Bab 49

Romance Series 27539

Aku tenung sahaja Danial yang masih memandang skrin kompiter ribanya dari jauh. Aku sangkakan suamiku mengambil cuti, rupanya bekerja 'di mana sahaja'. Maklumlah, kini sedikit jumlahnya pekerja yang menggunakan PC di pejabat, lebih ramai memilih komputer riba. Alasannya, ringan, kompak dan mudah dibawa ke mana sahaja.

"Abang ... nak tanya boleh? Kalau Dina tanya, jangan marah tau." Bahu lelaki itu aku gosok lembut.

"Tanyalah. Belum tanya lagi, mana tahu abang marah?"

"Kalau macam tu..." Aku mengambil nafas dahulu sebelum meneruskan kata-kata. Entah mengapa, hatiku berat untuk menyoal. "Kalau macam tu, macam mana dengan permohonan abang nak pindah office?"

Fuh, tenang.

"Oh, pasal tu ke. Kenapa nak takut sangat? Entahlah."

Ringkas sahaja jawapan darinya. Entahlah? Apa maksud di sebalik perkataan itu? Adakah tidak diluluskan atau masih tiada jawapan? Eh, sudah seperti cikgu pula mahu menukar pejabat.

"Takpelah. Insya-Allah satu hari nanti." balasku menenangkan suamiku yang masih membuat kerja. Sama seperti tugasku semasa zaman bekerja dahulu, hanya key in key out sahaja data yang diberi.

"Terima kasih sebab sabar dengan abang. Abang tahu, sayang nak macam orang lain, duduk sebumbung dengan pasangan kan? Siapa tak nak?" Kata-kata itu terhenti di situ.

Aku ... aku akan setia untuk menanti sambungannya.

"Sebenarnya ..... Abang tak dapat. Permohonan tak diluluskan lah sayang." Suara itu kedengaran lemah. Aku menggigit bibirku. Sudah aku jangka ayat ini akan muncul sejak dari perkataan 'entahlah' keluar daripada mulut Danial tadi.

Tidak apa, mungkin rezeki bukannya hari ini. Aku percaya, satu hari nanti pasti ada jalannya. Cuma, takdirnya bukan pada hari ini.

"Tak apa..." Belakang badan Danial aku usap lembut membantu menenangkannya. Sepatutnya, aku yang lebih emosi dan kecewa, tetapi terbalik pula. Aku tidak menjangkakan yang lebih, seolah-olah sudah tahu akan apa yang terjadi.

Aku percaya, selagi adanya cinta dan sayang, jarak takkan mampu membuang atau memudarkan rasa kasih. Jika ujian hadir mendatang, akan aku lalui dengan tabah, bersama sang cahaya mata yang menjadi penyeri kami.

Kadangkala, aku berfikir diriku ialah perampas. Aku merampas Danial dari sepupu sendiri. Mereka bercinta tanpa restu, akhirnya terputus di tengah jalan disebabkan masalah keluarga.

Kalau benar Danial taksubkan Kak Farah, mengapa tidak mereka bernikah sahaja di Songkhla, Selatan Thailand? Tanpa izin keluarga, tanpa memerlukan si bapa sebagai wali. Paling penting, perjalanan lebih mudah biarpun ada denda yang perlu dilunaskan sebaik sahaja perkahwinan  tersebut didaftarkan di Malaysia.

Kenapa Danial tidak buat begitu, andai benar dicintainya Kak Farah sehingga separuh mati?

Kenapa?

Kerana, aku yakin Danial percaya akan jodoh dan pertemuan itu ditentukan oleh Yang Maha Esa. Danial terima, akan Farah bukan jodohnya. Cuma biasalah, hubungan cinta bertahun-tahun akan memberikan kenangan manis, yang takkan mudah terlupa.

Sabarlah Irdina Safiya, sesungguhnya sabar itu sebahagian daripada iman. Kenangan, akan mengambil masa untuk dilupakan. Bukan mudah untuk maju ke hadapan, tanpa pertolongan dari keluarga dan sahabat terdekat.

"Tadi kan abang ada cakap, apa-apa je sayang dan baby nak, abang akan belikan. Sayang tak nak minta apa-apa ke, sementara poket abang masih tebal ni..." Dompet yang agak tebal berisi wang kertas dipamerkan kepadaku, membuatkan aku terbayang-bayang setiap barangan yang aku idamkan.

Kejap, aku bukan gold digger.

Aku bukan penggali emas, yang hanya tahu menghabiskan duit suami. Sumpah, aku tidak taksub dengan harta kemewahan. Yang aku idamkan, ialah kebahagiaan dan cinta.

"Beli ye... Dina rasa nak beli satu benda je."

Aku menguntum senyuman. Sudah lama aku idamkan 'barangan' ini.

"Beli apa tu? Bagitahu lah, abang belikan okey?"

"Beli hati abang!"

Wajahku ditutup dengan dua telapak tangan kerana malu. Entah apalah gurauan yang aku lakukan, sehingga mengundang malu terhadap diri sendiri.

Eh eh, hendak malu pun buat apa, sudah nama pun suami sendiri. Salahkah aku, untuk memiliki hatinya?

"What the.... Bijaksana!" Tawa kecil lelaki itu kedengaran jelas.

"Bolehlah, please... Dina tak nak beli yang mahal-mahal, cuma nak beli benda yang murah tapi mahal je!" tawaku malu.

"Murah? How could you... Hati abang ni mahal tahu, mahal sangat! Bagi 1 kilogram emas pun takkan dapat bayar harga hati abang ni!" cebiknya. Konon mahal sangat lah tu!

Tidak tipu, untuk mendapatkan hati seseorang bukannya murah, dan bukan terdapat di kedai-kedai sekeliling. Hati dan perasaan, bukan sesuatu yang dapat dibeli melainkan dengan perasaan cinta dan sayangnya terhadap sesuatu.

Sehingga kini, masih tidak aku tahu, benarkah sudah aku tawani hati Danial sedalamnya? Benarkah, aku yang menjadi pemilik hatinya sekarang?

"Ooo, mahal ye .... Buktikan." Cabarku sengaja, dengan niat hanya untuk bergurau.

"Kenapa hati abang mahal sangat, sebab sekali abang jatuh cinta, abang akan setia. Setia sampai ke hujung nyawa, Insya-Allah. Kalau sayang tanya Farah pun, Farah akan jawab ya."

Aku terdiam. Inikah nilai sebuah hati? Aku pun tidak tahu. Kesetiaan?

Bukan semua orang mempunyai kesetiaan. Ada perhubungan yang terputus di tengah jalan kerana oramg ketiga, atau bahasa mudahnya sukar untuk setia.

Umi juga pernah berkata, bahawa kesetiaan itu sangatlah mahal. Tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, sekali pun dengan emas perak yang beribu harganya.

Ruginya, apabila manusia tidak menghargai kesetiaan pasangan sendiri. Ruginya apabila, mencari orang ketiga kerana bosan bersama, sedangkan hati pasangannya masih setia dan teguh kesabarannya untuk terus bersama.

"Abang akan setia? Betul ni?" Aku memandang Danial lama.

"Insya-Allah. Abang nak sambung buat kerja ni. Kita dapat duit, barulah abang belanjakan hati abang, okey?" Satu ciuman hinggap di dahiku sebagai tanda kasih. Rindu. Rindu kepada arwah abah yang sentiasa mencium dahiku sebagai tanda kasih.

Benar, takdir aku dan Danial mengembalikan masa lalu. Masa lalu yang sarat dengan kenangan dan kebahagiaan, kini diganti dengan seorang suami yang hampir sama sifatnya dengan arwah abah.

Selagi aku hidup, aku yakin arwah abah masih sayangkan kami adik beradik serta umi. Allah menjemput abah, kerana tugasnya di dunia sebagai pemimpin keluarga kecil ini telah selesai. Abah akan bahagia dan tenang, di alam sana.

Begitu juga Danial, diriku dan semua orang di dalam dunia ini. Satu demi satu akan pergi. Antara aku dan dia, hanya lihat siapa yang pergi dulu. Suatu hari nanti.

"Berapa lama abang boleh ada kat sini? Yelah, takkan lama sangat kan?" soalku ingin tahu. Tahulah Danial boleh bekerja 'di mana-mana sahaja', tetapi takkanlah selamanya Danial mahu kerja di sini.

Persekitaran rumah ini agak tidak bagus untuk bekerja. Dengan line yang selalu ada masalah, pasti bertambah masalah dibuatnya dengan kerja yang perlu dilakukan.

"Kenapa? Sayang tak suka abang kerja kat sini?"

"Tak ... bukan tu maksud Dina. Dina tanya, sampai bila abang nak kerja kat sini? Takkanlah tak payah balik office kot." Aku menjelaskan perkara sebenar yang dimaksudkan olehku.

"Oh, macam tu ke... Entah. Selagi abang rasa selesa kerja kat sini, bos abang okey je. Tak ada masalah pun, cuma jangan lebih seminggu je."

Jawapan dia, membuatkan aku lega.

"Abang nak duduk seminggu ke kat sini?" soalku dengan sejuta harapan. Kalaulah Danial dapat duduk di sini pun, sudah membuatkan aku gembira. Seminggu, masa yang cukup lama untuk diluangkan buat pasangan jarak jauh seperti kami.

"Semestinya lah."

"Alhamdulillah..." Ucapku lega dan tenang. Sejuk sahaja rasa hati ini melihat Danial di sisi. Insya-Allah, tiada fikiran buruk yang akan merasuki minda jika berfikiran berlebihan.

Aku akan ikat cinta Danial. Aku akan ikat dia didalam hatiku, hingga tidak akan terlepas lagi. Takkan ada wanita lain, yang boleh mencaras suamiku. Dia milik Allah, dan juga milikku.

Betul tak, anak umi dalam perut ni?

Aku tersenyum sendiri memegang perutku yang masih kecil. Ada nyawa di dalam rahim ini yang perlu aku jaga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience