Blaus muslimah, siap!
Seluar slack hitam, siap!
Tudung bawal kapas biru, siap!
"Fuh." Aku mengeluh kepenatan. Hendak menggosok tiga pasang pakaianku ini pun, sudah membuatkan aku penat. Itulah, siapa suruh duduk di rumah lama sangat.
"Sayang." Danial menyentuh bahuku dari belakang. Suis seterika aku matikan dahulu sebelum memandang suamiku. Kalau bersembang dengan Danial, memang terlupalah mahu tutup suis. Terbakar rumah pusaka umi dan abah ini nanti!
"Abang dah siap?" Aku memusingkan badanku menghadap Danial. Dada bidangnya aku dakap erat. Lega melihat orang yang tersayang berada di sisi, bukan lagi berjauhan.
Semalam, merupakan hari yang gembira buatku. Sedar tidak sedar, sebulan sudah kami berkahwin. Dugaan selama sebulan ini, aku dapat lalui dengan sabar, alhamdulillah. Rindu dapat dilepaskan biarpun dengan panggilan suara yang menemani aku setiap malam.
Esok, hari bahagia buat sahabatku pula.
Nur Lufya bakal bertemu dengan pasangan sehidup sematinya. Lufya, orang pertama yang sepatutnya bergelar isteri orang, tetapi dirampas tempat itu olehku. Siapa yang tahu aku akan berkahwin lebih awal daripada dia?
Setelah bersiap, aku menggalas beg sandang yang aku ingin bawa ke Sabah. Ya, bukan seperti orang lain, aku dan Danial hanya menggunakan beg sandang berbanding beg troli. Nanti perlu bayar kos dimasukkan ke ruangan kargo pula, bertambah pula bajet kami suami isteri baharu. Sudahlah kami sangat memerlukan duit ketika ini.
Hari ini, kali pertama aku akan menaiki kapal terbang. Rasa gementar itu, pastilah ada apatah lagi aku akan terbang berpuluh ribu kaki di awan biru. Sebelum ini pun, sudah banyak kes yang melibatkan kapal terbang.
Tidak apa, Irdina Safiya. Dengan izin Allah, kau dan Danial akan selamat.
"Sayang, salam umi dulu. Jangan rushing sangat. Lambat lagi flight kita. Baru pagi lagi, tahu tak." Danial tersenyum melihatku berjalan terus keluar rumah sehingga terlupa untuk bersalaman dengan umi yang bakal aku tinggalkan.
"Sorry. Dina lupa, abang." Tangan ibu kandungku aku kucup lembut. Tubuhnya aku peluk erat, mengingatkan abah yang sentiasa menunjukkan kasih sayangnya dengan pelukan. Umi dan abah, sama sahaja.
Setelah bersalaman, kami masuk ke dalam kereta lalu bertolak ke Kuala Lumpur. Mungkin bagi Danial, ini bukanlah kali pertama untuk menaiki kapal terbang tetapi lain bagi aku.
Kuala Lumpur. Selamat tinggal Kedah tercinta.
Perlahan-lahan kereta meninggalkan kawasan kampung menuju ke lebuhraya. Boleh tahan laju juga Danial ini memandu kereta, patutlah cepat sahaja sampai. Takut pula aku dibuatnya. Nasib baiklah lebuhraya, kalau jalan kampung habis lembu, ayam, itik, orang dilangggarnya.
Tanpa aku sedar, mataku semakin memberat sebelum terkatup sendiri. Ini pasti kerana semalam aku tidur lewat, tidak sabar katanya mahu ke Sabah.
*
"Sayang, kita dah sampai." Tangan kasar itu menyentuh lembut bahuku. Dalam cahaya yang samar-samar, aku membuka dua kelopak mataku sambil melihat sekeliling.
"Kita kat mana ni, abang?" Dalam hatiku hanya teringat satu tempat.
Tempat yang ingin aku tuju. Beaufort, Sabah, Malaysia.
"Kat rumah abanglah, Dina ingat dekat Sabah dah ke? Ish ish ish, berangan lagi lah tu." Suara ketawa kecil itu bergema di telingaku. Sah, aku masih belum sedar sepenuhnya dari mimpi, sama benar seperti kanak-kanak.
"Hmm..."
Keadaan di sekeliling seperti di sebuah rumah. Rumah teres dua tingkat.
"Ini rumah abang?" Lenganku masih dipaut Danial, manalah tahu aku jatuh tiba-tiba disebabkan masih mamai.
"Iyalah. Rumah siapa lagi? Tak secantik rumah Dina. Ada sawah padi, ada macam-macam. Rumah abang biasa-biasa je, sempit." Kami berdua berjalan ke pintu utama. Selama sebulan ini, langsung belum pernah aku datang ke rumah keluarga mentuaku. Jumpa pun semasa hari perkahwinan kami sahaja.
"Memanglah nampak macam sempit, tapi tak kurang cantik juga." Anak mataku meliar ke kawasan sekeliling rumah. Hiasan di sini agak berbeza berbanding di kampung. Jika dilihat dari luarannya, kelihatan lebih sempit berbanding rumah teres sewaku semasa zaman bujang tempoh hari.
"Kalau abang rajin mendeko. Ikut mood juga, kadang tak larat." Danial memegang erat tanganku membawa masuk ke dalam rumah setelah kasut dibuka.
"Abang..." Kali ini aku gementar, betul-betul gementar.
"Assalamualaikum." Hanya sepatah perkataan yang membawa sejuta makna terpacul dari mulut suamiku. Sebaliknya aku pula, masih mencuba-cuba mahu menyedut oksigen yang seakan-akan terbatas hanya kerana terlalu gementar. Kali pertama mahu berjumpa keluarga mentua kot!
"W-Waalaikumussalam. Danial dengan wife dah sampai?" Kelihatan wanita berusia pertengahan 50-an menyambut kami. Tipulah jika aku tidak kenal, ibu Danial atau lebih sopan digelar sebagai 'ibu mentuaku'.
Haraplah bukan seperti drama di waktu maghrib, ibu mentua jahat bak syaitan.
Everything gonna be alright, Irdina Safiya.
"Dah, mama." Giliran Danial dahulu bersalaman dengan 'mama' dan seterusnya barulah aku. Agak kekok sedikit tanganku ingin bersalam dengan ibu mentuaku dek kerana gementar yang berlebihan. Ini pasti kerana aku terlalu banyak menonton drama ini.
"Tak payahlah gementar sangat Dina. Dina dah jadi isteri Danial. Jangan malu dengan mama. Mama okey je, tak makan orang dan Insya-Allah, tak mahu menyakitkan hati orang." Belakang badanku diusap lembut, tidak ubah seperti umi melayanku. Jiwa seorang ibu.
"Terima kasih, mama." Ucapku sambil tersenyum manis.
"Beg-beg tak ada ke?" Kening mama Danial terjungkit sedikit melihat tiada sebuah beg pun yang kami bawa. Yang ada pun, beg tangan aku sahaja.
"Tak ada ma. Kami duduk sampai malam ni je, nanti nak bertolak dah." Jawab suamiku laju terlebih dahulu. Lega aku dibuatnya. Fuh.
"Oh... Tak sabar nak honeymoon. Pengantin baru katanya." Riak wajah ibu mentuaku seakan ceria.
"Kami pergi Sabah bukan honeymoon, mama. Kami pergi kenduri kawan Dina." Jawabku bagi membetulkan ayat yang 'salah' daripada mama. Ingat kami berdua mahu pergi berbulan madu? Mungkin jauh lagi.
"Oh ... naiklah atas dulu. Nak mandi ke apa, kat atas. Dina pergilah tengok bilik suami tu. Mana tahu ada yang perlu diubah ke. Mama nak buat air dulu. Nanti turunlah makan kudap-kudap sikit." Mama terus melangkah menuju ke dapur sementara aku mengikut sahaja langkah Danial mendaki anak tangga ke tingkat dua.
Rumah ini agak terbatas, tetapi sangat indah bagaikan syurga. Mungkin nampak kecil kerana susunan perabot yang tidak sistematik. Selain itu daripada itu, semuanya perfect! Tiada cat mahupun kertas dinding yang menghiasi bahagian dinding rumah ini membuatkan ia kelihatan minimalis tetapi cukup cantik.
"Ni bilik abang." Pintu kayu berwarna coklat yang tidak bertutup rapat itu ditolak perlahan. Cahaya matahari yang datang daripada tingkap yang langsirnya diikat masuk tepat ke pandanganku. Sakit mata!
"Wah, tak silau ke?" Aku ketawa kecil sambil meneroka sekeliling. Ada rak buku, meja kerja, katil dan almari pakaian. Mudah kata, agak sempit sebenarnya. Katil pun, hanya katil bersaiz single dan bukannya queen. Kalau aku mahu tidur di sini, pasti tidak muat.
"Silau sebab abang ikat langsir tu. Kalau abang tak ikat, okey je." Danial terus duduk di birai katil sementara aku masih lagi berdiri. "Tengoklah apa Dina suka, abang nak mandilah, panas. Lama sangat kita berjalan."
Kalau ikutkan, pesawat bakal bertolak pada hampir pukul 9 malam, sedangkan sekarang baru sahaja pukul 1 tengah hari.
"Okey, abang mandilah dulu." Aku mengambil tempat di birai katil sementara Danial pula mencapai tuala lalu ke bilik mandi yang terletak di dalam bilik ini juga, berkongsi dengan bilik sebelahnya. Sama juga seperti rumah sewaku dahulu.
Cadar kapas berwarna biru pastel menjadi tarikanku. Jahitannya yang halus, membuatkan aku jatuh cinta. Sedap benar kalau dapat tidur di katil ini.
Kalau aku baring di sini, boleh kan?
Mestilah boleh, tidak mungkin Danial akan marah pula.
Serta-merta kepalaku mendarat di bantal yang sudah disusun di kepala katil ini. Pandanganku dialihkan ke siling bilik. Seperti biasa, apalah lagi yang ada di siling rumah melainkan kipas siling dan lampu kalimantang.
Setelah puas memerhati dua objek itu, aku bangkit dari katil lalu menuju ke meja kerja Danial pula. Kerusi yang biasa dilihat di pejabat itu ditarik perlahan sebelum aku melabuhkan punggungku ke atasnya. Sungguh selesa dan lembut.
Ada komputer riba yang sudah tertutup dan beberapa pelekat nota kecil berwarna-warni yang ditampal di dinding.
'Farah, I love you 3000.'
'Bila kita nak kahwin, Farah?'
'Farah, saya sayangkan awak sangat.'
'Kahwin dengan saya, please?'
'I'm still waiting for you, sweetie.'
'Tolong halalkan hubungan kita...'
Mataku membulat membaca setiap isi nota berpelekat itu. Farah?
Awak biar betul, Muhammad Danial?
Hatiku berdebar-debar sekarang. B-Biar betul semua ini? Adakah hanya sebuah nota lama yang tidak mahu dicabut atau sebaliknya?
Share this novel