Bab 42

Romance Series 27539

Kami berdua duduk di atas timbunan pasir lembut sambil memandang ke arah Laut Cina Selatan yang berombak kuat. Kalau ikutkan, pantai ini bukan tempat untuk bermandi manda seperti di Port Dickson mahupun Teluk Batik kerana ombak yang kuat. Tiada daratan lain yang  berhampiran untuk menahan angin kuat, lainlah seperti di Semenanjung Malaysia sebelah Barat, ada Sumatera sebagai penghalang angin.

"Betul tak suka laut?"

Aku biarkan sahaja suara itu bergema di telingaku tanpa sebarang balasan. Kini aku lebih fokus kepada aktiviti meditasi yang aku lakukan, walaupun keadaan yang agak bising membuatkan aku sukar memberi tumpuan.

Jam 6.30 petang.

Setengah jam lagi, akan terbenamnya matahari. Itulah yang kami akan saksikan nanti. Melihat keindahan alam yang jarang sekali tersaji di dunia luar, sudah dianggap nikmat.

Kalaulah hari-hari dapat begini, kan seronok.

"Su ... ka ...."

"Tadi kata tak suka?"

Aku berdehem sebelum menjawab, "Dina bukan tak suka, cuma Dina takut air."

Melihat ombak yang besar, lagilah aku takut. Seakan-akan terbayang ombak besar yang hampir menelan aku di suatu ketika dahulu, masih segar di ingatan.

Sukarnya mahu buang memori pahit itu!

"Jom mandi laut. Nak?"

"Hah?" Aku pandang Danial. Segenggam pasir sudah bersedia di tanganku, ingin sahaja aku campak ke wajah tampan Danial. Lagi aku takut, lagi mahu diajaknya.

"Jomlah ...." Tanganku diraih supaya aku bergerak, tetapi sedikit pun aku langsung tidak berganjak.

"Err .... No!" Aku cuba untuk mengelak daripada terus ditarik suamiku.

Laut.

Nafasku turun naik. Patutkah aku ikut sahaja cakap Danial dan bermandi laut? Atau aku ikut sahaja kata hati yang mengingati peristiwa trauma itu? Aku keliru dan buntu.

Tidak mungkinlah aku akan memakai pelampung seperti kanak-kanak dua tahun lima bulan, tidak mungkin. Aku 25 tahun, bukan 2 tahun 5 bulan.

"Tapi, abang nak." Senyuman itu berlegar di fikiranku. Terus sahaja badanku didukung Danial.

Ya Allah, malunya aku!

Kini, aku berada di dalam dukungan lelaki itu. Jantungku berdegup kencang. Bukan takut akan jatuh, tetapi takut mendekati air laut yang semakin hampir denganku.

Satu langkah. Dua langkah. Tiga langkah.

"So, you love it?" Kini Danial melepaskan aku, membiarkan aku berdiri di atas pasir. Gigi-gigi air serta merta menyentuh kakiku, membuatkan aku menggigil ngilu. Dua belas tahun aku tidak menyentuh air laut, membuatkan aku terasa janggal dan pelik.

"Yes." Sepatah sahaja jawapanku. Tangan Danial masih aku pegang kuat, risau sekiranya gigi-gigi air menolak aku jatuh.

Jika dahulu aku berani untuk meneroka indahnya lautan, kini hanya tinggal memori. Minat itu semua hancur, setelah sebuah insiden yang hampir meragut nyawaku serta-merta memusnahkan seluruh kebahagiaanku di ambang lautan.

Menggigil. Itu sahaja perkataan yang dapat menceritakan apa yang sedang berlaku pada diriku kini. Bukan kerana kesejukan, tetapi kerana takut.

"Nak lagi? Jomlah jalan depan sikit, tak syok main gigi air je." Perlahan-lahan kakinya melangkah membuatkan aku terpaksa ikut sama walaupun takut.

Air sudah naik ke aras pinggangku. Jujur, aku sedang takut sangat. Ombak yang kuat membuatkan kaki aku tidak benar-benar berpijak pada bumi, biarpun air belum menenggelami tubuhku.

"Abang ...." Tanpa segan dan silu, tubuh suamiku aku peluk erat. Nafasku turun naik laju, menandakan aku sedang resah. Tiada lagi malu, aku hanya memikirkan nyawaku.

"See. Tak ada apa-apa pun. Seronoklah ombak ni. Tengok ni, abang terapung."

Kini, kakiku tidak lagi berpijak pada pasir, hanya berpaut kepada Danial sebagai sokongan. Kedua-dua tanganku, kini berpaut pada lehernya.

"Relaks. Bertenang. Teruskan pegang abang. Abang nak ... bawa jalan-jalan!" Serta-merta tubuhku dibawa ke tempat lain.

Bahagia dalam ketakutan.

Seronoknya, andai nikmatku bahagia berada di lautan tidak ditarik oleh Yang Maha Esa. Berenang, membasahkan diri dan berendam, bukan satu perkara yang luar biasa lagi.

Kini, aku tidak merasakan lagi nikmatnya berendam di dalam air laut ciptaan Dia ini. Adakah itu tandanya aku kufur nikmat, tidak bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan kepadaku sebelum ini?

"Bertenang. Laut ni, biasa je. Tak ada yang pelik pun. Kalau kita baik-baik je, Insya-Allah, tak ada apa yang akan terjadi." Tutur Danial sambil membawaku ke pantai.

Akhirnya, selamat juga.

Perlahan-lahan aku melepaskan Danial dan memijak ke pasir yang menjadi daratan. Nafas lega aku hembuskan, menandakan berakhirnya 'ujian' yang perlu aku hadapi. Hanya lima minit berada di dalam air, sudah membuatkan aku seperti hampir diragut nyawa.

Hingga kini, aku tertanya. Ke mana hilangnya minat aku terhadap dunia akuatik? Ke mana perginya semangat aku untuk menjadi penyelam negara yang meneroka di dasar lautan untuk mencipta sejarah menemukan sesuatu yang baharu di dasar lautan? Ke mana semua itu?

Aku tidak tahu.

Kini, habis bajuku basah lencun. Nasib baiklah baju ini hanya pinjaman dari Mak Idah sahaja. Kali ini, aku menggigil lagi.

Kesejukan. Sejuklah, mana tidak sejuk berendam di dalam laut. Ini petang, bukannya tengah hari. Kalau tengah hari ataupun pagi, sudah pasti terbakar habis kulit putihku ini. Oh tidak, aku sayangkan kulit ini. Mana mungkin aku sanggup korbankan dengan membakar diri berendam di dalam air laut di waktu tengah hari!

"Aduh!" Aku mengerang kesakitan.

"Kenapa ni sayang?" Danial mula memandang aku serius. Aku duduk melutut di atas lantai.

Segera aku lihat apa yang telah mencederakan tapak kakiku. Begitu juga Danial.

Kerang. Lebih tepat, kulit kerang yang melukakan kakiku. Kulit kerang yang tajam disebabkan pecah, mencederakan tapak kakiku yang tidak berbalut apa-apa pakaian ini. Hendak mandi pantai, tak mungkin mahu pakai stoking pula.

Ish kulit kerang ni pun, kaki aku jugalah mahu kacau. Huh.

"Tak luka mana pun, sikit je ni. Tapi, tak boleh  pijak pasir lagi, takut lagi bertambah luka." Setelah meneliti, Danial membuat keputusannya.

Aku pula, langsung tidak menghiraukan tapak kakiku yang cedera. Sekarang tumpuan aku hanya pada kanak-kanak yang gembira bermandi-manda, biarpun dengan pelampung yang membantu mereka.

"Jadi ... abang nak dukung sayang ke rumah Mak Idah."

"A... Apa?" Mataku membulat memandang Danial. Suaranya yang tidak jelas sebentar tadi, aku minta untuk diulang kembali.

"Abang nak dukung sayang. Kaki sayang kan luka."

"Hah? Lah, luka sikit je ni, bukannya sampai tak boleh jalan terus. Abang ni pun..." Aku ketawa lucu. Kalau di kampung, aku sudah biasa dengan kewujudan lintah, pacat dan serangga yang lain. Darah yang kecil, bukan satu perkara yang pelik lagi untuk aku.

Sejak kecil, aku sudah dibesarkan dengan aktiviti lasak. Sudah nama pun anak perempuan tunggal, mestilah hidup di kalangan anak-anak lelaki. Membesar dengan dua abang kandung yang lincah ini, sudah pasti aku terikut-ikut sama mereka.

Mudah kata, dari luaran sahaja aku kelihatan seperti ayu ataupun wanita melayu terakhir, tetapi sebaliknya aku orang yang lasak. Macam lelaki pun ada. Tetapi masih jaga batas jantina lah. Tidak ada lah aku buat perkara yang sudah menyerupai lelaki.

"Please .... Rezeki abang ni, nak dukung isteri sendiri." Wajah itu merayu di hadapan aku.

Kejap, mahu dukung aku pun perlu merayu?

Aku sekadar membalas dengan sekuntum senyuman ikhlas. Perlahan-lahan, tubuhku diangkat Danial sehingga kaki aku tidak menyentuh daratan lagi, sama seperti tadi.

Sepanjang berada di dalam dukungan Danial, aku hanya tutup mata. Tidak mahu melihat siapa yang sedang menyaksikan 'drama' romantis baru kahwin kami. Biarlah orang mahu kata apa pun, ada aku kisah?

Eh, sebentar.

"Abang, selipar Dina!"

Baru aku perasan, hanya aku yang dibawanya dan bukan selipar yang aku pakai. Aku ketawa kecil menahan lucu, boleh pula selipar tertinggal di situ. Aku dilepaskan dan dibiarkan duduk di bangku di hadapan pintu rumah Mak Idah, sementara Danial pergi mengambil seliparku yang tertinggal.

Boleh tahan kelakar juga, kisah aku hari ini. Bermula daripada aku takut akan lautan, hinggalah aku dicederakan oleh kulit kerang yang sudah mati lalu didukung Danial hingga ke rumah yang kami bermalam malam ini.

Selipar aku yang Danial bawa, diletakkan ke tanah. Fuh, boleh berehat sebentar. Kalau ikutkan kami perlu mencuci kaki dahulu, kalau tidak habislah kotor rumah Mak Idah dipenuhi pasir.

"Seronok hari ni?"

"Seronoook ... sangat," balasku ceria. Tinggal beberapa minit lagi ingin ke jam tujuh, matahari bakal terbenam.

"Nanti abang buat lagi!" bisik Danial nakal ke telingaku.

"Abang! Abang jahat!"

"Abang baiklah, mana ada abang jahat!"

"Tipu!"

"Kalau abang tipu, abang masuk neraka. Sayang nak ke? Tak kesian ke kat abang ni, penat-penat sayangkan sayang, tiba-tiba masuk neraka. Hmm..."

Tawa kami berdua terburai ceria. Senyuman tidak lekang dari bibir, menandakan aku dan dia sedang gembira. Lupakan kesedihan, teruskan melangkah ke hadapan.

"Jomlah, basuh kaki dan masuk."

"Taknak tengok sunset ke?" soalku.

"Esoklah, esok ada lagi. Kita ada tiga malam kat sini, jangan risau." Tanganku dicapai lalu digenggam erat. Setelah membasuh kaki, aku melangkah masuk ke dalam rumah Mak Idah.

"Assalamualaikum ...."

"Waalaikumussalam, dah balik dah mandi kat pantai?" Mak Idah, orang pertama yang menyambut kami.

Biarpun Mak Idah orang asal negeri ini, tidak bermakna wanita itu tidak fasih berbahasa melayu asli. Sudah tahu di sini terdapat ramai pelancong dari luar Negeri dan Negara, Bahasa Melayu asli dan Bahasa Inggeris juga wajib diketahui untuk memudahkan urusan bersama pelancong.

"Dah," jawab Danial mesra. Aku ikuti sahaja langkah suamiku. Malu pula bila kami berduaan, sedangkan ada anak perempuan Mak Idah di dalam rumah ini. Kiranya, sepupu Danial lah.

Pintu bilik yang diperbuat daripada kayu ditolak lalu kami masuk ke dalamnya. Tuala diambil, menandakan aku ingin mandi membersihkan diri dan menukar baju. Nasib baiklah di dalam bilik ini, sudah ada bilik air.

"Nak ikut."

"No. No. No." Pintu bilik air aku tutup rapat, tidak membenarkan Danial masuk sekali. Fuh, seram.

Ini bukan rumah sendiri, ini rumah orang, Danial.

Pancuran air membasahkan tubuhku. Terasa segar sekali setiap titisan air yang membasahi jasadku.

Harini publish awal sikit, hasil subuh hehehe ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience