang dapat." Danial ketawa kecil, meriangkan suasana yang sedang berduka.
"Abang ni. Tu pun nak cemburu. Itu 'abang' adik beradik, ini 'abang' suami... Jauh beza tu." Air mata aku diseka Danial, keadaan mula ceria kembali dengan gelak tawa kami suami isteri baru.
"Abang tahulah. Gurau pun tak boleh." Mulut muncung Danial yang membuatkan aku geram kembali lagi.
"Abang ni, janganlah buat macam tu. Buruk lah. Cubit hidung baru tahu." Aku ikut gaya Danial memuncung panjang, boleh gantung penyangkut baju nampaknya.
"Okeylah. Faham-faham." Danial mengangguk kepalanya sekali tanda faham dengan apa yang aku maksudkan. Tahu pun buruk.
"I love you, Danial." Bisik aku perlahan ke telinganya. Kali pertama aku merasakan cinta. Ya, aku mengakui sudah aku angau dengan suami sendiri. Tak salah kan?
"Apa dia? Cakap lagi sekali? Abang tak dengar?" Pinta suamiku sambil tersengih manja. Ini bukan tak dengar, sebenarnya terlebih dengar ni.
"I love you." Kataku separa perlahan. Senyuman bahagia aku ukirkan, tanda ucapanku tadi ikhlas datangnya daripada hatiku ini.
"Kuat lagi boleh?"
"I love you till jannah, abang Danial." Hatiku berbunga-bunga sekarang. Tenggelam aku dibuatnya dengan lautan bunga cinta Danial.
"I love you too, sayang." Danial membalas ucapan aku. Tipulah kalau aku dapat tahan daripada tersenyum gembira.
Aku yakin, dialah prince charming yang aku cari.
"Sayang.... Abang...."
"Kenapa?" Jantung aku berdegup kencang secara tiba-tiba.
Danial memberi sekuntum senyuman kepada aku. Aku memejam mata sebentar, menghadam apa sebenarnya maksud suamiku ini.
This night is ours, Danial.
*
Selimut ditarik rapat hingga ke paras lehernya. Sudah pukul enam pagi namun wanita itu masih liat untuk bangun. Melihat lelaki di sebelahnya, semakin berat untuk dia bangkit.
"Tolonglah...." Gumam Erin.
Bunyi jam berdetik masuk tepat ke telinganya. Semakin lama, semakin bingit di telinga wanita itu.
"Azim...." Badan lelaki itu digoyang lembut oleh Erin. Bimbang lelaki itu akan terkejut dan berang. Sebenarnya memang salah mereka tidur bersama hakikatnya belum ada ikatan yang sah. Ini sahaja pilihan yang ada.
Tiada respons dari lelaki itu. Hanya dengkur yang kedengaran.
"Azim......" Erin merenung keadaan tubuh tegap lelaki itu yang tidak berbaju. Hanya kain pelikat yang disarungkan. "Maafkan saya, saya dah tak sanggup nak hadap semua ni..."
Rambut ikal mayang Erin yang terlepas begitu sahaja disikat pada awal pagi buta ini. Hendak keluar dari bilik ini pun dia takut, takut terjadi apa-apa. Sudahlah jiran pun tiada. Lelaki yang tidak boleh diharap ini pula sedang nyenyak dibuai mimpi.
"You can do it, Erin." Zip beg sandangnya dibuka perlahan lalu baju lengan panjang dan seluar slack hitam dibawa keluar daripada beg tersebut. Tombol pintu bilik dipulas perlahan supaya penghuni bilik ini tidak sedar.
Derapan tapak kaki mula kedengaran di seluruh ruang rumah itu. Nafas wanita lemah itu laju, tidak sedar sudah sampai ke tahap maksimumnya. Hanya satu tempat yang ingin ditujunya.
Bilik air.
Pintu lipat yang diperbuat daripada plastik itu dilipat perlahan lalu Erin masuk ke dalamnya. Lampu suluh yang menjadi teman setia tidak dimatikan memandangkan tiada lampu kalimantang yang mahu menerangi ruangan bilik air ini. Awal-awal sudah diberitahu sudah rosak.
Klak!
Pintu itu tidak lupa dikunci dari dalam supaya tiada siapa dapat mencerobohnya. Iyalah, perangai si Azim bukan boleh dijangka.
Selesai membuat apa yang patut, Erin keluar daripada bilik air menyusuri ruangan dapur dan ruang tamu untuk ke bilik tadi. Cukuplah hanya untuk mengambil beg dan pergi. Tidak sanggup dilihat wajah lelaki itu lagi.
Pintu kayu ditolak perlahan. Nampaknya lelaki itu masih lagi tidur. Langkah demi langkah dengan berhati-hati Erin mengambil beg sandangnya lalu keluar dari rumah tersebut.
"Maafkan aku, Azim." Seraya itu Erin menuju ke tangga dan turun hingga ke tingkat bawah sambil menahan seram sejuk. Tiada lampu dipasang bagi menjimatkan elektrik, hanya bergantung dengan lampu suluh kecil yang menjadi teman setianya.
"Aku nak tinggal mana sekarang....." Erin duduk di atas lantai. Matanya dipejam rapat. Tiada air mata duka mahupun bahagia. Tiada tempat bergantung lagi buat Erin.
Segalanya sudah musnah.
*
"Sayang buat apa?" Aku yang sedang membaca buku dikejutkan dengan suami sendiri yang entah muncul dari mana. Kalam sastera setebal lebih 500 muka surat yang aku baca sebentar tadi aku tutup. Aku pandang Danial lama.
"Baca buku. Kenapa?"
"Abang bosan. Nak kacau isteri abang jelah kerjanya." Danial mengambil tempat di sebelah aku. Sudahlah aku berada di bahagian ruang tamu, nanti kalau dua orang lagi penghuni rumah ini terlihat, bagaimana pula.
"Abang... Janganlah kat sini... Takut Najmi ternampak...." Rayu aku.
"Iyalah. Sambunglah baca buku tu. Abang nak merajuk lah." Kali ini bukan lagi muncung itik tetapi jelingan benci pula. Menakutkan.
"Abang.... Janganlah merajuk. Susah Dina nak pujuk tau...." Bahu suamiku aku goyangkan. Ingat aku ini pandai bersweet-sweet macam diakah?
"Abang tipu jelah. Rugilah kalau abang merajuk dengan sayang. Nanti tak dapat bermanja-manja tau. Rugi, rugi." Dari belakang aku dipeluk erat.
"Abang. Pergilah bersiap. Tunggu apa lagi kata nak pergi kubur." Danial tidak sedarkah, aku sudah lengkap memakai baju kurung dan tudung bawal untuk menziarahi kubur.
"Yelah." Danial terus ke bilik untuk menyalin baju. Hari ini bukan kami berdua sahaja akan ke kubur tetapi umi dan abang Najmi sekali.
"Dina dah siap? Awalnya." Suara dua orang yang aku kenal mula bergema di telingaku. Siapalah lagi kalau bukan umi dan abang Najmi, raja bujang a.k.a single sedunia.
"Mestilah dah. Menunggu abang Danial tu yang lambat sikit umi. Dina dah habaq awal-awal suruh bersiap cepat tapi dia lambat jugak." Kataku.
"Biaq la suami hang tu. Satgi dia siap la." Kata umi yang sudah siap berpakaian baju kurung dan tudung bawal labuh sama sepertiku. Kalau umi masih muda, memang terlihat seperti wanita melayu terakhir.
"Abang dah siap." Danial muncul tiba-tiba. Aku yang terpegun melihat suamiku sendiri.
'Seriously ini Danial? Ini ke suami aku? Allah....' Gumam aku.
Kalau mahu cair dengan kekacakan suami sendiri, tidak salah kan?
Danial, I love you.
Share this novel